Karya

Karya

Isnin, 11 Mac 2013

Lahad Datu (3) HARGAI JUGA WIRA YANG SEORANG INI!




Tahun 1982.
Tahun pertama saya jejak alam kampus. Sebenarnya, minggu yang pertama - minggu orientasi. Program harian memang ketat. Begitu meletihkan. Lagi seksa jadinya kerana saya ditempatkan di Kolej Kelima. Paling jauh duduknya jika mahu ke fakulti atau ke Pekan Siswa. Setiap kali ada program di Dewan Tunku, tiada pilihan, menapak saja. Budak baru tidak dibenarkan naik bas atau tunggang motosikal dalam minggu orientasi. 

Waktu itu, persekitaran Kolej Kelima hijau sungguh. Tiada kolej kediaman yang lain, dan tidak ada kompleks sukan macam sekarang. Jalan ke Kolej Kelima jalan mati. Kerana persekitaran yang redup dilatari pohonan besar-besar yang menghijau (termasuk belukar), maka lazim jugaklah budak-budak yang duduk di Kolej Kelima digelar sebagai ‘orang hutan’!

Saya masih ingat, dari Dewan Tunku Canselor yang tersohor itu, berjalan melepasi University Green di sebelah kanan, kira-kira seratus meter ke depan ada simpang. Ke kanan akan membawa keluar ke KL, melalui pintu besar bersebelahan masjid ar-Rahman. Belok ke kiri pula akan temui pengakhiran jalan ke Kolej Kelima. Betul-betul tepi belokan (korner baring sebenarnya) ke kiri itu, ada sebatang pohon yang besar. Serupa mana-mana pohon besar yang lazim ditemui dalam belantara.

Sebahagian akarnya nampak melintuk timbul, dan sebahagian lain menusuk bumi. Memang rendang sungguh. Ini kawasan nampak menggerunkan ketika malam. Tapi sepanjang mengaji di kampus tertua di Tanah Bonda itu, tidak pula terdengar ada cerita hantu jembalang muncul dan mengamuk di situ. Tidak pula terdengar ada budak-budak Kolej Kelima yang histeria kerana tersampuk!

Sewaktu minggu orientasi, antara yang menarik ialah acara sukan. Lawan macam-macam antara kolej kediaman. Saya main jugak. Terpilih dalam pasukan hoki. Kena aktif masa orientasi ni. JK Asrama jadikan ini antara syarat boleh kekal duduk di kolej selepas minggu orientasi. Jika tidak kena cari penginapan sendiri.
Budak kampungan baru kenal kota besar. Keliru dan khuatir sama banyaknya. 

Lantas, terpilih mewakili kolej main hoki, punyalah sarat rasa lega. Sebab dapat ‘mata bonus’ yang akan diambil-kira untuk kekal menginap di Kolej Kelima. 

Kerana prestasi dalam latihan, saya diletakkan di posisi jaga gol.

Sebelum masuk padang untuk perlawanan pertama (tak silap saya lawan Kolej Ketiga), seorang siswa senior (entah dari kolej mana) yang berdiri tak jauh dari gol berpesan, “Hati-hati dengan forward dia orang. Handal tuh. Wakil Perak!”

Dalam perlawanan hoki tujuh sebelah itu, kami tewas dengan gol tunggal. Penyerang yang dikatakan berbahaya itulah yang menjaringkan gol.

Dalam situasi satu sama satu. Ketika dia menerima hantaran berhampiran D, saya jadi teragak-agak. Dalam celaru nak keluar segera atau tengok dulu gerakannya, sedar-sedar belakang gol dah berdentum. Tak nampak pun bola lolos!

Tewas kami dalam perlawanan pertama, kira terus terkeluar. Kalah mati.
Penyokong sama-sama moyok macam pemain. Masa berarak ke padang bukan main lagi pekik sorak penyokong dan anggota pasukan. Kami pakat nyanyi lagu Perajurit Tanahair. Rasa macam akan ratah dengan senangnya pasukan lawan. Menapak balik ke asrama, tiada sesiapa pun yang menyanyi. Tak berani dan tak ada semangat. 

Terfikir jugak, kalau dapat selamatkan rembatan penyerang bahaya dari Kolej Ketiga tu, tentulah saya boleh jadi wira. Sebab waktu tu masa dah nak habis. Jika seri, kena lawan pukulan penalti. Yang ini kami sudah berlatih sungguh-sungguh. Tidak mudah penyerang nak bolos benteng gol (sayalah tu!) dengan stroke apa pun. Saya yakin boleh menang kalau penalti jadi penentu! 

Lagipun, pasukan kami pun duduk serang jugak. Bagus jugak main.

Tapi kerana penjaga gol gabra dek amaran awal (propaganda kot?), maka prestasi jadi tak bagus. Mudah saja ditewaskan penyerang lawan sebab gementar yang lebih. Satu peluang saja, terus gol! 

Tak sampailah impian nak jadi wira. Maka tiadalah nyanyian Perajurit Tanahair mengiringi kami.

Sebenarnya, lagu itu sangat kerap dinyanyikan sepanjang minggu orientasi. Tak kira main apa dan lawan siapa. Ketika berarak ramai-ramai lagu itu jadi penaik semangat dan penghilang lenguh kaki! Memang meremang bulu roma dan boleh naik mendadak ‘semangat juang’.

Lagunya sangat bagus dan begitu berkesan.          

Sejak pencerobohan di Lahad Datu, kerap sekali tersiar lagu hebat itu di kaca tv. Dengan visual yang tunjuk kekuatan pasukan tentera kita berselang dengan anggota yang telah terkorban, semangat turut membara dalam geram dan sedih.

Tiada syak dan tiada lain, ini tanah watan yang kita mesti pertahankan. Musuh yang menceroboh mesti dihancurkan!

Sabtu. 9 Mac, 2013. Segmen MHI sungguh istimewa.

Krewnya telah menjejaki Jamaludin Alias. Penyanyi bersuara jantan, yang penuh semangat nyanyi  lagu Perajurit Tanahair.

Sudah melewati 70-an umurnya. Rupa-rupanya, dia adalah satu-satunya penyanyi Melayu dalam Koir Merdeka (ditubuhkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun 1957).

Dia jugalah dilantik sebagai ketuanya ketika menyanyikan lagu Malaysia Tanah Airku di  Padang Kelab Selangor pada Malam Kemerdekaan 31 Ogos, 1957.

Dalam usia lewat tujuh puluh itu, kesihatannya nampak tergugat. Menapak dalam rumah pun berbantukan tongkat. Tapi tuturnya menunjukkan betapa semangat patriotiknya, kecintaannya kepada Tanah Bonda tidak meluntur!

Ketika lagu Perajurit Tanahair dendangannya itu terus dimainkan begitu kerap di kaca tv sekarang ini, adalah amat baik Jamaludin Alias turut dihargai dengan sumbangan yang sewajarnya.   

Kerana dia juga adalah wira Negara!

Doa kita untuk Jamaludin Alias, seorang wira yang sudah lebih empat dekad meniupkan semangat patriotik ke dalam jiwa kita!

Tentunya, doa kita tiada putus untuk para perwira yang gagah berani, bersemangat waja, berjuang pantang undur di Lahad Datu. Demi agama, nusa dan bangsa!

Ayuh berdiri! Mari sama-sama kita nyanyikan lagu hebat ini dengan penuh semangat!

“Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban,
Untuk ibu pertiwi!

Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti!

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa, Malaysia berjaya!

Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.   

________________________________________

"Perang demi nusa, agama dan bangsa menuntut bermacam-macam pengorbanan kecil besar daripada pelbagai golongan. Ada nama terpahat di tugu, ada budi dibalas setimpal. Tapi ada yang lenyap tiada jejak,  tanpa penghargaan, dan tidak dikenang sesiapa."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan