Karya

Karya

Khamis, 3 Januari 2013

sanggup bunuh Mahathir kerana AMANAT HAJI HADI?


Pada tahun 1998, gempar jadinya seluruh Tanah Semenanjung. Terbit buku tulisan seorang bekas wartawan Utusan Melayu. Bukunya dinukil hasil maklumat wanita bernama Hafilda. Mudah seghoti nak miliki buku yang dikatakan terhasil berdasarkan ‘kisah sebenar’ itu.

Bolehlah disebut ini sebuah buku ‘terpenting’ dihasilkan seorang wartawan Melayu mengenai pemimpin Persekutuan Tanah Melayu. Peri pentingnya karya itu, ketika di Perhimpunan Besar parti yang kibar panji-panji keris, buku berkenaan diselit masuk ke dalam beg para perwakilan.

Niat orang atau kumpulan yang membubuhnya dalam beg wakil yang datang dari pelosok Negara, mudah diteka. Mahu semua yang hadir dalam dewan di PWTC itu baca tentang ‘keburukan-keburukan’ seorang pemimpin utama yang ada di dalam bahtera mereka sendiri. Buku itu tiba-tiba jadi ‘sangat penting’ kerana ia dijadikan alat untuk menjatuhkan seorang Timbalan Presiden.

Ketika itu, saya pun dapat juga satu naskhah. Tapi bukan atas sebab jadi perwakilan parti keris. Seorang rakan yang berikan. Dia simpan beberapa naskhah lain. Diambilnya dari sebuah surau di R&R. Dia beritau, banyak lagi ada di situ. Maka jadilah buku itu teman rakan di sebelahnya sepanjang perjalanan di Lebuhraya PLUS.

Ugh, dah jadi macam sedekah pulak! Mungkin orang atau kumpulan yang mengedarkan dan meletakkannya di surau itu mahu dapat ‘pahala’ yang banyak.

Kerana biasanya yang diletakkan di surau-surau ialah wakaf al-Quran, sejadah, kain pelikat, Yaasin, al-Maathurat, dan buku-buku panduan ibadah. Semuanya untuk manfaat musafir yang singgah solat di R&R. Biasanya tiada siapa yang nak ambil bawak balik. Lepas baca simpan semula. Ramainya, tak sempat pun nak baca. Lepas solat, makan di gerai, rehat sekejap, dan bergerak semula.

Saya baca buku itu atas tiga sebab.

Satu: Kerana ia sudah jadi macam ‘sedekah’ maka kita pun terima, dan terasa nak baca sampai habis hari itu juga.

Dua: Penulisnya itu (Khalid Jafri) saya pernah jumpa. Kerana dah kenal penulisnya, maka teruja nak baca karya.

Dia pemilik syarikat yang terbit akhbar tabloid yang sensasi seghoti. Mingguan Perdana. Saya pernah ke pejabatnya kerana mahu mendapatkan bahan untuk tugasan di tahun akhir. Waktu itu (1985) saya mengaji di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Seingat saya, hampir dua jam jugak dapat interview dia.

Selepas itu, saya tidak bertemu dengannya lagi. Tigabelas tahun kemudian (1998), bukunya yang ‘disedekahkan’ seorang teman sampai ke tangan saya.

Ugh, angka tigabelas itu selalunya terkait dengan hal-hal yang tak elok bangat! Seorang pensyarah kami (asalnya dari Tanah Seberang) suka menyebutnya ‘Celaka Tigabelas’!

Tiga: Siapa tak teruja? Buku ‘pendedahan amat sensasi’ tentang seorang tokoh yang sudah sangat hampir akan jadi PM!
Benar atau tidak kandungannya boleh dipersoalkan. Tapi sebahagian kandungannya sudah dijadikan bahan bukti untuk menyeret watak utamanya ke mahkamah. Kita semua tahu apa akhirnya perbicaraan itu.

Jika ada sarjana yang berhasrat mengkaji Perang Besar dalam politik Melayu tahun 1998, maka buku ini menjadi bahan rujukan yang ‘penting’ kerana ‘ia berjaya’ memulakan ‘proses menjatuhkan pemimpin terkenal’ itu dari puncak kekuasaan.
Inilah bukti yang benar tentang ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’.

Empatbelas tahun kemudian. Tahun 2012. Tahun Kiamat Tak Jadi.
Di penghujungnya, sebuah buku muncul dengan tajuk yang sensasi. Bukan buku tentang kiamat sudah dekat. Tapi buku yang menunjukkan tanda-tanda Piliharaya ke-13 memang sudah dekat.

Buku yang dikatakan karya terhangat sempena tahun baru ini, dinamakan ‘Kafirkah Aku?’

Dalam masa dua jam, saya habis baca.

Reaksi pertama: Tajuknya dengan foto kulit macam tak berapa nak kena. Yang lebih patutnya begini saja: ‘Kenapa Kamu Kafirkan Aku?’ Nampak lebih jujur. Nampak berterus-terang.

Reaksi kedua: Pengarangnya nak ‘kafirkan’ diri sendirikah?

Reaksi ketiga: Ini sebuah buku pilihanraya.
Halaman awal, disebut dengan jelas tujuan pengarang.

“Pendedahan ini bukan untuk mencari populariti, membuat fitnah, menjatuhkan imej mana-mana pihak atau pun mencemarkan ulama dalam parti Pas. Semua ini semata-mata untuk bahan renungan bersama demi menyelamatkan agama, negara dan bangsa. Juga sebagai satu panduan dalam memecahkan minda masyarakat yang inginkan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan sebelum membuat keputusan dalam PRU 13 ini.”

Reaksi keempat: Buku ini terang-terang mahu mencemar maruah seorang TokGuru dari Rusila.

Tembakan-tembakan yang dilepaskan dari awal hingga halaman-halaman akhir, merupakan usaha untuk menggugat keperibadian seorang Presiden sebuah parti politik dominasi Melayu. Penulisnya mahu khalayak sasaran (pengundi PRU ke-13) percaya bahawa Presiden itu tidak boleh dipercayai, sudah tidak berkemampuan menerajui parti sendiri, dan tidak layak untuk memimpin umat Islam di negara ini!

Reaksi kelima: Penyokong parti (yang turut ditaati penulis itu dulu-dulunya) dikatakan sangat fanatik. Mereka taksub kepada pemimpin. Hinggakan ada yang sanggup berkomplot mahu bunuh PM waktu itu. Sebabnya? Kerana dikatakan terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi!

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu dalam bahagian kedua artikel ini.

1 ulasan:

  1. hanya majlis fatwa melaka yang kata amanat tu salah..natijahnya amanat tu hanya haram untuk orang islam melaka jer ye..hehe

    kenapa agaknya majlis fatwa kebangsaan dari dulu sampai sekarang masih segan untuk keluar fatwa atas amanat tu?..musykil musykil

    -aku anonymous-

    BalasPadam