Lantas, buah fikiran pemimpin tertinggi negara jadi bahan utama untuk melihat kerangka pemikiran ketua bangsa.
Antara yang menarik sengoti ialah kumpulan ucapan Dato Bendahara dari Kedah yang memegang cokmar kuasa paling lama - dua puluh dua tahun.
Banyak kalimahnya yang biser-biser dan dalam makna. Walaupun disampaikan dalam bahasa yang bersahaja (tidak bombastik seperti sesetengah pemimpin) tetapi begitu kemas aturan idea dan jernih mesej yang dihasratkan.
Antara yang banyak itu, kawe ingat sangat akan nukilannya tentang nilaian hubungan kawan dan musuh.
TUN yang sudah bersara tapi masih didambakan buah fikirannya oleh banyak pihak bersabit soal pembangunan dan pengurusan negara, dalam konteks 'falsafah persahabatan orang politik' pernah menuturkan kira-kira begini:-
"Dalam politik musuh tidak selamanya, dan kawan juga tidak selamanya!"
Pandangan TUN itu bersifat sejagat. Tidak terhad dan bukan terpakai untuk perihalkan 'kesetiaan dan permusuhan dalam dunia politik' sahaja.
Dalam gelutan dan kemelut bencana di Darul Naim itu, kawe nampak gunaan kalimah menggendong falsafah manusiawi itu bersabit jua.
Kawe perhati, sewaktu Kelate dalam kegawatan mega, antara golongan awal yang menghulurkan bantuan tanpa syak wasangka dan tidak teragak-agak ialah para sukarelawan dari negeri jirannya - Darul Iman.
Tidak dikibarkan bendera. Tidak pentingkan bangsa. Tidak kira daerah tenggelam itu yang mana. Tidak kisah ada bertali kait waris-warah atau sebaliknya. Malahan bertutur pun para sukarelawan Darul Iman itu pakat kecek Kelate jugok! Tanpa lambang apa-apa, orang yang menerima bantuan cepat mengagak betapa sukarelawan itu maghi dari Terengganu walaupun plet Triton tertera huruf Wilayah Persekutuan.
Ketika Kelate dilanda kegawatan mega, yang bergelar seteru udah menjadi kerabat dan sahabat!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi, InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan