Karya

Karya

Khamis, 10 Januari 2013

KALIMAH ALLAH DI ATAS BIJI KURMA

Pagi, 10 Disember, 2012. Skudai.

Saya dan famili kudapan di Restoran Mak Jah, UTM. Banyak seghoti hidangannya. Kami jadi kelabu mata. Akhirnya pilih macam-macam, dan masing-masing pakat-pakat rasa. Yang paling sedap jeput bawang. Enak dan rangup. Dua piring kejap saja habisnya. Kudapan jadi lebih bermakna kerana disertai sahabat saya Kassim dan isterinya Rohayah. Kami singgah di situ setelah hadir kenduri di seberang Tambak Johor.

Lama tak ketemu Kassim. Layanannya bagus sekali. Penginapan di Sarjana's Inn dalam kampus, dia yang tempah. Selesa bangat pangsapuri dua bilik ini. Bukan itu saja. Sebelum itu, sewaktu kami melepasi kompleks imigresen, Kassim sudah sedia menunggu. Tidak perlu bersusah-susah untuk naik teksi ke kampus. Sudahlah begitu, diberikan sebuah kereta pula untuk kami pusing-pusing Johor Bharu.

Selepas kudapan, kami menapak ke kedai koperasi. Beli dua buku. Satunya karangan Kassim berjudul Sejarah Johor Dalam Pelbagai Perspektif. Lagi satu Menghayati Budaya Ilmu karya Naib Canselor UTM Prof Zaini Ujang.

Yang Tersayang sudah janji dengan Rohayah akan ke JPO (Johor Premier Outlet). Pukul sepuluh katanya. Masih punyai waktu untuk ronda keliling kampus. Ney-ney dan Syai mahu ke Taman Rusa. Entah kenapa, terasa sangat teruja pula mahu mengunjungi masjid universiti. Teringin solat sunat dhuha di situ. Kerana Yang Tersayang pun setuju, maka jadilah hasrat itu suatu keutamaan. Jika masih berbaki masanya, akan jenguk-jenguk ke Taman Rusa pula.

Rasa seronok pula dapat iktikaf di masjid yang terbina di antara Bangunan Canselori dengan Perpustakaan Universiti.  Habis solat dhuha, saya ketik kamera. Mahu rakam indah dan syahdu dalam masjid itu. Lepas berlunjur dan santa sekejap, terus ke parkir. Ney-ney, Syai dan Yang Tersayang belum kembali. Barangkali ralit di dalam masjid yang hebat itu.

Sambil menunggu itu, saya tangkap gambar guna telefon mobil. Dua tiga kali ketik ke arah menara masjid. Nampak anggun dan megah.

Malam itu, sambil menonton tv, saya lihat-lihat foto yang tersimpan dalam telefon. Bersungguh-sungguh mengamati gambar menara masjid universiti. Kerana masih ragu-ragu, saya tunjukkan kepada Ney-ney dan Syai. Yang Tersayang sudah lelap lebih awal. Letih tapi puas hati pusing-pusing  dan beli-beli di JPO. Seronok dia bercerita tentang keenakan Mi Rebus Haji Wahid, di Kompleks Angsana.

kalimah di puncak menara
Esok pagi, sebelum kudapan, barulah dapat kepastian daripada Yang Tersayang pula. Memang sah, dalam foto menara masjid yang saya rakam itu, awan-gemawan seolah-olah memintalkan kalimah Allah!

Sumpah! Ini bukan buat-buatan guna apa-apa teknik komputer. Ini gambar yang tulen.

Sewaktu saya merakam gambar itu, kira-kira 50 remaja lelaki dan perempuan sedang mengaji di ruang solat masjid.

remaja ngaji di dalam masjid
Apakah aura ayat-ayat suci yang dibaca itu naik ke langit, dan memintal awan-gemawan membentuk kalimah Allah?

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Hanya Dia jua yang berkuasa di atas segala-galanya yang ada di bumi dan di langit!

Memang benar, ini bukan perkara baru. Tiada yang pelik. Malahan imej pokok berbentuk manusia yang sedang rukuk; dahan-dahan pokok yang membentuk kalimah 'Allah'; dan corak di badan ikan yang menyerupai kalimat itu sudah tersebar luas lama sebelum ini. Sudah dicetak dan dijadikan kalendar pun!

daging korban dari Negeri Sembilan
Tapi sifat manusia. Susah nak percaya selagi tak lihat sendiri. Bahkan sebelum merakam gambar menara masjid di kampus itu pun, dua waris terdekat sudah kirimkan dua keping gambar. Diambil sewaktu AidilAdha yang terakhir. Gambar daging korban yang dirakam di Negeri Sembilan dan Darul Iman. Jelas seghoti. MasyaAllah. Seperti dicop kalimah itu di situ. 
daging korban dari Terengganu

Dua puluh tahun dulu, saya pernah menerima sebungkus kurma hadiah seorang waris yang pulang dari umrah. Kurma ajwah. Kurma Nabi. Yakin dia betapa kurma itu bagus untuk perawatan kerna kesakitan apa-apa. Katanya, mujarab pula untuk pemulihan daripada sihir. Baik sekali untuk kecergasan minda.

Saya tidaklah ambil pusing sangat tentang itu. Orang sudah memberi, kita makan saja.

Sambil memamah isinya yang enak, biji-bijinya dikumpul dulu di dalam piring.

Apabila diteliti, ketara ada tertulis sesuatu di atas biji-biji itu. Tiada yang lain. Saya memang pasti. Kalimah 'Allah'!

Setelah dibersihkan, saya tinggalkan biji-biji kurma yang 'pelik' itu di atas meja. Mahu dikeringkan dulu.

Malang sungguh, pagi esoknya tiada lagi. Sudah dibuang ke dalam tong besar bersama sampah-sarap yang lain. Bibik punya kerja. Awal pagi lagi meja makan sudah dibersihkan. Tapi bukan salahnya. Dia tak tahu pun saya sengaja letak biji-biji itu di atas meja itu kerana mahu biarkan ia kering! Silap tidak tangkap gambar awal-awal. Sesal bukan main.

Dukacita. Kepelikan yang berlaku lima belas tahun dulu, tidak boleh dibuktikan. Kalimah 'Allah' yang tertulis di atas biji-biji kurma tidak bisa ditunjuk!

Tapi 'kepelikan' (atau bisa dikatakan 'keajaiban'?) lama dulu itu, berlaku lagi. Kali ini sempat dirakam. Awan-gemawan seolah-olah menyimpulkan kalimah itu di sebelah menara sebuah masjid. Kalimah itu pula seperti ditekap ke dalam daging hasil ibadah korban!

Cuma dukacita pula kita hari ini. Kerana banyak pihak bising-bising perihal kalimah suci itu yang mahu dikongsi-kongsi. Sebenarnya timbul musykil, dukacita dan khuatir. Kerana gaduh-gaduh sesama kita, dan terlalu kompromi dengan orang lain kerana kalimah itu.

Musykil, dukacita dan khuatir. Jika suatu hari nanti, ada waris-warah (yang pluralis campur liberalis) dengan bangga kasi tau begini:

"Ajaib sungguh! Waktu lawat sebuah gereja, saya hairan tengok patung yang terpaku disalib. Di dahinya ada kalimah... Allah!"

Kita mesti musykil, dukacita dan khuatir. Kita tak mahu 'adegan' sebegitu menjadi realiti.

Kerana itu kita mestilah ambil tahu dan mesti memahami isu ini.  Langkah mulanya, baik sangat sama-sama kita hayati 'pesanan' seorang Mahaguru tentang hal ini. Sila klik dan dengar.

http://www.youtube.com/watch?v=N06ntSLtb_4&playnext=1&list=PL04D9238142AC28DC&feature=results_video

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan