Maghrib, Sabtu 22 Disember. Sehari selepas Kiamat Tak Jadi.
Ketika kalimah doa baru dilafazkan separuh, loceng yang terlekat di dinding dingdong dua kali.
Dua minit kemudian, menyusul salam dua tiga kali. Tiada siapa memberikan respon. Tunggu doa tamat. Doa pun sudah menghampiri hujungnya.
Sebelum itu, ketika tengah berjemaah Maghrib, telefon yang terlupa diletak dalam mode senyap, menjerit tiga empat kali.
Tentunya insan yang sama berusaha untuk interaksi jugak-jugak.
Tengah bersalaman, ketukan bersiri singgah di daun pintu. Berselang-seli dengan ucapan salam.
Ney-Ney bingkas tanpa diminta. Segera pintu dibuka.
Rupa-rupanya Ustaz Weil. Dia singgah kerana sudah lama tak bertamu di rumah kami. Dinyatakan juga hasratnya nak ajak Syai, Ney-ney dan Dek-dek merayau di festival buku Big Bad Wolf.
Ustaz Weil ini cendekiawan yang lama menuntut di Mesir, mastautin hampir lima tahun di Exeter, dan pernah pula berkhidmat dengan OIC. Lama dia menjadi pensyarah di Fakulti Islam di sebuah IPTA. Pernah pula diberikan mandat menerajui sebuah kolej di Darul Iman yang kini dah naik taraf jadi Universiti. Minatnya terhadap ilmu memang tinggi. Perpustakaan di rumahnya termuat koleksi kitab Arab dalam pelbagai bidang ilmu. Kepakarannya sejarah dan tamadun Islam.
Kerana udah janji, malam itu Dek-dek sibuk di dapur menyediakan syawarma.
Lantas, berjamu kami dengan syawarma daging yang sedap baunya dan begitu enak rasanya.
Ustaz Weil yang gemarkan makanan Arab, mengunyah syawarma dengan berselera. Nampaknya menjadi sungguh resepi Dek-dek.
Sambil makan-makan, kami bersembang. Tentang buku yang dibeli di Big Bad Wolf, dan timbul jua soal politik.
Tiada lain yang lebih hangat. Isunya ditimbulkan kembali selepas 30 tahun. Maka saya pun ungkitkan musykil tentang suatu Amanat yang kembali dijadikan pertikaian. Saya fikir, cendekiawan seperti Ustaz Weil mesti boleh memberikan pandangan yang asli dan berbeza dengan yang terkinja-kinja bertempik-riuh di dada media.
Bak kata orang Ganu: Kena atah butir!
Betul sungguh. Musykil yang saya ungkit itu tertuju tepat pada orangnya. Pengalaman luas, jauh merantau, ilmu tinggi, dan kenalannya ramai di kalangan cendekiawan.
Antara yang menarik, intipati bicara Ustaz Weil ialah peristiwa di suatu forum waktu dia masih menjadi pensyarah IPTA. Waktu itu (tahun 80an), tiada halangan kepada mana-mana pemimpin pembangkang masuk kampus. Biasanya atas jemputan persatuan mahasiswa untuk sertai Forum Isu Semasa. Lazimnya, tak lain lagi, forum tentang politiklah! Forum terbuka untuk umum.
Pada malam itu, Ustaz Weil turut diundang sebagai ahli panel. Bersamanya ialah politikus gedebe yang kini jadi Ketua PERKASA. Seorang lagi, tiada yang lain, seorang TokGuru yang empunya Amanat itulah!
Ustaz Weil beritau, dia sentuh soal adab-adab berpolitik sesama Islam. Diungkitkan hal kesantunan menegur pemerintah yang sebangsa seagama. Ustaz Weil membawa kiasan tentang kaedah Nabi Musa berdepan dengan Firaun yang MahaZalim. Walaupun Firaun itu amat kejam dan sangat digeruni, namun tiada terloncat kata-kata kesat dan tidak terlafaz maki-hamun daripada mulut Nabi Musa. Insan budiman pesuruh Allah itu menyampaikan dakwahnya penuh berhemah. Walaupun mengetahui nyawanya terancam.
Selesai Ustaz Weil bicara, tiba pula giliran TokGuru memberikan pandangan. Dibidasnya pandangan yang diutarakan akdemikus itu. TokGuru mengatakan, sudah acap kali ditegur dan dinasihati baik-baik, tapi pemimpin yang ditegur itu degil. Tak makan nasihat. Kerana itu, sudah sampai tahapnya terpaksa digunakan kata-kata yang kasar dan nada yang keras! Cakap baik-baik pun, tak faham jugak! Ujar TokGuru lagi, insan seperti Ustaz Weil itu pulak, tidak memahami realiti politik. Kerjanya sebagai akademikus, meletakkannya dalam persekitaran serba selesa. Lagipun seperti lazim orang akademik sepertinya, Ustaz Weil dikatakan pandai berteori semata-mata. Bijak bicara ikut apa yang dibaca dalam buku saja!
Apa kata ahli panel yang sorang lagi? Politikus gedebe yang kini jadi Ketua PERKASA?
Dukacita. Saya tak tanya hal itu kepada Ustza Weil. Entahlah. Rasanya tak perlu tahu pun!
@@@@@@@@@@
Waktu muda-muda dulu, sewaktu masih mengaji di Universiti Malaya (1980an), pernah juga saya hadiri majlis TokGuru di kampus. Berlangsung di dewan kuliah Fakulti Undang-Undang, hanya tokoh dari Rusila itu yang menjadi pembicara. Topiknya tidak menyentuh soal politik. Ia berkaitan 'Sekularisme Dalam Perlembagaan Persekutuan'.
Semasa sesi soal jawab, seorang pelajar ungkit soalan kira-kira begini:
"Dalam sistem perundangan sekular di Malaysia, patutkan kita sebagai Muslim terus jadi loyar atau hakim? Kenapa kita perlu beri khidmat dalam sistem sekular dan kafir? Tidak berdosakah berbuat begitu? Menegakkan undang-undang kafir? Patutkah saya berhenti jadi student undang-undang sekular ini? Saya lulus STP dari sekolah agama. Patutkah saya ambil bidang lain saja?"
TokGuru dari Rusila itu dengan tenang menuturkan jawapan:
"Rugi kalau saudara buat begitu. Walaupun undang-undang kita sekular, walaupun undang-undang kita digubal orang-orang kafir, kita mesti belajar juga. Jangan berhenti. Ini undang-undang tertinggi di negara kita sekarang. Saudara kena belajar juga. Jangan berhenti. Saudara orang baik-baik. Muslim yang terpelajar. Kena ada orang baik-baik yang kerja dalam sistem undang-undang kita. Jika tidak ada orang macam saudara yang jadi loyar, maka tak adalah orang baik-baik nak bela kita nanti! Jangan berhenti. Jadilah loyar yang terbaik. Mengatasi mereka yang sekular dan kufur itu!"
Malam itu, tiada nada yang keras, dan tidak ada jugak kata-kata yang kasar terloncat daripada mulut TokGuru dari Rusila itu. Mungkin kerana forum itu tidak terbuka kepada umum. Warga kampus saja yang hadir. Mungkin juga kerana ia bukan forum politik. Forum tentang undang-undang, dihadiri pula warga kampus, maka sifatnya lebih ilmiah. Lalu, bicara yang keras dan kasar tidak timbul dan tidak diperlukan.
Pada zaman itu, seingat saya, TokGuru dari Rusila ini sangat kuat pengaruhnya di kalangan orang muda-muda. Apatah lagi di kalangan mahasiswa. Saingannya yang setanding ialah yang jadi Supremo PKR sekarang, yang ketika itu baru naiki Bahtera yang kibarkan panji-panji keris.
Kedua-duanya punyai karisma yang hebat. Handal seghoti berpidato. Cuma yang berbeza ialah bahtera yang dinaiki. Yang sangat berbeza: hanya seorang yang punyai Amanat tersebar ke seluruh Tanah Semenanjung.
@@@@@@@@@@
Suatu waktu, saya jadi terkantung-kanting, gabra tidak dapat menyiapkan tugasan ditetapkan pensyarah. Entah kenapa ilham tak mahu menjelma. Esoknya tarik tutup hantar assingment. Malamnya saya masih terkedu, belum dapat taip apa-apa pun. Kertas tergulung di mesin taip dah berjam-jam terkepit di situ.
Panik bukan main. Terbayang wajah pensyarah yang suka tembak pelajarnya dalam kelas. Jika tak sempat hantar, mesti hangit terbakar disembur lidah berlada depan rakan-rakan! Pensyarah di jabatan pengajian media yang sorang ini, cakapnya tak bertapis.
Segera mari lintasan, jika tak mahu dimalukan, sudah rencana dalam kepala mahu ponteng kelas saja minggu berikutnya! Tapi mahu lari ke mana? Tak ada sudahnya main lari begitu. Kerana sudahnya pelajar juga yang akan tertewas.
Maka terjadilah kepada saya: 'tidur tak lena, walaupun makan tetap kenyang, mandi tetap basah!'
Ugh, berbeza banyak dengan ungkapan orang tua-tua dulu-dulu: 'mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang!' Tapi keadaan gusar dan kalut itu serupa saja seperti digambarkan itu.
Setelah keluar masuk bilik berkali-kali, dan duduk bangun depan mesin taip sama acapnya, akhirnya sorang-sorang turun melintasi jalanraya. Lepak di gerai mat burger. Lepas pekena hotdog dan setin jus oren sejuk, dan puas duk perhati gelagat macam-macam insan yang datang beli burger dan apa-apaan di gerai itu, saya naik semula ke flat.
Kali ni entah kenapa, ketika memulas tombol, termati langkah. Mata menumpu kepada helaian saiz dua kali kertas A4 yang terlekat di daun pintu.
Selepas itu, tidak sampai sejam setengah, assignment yang payah nak buat, selesai akhirnya. Ketukan di mesin taip tak mahu berhenti hinggalah sampai ke helaian yang terakhir. Halaman yang kelima, terkandung konklusi!
Maka pagi esoknya, dapat dihantar jua tugasan itu pada hari terakhir.
Minggu berikutnya, sampailah masa pensyarah mulut tak bertapis masuk kelas. Sudah jadi tabiat, di awal kelas dia akan umum tugasan yang terbaik dan yang tercorot.
Masing-masing udah kecut perut. Saya pula berasa senat perut dan sejuk dahi dengan tiba-tiba. Rasa macam nak pitam bila nama saya yang disebut lebih dulu!
"Ini tugasan terbaik kali ini. Hujahan yang kemas. Contoh-contoh sesuai. Bahasa pun bagus! Saya bagi 'A'!"
Tahu apa yang saya tulis? Udah bisa diagak?
Lima halaman tugasan yang saya hantar itu, sebenarnya ulasan saya terhadap kalimah-kalimah yang tercetak di atas sekeping kertas yang terlekat di daun pintu. Sudah berminggu-minggu ditekap dengan paku tekan di situ. Tidaklah saya kisahkan sangat selama ini.
Pada malam yang menimbulkan kekagetan itu barulah terasa sangat berguna ia.
Kertas saiz dua keping A4 itu dibeli dan ditampal oleh Mazlan. Siswa pengajian budaya ini orang Chendering. Taklah jauh dari Rusila kubu kuat TokGuru. Katanya dia beli poster itu ketika pulang ke kampung. Lepas solat Jumaat di Masjid Rusila.
Poster itulah yang menjadi bahan ketika saya siapkan tugasan di saat-saat akhir. Lima halaman tertulis ulasan terhadap kata-kata dalam poster itu. Yang manisnya tapi tak diduga, pensyarah beri pujian dan dapatlah markah 'A'.
Tak ingat lagi dah apa yang ditulis dalam lima halaman itu.
Yang saya ingat, kertas saiz poster kecil yang tertampal di daun pintu ialah Amanat Haji Hadi!
Saya dapat 'A' kerana Amanat Haji Hadi.
Opss, maaf!
Yang betulnya: Saya Dapat 'A' Kerana Tulis Ulasan Tentang AMANAT HAJI HADI!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
___________________________________________________
foto: syawarma Dek-dek. sedap baunya. enak rasanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan