(nota awal: sebagaimana dijanjikan, berikut sambungan catatan tentang kenangan mastautin di Darul Aman, yang membawa perkenalan saya dengan dua insan budiman - Pak Mat dan Pak Manaf. Yang lalu sudah menyebut sebab pertama kenapa saya boleh ingat jangka lamanya perkenalan dengan dua lelaki yang baik hati itu, yang saya anggap sudah macam waris yang dekat jugak. Kali ini kita kecek tentang yang kedua pulak.
Sebab Kedua: Syai, anak saya yang sulung, sudah cecah usia 22 tahun. Ini merupakan tanda ingatan kekal ikatan 'perwarisan' saya dengan Pak Mat dan Pak Manaf. Hari pertama Syai dilahirkan (di Pusat Pakar Utara, Alor Setar), kedua-dua sahabat itu datang berkunjung. Selepas bercakap ala kadar dengan saya, mereka nampak begitu ghairah mahu tengok bayi yang masih dijaga rapi di dalam wad. Selepas beberapa ketika menunggu di luar dinding kaca, hajat kedua-dua tercapai apabila jururawat mendukung Syai melepasi pintu. Dengan wajah riang Pak Mat dan Pak Manaf bergilir mendukung Syai sambil melafazkan iqamah, diikuti bacaan ayat-ayat suci (entah ayat apa tak menangkap di telinga saya). Kemudian Pak Mat mengepalai bacaan doa. Selepas anak kecil itu diserahkan kembali kepada jururawat, kami turun ke tingkat bawah, menuju kafeteria. Pekena teh tarik dan kopi panas sambil bersembang, sambil mengunyah karipap!
Saya tidak akan melupai peristiwa itu - hari, bulan dan tahunnya. Dua lelaki baik hati yang saya kenali tak sampai setahun, datang menziarah ketika Yang Tersayang masih dalam keuzuran melahirkan anak yang pertama. Pak Mat dan Pak Manaf yang bukan waris kami pun, gelagatnya macam ahli keluarga yang terdekat. Bahkan ketika jururawat bertanya siapa gerangan mereka, pantas sekali Pak Manaf menjawab sambil muncung ke arah Syai, "Atuk si kecil tu!"
Pak Mat segera menutup mulut menahan ketawanya berderai.
Antara kedua-duanya, walaupun badan Pak Mat tampak lebih tegap, tapi Pak Manaf itu yang lebih gedebe. Wajahnya pun nampak lebih bengkeng. Sewaktu pecah tembelang Skim Cepat Kaya Pak Man Telo, bekas tentera itu turut terkena. Dia kehilangan beberapa ribu ringgit duit pelaburan. Marah dek tertipu (pulangan tak dapat, wang lesap), Pak Manaf dan beberapa kawannya menjejak Pak Man Telo hingga jauh menyeberangi sempadan Siam.
Walaupun kedua-duanya bersahabat, dalam bab politik, ketara berbeza. Seorang menjulang keris, seorang lagi mengibarkan bulan yang mengambang.
Sewaktu singgah di Alor Setar pada hujung Mei lepas (cuti sekolah), kami sekeluarga sempat menziarah Pak Mat dan Pak Manaf. Ketika menunggu Pak Mat balik dari masjid, kami kunjungi rumah Pak Manaf. Selang dua pintu saja dari rumah Pak Mat.
Walaupun nampak agak uzur dek diabetes dan darah tinggi yang tidak dikawal dengan baik, masuk bab politik, semangat askar pencen itu naik berkobar-kobar. Ghairah sekali Pak Manaf bercerita tentang Himpunan Hijau yang diadakan di Stadium Darul Aman.
Katanya, "Tok Guru mai lagi! Penuh stadium. Jenuh. Tak cukup tempat duduk. Kat atas padang sesak. Pak Manaf pi jugak. Budak-budak muda datang ambik. Depa tu semangat sungguh. Bawak pi Pak Manaf jumpa Tok Guru. Naik tangga pi salam. Jernih. Bersinar. Bersih sungguh mukanya. Dia senyum...tengur...tanya khabar. Lepas tu, dia doakan Pak Manaf. Kalau tengok ramainya orang malam tu, nampak-nampaknya, hijau menang lagi."
Tidak lama saya sembang politik dengannya. Pak Mat sudah menjenguk di muka pintu. Pelawa menjamu selera di rumahnya. Semasa makan, tiada langsung cerita politik timbul. Kedua-dua sahabat itu nampak mengelit dan mengelak apabila saya cuba memancing. Cepat-cepat mereka kalih topik. Tanya itu dan ini tentang anak-anak kami yang sudah sunti belaka.
Yang jadi tumpuan tentulah Syai. Nampak seronok sekali Pak Manaf ketika buka kisah yang berlaku hampir 23 tahun dulu. Ceria tergambar di wajahnya, gembira terpancar di matanya sewaktu bercerita tentang kelahiran anak kami yang sulung, dan kunjungan dua sahabat itu ke Pusat Pakar Utara pada 14 September 1990.
Syai kelihatan malu-malu mendengar kisah waktu kecilnya. Pak Mat hanya tersenyum. Pak Manaf terkekeh-kekeh.
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
__________________________________
foto: sekali imbas macam Mat Kilau! nampak bangga dan gembira sekali Pak Manaf ketika sembang dengan Syai.
UMNO dan PAS sebenarnya dah lama bersatu. Tak adapun mereka berperang dan berbunuhan.
BalasPadamwow, dalam benar falsafah sdr Zizie Ali tu :-)
BalasPadam