Karya

Karya

Jumaat, 8 Mac 2013

Lahad Datu (2) "PERDAMAIAN YANG MEMBAWA KECELAKAAN?"




Inilah paradoks kehidupan.
Perdamaian yang membawa kecelakaan.

Ini suatu sudut lain yang boleh dilihat susulan perdamaian (antara MILF dengan kerajaan Filipina). Pertelingkahan yang panjang (selama empat dekad, dan makan korban lebih 150,000 insan) ditamatkan dengan ‘ikatan damai’ antara Benigno Aquino (Presiden Filipina) dengan Murad Ebrahim (Ketua Barisan Pembebasan Islam Moro - MILF) pada 15 Oktober, tahun lepas.

Selepas empat bulan, ikatan damai yang diusahakan oleh Malaysia itu, seolah-olah membawa kecelakaan pula kepada kita. Sebahagian Tanah Bonda telah diceroboh oleh pengganas yang menuntut bahagian Timur Sabah itu sebagai pusaka Sultan mereka!

Apakah ada kaitan langsung antara ‘ikatan damai usaha Malaysia’ itu dengan pencerobohan di Lahad Datu?
Barangkali ada benarnya. Kerana yang berdamai di Filipina itu bukan gerombolan yang menceroboh di Lahad Datu. Ini puak yang lain.

Golongan yang tidak terlibat secara langsung dengan perdamaian itu, adalah ‘mereka yang tidak mahu berdamai’. Rundingan selama tiga minggu supaya mereka berundur secara baik tidak berhasil. Mereka mahukan darah. Ini hakikatnya jika dilihat kepada sumpah ketua pengganas tersebut yang ‘mahu berjuang hingga ke titisan darah terakhir’.

Hakikatnya, mereka tidak mahu berdamai. Keganasan nampaknya semacam satu-satunya jalan bagi mereka, dan itulah yang mahu ditempohi gerombolan itu. Kerana itu mereka yang menyerang dan membunuh terlebih dulu.

Pelik. Ini suatu paradoks lagi.
Kerna kini, seolah-olah mereka pula yang mahu berdamai. Seolah-olah bukan mereka yang menceroboh dan cetus kecelakaan. Ketuanya hebohkan ke seluruh dunia, mahukan gencatan senjata.

Tapi hakikatnya, itu namanya ‘bukan berdamai’.
Itu hanya berhenti bertempur menggunakan senjata.
Itu bukan mahu berdamai.
Itu hanyalah hasrat rehat perang buat seketika.
Kerana damai yang dihasratkan itu ada tempohnya.
Lagipun, ‘janji damai yang sementara’ dalam tempoh gencatan senjata itu pun boleh dicerobohi, dan tercetus keganasan yang baru!

Inilah paradoks kehidupan.
Mereka datang dari negara yang baru saja berlangsung ikatan perdamaian daripada pertelingkahan yang panjang, dan yang telah banyak mengorbankan jiwa.
Kini mereka menceroboh dan mencetuskan keganasan di sebuah negara yang mengusahakan perdamaian di negara asal mereka!
Mereka adalah pencetus keganasan serta kecelakaan daripada sebuah perdamaian!
Pengusaha kedamaian pula yang mereka perangi!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan