Karya

Karya

Jumaat, 7 Disember 2012

APABILA MELAYU GHAIRAH MAHU BERPERANG!

Dalam tempoh dua minggu ini, terjadi perhimpunan dua kabilah besar orang Melayu. Masing-masing sudah mengisytiharkan 'perang sudah bermula' atas dasar benar dan betulnya 'perjuangan kabilah mereka'. Lawannya tiada lain jua, sama-sama Melayu belaka. Melayu sama-sama palu gendang dan laungkan kemarahan untuk 'berperang' dengan matlamat mahu menghancurkan sama-sama Melayu! Sebelum kita kembang bicara tentang keghairahan mahu cetuskan 'perang saudara' ini, marilah sama-sama kita telaah dulu secebis 'perjuangan dan peperangan' yang tercatat dalam kitab Hikayat Hang Tuah dan Sulatus-Salatin (Sejarah Melayu).

Peristiwa 1: Yang setia, dan yang durhaka

Dalam kitab Hikayat Hang Tuah, pertarungan yang tersohor tiada yang lain, Jebat bertikam dengan Laksamana. Para sarjana memberikan pelbagai tafsiran mengenai peristiwa itu. Ada yang melihat Jebatlah wira sebenar. Dia dikatakan wira rakyat yang berani bangkit menentang pemerintah yang zalim.

Maknanya, jantan seghoti pendekar terbilang itu kerana beraninya menyanggah Sultan tanpa bantuan atau sokongan sesiapa. Dia hanya berseorangan, dengan keris Taming Sari yang kononnya sakti serta kemahiran tinggi ilmu perang, tiada hulubalang yang berani mendepaninya.

Tetapi perjuangan solo menentang sistem feudalisme tanpa mendapat sokongan majoriti dua pertiga (hah!) rakyat jelata itu, akhirnya menyebabkan dia terkepung di istana yang disangkanya jadi penentu segala-galanya. Memang pusat kuasa berjaya dirampas. Sultan dan pembesar lari belaka. Keris sakti kemas tersisip di pinggang. Tapi tiada rakyat yang bangkit menyokong perjuangan itu.

Jebat hanya berjaya memiliki simbol kuasa (keris Laksamana dan istana sultan), tapi dia tidak upaya untuk mengubah feudalisme dan nilai-nilai yang tersangkut padanya. Dia tidak berjaya memenangi hati pembesar yang lain. Bahkan teman sepermainan dan seperjuangnnya - Lekiu, Kasturi, dan Lekir - teguh berdiri di belakang Sultan.

Memang betul Jebat bangkit menentang kezaliman yang menimpa Tun Tuah, akan tetapi kaedahnya yang tidak mengira siapa jua yang terkorban dalam perjuangannya itu, menyebabkan dia akhirnya keseorangan.

Apabila Tun Tuah kembali dan menamatkan 'kekuasan sementara' Jebat, feudalisme tidak berganjak. Tidak cacat. Tiada perubahan. Tidak berlaku reformasi. Tiada revolusi. Malahan feudalisme menjadi lebih kuat kerana tiada 'tokoh yang gagah berani dan tersohor' seperti Jebat untuk bangkit menyambung 'revolusi dan reformasi' yang dicanangkannya.

Selepas itu, berlaku juga beberapa peristiwa pecah amanah dan salahguna kuasa di kalangan pemimpin. Kerana rakyat jelata tiada ruang bersuara; tiada individu berwibawa tampil untuk jadi kepala; dan tidak wujud apa-apa pertubuhan atau 'parti' yang boleh main peranan sebagai pemerhati dan penegur kerajaan. Tercapailah hasrat pemerintah mahu rakyat jelata dan anggota kerajaannya menjadi sang setia yang buta hati, dan terencat mati akal budinya.

Lama selepas itu, yang akhirnya merampas Melaka dan meruntuhkan feudalisme (Kesultanan Melayu) ialah armada Portugis pada tahun 1511. Yang pegang jawatan laksamana sewaktu Melaka terjajah ialah Hang Nadim, (menantu Tun Tuah) yang pernah sangat dimurkai Sultan kerana pernah gagal melaksanakan perintah baginda dalam suatu misi ke luar negeri.

Sultan telah melantik individu yang tidak cekap untuk memimpin bala tentera Melaka. Amanah menjaga benteng negara diletak di atas bahu orang yang nyata tidak berkemampuan melaksanakan misi penting yang terdahulu!

Peristiwa 2: Perihal Fitnah dan Rasuah

Sebelum Melaka jatuh, kemakmuran dan kehebatannya masyhur di seluruh Nusantara. Waktu itu, yang sangat berpengaruh dalam kerajaan kerana bijaksananya ialah Bendahara Seri Maharaja. Laksamana Khoja Hasan itu pula sangat akrab dengan Sultan Mahmud. Manakala Pelabuhan Melaka (pusat aktiviti ekonomi) diuruskan Raja Mendelier, syahbandar yang sangat kaya. Saudagar yang ternama waktu itu ialah Nina Sura Dewana (digelar sebagai Penghulu Segala Saudagar).

Entah apa sebabnya, syahbandar dan saudagar besar itu telah berselisih faham. Diadukan perkara itu kepada Bendahara. Belum sampai waktu Bendahara membuat keputusan, Nina Sura Dewana secara senyap-senyap telah menghadiahkannya sepuluh kati emas. Dengan harapan Bendahara akan berpihak kepadanya. Hal itu diketahui oleh Si Kitul. Segera dikhabarkannya kepada Raja Mendeliar. Katanya, Bendahara dan Nina Sura mahu membunuh syahbandar itu.

Kerana terasa terhutang budi, Syahbandar melupuskan hutang Si Kitul padanya sebanyak sekati emas. Lekas-lekas dia berjumpa Laksamana Khoja Hasan. Disembahkan emas, pertama dan pakaian yang indah-indah. Kemudian, dalam keadaan laksamana terbeliak mata dan kemabukan melihat harta-benda yang banyak itu, dia beritau betapa Bendahara buat pakatan mahu derhaka. Katanya Bendahara nak gulingkan Sultan, mahu naik takhta! Akhirnya, atas perintah Sultan (yang tidak usul periksa),maka Bendahara dan familinya dihukum bunuh!

Nota Hujung: Perang Besar Zaman Kontemporari

Waktu berkelana di England kira-kira empat tahun di awal alaf baru, saya kerap jugak menghadiri program anjuran pertubuhan pelajar. Ada yang aktif sebagai 'cawangan' kepada parti di Tanah Bonda, dan ada hidup sebagai bahtera NGO. Dalam suatu pertemuan dengan seorang pegawai kanan kepada seorang menteri yang kanan, saya ungkit musykil tentang 'Perang Melayu 1998'. Saya minta jawapan mudah dan ringkas daripada beliau. Kira-kira begini katanya, "Bukan kerana sebab politik sangat pun. Perbalahan sesama kita itu, kerana tauke-tauke besar sudah berbalah. Tauke-tauke yang sokong ketua yang lain-lain dah berebut-rebut mahu makan lebih. Itu sebabnya. Melayu berbalahan kerana tauke-tauke berbalah!"

Nampak gayanya, watak-watak Bendahara Seri Maharaja, Laksamana Khoja Hassan, Raja Mendeliar, Si Kitul, Hang Nadim, dan Nina Sura Dewana bangkit kembali di zaman kontemporari ini. Sekali-sekala ternampak kelibat Jebat, tapi keris Taming Sari masih tersimpan dalam muzium. Gendang perang sudah dipalu. Melayu akan berperang lagi sesama Melayu!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
_______________________
foto: "Jebat & Tuah" - karya seni Tolahah Muda (exploreterengganu.blogspot.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan