Karya

Karya

Sabtu, 5 Mei 2012

terperangkap dalam BERSIH 4.0

Kajang. Rabu 2 Mei 2012. Menjelang Zohor.

Tiada yang dapat menahan. Ombak kuning yang memukul sudah menggila. Arusnya lebih deras daripada terjangan kuda perang yang bengis. Semua yang ada di jalanan sebelumnya sudah meminggir. Yang tidak sempat mengelak terus terperangkap. Trecungap-cungap. Terketar-ketar. Kemudian mati.

Polis juga turut menggigil. Bukan tidak berani menembak meriam air. Tiada arahan. Tidak perlu. Lagipun tidak masuk akal untuk buat begitu. FRU tidak nampak wajah. Sebenarnya, tak datang pun.

Tiada pemimpin yang hadir. Tiada dari kelompok Pembangkang. Tiada juga pemimpin dari parti Kerajaan. Ini benar-benar hal rakyat. Hanya rakyat yang menjadi penonton. Hanya rakyat yang merasai peritnya.

Mereka duduk diam-diam, di dalam kenderaan yang berbaris di atas jalan yang lebih tinggi. Mahu mendapat sudut pandangan yang lebih baik. Beberapa kerat saja yang tunjuk berani keluar berdiri di tepi pagar. Tiada niat lain. Hanya mahu merakam suatu fenomena.

Esoknya. Tersebar berita banyaknya kenderaan yang rosak. Pemilik premis perniagaan kecil-kecilan sakit kepala mengira kerugian. Bank dan pasaraya tidak terkecuali. Bahana ombak kuning yang mengganas tidak ehsan. Ia tidak mengira Indra Si Tukang Kasut yang tidak bisa mencari rezeki di kaki lima. Ia tidak peduli kedai McD yang kena tutup dan pemuda-pemudi yang tiada upaya nak dapat gaji kerja lebih masa. Ia tidak punya belas kepada peminta sedekah berkaki kudung. Yang kehilangan peluang mendapat makan tengah hari secara percuma, diberikan pejalan kaki yang bermurah hati.

Hakikatnya, ini sudah kali keempat (sejak saya bermukim di Kajang) kejadian ini berlaku. Kerosakan dan kerugian memang besar sekali. Malahan saya sendiri pun pernah terperangkap ketika ombak Bersih melanda. Kerugian hampir sepuluh ribu kerana kereta saya rosak teruk akibatnya. Ketika itu, kira-kira lima puluh kenderaan lain turut menjadi mangsa.

Tahun lepas (Disember, 2011) seorang kenalan saya 'merana poketnya' kerana ombak Bersih itu juga. Terpaksa dia membaiki keretanya (Toyota Camry), total belanja hampir 30 ribu ringgit. Ketika saya dan Zaki (teman baik)berkunjung ke rumahnya, marah sungguh dia. Membebel dengan nada keras: "Ini semua salah kerajaan. Kerana negeri ini Pembangkang yang punya, pembangkang yang perintah...sengaja dibukanya empangan. Huh, mujur tak mati saja aku ni!"

Saya dan Zaki saling berpandangan. Kawan saya itu (seorang tauke dan tuan punya Toyota Camry), terus mendengus: "Kalau kerajaan jaga sungai. bersihkan longkang. pelihara hutan...taklah jadi banjir kilat yang ganas macam ni. Tak ler Camry aku tenggelam. Sebab negeri ni (Selangor) Pembangkang yang pegang, sengaja pulak dibuka pintu air. Habis melimpah dari Empangan Semenyih. Nak suruh rakyat benci!"

Bersih 4.0 melanda Bandar Kajang. Bencana yang datang kerana perbuatan manusia belaka. Pembangunan tidak peduli lestari alam. Banyak pihak yang perlu bertanggungjawab atas bencana ini. Sebut saja. Dari tangan yang luluskan projek semberono tanpa fikir kesan alam sekitar, pemilik restoran pinggir tebing, tauke bengkel yang salur bahan buangan ke sungai, hinggalah pejalan kaki yang lalu-lalang sesuka hati lempar sampah. Semua kita punyai saham serba sedikit yang menjadi sebab bencana seumpama Bersih 4.0 melanda. Cuma ombak kuning yang menggila ini tidak menarik minat orang politik datang menjengah.

Tapi seorang tuan punya Toyota Camry yang saya kenal, melemparkan marahnya hanya kepada Kerajaan Persekutuan!

Hakikatnya: Bersih 4.0 membawa bencana kerana alam sudah meluahkan amarahnya kerana kerakusan manusia!


Permisi. Bisa ketemu lagi.

nota: foto diambil ketika hujan lebat di Bandar Kajang (Rabu lepas). sewaktu banjir kilat mengganas. Saya terperangkap dalam jem dalam perjalanan mahu ambil Ney-ney di sekolah. Tiga tahun lepas, kereta saya tenggelam di kawasan parkir bawah pasaraya di tepi tebing sungai itulah!

4 ulasan:

  1. dalam kes bersih yang saudara ceritakan ini, ada polis ke? tak ada. bersih yang lagi satu ramai (visible and invisible)

    BalasPadam
  2. oh banjir ke kajang baru2 ni? semoga dipermudahkan urusan oleh Allah dalam saat-saat bencana ini, insyaAllah.

    BalasPadam
  3. agaknya .. kalaulah Laksamana Najib kerahkan polis dan FRU berpagarkan betis .. tentu terjahan BERSIH 4.0 di Kajang ni dapat dipatahkan..

    -aku anonymous-

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha kelakar benor 'aku anonymous' nih. kat Kajang takde lagi todak duk mai serang :-)

      Padam