Karya

Karya

Rabu, 30 Mei 2012

PILIHANRAYA DITANGGUH KERANA PKR?




Lewat petang tanggal 22 Mei 2012.
Saya menerima panggilan daripada Tom. Lelaki segak yang sudah terikat talian persahabatan dengan saya sejak di bangku sekolah. Biasanya saya tidak melayan panggilan yang masuk di ambang Maghrib. Kerana menjangkakan ada hal yang penting, terus disambut dan dilayan bicaranya. Khuatir juga jika tidak ditunaikan hajat sahabat yang seorang ini. Tahap kesihatannya tidak lebih baik daripada saya. Malahan sudah pernah terlantar dia di pusat perubatan pakar kerana terbelah dada, terbuka jantungnya!

Nadanya ceria macam biasa. Cuma ada terasa sikit urgency dan kesungguhan. Ah, bisa boleh terus dimaafkan, sahabat yang memanggil di lewat sore. Bicaranya agak cepat dan bunyinya tergesa-gesa. Dia baru sampai di sebuah resort tepian pantai, dan sedang menunggu seorang kenalan lama yang terdidik di satu sekolah jua.

Bersungguh-sungguh dia memberitau saya tentang dua perkara. Pertama, diminta saya menonton Astro Awani. Katanya ada debat antara dua tokoh muda. Rafizi lawan Khairy. Dinyatakan kehampaannya kerana tidak dapat menonton secara langsung. Disebabkan perkara kedua yang menjadi halangan. Apa yang penting sangat perkara kedua itu hingga jadi penghalang Tom menonton debat yang dijangka hebat itu?

Tunggu, hal itu kita sentuh di paragraf yang penghujung!

Sebenarnya, saya tidaklah ghairah menonton debat berkenaan. Saya punyai hambatan tersendiri. Terbeban dengan mandat daripada seorang editor untuk menyiapkan manuskrip terbaru. Tidaklah begitu tebal, tetapi kandungannya yang agak berat menuntut saya mencari bahan-bahan tambahan di khutub khanah.

Menonton debat politik yang memakan masa hampir dua jam itu dikira merugikan. Saya boleh menyiapkan beberapa halaman tambahan atau menyunting bab-bab awal draf pertama. Kerana pesanan yang bersungguh-sungguh daripada seorang sahabat minta menonton jugak-jugak, lalu tewaslah saya.

Rupa-rupanya panggilan daripada Tom turut menggamit tumpuan anak-anak dan Yang Tersayang. Jadi agenda utama pula malam itu, bersama keluarga menonton debat dua tokoh muda, ahli politik generasi baru.

Secara peribadi, saya tidak mengenali Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. Tapi seisi keluarga ‘pernah mengenali’ Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR.

Ini cerita lama sebenarnya. Kira-kira sepuluh tahun dulu. Sewaktu kami mastautin di England. Suatu Musim Panas, kami mengunjungi Kotaraya London. Nasib baik sungguh. Tidak payah menyewa bilik hotel yang rata-ratanya mahal. Kami diberi menumpang di sebuah rumah kepunyaan Shaharom (dari Johor) yang datang mengaji PhD bersama isterinya dalam usia belum cecah tiga puluh, dan belum punyai anak.

Rumah di bawah paras tanah itu tidak luas mana, tapi sangat selesa kerana tiada orang lain. Anak-anak masih kecil (bersekolah rendah belaka), dan tidak perlukan ruang yang besar. Tuan rumah pula bercuti menjelajah Eropah, berkonvoi dengan rakan-rakannya dari Manchester.

Rumah ini unik sungguh. Bekalan elektriknya bergantung kepada banyak mana kepingan pounds dan penny dimasuk ke lubang meter. Serupa macam meter parking kereta pulak. Kalau nilai pounds yang dibubuh itu tak cukup, maka terpadam lampu dan matilah semua peralatan yang guna kuasa elektrik!

Pengangkutan tiada masalah langsung. Akses sangat mudah. Hanya jalan kaki tak sampai seratus meter sudah berada di perhentian bas.

Masalah yang besar: ini kali pertama kami sampai di Kotaraya London. Jaraknya 400km dari tempat kami mastautin. Maka jadi jakunlah kami. Tak reti nak berjalan-jalan di kota mega dan tersohor ini. Memang hajat mahu ke merata-rata tempat yang masyhur seperti Muzium Madame Tussauds, Trafalgar Square, dan Buckingham Palace. Kami dipesan berkali-kali oleh tuan rumah yang ditumpangi di London itu supaya menggunakan tren. Lebih mudah dan praktikal. Masalahnya, nak baca peta laluan tren yang bersimpang-siur itu pun tak reti dan naik keliru.

Penyelamatnya? Seorang pemuda kacak, yang kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat internasional di Kotaraya tersohor ini – Rafizi Ramli. Percakapan cermat, orangnya budiman. Sebenarnya, kami kenali dia atas bantuan kenalan yang lain sebelum menaiki bas ke kota ini. Interaksi pertama kali dalam telefon, saya dapat agak orangnya baik hati dan boleh diharap.

Maka jadilah dia pemandu kami pada hari pertama di Kotaraya London. Diajarnya cara baca peta laluan tren Underground. Hatta diiringi kami hingga ke Trafalgar Square dan diajar naik bas ke Buckingham Palace.Hari kedua, tiada masalah lagi. Rafizi pun tidak punyai kesempatan menemani lagi kerana ada urusan lain. Tapi tunjuk ajarnya sudah sangat memadai dan sangat bermanfaat. Seronok bukan main bersiar-siar di London selama empat hari!

Itu cerita lama. Sejak pulang ke Tanah Bonda, tiada perkhabaran apa-apa daripadanya hinggalah tercetus kegemparan tentang suatu projek ternak lembu skala mega! Ugh, sudah hebat rupa-rupanya kamu, wahai Rafizi! Bukan lagi pemuda yang jadi pemandu pelancong 'sambilan' yang kami kenal di Kotaraya London sepuluh tahun dulu.

Melihat ketrampilannya berhujah, memang betul, tepat dan benarlah jawatan yang digalasnya itu – Pengarah Strategik sebuah parti politik. Orangnya nampak begitu licik, penuh dengan muslihat. Tidak perlu dipuji berlebihan, cukup dirumuskan: lawannya malam itu sudah masuk perangkap! Ketua Pemuda yang macam aktor Remy Ishak itu terang-terangan kecundang di tangan Rafizi Ramli bekas pemandu pelancong!

Kebetulan Dek-dek pulang ke rumah kerana ‘study leave’ selama seminggu. Anak gadis saya ini pernah menonton debat antara Pemimpin Utama PKR dengan seorang Menteri Penerangan, yang juga tersiar secara langsung di kaca tv pada Julai 2008 di DBP. Ketika itu Dek-dek masih dalam tingkatan empat. Kali pertama gadis remaja kami ini nampak begitu berminat mengikuti hal poilitik negara. Kerana aura perdebatan itulah.

Apabila ditanya, reaksinya tentang debat pertama di DBP, jawapannya begini: “Sepatutnya tak buat pun! kesian Dek-dek tengok Menteri tu. Teruk kena serang. Payah nak jawab soalan pembangkang!”

Reaksinya terhadap debat di Kompleks Karangkraf itu pun nadanya tidak berbeza: “Kalau tak debat lagi baik. Buat malu kerajaan saja!”

Saya tidak mahu komen apa-apa. Tidak reti kita mahu bicara panjang-panjang soal politik. Kalau dilihat kepada debat itu, semua pihak yang berlawan politik itu berusaha supaya nampak 'benar belaka’ di pihak mereka. Yang salahnya? pihak yang lain, yang berdiri di atas platform yang berbeza atau punyai pandangan yang bertentangan!

Kerana sudah berjanji di awal tadi, mahu beritau khabar kedua yang penting daripada Tom, kenalah tunai janji jua. Errr...tak perlu tunggu selesai pilihanraya umum, baru mahu tunaikan janji!

Tom beritau begini:
“Aku tak dapat tengok debat malam ni. Rugi sungguh. Nak buat guane. Takleh nak elak. Kena jadi jurugambar. Kawan kita, satu kelas dulu...nak kahwin malam ni. Dia mintak aku jadi jurugambar. Ni dah masuk cawangan yang ketiga!”

Ugh, kalau begitu, tak penting manalah debat antara Khairy dengan Rafizi itu. Disebabkan kawan lama kahwin lagi, Tom tidak jadi menontonnya. Tapi digesanya saya pulak yang bercongok depan tv. Mungkin dia mahu tahu reaksi saya terhadap debat itu. Dukacitalah maknanya. Kerana saya ini bukan penulis politik, dan tidak reti hal-ehwal politik!

Cuma terasa ingin catatkan sesuatu jugak kepada sahabat saya itu.

“Tom, aku rasa pilihanraya tak jadi tahun ni. Pilihanraya ditangguh kerana PKR - Perdebatan Khairy dengan Rafizi!”

Macam kata moderatornya, debat ini akan mencetuskan tsunami. Betul sangat tu wahai tuan pensyarah! Perdebatan Khairy-Rafizi malam itu sudah menyelinap masuk ke dalam jutaan rumah di seluruh negara. Mencabar minda, menuntut pemikiran yang rasional. Kesannya? Umpama tsunami yang diibaratkan oleh pensyarah UIAM itu, maka akan ada yang retak, ada yang pecah, ada yang tumbang, dan akan ada yang lemas. Tentunya, akan ada juga yang berubah, ada yang keliru, ada yang makin kukuh, ada yang jadi risau, ada yang sakit kepala, dan mungkin ada yang terus masuk wad kerana sesak nafas!

Sebab itulah saya rasa, piliharaya tak jadi tahun ini. Kerana tsunami PKR itulah!

Memang bising dan menggegar perdebatan itu. Tapi dalam diam ia menusuk akal. Mencorak perubahan yang berlaku dalam minda dan jiwa. Sukar dilihat pada pandangan mata. Hitungan dan congakan pun jadi haru-biru. Maka jadi makin payahlah nak menilik tarikh pilihanraya!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

nota: sayang sekali saya tak dapat muatkan kepingan gambar duduk bergaya di depan Trafalgar Square dengan Rafizi. Puas dicari, dah seminggu. Tak bisa diketemui. Ugh, terselit entah di mana.

7 ulasan:

  1. kehkehkeh.. kelakar cerpeng mu kali ni. 5 bintang aku bagi. BEST!
    Tapi ada pembetulan sikit pasal cawangan tu. Sumber asal yang bagitahu aku rupanya dia tersalah sangka. Rupanya baru masuk cawangan ke dua. hahaha..

    BalasPadam
    Balasan
    1. guane mung nih, kalu masuk court soh kalah aku, info salah, buang kes sbb tak relevan :-)

      Padam
  2. Ha ha, Tom yg berdiri umpama galah, aku kenal tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. bukan macam galah, macam Misbun Sidek daa :-) guane gamok, agaok2 jadi ke dok Misbun gi Ganu jadi jurulatih badminton?

      Padam
  3. baguih baguih..ada juga pemimpin muda umno yang berani melontar hujah cara berdepan dan bukan hanya lontar telur sembunyi tangan dalam kegelapan malam.. tapi taklah patut kita menuduh pemimpin tua pula yang melontar telur telur tu (nanti tak pasal pasal mereka terpaksa bersumpah yang mereka tak ada telur!!)

    -aku anonymous-

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha 'aku anonymous' ni memang best. dalam kelakar ada selit tikaman tajam :-)

      Padam