Karya

Karya

Rabu, 31 Oktober 2012

nota aidil-adha (2) TIADA CINTA ANTARA YUSUF & ZULAIKHA!

Menziarah rumah waris-warah di Hariraya Korban tidak ghairah dan rancak macam Aidil-Fitri. Hanya dua buah rumah saja kami ziarah. Rumah waris terdekat yang tertua. Seorangnya, bapa saudara sebelah Yang Tersayang di Jalan Reko, Kajang. Seorang lagi, tinggal di Sungai Ramal ialah kakak saya yang sulung. Sudah pencen belaka. Tapi masih aktif bangat dalam NGO dan kerja sosial yang lain.

Petang raya, dua jam lepas solat Jumaat, Pak Jamal dari Sungai Tangkas berkunjung bersama familinya. Berjamulah kami sup gear box dan gulai daging korban. Lepas berjemaah Asar, kami konvoi ke Jalan Reko. Kunjungi rumah Ustaz Weil. Panggilan yang lain untuk beliau ialah Tokki Janggut - bagi yang kecil-kecil. Manakala gelaran ‘Ayah Ngah’ untuk yang berpangkat anak saudara.

Bapa saudara Yang Tersayang ini seorang ilmuan. Lama mengaji di Timur Tengah. Sambung pengajian sarjana di London pertengahan 80-an. Pernah kerja dengan OIC. Fasih bahasa Arab. Reti bahasa Orang Putih. Bidang kepakarannya sejarah dan tamadun Islam. Pernah jugak menerajui sebuah kolej agama, yang kini sudah berubah fizikal dan nuraninya menjadi sebuah universiti di Gong Badak, Ganu.

Setelah bersalaman, membetulkan duduk di kusyen yang empuk, dan memerhatikan kesediaan dan kesantaian orang-orang dewasa yang menghuni di ruang tamu, saya mengungkitkan musykil. Mahu menggamit minat ilmuan yang masih segak, penampilan macam tok Arab, walaupun sudah hampir tujuh puluh lima usianya.

“Boleh tanya Ayah Ngah. Pakar sejarah Islam. Mesti tau nih!” Saya menimbulkan teka-teki sambil pandang sekilas kepada Ustazah Manisah. Lulusan al-Azhar, punyai sarjana dari UM, dah hampir dua puluh lima tahun mengajar bahasa Arab di sebuah pusat matrikulasi.

Dalam ayat yang tergantung itu, maknanya tetap bisa ditangkap oleh ustazah yang pandai bergaya macam selebriti (memang wanita anggun ini serupa rupa parasnya dengan seorang artis terkenal, yang kini punyai grup sendiri menyanyikan lagu-lagu ketuhanan), dan mudah mengukirkan kuntuman senyum.

Sebenarnya, sebelum solat Asar lagi, lepas pekena sup gera box dan gulai daging korban, kami sudah bersembang tentang musykil yang saya ungkapkan kepada Ustaz Weil itu. Tercetus kerana sekeping kad jemputan majlis perkahwinan anak jiran tetangga.

Yang menjadi pokok bicara ialah doa yang tertulis di atas kad jemputan yang direkabentuk macam buku passport dan tiket kapal terbang itulah. Sudah beberapa kali saya menerima kad majlis kahwin yang tertulis doa sebegitu. Sebelum ini tidak menjadi bahan sembang. Tapi dah nampak macam nak jadi satu trend, dan macam sudah diterima seadanya oleh orang muda-muda, terasa pulak mahu mencari pencerahan. Mahu tahu yang betul dan benar. Agar anak-anak muda tahu tentang yang hak dan batil!

Lantas sembang-sembang sebelum Asar di kediaman kami, dan dilanjutkan hingga menjelang Maghrib di rumah Ustaz Weil itu, sengaja dibangkitkan di tengah-tengah kehadiran orang-orang muda. Anak-anak saya campur anak gadis Pak Jamal, semuanya lima orang. Sengaja disebut dan dibahas di depan mereka. Moga-moga mereka faham dan akur dengan bicara ilmuan seperti Ustaz Weil.

Doa yang dimaksudkan itu ialah untuk kebahagiaan bakal pengantin, yang sebegini ungkapannya:

“Ya, Allah! Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam & Hawa, Yusuf & Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadihah!“
“Ya, Allah! Kami memohon restuMu berkatilah majlis ini dan semoga ianya berjalan dengan lancar dan sempurna sepertimana yang Engkau kehendaki dan semoga jodoh perkahwinan ini berkekalan sehingga ke syurga kelak!”


Tentang ‘Yusuf dan Zulaikha’ itulah yang menjadi inti perbualan. Anak-anak gadis kami benar-benar menyangka kisah Yusuf dan Zulaika adalah lambang cinta yang agung. Mereka menyangka percintaan itu berakhir ke pelamin dan kekal bahagia di syurga!

Terkejut besar mereka apabila dikatakan itu ‘tidak benar dan tidak pernah berlaku’.

Hakikatnya, doa tertulis di kad kawin itu salah! TIADA PERCINTAAN TERBENIH DAN TERZAHIR ANTARA YUSUF DAN ZULAIKHA!

Kerana latar pendidikan non pengajian Islam, maka tidak memberikan saya lesen autoriti dalam bab-baba agama. Sebab itulah ketika di kediaman Ustaz Weil, perkara itu diungkitkan menjadi mula bicara ziarah petang itu. Supaya anak-anak bisa mendengar yang ‘benar dan betul’ daripada seorang yang arif tentang sejarah dan tamadun Islam.

Saya perturunkan intipati bicara ustaz yang luas percampuran sosialnya, dan tinggi pula ilmunya itu:-

1. Tiada nas (hadis serta al-Quran) menyatakan wujudnya pertalian cinta antara Yusuf dan Zulaikha.
2. Tidak ada catatan dalam mana-mana kitab sejarah Islam yang muktabar mengenai kisah cinta atau perkahwinan kedua-duanya.

Ustaz Weil menyimpulkan hujahannya dengan membawa suatu peristiwa pertemuannya (bersama beberapa rakan yang lain) dengan ulamak tersohor Dr Yusof al-Qaradawy. Dalam pertemuan itu, diusulkan perkara yang serupa kepada ilmuwan yang amat hebat itu. Tentang percintaan Yusuf dan Zulaikha itulah serta doa yang sudah jadi lazim tercetak di kad jemputan dan biasa pula dibacakan di majlis perkahwinan. Kata Ustaz Weil, jawapan yang diberikan Dr Yusof al-Qadarawy mudah saja.

Begini kata ilmuwan tersohor itu, “Tak usahlah berdoa begitu!”

Selepas cuti AidilAdha, dan anak-anak sudah kembali ke kampus, saya mentelaah tiga kitab tafsir al-Quran karangan Sayyib Qutb, Ibnu Katsir, dan Hamka. Saya tumpukan hanya kepada surah Yusuf, dan spesifiknya kepada peristiwa ‘Godaan Zulaikha’. Saya dapati dalam kupasan ketiga-tiga ulamak itu, tidak disebut apa-apa tentang percintaan Yusuf dan Zulaikha. Tidak juga dicatat tentang perkahwinan antara kedua-duanya.

Yang disebut ialah tentang:-

1. Zulaikha, isteri pembesar negeri yang mabuk dek nafsu syahwat, memaksa Nabi Yusuf berzina dengannya.
2. Nabi Yusuf berdoa kepada Allah supaya dia dipenjarakan. Sebagai langkah menyelamatkan diri daripada fitnah dan godaan Zulaikha.
3. Pertembungan antara keimanan (Yusuf) dan kekufuran (Zulaikha). Keimanan yang teguh mengatasi kekufuran.
4. Nabi Yusuf tidak pernah bercinta dengan Zulaikha! Hati mereka tidak pernah bersatu!

Lantas, bagaimana mungkin segelintir masyarakat Islam di Tanah Bonda ini berdoa mohon Allah ‘satukan hati mereka seperti disatukan hati Yusuf dan Zulaikha?’ Dari mana datangnya idea nakal untuk berdoa seperti itu? Sumber palsu mana yang digunakan? Siapa pula tokguru yang mengajar doa sesat ini?

Lalu, doa minta ‘disatukan seperti Yusuf dan Zulaikha’ itu jadi tak betul kerana berasaskan kefahaman yang songsang. Jika dilafaz jugak, maka jadilah ia doa ‘mohon kemudaratan’ (zina dan fitnah) dan minta termasuk golongan yang kufur (seperti Zulaikha)!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
____________________________

rujukan kitab:
1. Fi Zilalil Quran karangan Sayyid Qutb, Jilid 9
2. Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 4
3. Tafsir Al-Azhar karangan Hamka, Jilid 5

4 ulasan:

  1. Terbaik!!. Ambe lama doh dok puas hati dgn kad jemputan camtu. Tiap kali terima mesti beleber depan bini: "Bila pulok Nabi Yusof nge zulaikha bercinta?"

    BalasPadam
  2. terima kasih banyok2 sdr Zizie Ali sbb jenguk blog kita & sudi beri komen. harap2 beleber depan bini tu bukan sebab lain. orang lelaki kadangkala ada banyak muslihat, macam kata PRamlee, beleber 'ada makna tu'. maaf. gurau saja. tapi betul seghoti kata tuan itu. dah hijau berlumut hal ni (Yusuf & Zulaikha) jadi 'betul & dipercayai benar'. tapi benda2 macam ni terjadi kerana silap orang kita jugak. rajin 'menadah kitab' tapi tak guna akal untuk ambil iktibar. yang parahnya, duk pergi faham ikut lain. tokguru tafsir lain, kita maksud lain. gamaknya, kalau kita doakan pengantin macam itu, agak2nya berdosa ke tidak?

    BalasPadam
  3. mencelah skit kisah nabi yusof ni..pernah diceritakan bahawa suami zulaikha tu tiada anunya (dikasi)..dan zulakha adalah perempuan dara yang jadi tidak siuman kerana asyik teringatkan yusof.. agaknya itulah sebab surah yusof ayat 4 dalam alQuran, selalunya dirujuk oleh tok bomoh untuk jampi pengasih yang berkesan ..hehe

    -aku anonymous-

    BalasPadam
  4. wow, aku anonymous! macam dah biasa praktik jer :-)

    BalasPadam