Karya

Karya

Selasa, 3 Februari 2015

bencana banjir di Kelantan (9): KAHWIN BUKAN SETAKAT BERGESEL LUTUT!

Soal kahwin sudah menjadi kelakar lazim yang tersebar di kalangan rakan-rakan grup WhatsApp. Kawan-kawan lama ini yang ada sekali dalam grup itu ngaji dalam darjah yang sama sejak sekolah rendah, nampaknya suka sengoti jadikan hal-ehwal bangunkan rumahtangga itu suatu gurauan.

Mungkin gini fesyennya kalau umur dah lompat masuk separuh abad.
Miang keladi udah menjadi pakaian!

Tunggu saja hari Khamis. Maka muncullah mesej tukang tolong peringat tentang malam Jumaat. Datang sekali dengan kepilan gambar gadis lawa senyumannya menggoda. Ditampal pulak dialog yang mengancam!

Entah gambar gadis mana jadi pengiklan dan pengghairah malam sunat itu, dan entah siapa yang mula reka dialog yang masuk kategori kelakar dewasa. Kadangkala tersirat maksudnya. Banyak kali terus terang bangat pula isinya.

Kalau soal kahwin, tiada lain diposkan mesej anjuran tambah seorang lagi.
Kalau disentuh soal isteri pula, banyaknya mempersenda teman yang setia itu. Atas paras fizikal dan usia.

Bahkan ketika ikut saing-saing pergi ke Kuala Krai dalam waktu-waktu terdekat selepas bencana, gurauan tentang nikah-kahwin ini menjadi hiburan pula dalam perjalanan yang jauh dan meletihkan:-

"Molek jugak terima kalu ada offer, Haji. Kalau-kalau ada yang susoh-susoh, yang dok mampu nak tanggung anak gadis sebab banjir besar ini...kita pakat terima kalau mok ayoh dia offer."

Gelak ketawa pun berderai dalam Triton yang sarat muatan untuk kebajikan insan merana ditimpa malapetaka.

Yang bercakap nampak sangat gagah itu pun sambung lagi kerana ada sokongan kuat. Naik semangat dia!

"Saksi dok susuoh. Pakat-pakat sama kita jer. Tok Imam dengan hal2 daftar tu, kita masuk sebetor lekok ke sempadan. Kawe ada worih yang boleh urus kerja lagu nih! Kerja kebajikan ni, Haji. Kita pakat tolong orang susah. Bantuwer susu, beras, kain baju kita buwi doh. Kita tolong jaga anok gadis dia pulok!"

Drebar Triton yang udah pencen, usia cecah enam puluh lima itu ketawa sampai terpejam mata sebentar. Tangannya menggendang stereng. Kelakar bangat tuh!

Cuma kawe mahu pesan kepada saing-saing dan sahabat-sahabat yang usia sama tahap. Baca ini puisi.

Ingat tu kawan-kawan satu grup usia: Perkahwinan bukan setakat bersuapan pulut kuning di atas pelamin, dan bukan sekadar bergesel lutut di ranjang malam pengantin!

Ini bukan perkara main-main. Jangan gurau lebih-lebih. Usah bertindak kerana desakan kawan-kawan dan dorongan nafsu.

"Kurang fikir, kurang siasat. Kelak dirimu akan tersesat!" (pujangga klasik Raja Ali Haji)



     
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan