Anak lelaki bakal
memimpin rumahtangga. Kerana itu sejak awal remaja mereka mesti disemai dengan kesedaran
peri pentingnya ‘menjaga dan mendirikan solat’. Mereka mesti dididik supaya
meletakkan solat itu sebagai ‘tiang seri’ sesebuah keluarga yang mahu mencapai
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Satu latihan ketika awal remaja yang boleh
dilakukan oleh ibu bapa (khasnya seorang ayah) ialah menyuntik tanggungjawab
untuk menunaikan solat Jumaat sedaya-upaya mereka, kecuali atas sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan. Jadikan diri kita (seorang ayah) sebagai teladan
yang baik. Walaupun sibuk dan penting mana pun kerja yang sedang kita lakukan,
menunaikan solat Jumaat itu mestilah diberikan keutamaan.
Falsafah seorang
mukmin sejati semestinya berdasarkan keyakinan betapa “solat tidak menghalang
kita mencari rezeki, dan sebaliknya pula usaha mencari rezeki tidak menyekat
kita untuk mendirikan solat!”
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
– maksud firman Allah dalam surah al-Jumu’ah (9-10).
Jadikan solat Jumaat
itu sebagai tanggungjawab besar yang mesti diberikan perhatian berat oleh
anak-anak lelaki. Ini satu daripada peranan penting yang wajib dilaksanakan
oleh seorang ayah kerana tidak menunaikan solat Jumaat itu suatu sifat orang
munafik.
maksud
sabda Rasulullah: “sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat dengan ketiadaan uzur
nescaya ditulis nama munafik oleh malaikat, tiada dipadam dan tiada diganti.”
Inilah
satu-satunya solat fardhu yang jika tidak ditunaikan tanpa alasan yang kukuh
boleh menyebabkan seseorang itu didenda atau dipenjarakan. Ingatlah, tidak
menunaikan solat Jumaat itu suatu perlakuan jenayah!
Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 1995, Seksyen 20 menyatakan:
“Mana-mana
orang lelaki yang baliqh yang tidak menunaikan solat jumaat di dalam masjid
dalam khariahnya sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa
sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan
boleh didenda tidak melebihi seribu ringgit (RM1,000) atau dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya sekali.”
Malangnya, kini
terdapat di kalangan pelajar-pelajar yang sekolah yang ponteng solat Jumaat
dengan alasan remeh-temeh ketinggalan bas untuk ke masjid. Itu alasan yang diberikan oleh mereka yang bersekolah di Pantai Barat.
Manakala yang tinggal di Pantai Timur pula bukan memberikan alasan yang
berbeza, Cuma mereka (remaja itu) kadangkala berpakat dengan rakan-rakan untuk
bermotosikal ke tempat-tempat peranginan. Keseronokan mengunjungi kawasan hutan
rekreasi secara berkumpulan itu (pada
hari Jumaat) menyebabkan mereka terlalai hinggakan tidak mengambil berat untuk
menunaikan solat ketika masuk waktu. Inilah perlunya campurtangan ibu bapa
(khasnya seorang ayah).
Sebenarnya, sudah jadi
lumrah kini sebahagian besar ibu bapa mempunyai ‘waktu keutamaan’ untuk
anak-anak ketika hujung minggu. Antaranya ialah mengambil dan menghantar
anak-anak ke pusat-pusat tuisyen akademik, muzik dan tarian. Di samping itu,
memperuntukkan pula waktu untuk menyertai mereka menjalani latihan badminton,
ke kolam renang, dan klinik bolasepak. Semua itu bagus untuk perkembangan
sahsiah anak-anak. Yang tidak bagusnya jika keghairahan itu semata-mata
disebabkan tidak mahu ketinggalan mengejar trend gaya hidup kontemporari.
Marilah cuba muhasabah
diri anda, apakah sanggup pula kita mengambil anak-anak di sekolah untuk
sama-sama solat Jumaat? Apabila pulang ke rumah (pada hari Jumaat), apakah kita
serius mengambil tahu anak-anak lelaki kita solat Jumaat atau tidak? Ibu bapa
mestilah menyedari betapa solat Jumaat itu adalah suatu kaedah didikan yang
penting kepada penyuburan akhlak murni dalam diri anak-anak. Antara
manfaat-manfaat yang mereka perolehi semasa hadir ke masjid untuk solat Jumaat
ialah:-
1. Diajar supaya mendengar nasihat
agama daripada orang yang lebih tahu (imam) melalui khutbah yang disampaikan.
Mendengar dengan teliti dan menghormati bacaan khutbah diharapkan akan dapat
menanamkan sifat suka mencari dan menghadiri majlis ilmu dalam diri anak-anak.
Hal ini nampaknya begitu mudah, tetapi kesannya begitu besar dan mendalam. Walaupun
tidak lama (kira-kira setengah jam sahaja), khutbah yang disampaikan itu
menghuraikan persoalan semasa yang boleh dimanfaat jika benar-benar anak-anak
mendengar dengan teliti. Mereka mesti dilatih bukan sekadar menghormati
khutbah, jangan berkata-kata atau bergurau-senda ketika mendengarnya. Ini suatu
bentuk latihan supaya anak-anak menghormati dan mengamalkan adat sopan ketika
berada di dalam masjid. Hadis Rasulullah ada menyebut (maksudnya):
“Setiap
orang yang berwuduk kemudian dia pergi (ke masjid untuk menunaikan) solat
Jumaat dan mendengar khutbah imam maka akan diampunkan dosanya hinggalah ke
Jumaat selepas itu dan ditambah tiga hari lagi. Siapa yang bermain-main (tidak
memberi perhatian terhadap khutbah), maka solatnya menjadi sia-sia.” (hadis
riwayat Muslim)
2. Sepanjang berada di masjid, mereka
didedahkan dengan pelbagai gelagat manusia (jemaah) yang boleh dijadikan
teladan dan sempadan (atas bimbingan seorang ayah).
Anak-anak mesti dibimbing supaya mengambil iktibar daripada kelakuan murni yang
dilakukan oleh jemaah lain seperti membaca al-Quran, berzikir, dan solat sunat
tahiyyatul masjid. Mereka perlu diberikan kefahaman sebab-sebab sebahagian
besar jemaah begitu bersungguh-sungguh iktikaf. Kita mestilah menyuntik
keyakinan dalam diri mereka betapa perlakuan jemaah-jemaah itu adalah untuk
mencari keredhaan dan hidayah Allah pada hari Jumaat yang dimuliakan sebagai
‘penghulu segala hari’.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasullullah
saw membicarakan tentang hari Jumaat dan berkata, “Ada saat pada hari Jumaat
seandainya seorang Muslim memperolehnya ketika mengerjakan solat dan memohon
sesuatu kepada Allah swt, maka Allah pasti mengabulkan permohonannya”. Dan Nabi
saw menunjukkan saat yang singkat itu dengan tangannya. (Shahih al-Bukhari 2:6)
Bukan setakat menghargai waktu
Jumaat itu sahaja, malahan anak-anak perlulah dididik supaya menitik-beratkan
soal berangkat ke masjid seboleh-boleh pada awal waktu.
Mereka mesti mempunyai sikap menghormati dan menghargai waktu solat Jumaat.
Bukannya (tanpa asalan kukuh) menapak di anak tanggga masjid dengan
tergesa-gesa ketika imam sudah mengangkat takbiratulihram pada rakaat yang
pertama! Mereka mesti tahu nikmat yang tersedia untuk jemaah yang tawaduk menunaikan
solat Jumaat, datang ke masjid dengan pakaian yang bersih (dan cantik) dan
berusaha untuk hadir sebelum azan berkumandang.
diriwayatkan
daripada Abu Hurairah ra Rasulullah saw bersabda, “Setiap orang yang mandi pada
hari Jumaat seperti mandi janabah dan kemudian pergi mengerjakan solat (pergi
di awal waktu), ia seolah-olah telah berkorban seekor unta; mereka yang pergi
mengerjakan solat pada waktu yang kedua seolah-olah telah berkorban seekor
sapi; mereka yang pergi mengerjakan solat pada waktu yang ketiga seolah-olah
telah mengorbankan seekor biri-biri; mereka yang pergi mengerjakan solat pada
waktu yang keempat seolah-olah telah berkorban seekor ayam; dan mereka yang
pergi pada waktu yang kelima seolah-olah telah berkorban sebiji telur. Dan ketika
imam berdiri (untuk menyampaikan khutbah) para malaikat berkumpul untuk
mendengarkan khutbahnya.” (shahih al-Bukhari 2:56)
3. Jadikanlah suatu tabiat kepada
mereka untuk mendermakan sedikit wang ke tabung kebajikan yang disediakan oleh
pihak masjid. Biasakan diri mereka untuk menghulurkan
derma juga kepada peminta sedekah yang biasanya sedia menunggu di laman masjid.
Bahkan ada juga pihak-pihak tertentu yang datang ke masjid pada hari Jumaat
untuk memohon derma bagi tujuan pembiayaan pembedahan penyakit serius, untuk
mencari dana melanjutkan pelajaran, dan ada mualaf yang memohon bantuan juga. Ini
didikan untuk menyuburkan sifat kasih-sayang dan murah hati. Jadikanlah mereka
tidak ragu-ragu untuk bersedekah kepada golongan yang dhaif. Suntik keihlasan
dan rasa ehsan di dalam diri anak-anak kita. Hindarkan daripada diri mereka
sifat memandang hina kepada peminta sedekah dan orang-orang miskin. Jangan
sekali-kali kita biarkan (atau memberikan peluang) anak-anak mengherdik atau
menghina orang-orang yang dhaif itu. Mereka mestilah memahami betapa sikap yang
demikian itu ditegah oleh Islam.
“Tahukan engkau akan orang yang
mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas
serta berlaku zalim kepada anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk
memberikan makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.” - maksud firman
Allah dalam surah al-Maa’uun (1-3)
4.
Memberikan
keinsafan dan kefahaman kepada anak-anak betapa masjid ialah suatu institusi
yang penting dalam kehidupan orang mukmin dari aspek pembangunan sosio-ekonomi
ummah. Masjidlah tempatnya orang-orang Islam berkumpul,
bukan sekadar untuk melaksanakan kewajipan bersolat itu semata-mata, tetapi
sebagai tempat pengukuhan dan perkembangan ukhuwah sesama saudara seagama.
Malahan di kebanyakan kawasan masjid sekarang kegiatan ekonomi dan sosial turut
dijalankan dengan tersusun. Kita dapat lihat bukan sahaja pelbagai gerai jualan
dibuka di perkarangan masjid pada hari Jumaat itu, malahan sudah banyak masjid
yang terbina premis (kedai), yang antaranya memberikan jualan insurans,
pakaian, ubatan tradisional, dan warung. Terdapat masjid yang mempunyai
koperasi sendiri untuk kebajikan yang lebih melebar kepada ahli kariahnya.
Di samping itu, di dalam kawasan masjid
yang biasanya luas itu, didirikan pula pula bangunan yang menempatkan tadika
dan sekolah rendah Islam. Suatu perkara lumrah pula di masjid-masjid yang
aktif, akan diadakan aktiviti ‘qiamulail perdana’ dalam program mengimarahkan
masjid. Bahkan ada sesetengah masjid yang menganjurkan program kesedaran
kesihatan dan aktiviti riadah dalam kerangka mengamalkan gaya hidup sihat.
Jika kita tidak mengambil berat dan tidak berusaha
mempastikan anak-anak kita ke masjid pada hari Jumaat untuk bersolat, bagaimana
mungkin mereka akan berasa terpanggil untuk singgah solat di masjid pada waktu
fardhu yang lain? Jika timbul sifat ‘culas masjid’ ini maka sukarlah anak-anak
kita untuk melihat pelbagai aktiviti murni yang dijalankan di perkarangan
sesebuah masjid. Alangkah malangnya jika singgah di masjid semata-mata untuk
mandi, bersalin pakaian dan menggunakan tandas, tanpa terpanggil untuk bersolat
jemaah di dalamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan