Karya

Karya

Rabu, 10 Oktober 2012

SAHABAT DARI KANDANG KUDA (1)

Saya kenal kedua-duanya dah nak masuk hampir dua puluh tiga tahun. Mudah ingat tempoh itu kerana dua sebab.

Satu: Berkaitan hijrah saya ke Darul Aman pada hujung tahun 1989. Baru sebulan khidmat di Kampus Sintok, tangan saya dah mula sakit-sakit. Tambah sengsara apabila hujan mai, senaknya jadi lain macam. Lumur minyak panas dan urut tak surut sakitnya. Makin galak pulak senak dan berdenyut otot dan urat di birai pergelangan tangan belah kiri. Tangan yang patah waktu zaman remaja, sewaktu masih mengaji di Sekolah Rendah Kuala Bekah. Waktu itu DEB belum diperkenalkan lagi!

Dua tiga minggu jugak menanggung sakit yang tidak bisa dihilangkan dengan ubat-ubatan dari hospital, kecuali lega sementara menelan pil tahan sakit atau dicucuk saja dengan satu dos morphine (satu ampoule).

Waktu itu kami tiggal di Taman Mentaloon, Alor Setar. Hanya dua ratus meter saja dari rumah agam stail British kediaman rasmi Menteri Besar - Seri Mentaloon. Baru enam bulan naik pelamin. Masih dalam bulan madu, pak! Lantas jadi sukar dan amat terganggu kerana tangan jadi senak dan sakit-sakit tak mahu hilang-hilang.

Suatu hari, Yang Tersayang beritau seorang staf fisioterapi akan singgah menziarah selepas Isyak. Orang yang ditunggui itu datang bersama isterinya.

Badannya agak sasa, misai tebal, dan yang mahalnya dia mudah senyum. Tuturnya pekat loghat Kedah.

Setelah bertanya itu dan ini tentang kesakitan di tangan, dia pun mula mengurut. Huh, bukan di bahagian yang sakit saja, habis seluruh badan saya menerima urutannya. Tempat yang sakit paling akhir disentuhnya. Hampir sejam baru selesai dengan barutan di pergelagangan tangan, yang terisi dengan herba entah apa. Dipesan juga pantang-larang selama seminggu.

Sejak malam itu, hingga melepasi jauh Alaf Baru, syukur amat, tiada lagi sakit bekas patah di tangan datang mengganggu.

Namanya Pak Mat. Dia lelaki sasa yang tidak lokek menguntum senyum kepada siapa jua. Sejak malam itu,ikatan mesra antara kami dengan Pak Mat dan isterinya (Mak Yah)terjalin kukuh.

Waktu zaman pasukan bola Hijau Kuning jadi raja Piala Malaysia, sebahagian besar pemainnya ziarah rumah Pak Mat mahu diservis anggota badan. Urutannya memang istimewa. Bahkan dikhabarkan, lelaki budiman ini pernah dijemput memberikan servis kepada YB Menteri Besar.

Pak Mat yang bekerja sebagai pembantu am di Unit Fisioterapi Hospital Alor Setar ini bukan sekadar handal mengurut. Dia juga yang selalu jadi kepala menguruskan jenazah tidak dituntut waris di hospital itu.

Selain itu, jika ada kenduri-kendara di kawasan perumahannya di Mergong, dialah juga yang jadi kepalanya. Sembelih kerbau dan masak segala macam lauk-pauk cara kampungan akan dilakukan bersama seorang sahabatnya, Pak Manaf.

Ketika kami ke Alor Setar hujung September, kenduri kawin anaknya yang bongsu itu jadi matlamat utama. Sambil-sambil itu mahu jenguk Pak Mat dan Mak Yah, serta anak-anaknya yang kami kenal mesra belaka. Sambil-sambil itu ambil bajet masa menjenguk jugak Pak Manaf yang keuzuran.

Kedua-dua sahabat itu, masih tinggal di Perumahan Murah Mergong. Letaknya hanya beberapa rantai dari masjid. Hanya seberang jalan saja dari kampus lama Kolej Universiti Insaniah. Hanya sepuluh minit dari rumah agam Seri Mentaloon. Hanya lima minit dari bagunan gagah Kompleks Dewan Undangan Negeri, Darul Aman.

Perumahan Murah Mergung itu, awal-awal dulu dikenali sebagai 'Kandang Kuda'. Bentuk rumah teres itu sangat sederhana. Dilihat strukturnya dari sisi, memang umpama kandang kuda. Asal total biliknya hanya dua. Bilik air satu saja. Kalau duduk-duduk di ruang tamu, boleh nampak terus ke dapur. Ugh, perumahan dibangunkan untuk orang kurang berada dan tiada upaya material.

Pak Mat dan Mak Yah, masih macam dulu. Ceria dan peramah. Masih tidak lokek menyimpulkan senyuman. Pak Mat sudah lama pencen. Dah lebih dua belas tahun. Mak Yah pula dari dulu lagi adalah suri rumah.

Anak-anaknya yang sebelas orang itu punyai kerjaya yang baik-baik. Ada yang jadi guru. Anak lelaki yang nombor dua kerja pensyarah IPTA, kini bersiap-sedia nak buat PhD pula. Seorang yang perempuan jadi tauke chalet di Pantai Chenang, Langkawi.

Ah, ribut dan petir sedang menggila di Kajang! Sudah bergelap kami. Suis utama sudah tendang secara automatik. Petir memanah kuat sungguh.

Mungkin banjir lagi Bandar Kajang. Baru dua hari lepas Utusan Malaysia tunjuk gambar paras empangan di Selangor sudah susut. Nah, hujan dan petir datang sekaligus! Macam menyemburkan api amarahnya kepada akhbar perdana itu. Tak serik-serik menggomol kerajaan Selangor tentang isu air. Tapi tak mungkin akhbar itu akan paparkan gambar empangan yang kembali penuh dan air yang melimpahi tebing sungai-sungai sekitar Kajang!

Ugh, sudah melalut pula. Bateri notebook berbaki sepuluh peratus. Kena tinggalkan dulu alam siber.

'Sebab yang pertama', yang menjadi pendulu artikel ini sudah dicatat. Sebab kedua itu, esok atau lusa sahaja. Dalam hujan lebat dan petir ini, baiknya baca al-Mathuraat.

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi dan sambung bicara tentang 'Sahabat dari Kandang Kuda'.

__________________________
foto: anak bongsu Pak Mat. Ratu Sehari pada 29 September lalu. sempat saya mengusik, "Wow, macam Rozita Che Wan!" itu yang tergelecoh senyum di bibirnya!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan