Karya

Karya

Jumaat, 25 Januari 2013

MAULIDURRASUL (3) sukarkah menjadi muslim terbaik?



Ingin menjadi Muslim yang terbaik?

Syaratnya yang utama, pastilah kita mesti menjalani hidup ini penuh dengan ketaatan kepada perintah Allah, dan mematuhi sunnah rasul-Nya.  

Zaman kotemporari ini, biasa sekali timbul momokan sebilangan orang yang pesimistik. Mereka menjadikan alasan perubahan zaman dan perbezaan ratusan ribu tahun (dengan zaman Rasulullah) itu sebagai kemustahilan untuk menjadikan peribadi Nabi Muhammad sebagai teladan akhlak yang unggul. Zaman kontemporari ini cabaran hidup lebih besar dan pelbagai. Mana nak sama dengan zaman Rasulullah!
Mohon keampunan ya, Allah! Berikan taufik dan hidayah-Mu kepada golongan ini. Tunjukkan mereka jalan yang benar, ya, Allah!

Sebenarnya, alasan itu dangkal dan rapuh. Islam yang terkadung di dalam al-Quran itu sesuai untuk semua zaman hingga kiamat. Dalam jahiliyah, cabarannya sangat hebat. Orang menjadi barang dagangan dan hamba. Bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana dikatakan membawa kesialan. Berhala menjadi sembahan dan didewakan. Yang miskin kedudukan sangat hina dalam masyarakat dan sentiasa ditindas. Itu merupakan ‘puncak bongkah ais’ nilai hidup budaya masyarakat zaman itu. Epitome zaman jahiliyah.

Akan tetapi pada zaman itu, hidup seorang pemuda yang disegani, terpinggir dia daripada amalan tidak manusiawi itu, digelar kaumnya sebagai al-Amin (yang sangat dipercayai). Pemuda itu ialah Muhammad! Bayangkan pada zaman jahiliyah, masih ada seorang manusia yang sangat dihormati kerana keperibadiannya di luar kebiasaan kaumnya yang sesat. Mereka mempunyai tamadun yang tinggi, sayangnya mereka hidup dalam kesesatan. Dalam ‘zaman kesesatan’ itu Muhammad dilabelkan sebagai al-Amin! Dia menjadi model peribadi unggul di zaman jahiliyah yang sangat mencabar. Dia terus menjadi peribadi unggul hingga ke akhir zaman.

Cuma, masyarakat jahiliyah itu membenci Muhammad SAW apabila belia mengiystiharkan dirinya sebagai Rasulullah.  Bahkan mereka menganggap beliau sebagai orang gila! Jauh larinya daripada gelaran al-Amin yang mempunyai makna yang sangat baik itu. Kperibadian unggul, jadi orang sakit jiwa yang tidak boleh dipercayai. Walaupun mukjizat disaksikan orang ramai ketika dtunjukinya maka bulan terbelah dua. Orang yang tidak waras mustahil dianugerahkan Allah mukjizat boleh menyebabkan bulan terbelah dua hanya dengan telunjuknya!  

“Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Rabb-mu kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila. Dan sesungguhnya bagimu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. Maka kelak kamu akan melihat mereka (orang-orang kafir) pun akan melihat, siapa di antara kamu yang gila.” (maksud ayat 1-6, surah al-Qalam)

Tingginya budi pekerti Rasulullah itu turut terlihat dalam layanan yang diberikan olehnya kepada pembantu rumah dan golongan wanita. Zaman kontemporari ini, sudah menjadi suatu kebiasaan terlapor dalam media tentang layanan buruk yang diberikan oleh segelintir majikan kepada amah atau pembantu domestik (rumahtangga). 

Bukan rahsia lagi betapa sudah diadili di mahkamah pun kes-kes penderaan yang teruk terhadap amah.  Layanan yang diberikan kepada amah dalam kes-kes berkenaan seolah-olah majikannya sudah tidak punya nilai kemanusiaan lagi. Segelintir majikan memperlakukan amah umpama hamba! Menyuruh dilakukan sesuatu perkara dengan lagak yang angkuh, diiringi suara herdikan serta makian. Tapi ingatlah akan amaran Allah:-

“Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”. (maksud ayat 18-19, surah Luqman)

Nah, di zaman kontemporari ini, kita menyaksikan ‘perhambaan’ berlaku terhadap insan yang merantau jauh untuk mencari rezeki. Sebahagian daripada mereka (pembantu domestic itu) terpaksa meninggalkan anak dan berjauhan lama daripada suami. Ini semua akibat daripada kesempitan hidup. Tiada jalan keluar untuk mereka kecuali merantau ke negara jiran yang lebih makmur untuk menyara kehidupan keluarga. Kenapa ada segelintir daripada kita sanggup melayani mereka yang dhaif ini seperti hamba?

Hakikatnya, inilah contoh perhambaan zaman kontemporari. Kita fikir sukar sekali untuk  membayangkan bagaimana layanan majikan di zaman jahiliyah terhadap hamba-sahaya mereka. Sebenarnya, tidak perlu sakitkan kepala untuk dibayangkannya. Realitinya, konsep ‘tuan dan hamba’ seperti zaman jahiliyah dan Zaman Kolonial sudah berlaku dalam kehidupan kontemporari ini. Barangkali tidak berleluasa. Tetapi ia tetap telah berlaku pada Alaf Baru ini.

Majikan yang tiada hati perut ini, jika hadapkan ke muka pengadilan, ada kemungkinan terlepas daripada sebarang perlakuan jenayah atau penderaan. Tapi manusia boleh terlepas daripada undang-undang dunia, boleh mengubah-suai dan menyembunyikan bukti-bukti jenayahnya. Akan tetapi ingatlah, kita tidak mampu terlepas daripada penghakiman Allah Yang Maha Bijaksana.

“(Lukman berkata), Wahai anakku! Sungguh jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti.” (maksud ayat ke-16, surah Luqman)

Ini merupakan masalah yang makin meruncing dalam masyarakat kita sebagai akibat timbulnya sindiket memperdagangkan manusia. Manusia sudah menjadi bahan dagangan yang amat menguntungkan. Kesempitan hidup di negara asal mereka, menyebabkan sebahagian warga asing dari negara-negara miskin terperangkap dengan kelicikan sindiket memperdagangkan manusia itu. Kita mesti berasa bimbang kerana gejala ini sedang berlaku di negara kita. Amalan Zaman Jahiliyah dan Zaman Kolonial sedang hidup di kalangan kita!

Inilah suatu keanehan hidup. Dalam Zaman Jahiliyah, muncul seorang manusia agung yang mengajak masyarakatnya memberikan hak manusiawi kepada golongan yang lemah (misalnya, hamba) dan menghormati golongan wanita. Sebaliknya, pada zaman kontemporari yang serba canggih dan bertamadun tinggi ini, berlaku pula deskriminasi dan perlanggaran hak golongan yang lemah dan kaum wanita. Mungkin kesnya tidak banyak. Barangkali kes itu ‘terasing’ sekali. Berlaku dalam skala kecil dan tidak muncul lagi. Akan tetapi yang telah berlaku itu adalah refleksi nilai yang terpegang di dalam masyarakat. Walaupun nilai itu tidak dominan, jika dibiarkan tentulah ia akan membarah dan akhirnya sukar dirawati.  

Kerana itu, kita perlulah kembali kepada ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, yang mengajarkan kepada kita supaya sentiasa menghormati hak wanita dan menjaga maruahnya. Malahan dalam khutbahnya yang terakhir di Padang Arafah, Nabi Muhammad SAW menyentuh tentang hal ini (kedudukan dan hak kaum wanita dalam Islam).

Bagaimana berhemahnya Rasulullah melayani golongan dhaif dan kaum wanita ini tergambar dalam hadis yang dicatatkan oleh Imam Ahmad;

‘daripada Aisyah, dia bercerita, “Rasulullah sama sekali tidak pernah memukul pembantunya dengan tangannya dan tidak juga memukul seorang wanita serta tidak juga beliau memukul sesuatu dengan tangannya kecuali jika beliau berjihad di jalan Allah. Dan tidaklah beliau memilih di antara dua hal melainkan beliau akan memilih yang lebih beliau sukai iaitu yang lebih mudah baginya, kecuali dosa. Beliau adalah orang yang paling jauh dari perbuatan dosa. Dan beliau tidak pernah membalas dendam demi diri sendiri kerana suatu hal yang ditimpakan kepada beliau melainkan jika hal itu ditujukan untuk merosakkan kemuliaan-kemuliaan Allah sehingga beliau akan membalas dendam kerana Allah.” (tafsir Ibnu Katsir: juz 29, hlm 251)

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Solawat dan salam kepada junjungan besar kita Muhammad Rasulullah SAW.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan