Karya

Karya

Rabu, 31 Oktober 2012

nota aidil-adha (2) TIADA CINTA ANTARA YUSUF & ZULAIKHA!

Menziarah rumah waris-warah di Hariraya Korban tidak ghairah dan rancak macam Aidil-Fitri. Hanya dua buah rumah saja kami ziarah. Rumah waris terdekat yang tertua. Seorangnya, bapa saudara sebelah Yang Tersayang di Jalan Reko, Kajang. Seorang lagi, tinggal di Sungai Ramal ialah kakak saya yang sulung. Sudah pencen belaka. Tapi masih aktif bangat dalam NGO dan kerja sosial yang lain.

Petang raya, dua jam lepas solat Jumaat, Pak Jamal dari Sungai Tangkas berkunjung bersama familinya. Berjamulah kami sup gear box dan gulai daging korban. Lepas berjemaah Asar, kami konvoi ke Jalan Reko. Kunjungi rumah Ustaz Weil. Panggilan yang lain untuk beliau ialah Tokki Janggut - bagi yang kecil-kecil. Manakala gelaran ‘Ayah Ngah’ untuk yang berpangkat anak saudara.

Bapa saudara Yang Tersayang ini seorang ilmuan. Lama mengaji di Timur Tengah. Sambung pengajian sarjana di London pertengahan 80-an. Pernah kerja dengan OIC. Fasih bahasa Arab. Reti bahasa Orang Putih. Bidang kepakarannya sejarah dan tamadun Islam. Pernah jugak menerajui sebuah kolej agama, yang kini sudah berubah fizikal dan nuraninya menjadi sebuah universiti di Gong Badak, Ganu.

Setelah bersalaman, membetulkan duduk di kusyen yang empuk, dan memerhatikan kesediaan dan kesantaian orang-orang dewasa yang menghuni di ruang tamu, saya mengungkitkan musykil. Mahu menggamit minat ilmuan yang masih segak, penampilan macam tok Arab, walaupun sudah hampir tujuh puluh lima usianya.

“Boleh tanya Ayah Ngah. Pakar sejarah Islam. Mesti tau nih!” Saya menimbulkan teka-teki sambil pandang sekilas kepada Ustazah Manisah. Lulusan al-Azhar, punyai sarjana dari UM, dah hampir dua puluh lima tahun mengajar bahasa Arab di sebuah pusat matrikulasi.

Dalam ayat yang tergantung itu, maknanya tetap bisa ditangkap oleh ustazah yang pandai bergaya macam selebriti (memang wanita anggun ini serupa rupa parasnya dengan seorang artis terkenal, yang kini punyai grup sendiri menyanyikan lagu-lagu ketuhanan), dan mudah mengukirkan kuntuman senyum.

Sebenarnya, sebelum solat Asar lagi, lepas pekena sup gera box dan gulai daging korban, kami sudah bersembang tentang musykil yang saya ungkapkan kepada Ustaz Weil itu. Tercetus kerana sekeping kad jemputan majlis perkahwinan anak jiran tetangga.

Yang menjadi pokok bicara ialah doa yang tertulis di atas kad jemputan yang direkabentuk macam buku passport dan tiket kapal terbang itulah. Sudah beberapa kali saya menerima kad majlis kahwin yang tertulis doa sebegitu. Sebelum ini tidak menjadi bahan sembang. Tapi dah nampak macam nak jadi satu trend, dan macam sudah diterima seadanya oleh orang muda-muda, terasa pulak mahu mencari pencerahan. Mahu tahu yang betul dan benar. Agar anak-anak muda tahu tentang yang hak dan batil!

Lantas sembang-sembang sebelum Asar di kediaman kami, dan dilanjutkan hingga menjelang Maghrib di rumah Ustaz Weil itu, sengaja dibangkitkan di tengah-tengah kehadiran orang-orang muda. Anak-anak saya campur anak gadis Pak Jamal, semuanya lima orang. Sengaja disebut dan dibahas di depan mereka. Moga-moga mereka faham dan akur dengan bicara ilmuan seperti Ustaz Weil.

Doa yang dimaksudkan itu ialah untuk kebahagiaan bakal pengantin, yang sebegini ungkapannya:

“Ya, Allah! Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam & Hawa, Yusuf & Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadihah!“
“Ya, Allah! Kami memohon restuMu berkatilah majlis ini dan semoga ianya berjalan dengan lancar dan sempurna sepertimana yang Engkau kehendaki dan semoga jodoh perkahwinan ini berkekalan sehingga ke syurga kelak!”


Tentang ‘Yusuf dan Zulaikha’ itulah yang menjadi inti perbualan. Anak-anak gadis kami benar-benar menyangka kisah Yusuf dan Zulaika adalah lambang cinta yang agung. Mereka menyangka percintaan itu berakhir ke pelamin dan kekal bahagia di syurga!

Terkejut besar mereka apabila dikatakan itu ‘tidak benar dan tidak pernah berlaku’.

Hakikatnya, doa tertulis di kad kawin itu salah! TIADA PERCINTAAN TERBENIH DAN TERZAHIR ANTARA YUSUF DAN ZULAIKHA!

Kerana latar pendidikan non pengajian Islam, maka tidak memberikan saya lesen autoriti dalam bab-baba agama. Sebab itulah ketika di kediaman Ustaz Weil, perkara itu diungkitkan menjadi mula bicara ziarah petang itu. Supaya anak-anak bisa mendengar yang ‘benar dan betul’ daripada seorang yang arif tentang sejarah dan tamadun Islam.

Saya perturunkan intipati bicara ustaz yang luas percampuran sosialnya, dan tinggi pula ilmunya itu:-

1. Tiada nas (hadis serta al-Quran) menyatakan wujudnya pertalian cinta antara Yusuf dan Zulaikha.
2. Tidak ada catatan dalam mana-mana kitab sejarah Islam yang muktabar mengenai kisah cinta atau perkahwinan kedua-duanya.

Ustaz Weil menyimpulkan hujahannya dengan membawa suatu peristiwa pertemuannya (bersama beberapa rakan yang lain) dengan ulamak tersohor Dr Yusof al-Qaradawy. Dalam pertemuan itu, diusulkan perkara yang serupa kepada ilmuwan yang amat hebat itu. Tentang percintaan Yusuf dan Zulaikha itulah serta doa yang sudah jadi lazim tercetak di kad jemputan dan biasa pula dibacakan di majlis perkahwinan. Kata Ustaz Weil, jawapan yang diberikan Dr Yusof al-Qadarawy mudah saja.

Begini kata ilmuwan tersohor itu, “Tak usahlah berdoa begitu!”

Selepas cuti AidilAdha, dan anak-anak sudah kembali ke kampus, saya mentelaah tiga kitab tafsir al-Quran karangan Sayyib Qutb, Ibnu Katsir, dan Hamka. Saya tumpukan hanya kepada surah Yusuf, dan spesifiknya kepada peristiwa ‘Godaan Zulaikha’. Saya dapati dalam kupasan ketiga-tiga ulamak itu, tidak disebut apa-apa tentang percintaan Yusuf dan Zulaikha. Tidak juga dicatat tentang perkahwinan antara kedua-duanya.

Yang disebut ialah tentang:-

1. Zulaikha, isteri pembesar negeri yang mabuk dek nafsu syahwat, memaksa Nabi Yusuf berzina dengannya.
2. Nabi Yusuf berdoa kepada Allah supaya dia dipenjarakan. Sebagai langkah menyelamatkan diri daripada fitnah dan godaan Zulaikha.
3. Pertembungan antara keimanan (Yusuf) dan kekufuran (Zulaikha). Keimanan yang teguh mengatasi kekufuran.
4. Nabi Yusuf tidak pernah bercinta dengan Zulaikha! Hati mereka tidak pernah bersatu!

Lantas, bagaimana mungkin segelintir masyarakat Islam di Tanah Bonda ini berdoa mohon Allah ‘satukan hati mereka seperti disatukan hati Yusuf dan Zulaikha?’ Dari mana datangnya idea nakal untuk berdoa seperti itu? Sumber palsu mana yang digunakan? Siapa pula tokguru yang mengajar doa sesat ini?

Lalu, doa minta ‘disatukan seperti Yusuf dan Zulaikha’ itu jadi tak betul kerana berasaskan kefahaman yang songsang. Jika dilafaz jugak, maka jadilah ia doa ‘mohon kemudaratan’ (zina dan fitnah) dan minta termasuk golongan yang kufur (seperti Zulaikha)!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
____________________________

rujukan kitab:
1. Fi Zilalil Quran karangan Sayyid Qutb, Jilid 9
2. Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 4
3. Tafsir Al-Azhar karangan Hamka, Jilid 5

Khamis, 25 Oktober 2012

COMEL SEGHOTI KALU GANU TIRU KELATE JAR!


Rabu, 8 Zulhijjah 1433.
Singgah di beberapa kedai barangan logam (kebalo) di Bangi. Nak cari kertas pelekat lalat. Musim hujan panas ni, lalat banyak benar bermain di rumah. Ada jenis laju, terbang siur-siur. Nak tebah payah kena. Stok kertas tu tinggal satu saja. Kena beli jugak. Mudah guna untuk perangkap dan nyah lalat sekaligus.

Sekali terap di atas meja makan, senang-senang melekat tiga puluh lalat di situ. Teknologinya mudah saja. Gam diselek di atas sekeping kertas A4. Diselek bersekali butiran halus sisa ikan masin. Buka saja lipatannya, bau busuk cepat menusuk hidung. Murah, dan cukup berkesan.

Kalau ditabur cebisan belacan di atas, lagi kuat dorongan untuk lalat terbang menggila dan hinggap di kertas maut itu. Gerenti banyak lalat mati keras di situ.
Rasa-rasanya sudah seminggu taman kami diserang lalat. Sebabnya tiada lain. Kira-kira 400 meter dari taman kami, berdekatan tebing Sungai Ramal, dah jadi kawasan buangan sampah.

Di Kampung Sungai Ramal ni, dah jadi lumrah, papan iklan dicucuk bersebelahan tanah kosong. Tuan empunya benarkan tanahnya jadi tempat buangan bermacam-macam sisa – konkrit, kayu-kayan, dan sampah-sarap.

Maka jadilah kawasan itu tempat lalat membiak. Kawanan monyet dan sekumpulan anjing liar tumpang cari rezeki. Kadangkala beberapa insan pun turut bersaing. Cari apa-apa barangan terpakai dan terbuang yang boleh digunakan lagi. Mungkin untuk kegunaan sendiri. Mungkin untuk dijual murah-murah selepas dibersihkan dan diperbaiki.

Melepasi seksyen lapan Bandar Baru Bangi, sebelum masuk sempadan Sungai Ramal Dalam, masih punyai banyak masa untuk singgah pulak di kebalo yang keempat. Teringat mahu beli tiga batang kayu dua kali dua. Nak buat pengadang di bawah pintu pagar yang renggang. Selalu sangat anjing liar menyusup malam-malam buta. Nak digomol kucing yang tidur di kaki lima belakang dapur.

Tauke kebalo menyapa ketika saya menjenguk-jenguk di tempat simpanan kayu. Kerana dia menegur dalam loghat Kelate, maka saya jawab ikut ‘eghe’ dan lengguk dia.

Tak sukar nak ajuk slang Kelate. Sewaktu di SESMA (Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud) ramai jugak budak Besut duduk mengaji sekali. Huni satu domitari. Belajar dalam satu kelas. Ada seorang dua yang jadi ‘Gu’ selama lima tahun di SESMA. Kecek Kelate bukan masalah.

Namanya Redzwan. Panggilan manja oghe Kelate tentunya ‘Where’.

Dok berapa lama duk kecek-kecek tu, dia tanya saya, “Demo orghe mano?”
Terus dengan bangga saya pun royak, “Ganu Kite!”
Redzwan kerinsing. “Patut kecek dok original. Oghe Kelate kecek pekat lagi,weh!”

Lama jugak duk sembang dengan tauke kebalo tu. Sentuh sikit-sikit bab politik dan niaga. Nampak dia suka sembang dengan saya.

Ugh, oghe Kelate ni tabiat macam Cine. Kalau kita kecek ikut bahasa dia, mesranya bertambah-tambah. Beli kayu (dua kali dua inci, panjang enam kaki tiap satu), dapat percuma paku tiga inci serajut!

Masuk bab bola, terus naik semangatnya. Nampak bangga seghoti dia.

Saya pun bakar semangatnya. “Kelate baguh seghoti. Ganu jer yang dok ceredik. Ambik jurulatih hok orang toksir. Habis kucar-lanar. Lawe dengan Kelate, malu besar. Kena bahe erne satu!”

Redzwan terkekeh-kekeh. Sambil tersengih dia menyampuk begini:

“Comel seghoti kalu Ganu ikut Kelate jar! Oghe politik jangan bui kucar bola. Kalu nak main politik jugak, taksoh duduk dalam persatuwe. Tengok Kelate. MB dok kacar hal bola. Patutnya oghe bule yang jadi ketuo. MB dok buat lagu tu. Tok Guru bui oghe UMNO yang jadi ketuo. Dok apo deghe lain-lain. Bule dengan kerih dok baloh hal bola! Kita bui oghe UMNO jadi ketuo bola. Sebab dia reti hal bola. Orang lama dale persatuwe. Dale FAM hebak jugok. MB dok capur. Kalu jurulatih degil, kito sepak teruh. Dokleh sipe lamo-lamo. oghe serupo tu reti buat kacar jah. Punoh habih. Tapi Ganu duk gi ambik jurulatih hok kita buwe. Ganu ambik hok oghe kita takboh. Hok tukang urus persatuwe pulok...kalu dok gheti, turun jar. Buke susoh benar. Bui oghe lain urus. Ni kerah pale. Dok gheti tapi toksir bui oghe lain urus. Tu yang jadi kucar-lanar!”

Saya ketawa kecil, dan ulangi kata-kata tauke kebalo itu tanda benar-benar setuju dengannya.

“TEPAT BENAR HOK DEMO ROYAK. COMEL SEGHOTI KALU GANU IKUT KELATE JAR!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.

Salam Aidil-Adha. Semoga pengorbanan kita dalam apa jua perkara dan pekerjaan, mendapat keredhaan-Nya. ameen.

______________________


foto 1: kebalo Redzwan di perbatasan Bangi dengan Sungai Ramal Dalam.
foto 2: tauke kebalo dengan poster kebanggaannya.
petikan akhbar: ketika 'bola Ganu' di tengah-tengah krisis.

Selasa, 23 Oktober 2012

nota aidil-adha (1): MOLEK BENAR AMALAN ORANG GANU & KELATE!

Program tv terkini yang menambat minat saya ialah Salam Baitullah di TV1. Visual yang terpapar mengembalikan kenangan-kenangan ketika berada di Tanah Suci pada 1431H. Segera terasa betapa nikmatnya mereka yang sedang beribadat di Kota Suci Mekah, yang sedang membilang jari untuk berangkat ke Arafah. Sudah hampir amat dengan Hari Wukuf, yang merupakan detik amat penting dalam ibadah Haji.

Selain siaran terus dari Tanah Suci dan selingan yang lain (termasuk gelagat jemaah di Kompleks TH Kelana Jaya; imbauan warga emas yang pernah menunaikan Haji lama dulu; dan impian insan yang pertama kali akan terbang ke Madinah), yang menariknya Salam Baitullah itu ialah perbincangan mengenai ibadah itu sendiri. Beberapa 'pakar haji' hadir berbicara dengan pengacara Dr Reduan Tee Abdullah. Menghuraikan pelbagai perkara berkaitan falsafah, sejarah dan tatacara mengerjakan Haji.

Minggu lepas, ada seorang ustaz membandingkan antara Aidil-Fitri dengan Aidil-Adha. Disebutnya betapa Aidil-Adha itu lebih besar daripada Aidil-Fitri. Kerana sudah penghujung rancangan, ustaz berkenaan hanya menyebutnya sepintas lalu tanpa huraian.

Terasa sangat hampa. Hal yang penting itu, tidak upaya dihuraikan lebih lanjut kerana batasan masa.

Malam berikutnya pula, lain ustaz yang hadir, lain pula bicaranya. Kerana rasa soal itu tinggal tergantung, maka saya hubungi seorang waris terdekat, yang merupakan imam besar di sebuah masjid di IPTA. Kalau tak silap kiraan, sudah hampir dua puluh tahun dia jadi imam di situ. Kerap berkumandang di radio dalam program soaljawab agama, banyak tempat dia mengajar termasuklah untuk warga sebuah istana. Setiap minggu (Sabtu), rumahnya dikunjungi ramai, sudah banyak tahun menjadi tempat penduduk sekitar datang 'menadah kitab'.

Kerana sudah lama tak berbual dengannya, sambil-sambil bertanya khabar, saya usulkan musykil. Tentang perbandingan Aidil-Fitri dan Aidil-Adha yang diungkapkan seorang ustaz dalam tv.

Ini intipati huraian diberikan imam besar masjid sebuah IPTA itu.

Kedua-dua perayaan itu merupakan suatu keraian 'kemenangan' muslim.

Yang pertama itu kemenangan mengekang hawa nafsu setelah sebulan berpuasa. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Muslim merayakannya kerana berjaya melaksanakan dengan penuh jiwa raga Rukun Islam yang ketiga.

Perayaan yang kedua itu pula (pada 10 Zulhijjah) berlaku selepas Wukuf di Arafah. Sehari selepas detik kemuncak ibadah Haji. Pada hari itu dan tiga hari yang berikutnya (hari Tasyrik), umat Islam melakukan pula ibadah korban.

Ini bukan ibadah wajib tetapi dilaksanakan muslim yang mengerjakan Haji dan yang tidak menunaikannya. Korban juga tidak termasuk dalam perkara 'rukun' atau 'wajib' Haji. Tapi ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dilaksanakan oleh Nabi sewaktu menunaikan Haji (pertama dan terakhir pada tahun kesepuluh Hijrah) sebelum Baginda wafat.

Ketika hari Wukuf itu jugalah Rasululllah menyampaikan Khutbah Arafah yang tersohor itu.

Sewaktu berwukuf di kaki Jabal Rahmah, Baginda telah membacakan ayat ke-3 daripada surah al-Maidah yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu Agamamu, dan telah aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku rehdai Islam itu sebagai agam bagi mu."

Dalam konteks ayat ini, jika dikaitkan falsafah hidup seseorang Muslim, boleh dirumuskan bahawa menunaikan fardhu Haji itu merupakan suatu kesempurnaan nikmat Allah dan sebagai pelengkap 'rukun hidup' di dunia dan akhirat.

Lagipun, adakah waktu lain dalam hayat Muslim, seseorang itu menjadi tetamu Allah?

Berbalik kepada soal ibadah korban itu, ia disebut beberapa kali dalam al-Quran. Misalnya, dalam surah al-Baqarah dan surah al-Kautsar. Dalam al-Baqarah, ibadah korban disebut bersekali dengan pekerjaan Haji. Manakala dalam surah al-Kautsar pula ia disebut bersekali dengan ibadah solat.

Maksud surah itu begini: "Sesungguhnya (wahai Muhammad) kami telah mengurniakan kepadamu naikmat yang banyak. Maka dirikan solat dan lakukan korban. Sesunggunya orang yang membencimu, merekalah yang terputus (daripada nikmat Allah)". (al-Kautsar: 1-3)

Ibadah Haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan yang besar - masa, tenaga dan harta. Jemaah yang merantau jauh ke Arab Saudi, meninggalkan segala yang disayangi, keselesaan dan kemewahan untuk menyahut seruan Ilahi. Mematuhi pantang-larang dalam ihram dan menunaikan rukun serta wajib Haji itu dengan sempurna (dengan takwa dan iman)adalah suatu kemenangan. Tiada yang lain, 'hadiah' daripada-Nya ialah Haji Mabrur. Hadis Nabi* menyebut bahawa sesiapa yang memperoleh Haji Mabrur, tiada lain pula balasannya kecuali syurga! Malahan, Haji Mabrur itu juga merupakan suatu Jihad.

Kerana sudah agak lama menekap speaker telefon, telinga pun mulai terasa sedikit panas, dan tangan pun sudah lenguh, maka saya pun mencelahkan soal: "Rumusannya Syeikh...yang mana lebih besar? Aidil-Fitri atau Aidil-Adha?"

Imam yang begitu sopan bicaranya cuba menjelaskan kekaburan, tiba-tiba ketawa kecil.

Dalam nada bergurau dia berkata, "Sebenarnya, molek benar amalan Orang Ganu...dan Oghe Kelate. Sambut sungguh-sungguh Aidil-Adha. Jadi perayaan besar satu kampung. Nabi ada bersabda, bahawa Aidil-Adha itu adalah Yaumul Akbar! Maksudnya, hari yang besar!"

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.

_______________________
foto: di Padang Arafah - jemaah mohon keampunan dan keredhaan Allah.

Isnin, 15 Oktober 2012

SAHABAT DARI KANDANG KUDA (2)

(nota awal: sebagaimana dijanjikan, berikut sambungan catatan tentang kenangan mastautin di Darul Aman, yang membawa perkenalan saya dengan dua insan budiman - Pak Mat dan Pak Manaf. Yang lalu sudah menyebut sebab pertama kenapa saya boleh ingat jangka lamanya perkenalan dengan dua lelaki yang baik hati itu, yang saya anggap sudah macam waris yang dekat jugak. Kali ini kita kecek tentang yang kedua pulak.

Sebab Kedua: Syai, anak saya yang sulung, sudah cecah usia 22 tahun. Ini merupakan tanda ingatan kekal ikatan 'perwarisan' saya dengan Pak Mat dan Pak Manaf. Hari pertama Syai dilahirkan (di Pusat Pakar Utara, Alor Setar), kedua-dua sahabat itu datang berkunjung. Selepas bercakap ala kadar dengan saya, mereka nampak begitu ghairah mahu tengok bayi yang masih dijaga rapi di dalam wad. Selepas beberapa ketika menunggu di luar dinding kaca, hajat kedua-dua tercapai apabila jururawat mendukung Syai melepasi pintu. Dengan wajah riang Pak Mat dan Pak Manaf bergilir mendukung Syai sambil melafazkan iqamah, diikuti bacaan ayat-ayat suci (entah ayat apa tak menangkap di telinga saya). Kemudian Pak Mat mengepalai bacaan doa. Selepas anak kecil itu diserahkan kembali kepada jururawat, kami turun ke tingkat bawah, menuju kafeteria. Pekena teh tarik dan kopi panas sambil bersembang, sambil mengunyah karipap!

Saya tidak akan melupai peristiwa itu - hari, bulan dan tahunnya. Dua lelaki baik hati yang saya kenali tak sampai setahun, datang menziarah ketika Yang Tersayang masih dalam keuzuran melahirkan anak yang pertama. Pak Mat dan Pak Manaf yang bukan waris kami pun, gelagatnya macam ahli keluarga yang terdekat. Bahkan ketika jururawat bertanya siapa gerangan mereka, pantas sekali Pak Manaf menjawab sambil muncung ke arah Syai, "Atuk si kecil tu!"
Pak Mat segera menutup mulut menahan ketawanya berderai.

Antara kedua-duanya, walaupun badan Pak Mat tampak lebih tegap, tapi Pak Manaf itu yang lebih gedebe. Wajahnya pun nampak lebih bengkeng. Sewaktu pecah tembelang Skim Cepat Kaya Pak Man Telo, bekas tentera itu turut terkena. Dia kehilangan beberapa ribu ringgit duit pelaburan. Marah dek tertipu (pulangan tak dapat, wang lesap), Pak Manaf dan beberapa kawannya menjejak Pak Man Telo hingga jauh menyeberangi sempadan Siam.

Walaupun kedua-duanya bersahabat, dalam bab politik, ketara berbeza. Seorang menjulang keris, seorang lagi mengibarkan bulan yang mengambang.

Sewaktu singgah di Alor Setar pada hujung Mei lepas (cuti sekolah), kami sekeluarga sempat menziarah Pak Mat dan Pak Manaf. Ketika menunggu Pak Mat balik dari masjid, kami kunjungi rumah Pak Manaf. Selang dua pintu saja dari rumah Pak Mat.

Walaupun nampak agak uzur dek diabetes dan darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik, masuk bab politik, semangat askar pencen itu naik berkobar-kobar. Ghairah sekali Pak Manaf bercerita tentang Himpunan Hijau yang diadakan di Stadium Darul Aman.

Katanya, "Tok Guru mai lagi! Penuh stadium. Jenuh. Tak cukup tempat duduk. Kat atas padang sesak. Pak Manaf pi jugak. Budak-budak muda datang ambik. Depa tu semangat sungguh. Bawak pi Pak Manaf jumpa Tok Guru. Naik tangga pi salam. Jernih. Bersinar. Bersih sungguh mukanya. Dia senyum...tengur...tanya khabar. Lepas tu, dia doakan Pak Manaf. Kalau tengok ramainya orang malam tu, nampak-nampaknya, hijau menang lagi."

Tidak lama saya sembang politik dengannya. Pak Mat sudah menjenguk di muka pintu. Pelawa menjamu selera di rumahnya. Semasa makan, tiada langsung cerita politik timbul. Kedua-dua sahabat itu nampak mengelit dan mengelak apabila saya cuba memancing. Cepat-cepat mereka kalih topik. Tanya itu dan ini tentang anak-anak kami yang sudah sunti belaka.

Yang jadi tumpuan tentulah Syai. Nampak seronok sekali Pak Manaf ketika buka kisah yang berlaku hampir 23 tahun dulu. Ceria tergambar di wajahnya, gembira terpancar di matanya sewaktu bercerita tentang kelahiran anak kami yang sulung, dan kunjungan dua sahabat itu ke Pusat Pakar Utara pada 14 September 1990.

Syai kelihatan malu-malu mendengar kisah waktu kecilnya. Pak Mat hanya tersenyum. Pak Manaf terkekeh-kekeh.

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

__________________________________
foto: sekali imbas macam Mat Kilau! nampak bangga dan gembira sekali Pak Manaf ketika sembang dengan Syai.



Rabu, 10 Oktober 2012

SAHABAT DARI KANDANG KUDA (1)

Saya kenal kedua-duanya dah nak masuk hampir dua puluh tiga tahun. Mudah ingat tempoh itu kerana dua sebab.

Satu: Berkaitan hijrah saya ke Darul Aman pada hujung tahun 1989. Baru sebulan khidmat di Kampus Sintok, tangan saya dah mula sakit-sakit. Tambah sengsara apabila hujan mai, senaknya jadi lain macam. Lumur minyak panas dan urut tak surut sakitnya. Makin galak pulak senak dan berdenyut otot dan urat di birai pergelangan tangan belah kiri. Tangan yang patah waktu zaman remaja, sewaktu masih mengaji di Sekolah Rendah Kuala Bekah. Waktu itu DEB belum diperkenalkan lagi!

Dua tiga minggu jugak menanggung sakit yang tidak bisa dihilangkan dengan ubat-ubatan dari hospital, kecuali lega sementara menelan pil tahan sakit atau dicucuk saja dengan satu dos morphine (satu ampoule).

Waktu itu kami tiggal di Taman Mentaloon, Alor Setar. Hanya dua ratus meter saja dari rumah agam stail British kediaman rasmi Menteri Besar - Seri Mentaloon. Baru enam bulan naik pelamin. Masih dalam bulan madu, pak! Lantas jadi sukar dan amat terganggu kerana tangan jadi senak dan sakit-sakit tak mahu hilang-hilang.

Suatu hari, Yang Tersayang beritau seorang staf fisioterapi akan singgah menziarah selepas Isyak. Orang yang ditunggui itu datang bersama isterinya.

Badannya agak sasa, misai tebal, dan yang mahalnya dia mudah senyum. Tuturnya pekat loghat Kedah.

Setelah bertanya itu dan ini tentang kesakitan di tangan, dia pun mula mengurut. Huh, bukan di bahagian yang sakit saja, habis seluruh badan saya menerima urutannya. Tempat yang sakit paling akhir disentuhnya. Hampir sejam baru selesai dengan barutan di pergelagangan tangan, yang terisi dengan herba entah apa. Dipesan juga pantang-larang selama seminggu.

Sejak malam itu, hingga melepasi jauh Alaf Baru, syukur amat, tiada lagi sakit bekas patah di tangan datang mengganggu.

Namanya Pak Mat. Dia lelaki sasa yang tidak lokek menguntum senyum kepada siapa jua. Sejak malam itu,ikatan mesra antara kami dengan Pak Mat dan isterinya (Mak Yah)terjalin kukuh.

Waktu zaman pasukan bola Hijau Kuning jadi raja Piala Malaysia, sebahagian besar pemainnya ziarah rumah Pak Mat mahu diservis anggota badan. Urutannya memang istimewa. Bahkan dikhabarkan, lelaki budiman ini pernah dijemput memberikan servis kepada YB Menteri Besar.

Pak Mat yang bekerja sebagai pembantu am di Unit Fisioterapi Hospital Alor Setar ini bukan sekadar handal mengurut. Dia juga yang selalu jadi kepala menguruskan jenazah tidak dituntut waris di hospital itu.

Selain itu, jika ada kenduri-kendara di kawasan perumahannya di Mergong, dialah juga yang jadi kepalanya. Sembelih kerbau dan masak segala macam lauk-pauk cara kampungan akan dilakukan bersama seorang sahabatnya, Pak Manaf.

Ketika kami ke Alor Setar hujung September, kenduri kawin anaknya yang bongsu itu jadi matlamat utama. Sambil-sambil itu mahu jenguk Pak Mat dan Mak Yah, serta anak-anaknya yang kami kenal mesra belaka. Sambil-sambil itu ambil bajet masa menjenguk jugak Pak Manaf yang keuzuran.

Kedua-dua sahabat itu, masih tinggal di Perumahan Murah Mergong. Letaknya hanya beberapa rantai dari masjid. Hanya seberang jalan saja dari kampus lama Kolej Universiti Insaniah. Hanya sepuluh minit dari rumah agam Seri Mentaloon. Hanya lima minit dari bagunan gagah Kompleks Dewan Undangan Negeri, Darul Aman.

Perumahan Murah Mergung itu, awal-awal dulu dikenali sebagai 'Kandang Kuda'. Bentuk rumah teres itu sangat sederhana. Dilihat strukturnya dari sisi, memang umpama kandang kuda. Asal total biliknya hanya dua. Bilik air satu saja. Kalau duduk-duduk di ruang tamu, boleh nampak terus ke dapur. Ugh, perumahan dibangunkan untuk orang kurang berada dan tiada upaya material.

Pak Mat dan Mak Yah, masih macam dulu. Ceria dan peramah. Masih tidak lokek menyimpulkan senyuman. Pak Mat sudah lama pencen. Dah lebih dua belas tahun. Mak Yah pula dari dulu lagi adalah suri rumah.

Anak-anaknya yang sebelas orang itu punyai kerjaya yang baik-baik. Ada yang jadi guru. Anak lelaki yang nombor dua kerja pensyarah IPTA, kini bersiap-sedia nak buat PhD pula. Seorang yang perempuan jadi tauke chalet di Pantai Chenang, Langkawi.

Ah, ribut dan petir sedang menggila di Kajang! Sudah bergelap kami. Suis utama sudah tendang secara automatik. Petir memanah kuat sungguh.

Mungkin banjir lagi Bandar Kajang. Baru dua hari lepas Utusan Malaysia tunjuk gambar paras empangan di Selangor sudah susut. Nah, hujan dan petir datang sekaligus! Macam menyemburkan api amarahnya kepada akhbar perdana itu. Tak serik-serik menggomol kerajaan Selangor tentang isu air. Tapi tak mungkin akhbar itu akan paparkan gambar empangan yang kembali penuh dan air yang melimpahi tebing sungai-sungai sekitar Kajang!

Ugh, sudah melalut pula. Bateri notebook berbaki sepuluh peratus. Kena tinggalkan dulu alam siber.

'Sebab yang pertama', yang menjadi pendulu artikel ini sudah dicatat. Sebab kedua itu, esok atau lusa sahaja. Dalam hujan lebat dan petir ini, baiknya baca al-Mathuraat.

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi dan sambung bicara tentang 'Sahabat dari Kandang Kuda'.

__________________________
foto: anak bongsu Pak Mat. Ratu Sehari pada 29 September lalu. sempat saya mengusik, "Wow, macam Rozita Che Wan!" itu yang tergelecoh senyum di bibirnya!



Isnin, 8 Oktober 2012

BERTEMU MR BEAN DI DALAM SURAU!

Pertengahan minggu sudah saya kelik Ganu. Naik bas Ekspres Sani. Selesa guna servis ini kerana mudah akses dari rumah. Jaraknya dekat saja. Kira-kira lima belas minit saja ke Hentian Kajang. Mungkin tak sempat habis rokok sebatang jika disedut santai. Entahlah. Ukuran waktu ikut puntung ini saya tak tahu. Saya tak pernah hisap rokok, dan tidak tahu banyak perkara mengenainya.

Bas ekspres sekarang molek-molek dan selesa sungguh. Berbaloi dengan tambangnya. Ada pulak kusyen sorang-sorang. Lagi lega. Nak buat apa pun - ketik pad telefon, dengar radio, merayau alam siber guna galaxy tab, atau nak lelap awal dan berdengkur ikut gaya semberono - tidak akan ganggu sesiapa.

Pengalaman naik bas ulang-alik dari kampung ke Kotaraya KL sejak zaman sekolah di Alam Shah, Cheras hingga habis mengaji di kampus UM, beri pengajaran yang banyak. Satu yang terpenting ialah seboleh-bolehnya beli tiket kusyen solo. Kalau dapat tiket kusyen berkembar, banyaklah karenahnya nanti, terutamanya perjalanan malam. Jika 'pasangan sebelah' saiznya besar dan lebar daripada insan biasa, bukan saja jadi sukar nak tidur, nak keluar masuk pun jadi masalah jugak.

Malam itu, di barisan depan sebelah kanan duduk seorang ibu muda yang mendukung anak belum setahun usianya, bersebelahan seorang jejaka. Dalam hati sudah dapat meneka, sang pemuda akan berdepan dengan banyak masalah menempuh lapan jam kembara bas ke Darul Iman. Apa tidaknya, belum pun bas bertolak, si pemuda yang nampak budiman itu sudah mula terpaksa membantu wanita di sebelahnya. Sewaktu si ibu muda membancuh susu, sang pemuda yang berkumis jarang-jarang itu yang tolong dukung anaknya. Sambil mengoncang botol anaknya, si ibu menghimpit ke jendela, melambai-lambai ke arah seseorang di luar bas. Sesekali diagah anaknya seraya disebut, "Daddy tak boleh ikut. Baby jangan nangis. Baby mesti baik-baik dengan uncle ni!"

Ralit jugak diperhatikan gelagat sepasang penumpang yang baru saling mengenali ketika di dalam bas inilah. Sepanjang perjalanan ke Hentian Putra pula, beberapa kali jugaklah si pemuda tolong dukung anak kecil itu kerana sang ibu banyak pula perkara yang mahu dilakukannya. Termasuklah menukar pakaian anaknya dengan yang lebih tebal, menyusun semula lampin ke dalam beg yang lebih kecil, kembali mengemaskan ikatan ekor kudanya, dan tidak lupa bergayut pula di telefon!

Sewaktu bas berhenti di Hentian Putra, kira-kira sepuluh penumpang naik lagi. Seorang lelaki veteran duduk di kusyen solo sebaris dengan ibu muda dan 'pasangannya' pemuda berkumis nipis. Sebaik lelaki yang nampak veteran itu santai di kesyennya, pemuda kumis nipis bangun dan menyapa dengan sopan. Beberapa minit kemudian, si ibu muda itu serta anaknya bertukar tempat dengan lelaki veteran yang baik hati dan memahami.

Sebaik selesai 'kerja pindah' barangan si ibu dan anaknya ke kusyen lain, pemuda kumis nipis itu pun berlunjur di tempatnya. Selepas menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan, dia santai dan memejamkan mata. Barangkali lega sangat tu!

Setengah jam kemudian, bas belum bergerak. Pemandu sudah membebel. Seorang penumpang yang naik d Hentian Kajang belum kembali. Ikut pemandu itu, dia ke tandas. Sewaktu penumpang yang ditunggu sudah pun diam di tempatnya, terdengar soksek-soksek dua penumpang sebaris dengan saya. Rupa-rupanya penumpang yang dikatakan mahu ke tandas, sudah lajak pula melakukan solat Isyak di surau Hentian Putra! Ugh, kalau ada sepuluh macam ini, tergendala besar perjalanan malam itu.

Mungkin dia tidak biasa kembara dengan bas ekspres. Mungkin dia tidak tahu, sewaktu bas berhenti di R&R Temerloh bisa saja dibereskan kewajipan itu. Mungkin juga dia seorang yang amalkan tunai solat awal waktu. Sebab itu tidak dipedulikannya, asal ada ruang terus solat walaupun menyebabkan perjalanan tergendala. Mungkin betul jugak tindakannya itu, manalah tahu dia tidak terjaga sewaktu bas berhenti di tengah-tengah malam di R&R Temerloh, maka terlepaslah pula solatnya yang wajib!

Mujurnya, saya sudah menyelesaikan tuntutan yang wajib itu di Hentian Kajang lagi. Saya sampai 30 minit sebelum jam sembilan. Sudah lima belas minit masuk waktu Isyak. Jadinya, saya terus saja menunaikannya di surau stesen bas itu.

Sewaktu masuk, ada seorang lelaki berkopiah dan berjubah. Sedang ralit dia dengan telefonnya. Barangkali banyak sms mahu dihantarkan. Mungkin dia guna telefon pintar, lantas ralit pulak merayau-rayau alam siber. Saya berikan salam dia tidak menyahut. Kepala tidak diangkat. Seolah-olah saya yang berdiri dalam jarak satu meter daripadanya itu tidak wujud pun. Sungguhlah dia sudah hanyut di alam siber!

Ketika tahiyat akhir, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Kuat jugak. Nadanya dendangan Maheer Zain. Cepat dia menjawab. MasyaAllah. Suaranya lantang amat. Saya kira, boleh sahaja melantun ke luar beberapa meter. Hingga saya selesai berdoa pun, dan mula beredar, lelaki berkopiah dan berjubah itu masih belum habis sembangnya. Tidak berpaling pun dia kepada saya yang baru selesai solat. Dia bercakap seolah-olah tiada orang lain di dalam surau itu. Dia bercakap seolah-olah dia santai di kerusi rehat di laman rumahnya sendiri!

Sambil mengetatkan tali sandal, saya terpandang papan notis yang tertampal betul-betul di atas pintu surau.

Begini ditulis amaran di papan kecil itu: TIDAK DIBENARKAN MEMBAWA MASUK BEG, KASUT DAN MAKANAN.

Anehnya, di luar surau tiada jaga berkawal. Kabinet berkunci untuk simpan beg jugak tiada. Lantas bagaimana mahu ditinggalkan beg di luar surau itu? Tidak mungkinkah nantinya amat terdedah kepada liar mata maling? Tidakkah jadi habuan mudah kepada mana-mana bakal pencuri yang melintasi kawasan yang agak gelap itu?

Peliknya peraturan ini. Tapi lebih pelik lagi pengalaman bertemu lelaki berkopiah ketika solat di dalam surau tadinya. Lelaki yang lantang bercakap melalui telefon ketika orang lain sedang menunaikan solat fardhu.

Kalau di gereja, ketika orang lain kusyuk beribadat di situ, hanya seorang saja akan buat kacau. Tidak peduli gangguan kepada orang lain, dan tidak menghormati tempat ibadat. Tidak lain, itulah Mr Bean yang popular itu.

Jadinya, lelaki berkopiah dan berjubah yang lantang bersembang guna telefon ketika orang lain tunai solat fardhu di sebelahnya, serupalah dengan watak Mr Bean itu juga.

Ugh, malangnya saya, bertemu Mr Bean ketika beribadat di dalam sebuah surau!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

______________________________________

foto 1:
bas ekspres di stesen MPKT, Darul Iman. Kalau bertolak malam dari Hentian Kajang, jam lima pagi sudah tiba di sini.
foto 2: surau di Hentian Kajang. Waktu kita tak solat, Mr Bean tak ada pulak!









Selasa, 2 Oktober 2012

SYAITAN YANG MENYAPA DI WAKTU SUBUH!



Sabtu. Dua hari sebelum berakhir September.
Saya dan Yang Tersayang terbang ke Kepala Batas. Menghadiri kenduri kahwin seorang sahabat di Alor Setar.

Atas perkiraan lojistik, jam lima pagi kami sudah bertolak dari Bangi. Sampai di LCCT ngam-ngam azan Subuh kedengaran daripada IKIM fm. Kami terus daftar masuk di mesin automatik. Ketika sudah melepasi mesin imbas, saya diminta berundur. Kena buat sekali lagi. Tali pinggang mesti ditanggalkan. Dibubuh melingkar dalam kotak di sisi telefon. Entah apalah yang mahu dicari. Tak mungkin boleh disembunyikan apa-apa dalam tali pinggang yang tebalnya hanya 3mm. Nipis saja. Tak mungkin boleh diselitkan dadah atau senjata apa-apa.

Entahlah, saya tidak nampak apa lojiknya perlu ditanggalkan pengetat seluar itu. Jika saya memakai tali pinggang Haji, barulah rasa masuk akal peraturan itu. Sebab tali pinggang hijau yang banyak poket itu boleh disusup macam-macam di dalamnya.
Rasa-rasanya lebih baik diharamkan terus penumpang memakai apa-apa jenis tali pinggang pun. Pihak penguasa kena sedar. Banyak bahayanya. Boleh dijadikan senjata. Besi pencucuk di kepalanya itu tajam jugak. Boleh ditikam ke leher pramugari dan juruterbang. Kepalanya pula kadangkala lebar, kasar dan solid. Jika tali pinggang itu digunakan untuk menikam, memukul dan menjerut, memang berkesan.

Kepada para penguasa di lapangan terbang, siang-siang lagi perlulah diumumkan, haram dipakai tali pinggang dalam kapal terbang! Kena bubuh dalam bagasi yang masuk perut kapal terbang saja.

Jika tidak, peraturan tanggal tali pinggang depan ramai penumpang lain, boleh membawa malu. Malang boleh menimpa. Seluar yang longgar boleh terlondeh kerana tiada tali pinggang!

Sewaktu menyusup dan mengetatkan semula tali pinggang di seluar, giliran Yang Tersayang pula ditegur. Hairan saya. Tidaklah dia memakai tali pinggang. Rupa-rupanya, polis wanita yang duduk depan skrin beritau ada pisau lipat di dalam tas tangannya.
Polis itu mengambil sesuatu dari rak. Dia mengeluarkan sebilah pisau lipat pelbagai guna warna kemerahan. Digoyang-goyangkannya sambil bersuara tegas, bermuka serius.

Katanya, “Ada pisau macam ini! Buka handbag!”

Terpinga-pinga jugak dibuatnya. Terasa semua orang yang ada di situ memandang ke arah kami ketika Yang Tersayang mengeluarkan satu persatu barangan daripada tas tangan.
Memang sah tidak ada senjata yang dicari itu. Tapi polis wanita tadi tak puas hati. “Saya gerenti ada!” Dengan muka bertambah tahap seriusnya dia bangkit. Dimasukkan semula tas tangan warna hijau daun pisang itu di konveyer mesin imbas. Kami sama-sama menjenguk. Tiada pun imej macam pisau lipat pelbagai guna yang disangsikan itu.

Polis wanita yang sudah mencantum itu mengalih-ngalih pula segala barangan yang sudah selerak di atas meja. Dia segera mengangkat objek putih bentuknya macam tumb-drive. Sebaik dicabutnya bahagian depan, cepat tersembul kepingan kecil warna hitam. Terkejut sungguh dia. Terloncat istighfar daripada bibirnya. Objek macam tumb-drive itulah yang sebenarnya dia cari. Sekali imbas memang macam bentuk pisau lipat.

Yang Tersayang bersuara perlahan, “Itu stamp pad saya. Cop rasmi pejabat.”

Polis wanita itu tidak berkata apa-apa. Dia buat-buat tidak tahu saja ketika segala barangan kecil besar yang diselerakkan tadi kembali ke dalam tas tangan. Malu sebab tersilap tuduh atau memang tabiatnya macam itu, tidaklah saya pasti.

Cuma yang pastinya, inilah budi bahasa sebahagian orang kita. Tersalah tuduh orang, tidak pula mahu menghulurkan kemaafan. Bukan saja tuduhan melulu kerana salah tengok skrin, malahan sudah menjadikan malu pula pada empunya diri yang dituduh.

Sebab mahu segera ke surau, dan penumpang yang tersekat di lorong kami itu sudah panjang, tidak jadi saya mahu bertanya polis wanita itu ke mana lesapnya pisau lipat yang dia yakin benar ada di dalam tas tangan Yang Tersayang. Mahu jugak saya minta kepastian. Mahu jugak rasanya nak malukannya seperti dia sudah malukan kami. Mahu saya tinggikan suara agar semua orang di situ bisa mendengarnya. Biar merah padam mukanya.

Tapi niat tak baik itu terbatal saja. Kedengaran bisikan yang mendesak agar segera ke surau saja. Yang Tersayang menarik pergelangan tangan saya. Dia mahu saya beredar.

Saya tahu maksudnya, walaupun tidak dizahirkan.

Sudah setengah jam masuk Subuh. Tak guna masa yang sangat berharga itu disia-siakan untuk memberikan malu kepada siapa-siapa. Tak ada sebiji zarah pun manfaat membalas perbuatan tidak sopan itu. Jangan dilayan nafsu amarah. Jangan dibiar syaitan terus membisik. Usah dihirau sapaan iblis itu. Halau saja syaitan yang datang mengganggu di waktu Subuh!

Lebih baik segera solat. Kemudian istighfar, takbir dan tahmid kepada Yang Maha Esa. Kita jangan terlalai. Kita jangan jadi nanar kerana kelakuan tidak sopan orang lain. Musibah itu sangat kecil jika dibandingkan dengan nikmat yang amat banyak dikurniakan Yang Maha Berkuasa kepada kita.

Maka segera terlintas ayat-ayat daripada surah al-Kautsar.

“Sesungguhnya engkau telah dikurniakan nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat dan laksanakan korban. Sesungguhnya orang yang membencimu, merekalah yang terputus (daripada nikmat Tuhan).” (maksud ayat 1-3).

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.