Karya

Karya

Ahad, 30 Disember 2012

APABILA PM BERGESER DENGAN TIMBALANNYA!


Dekat-dekat nak habis dah tahun yang ‘Kiamat Tak Jadi Datang’ ni, nampak-nampaknya isu bahasa Orang Putih terus jadi drama bersiri yang mengghairahkan. Tidak tahu bila akan ketemu penyudahnya. Rumit dan panjang kemelut yang tercetus hasil suatu dasar di penghujung zaman Tun Mahathir (2003).

Bukan saja polemik di alam akademia terjadi, malahan bantahan pejuang dan pencinta Bahasa Melayu membukit jadi gelombang di jalanan. Sebahagian sarjana dan intelektual bahasa serta sastera Melayu menjadi peneraju gerakan memansuhkan PPSMI itu. Termasuk Sasterawan Negara A Samad Said yang turut menggulung ombak di jalanan, dan naik pentas politik melontarkan bangkangannya.

Terlapor juga tentang pertemuan para penjihad bahasa dengan Menteri Pendidikan waktu itu (anak PM yang ketiga). Tapi kerajaan tidak berganjak. Tsunami politik tahun 2008 yang menggoncang tampuk pemerintahan Negara itu pun tidak mengubah dasar berkenaan.
Kemuncak penentangan terhadap dasar ini, pada Mac 2009, SN A Samad Said yang menerajui Gerakan Mahsuhkan PPSMI (GMP) bersama kira-kira 8,000 demonstrator berarak ke Istana Negara.

Tiga tahun sebelum itu, episod yang sangat menarik berlaku apabila empat murid (seorang sekolah rendah, bakinya sekolah menengah) menyaman kerajaan pada 20 Jan 2006. Empat budak sekolah asalnya dari Perak memfail saman untuk mendapatkan perisytiharan Mahkamah Tinggi “bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak 2003, bercanggah dengan perlembagaan, tidak sah dan tidak berkesan”.
Selepas empat tahun isu PPSMI bertelagah di mahkamah, yang menyaman tewas. Pada 2010, hakim menjatuhkan hukuman: dasar PPSMI itu “tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan”.

Tapi keputusan mahkamah itu ternampak tidak relevan lagi. PPSMI sudah diumumkan pemansuhannya pada Julai 2009 oleh Menteri Pelajaran yang baru, yang jugak TPM. Maka disuratkan janji, betapa dasar itu akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Dengan tindakan itu, barulah kelihatan kemelut nak pilih bahasa untuk ajar sains dan matematik di sekolah itu terlihat seolah-olah akan selesai. Diperkenalkan kemudiannya dasar baru P&P bahasa di sekolah melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Antara teras pelaksanaan Pelan itu ialah untuk “Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris”. Dalam ungkapan yang lain, TPM menyebut pelaksanaan itu merupakan suatu usaha untuk ‘memperkukuhkan bahasa Inggeris dan memartabatkan bahasa Melayu’.

Kali ini, yang lantang membantah sudah terbalik. Bukan lagi sarjana dan cendekiawan pencinta dan penjuang bahasa Melayu. Tapi sebuah gerakan yang dikatakan mewakili ibu bapa yang prihatin akan nasib pendidikan anak-anak mereka. Kumpulan ini membantah keputusan kementerian pelajaran. Mereka mahu PPSMI dikekalkan. Mereka fikir penggunaan bahasa Inggeris menjamin mutu pendidikan untuk anak-anak.

Hatta suara tidak puas hati golongan yang lantang ini terdengar lagi selepas Pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia oleh PM. Mereka terus merungut melalui forum di pentas awam dan media. Tidak diketahui takat mana pengaruh dan impak kumpulan ini terhadap dasar bahasa yang diumumkan itu.

Tapi yang ketara, tindakan susulan telah diambil oleh pihak berwajib untuk ‘memperkukuhkan’ bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara. Antaranya diaturkan lawatan ke Australia. PM pergi, TPM pun pergi jugak. Tak tahulah kita apakah nawaitu ziarah ke Negara Kanggaru itu semata-mata kerana tujuan nak cari jalan jadikan anak-anak kita reti bahasa orang putih. Nampak keghairahan Kementerian Pelajaran nak ikut model Australia. Bahkan guru-guru dari situ pun dah ada yang datang ngajar di sekolah-sekolah terpilih di Tanah Bonda.

Ketika kementerian mengkaji dan menilai sesuai tidaknya model Australia itu, tuptup, skrip drama bahasa orang putih ini terpulas lagi. PM pulak umumkan nak bawa guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika! Bahkan bukan itu saja. Dimeterai pula MOU dengan sebuah universiti di New York dalam kerangka yang lebih besar. Bukan soal bahasa semata-mata.

Dikatakan model pendidikannya begitu berjaya dan sesuai amat untuk dilaksanakan di negara kita. Kononnya, jika digunakan model itu, terpelihara pendidikan anak-anak Tanah Bonda dari buaian sampai ke tahap graduasinya!

Tidak disebut pula di mana letaknya kedudukan bahasa Melayu yang mahu dimartabatkan itu. Tidak jugak tertunjuk bagaimana model pendidikan dari New York itu boleh serasi atau terserap ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, yang dibentangkan PM sendiri. Tidak dinyatakan apakah Pelan itu diasaskan kepada model dari New York itu?

Entah. Tidak terfikir kita dibuatnya.

Namun begitu, baru-baru ini, episod baru drama bersiri ‘Mai Perkasa Bahasa Orang Putih’ ni terpulas lagi. Subplot yang tak disangka-sangka (un-sangka-able) telah terjadi. Terlapor dalam media (20 Disember 2012), ketika mengunjungi New Delhi, PM umum betapa Malaysia berminat nak ambil guru Bahasa Ingggeris dari India!

PM dipetik berkata, "Salah satu cadangan yang saya bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada pagi tadi ialah untuk kita menerima sejumlah guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar kita di Malaysia...ia sebagai menokok tambah usaha yang kita jalankan dengan pihak Amerika Syarikat yang sudah menghantar sebanyak 75 guru dari sana untuk mengajar Bahasa Inggeris”.

Apa kata watak utama yang memegang kuasa di Kementerian Pelajaran?

"Kita akan teliti apakah guru bahasa Inggeris dari India ini sesuai, ada kelulusan Cambridge atau Oxford (universiti) misalnya, boleh mengajar dengan baik."

Itu merupakan reaksi TPM kepada kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu kajian mendalam dilakukan berhubung cadangan oleh PM nak ambil guru bahasa Inggeris dari India.

Ugh, ini betul-betul sudah ketara. PM dan TPM sudah bergeseran dalam isu P&P Bahasa Inggeris di sekolah!

Mengikut laporan media, Dato’ Bendahara mengatakan betapa rakan sejawatannya dari India itu sudah pun mengarahkan kementerian berkenaan di negaranya mengadakan perbincangan dengan kementerian yang serupa di negara kita. Malangnya, menteri yang menjaga hal ehwal pendidikan di Tanah Bonda nampaknya tidak pula segera mematuhi arahan yang berkenaan. Malahan mahu mengkaji dulu. Terasa timbul nada menyindir dan mencabar dalam reaksi balasnya!

Dah dekat-dekat Pilihanraya ke-13, isu bahasa jadi polemik lagi. Tapi kali ini bukan antara penjihad bahasa Melayu dengan golongan penyokong bahasa Inggeris. Kali ini, yang kelihatan bergeseran itu, Dato’ Bendahara sendiri dengan Timbalannya!

Cuma kita jadi hairan dan keliru dengan cadangan yang mencetuskan pergeseran itu. Setahu kita, India itu terkenal sejak dulu tempat sebahagian anak-anak muda kita pergi mengaji ijazah perubatan. Negara Shah Rukh Khan itu juga lazim menjadi rujukan dalam bidang perundangan.

Di zaman kolonial pula, jika tak cukup soldadu untuk berperang dengan anak pribumi yang bangkit menentang penjajah Inggeris, maka dari India jugaklah diangkut tambahan laskar, ubat bedil, senjata dan ubat-ubatan.

Selain itu, rempah-ratuslah yang menjadi antara barang dagangan utama yang dihantar ke Tanah Semenanjung.

Tidaklah kita terdengar (mungkin pengetahuan kita terhad) adanya anak-anak muda Malaysia dihantar ke mana-mana universiti di India semata-mata mahu mengaji bahasa Orang Putih. Malahan kawan-kawan kita yang dah ada sarjana dan Phd dalam bahasa Inggeris, yang kini duduk mengajar di IPTA dan IPGM, rata-ratanya mendapat didikan dari UK, New Zealand, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Sebabnya jelas. Guru pelatih yang major bahasa Inggeris dididik oleh penutur asal bahasa itu di negara tersebut dalam kerangka sistem pendidikan yang mantap dan teruji. Tiada lain tujuannya, untuk tingkat kemahiran, mantapkan ilmu, dan dapat pula menyelami budaya bahasa di negara mat salih itu. Tidak pernah kita tahu atau dengar adanya kenalan yang jadi pensyarah bahasa orang putih itu pernah mengaji di India dalam bidang bahasa Inggeris !

Kita tunggu episod baru. Terpulas lagi atau terlerai pergeseran itu, dan isu bahasa Inggeris ini menemui kedamaian.

Cuma kita musykil: Tidak gusarkah bergeseran secara terbuka begitu ketika PRU ke-13 dah dekat benar?

Dikhuatiri, "yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran"!

Kerana tunjang Pelan Pembangunan Pendidikan itu ada sebelas semuanya. Soal bahasa itu (Melayu dan Inggeris) satu daripadanya. Jika orang-orang yang pegang kuasa gaduh tarik tali kerana hal itu, apa jadinya nanti apabila mahu dilaksanakan baki sepuluh
yang lain? Atau bergeser itu hanya atas soal bahasa saja?

Agaknya, ke mana kompas akan dihala jika masuk bab penggunaan ICT. Ini tunjang Pelan Pendidikan yang ke-7: 'Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia'. Bahtera Kementerian Kewangan akan belayar ke India jugakkah?

Menarik seghoti ni. Mahu kita buat persediaan awal. Kot kot ada dana baru untuk pemuda-pemudi yang teringin buat ijazah, ngaji bahasa orang putih di New Delhi. Kita minat juga mahu hantar anak gadis ke sana jika ada skim sebegitu.

Angan-angan nak ikut sekali terbang ke situ. Tentunya, mahu bawa Yang Tersayang jugak. Mahu berdua-duaan hirup 'manggo lassi' yang ori, dan tangkap gambar depan Taj Mahal!

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.

____________
Nota: kutipan-kutipan kenyataan PM dan TPM dalam artikel ini serta angka & fakta diambil daripada Berita Harian online, Utusan Melayu online, dan Malaysiakini. Jika mahu yang original, rayau di internat saja :-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan