nota awal: sempena Maulid Nabi SAW (Hari Memperingati Kekasih - 12 Rabiulawwal), catatan ini dinukil agar bisa diambil iktibar daripadanya.
TIADA manusia sempurna kecuali Muhammad Rasulullah. Kita semua tahu Baginda diutuskan
oleh Allah untuk memberikan rahmat ke seluruh alam. Kerana itu tentulah
peribadinya jua yang perlu menjadi dombaan kita. Kerana kita mengaku umat
Rasulullah, dan bersaksi dalam solat akan kerasulannya, maka sangat munasabah
peribadinya kita jadikan ikutan. Pasang niat kita
untuk hidup dengan akhlak yang terbaik. Tetapkan niat untuk melakukannya
sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw.
“Dan kami tidak
mengutuskan kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa
berita gembira dan sebagai pemberi peringatan.” (maksud ayat ke-28, surah Saba’)
MasyaAllah, bayangkan betapa
indah hidup kita, dan betapa Allah akan mengasihi kita. Malahan seluruh makhluk
di dunia akan mengasihi kita, insyaAllah. Ini tidak mustahil jika kita benar-benar
ikuti akhlak yang ditunjukkan oleh Muhammad SAW.
Rasa susah nak capai atau ikuti
teladan yang sempurna itu kerana kita manusia biasa? Bukan nabi, rasul atau
alim ulamak? Jangan sekali-kali
suntikkan jarum ‘susah dan payah nak buat’ dalam minda kita. Jika kita ‘ingat susah sahaja, maka yang akan
terhasil adalah kesusahan’. Jangan angkat alasan-alasan yang hanya akan
membentengi niat murni kita. Mencari alasan, percaya dan berpegang teguh pula
kepada alasan-alasan itu, tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Akhirnya, akhlak kita kekal macam
biasa. Sebabnya kita sibuk menggali dan memberikan alasan tentang tidak upaya
dan tidak mampu mengikut teladan Rasulullah.
Ambil
soal makanan misalnya. Biasakah kita marah-marah kerana makanan tidak sedap?
Kerana masakan yang disediakan oleh isteri atau pembantu rumah tidak menepati
selera, mungkin terlebih masin, tawar atau pedas sangat, ada di kalangan kita
yang mula bersilat di meja makan, melemparkan sudu garfu, pinggan mangkuk.
Melepaskan kemarahan dan tunjuk jantan di meja makan memang tidak patut. Apatah
lagi jika makanan yang disajikan itu dimasak oleh seorang isteri dengan penuh
kasih sayang untuk menyukakan suaminya. Masakan yang disediakan itu halal
belaka dan diperoleh (dibeli) dari rezeki yang halal juga. Lantas apa perlunya
kita bersikap tidak sopan dan melepaskan api kemarahan itu?
Barangkali
kita terlupa membaca doa makan. Sebab itu bersikap hodoh sedemikian rupa.
Mungkin juga sudah menjadi tabiat kita melafazkan doa sebelum menjamun selera,
malangnya tidak mengambil usaha untuk memahami kandungan doa itu! Barangkali
sebab itulah tiada kesabaran, susut keimanan dan tanggal kesopanan di meja
makan. Kenapa tidak ditegur dengan baik jika isteri atau pembantu rumah
tersilap adunan? Sukarkah untuk memberikan kemaaafan dan memberikan peluang
kepada isteri membaiki diri. Lagipun, kita ada pilihan yang lain. Boleh dengan
mudah menelefon mana-mana restoran makanan segera yang menyediakan servis
hantar ke rumah.
Kalau
pun isteri atau pembantu rumah memang tak reti memasak, maka janganlah
dibenarkan mereka menyediakan makanan yang berat-berat. Kalau sudah berduit dan
biasa menjamah makanan yang sedap-sedap standard hotel, maka bersedialah untuk
makan malam atau di hujung minggu di restoran yang memang pasti sedap dan
berkualiti tinggi makanannya.
Usah merosakkan kedamaian rumahtangga dan emosi
anak isteri kerana ‘benci kita’ kepada masakan yang tidak menjadi atau tidak
sampai tahap selera kita yang tinggi darjatnya. Jagailah akhlak di meja makan.
Ini sunnah Rasulullah saw.
"diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Nabi SAW tidak
pernah mencela setiap makanan (yang dihidangkan kepadanya), tetapi jika ia
menyukainya akan dimakannya; sebaliknya, jika tidak, Nabi SAW akan
meninggalkannya (tanpa memperlihatkan ketidaksukaannya)" - shahih Bukhari, 4:764
Jika
ada yang masih mahu mengelak dan mengelat, masih mahu memberikan alasan tak
betah dan tak mampu menurut akhlak Nabi yang sempurna itu, katakana kepada
mereka: Mana mungkin kita mahu ambil model akhlak daripada orang biasa-biasa
yang terumbang-ambing akhlaknya dan cacat peribadi?
Jika
rasa payah nak ikut keperibadian Rasullullah, cuba ikut pula akhlak insan lain
yang amalkan nilai-nailai murni itu dalam kehidupan mereka. Ini model juga,
tapi insan ini bukan seorang nabi. Marilah kita ambil iktibar daripada
keperibadiannya, yang dikurniakan-Nya karamah, iaitu Luqman al-Hakim. Cuba
teliti, antara sikapnya yang terpuji itu ialah memelihara makanannya dan
mengawal lidahnya.
Abdullah
bin Wahb berkata ‘Abdullah bin Iyasy al Quthbani mengkabarkan kepadaku dari
Umar maula Ghifrah, bahawa dia berkata: “Seorang laki-laki berdiri di hadapan
Luqman al-Hakim, lalu dia berkata: ‘Engkau Luqman, budak Bani al-Has-has?”
Luqman menjawab: “Ya!” Dia bertanya: “Engkau pengembala kambing?” Luqman
menjawab: “Ya!” Dia berkata: “Hitam (seperti ini)!” Luqman berkata:
“Kehitamanku cukup jelas, lalu apa yang membuatmj takjub?” Laki-laki itu
berkata:Manusia menggelar hamparannya untukmu, membuka lebar-lebar pintu
untukmu, dan amat senang dengan perkataanmu, hai anak saudaraku! Jika engkau
mau mengungkapkan apa yang aku katakan padamu yang membuatmu dapat seperti
itu.” Luqman berkata: “Aku tahan
pandanganku, aku jaga lisanku, aku pelihara makananku, aku jaga kemaluanku, aku
berkata dengan jujur, aku tunaikan janjiku, aku hormat tamuku, aku perhatikan
tetanggaku, dan aku tinggalkan apa yang tidak penting bagiku. Itulah semua
yang menyebabkan aku menjadi apa yang engkau lihat.” (Tafsir Ibnu Katsir Juz 21:399
- surah Luqman)
Kadangkala
sikap kita ini paradoks sekali. Balik ke rumah kita marah-marah kerana makanan
yang tidak sedap. Akan tetapi ketika makan-makan dengan rakan-rakan di
restoran, tidak pula pandai komplen. Malahan bersedia pula memberikan tips kepada pelayan. Ketika itu menjadi
seorang lelaki budiman kita! Bukan sahaja makan ada gayanya, percakapan pun
begitu berhemat. Cuma musykilnya, apabila menjamu selera di tempat-tempat yang
eksklusif itu, pernah terlintas dalam
kepala soal haram-halalnya makanan yang dikunyah dan minuman yang diteguk?
Dalam
soal status halal-haram makanan itu, kenapa kita tidak berhati-hati dan tidak
hemburkan rasa marah-marah itu jika tidak puas hati dengan jawapan yang
diberikan pelayan atau pengurus? Inilah kadangkala masalah kita, menjadi lelaki
budiman ketika di luar rumah, bertukar menjadi tidak siuman ketika berada di
dalam rumah sendiri. Sepatutnya yang kita cela dan maki-hamun itu ialah apabila
dihidangkan dengan makanan yang tercela yang diharamkan oleh agama. Bukan
mencela dan memaki-hamun makanan halal yang tersilap sedikit masakannya.
Kadangkala
sebahagian daripada kita suka menjadi pembuli kepada orang-orang yang dekat
dengan kita (isteri dan anak-anak). Kenapakah kita menjadi sombong dan terasa
mempunyai kuasa mutlak apabila berada di dalam rumah sendiri? Apakah nikmatnya
menyebabkan orang-orang yang menyayangi kita itu hidup dalam ketakutan dan
terasa rendah harga diri?
Muhasabah diri sebelum terlambat. Sedarlah. Hidup ini
sangat singkat. Berbuat baiklah dan hormatilah keluarga sendiri. Manfaatkan
tenaga dan usia kita untuk melakukan perkara-perkara yang membawa kebajikan
kepada ahli keluarga, dan membahagiakan mereka.
Keluarga itu adalah amanah Allah. Menjaga kebajikannya adalah sunnah Rasulullah.
Jika kita
lalai dan tidak menunaikan tanggungjawab ini, termasuklah kita ke dalam
golongan orang yang pecah amanah!
Ayuh! Mulakan dengan yang mudah-mudah. Sebagai suami, janganlah sekali-kali kita mencela makanan, yang disediakan sang isteri dengan penuh kasih-sayangnya!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan