Karya

Karya

Khamis, 17 Januari 2013

Listen! listen! listen! Supremo PKR macam tu jugak!


1982. Universiti Malaya.

Waktu itu period awal DSAI lompat ke dalam Bahtera yang kibar panji-panji keris. Sentimen di kalangan orang muda berbelah bagi. Ada sokong, ada bantah. Tiada nisbah yang nyata. Tapi di kalangan mahasiswa, kita dapat rasakan bangkangan yang kuat. 

Mungkin bukan suara majoriti.

Jika tidak seluruh pun budak-budak universiti (sila baca dalam konteks kampus UM) yang marah-marah dengan tindakan politik bekas pemimpin kampus itu, kemarahan sebilangan daripada mereka cukup terasa. Hal ini mudah difahami. Presiden ABIM itu merupakan idola siswa-siswi waktu.

Dia ‘hero Melayu’ yang hidup dalam realiti. Bukan 'hero Malaya' yang dimitoskan dalam fiksyen. Dia jadi inspirasi kepada golongan muda. Bukan orang muda saja yang terpesona dengan karismanya, orang awam begitu jugak. Malah tempias auranya sangat ketara kepada parti yang kibarkan panji-panji bulan purnama. Kalau ada piliharaya, secara terang-terangan dia dan pertubuhan belia yang dikepalainya berkempen untuk parti itu.

Parti berkenaan pula seolah-olah cukup bersedia untuk menerima pemuda hebat ini berjuang sebagai pemimpin utama dalam bahtera hijau.  Jika itu terjadi, gabungan tenaga golongan profesional Melayu (diwakili ABIM) dengan barisan ulamak (PAS), maka rasa-rasanya hampir pasti BN memang bisa tersungkur pada awal 1980-an lagi!

Sebab itu orang muda (budak-budak universiti) sangat marah jadinya.  Idola yang diimpikan jadi jagoan politik dan merealisasikan konsep Islam sebagai ad-din, sudah melencung. Dengan alasan harmoni dengan cita-cita pembangunan ala PM ke-4. Mahu melakukan perubahan dari dalam.

Cekapnya dia berpolitik. Mudah dapat dihidunya sentimen orang muda ketika itu. Api yang menyala di kampus, di kalangan orang-orang muda perlu dipadamkan segera. Kerana itu, dia buat rancangan kembali ke ‘lubuk’ pengaruhnya - Kampus Universiti Malaya.

Diaturkan suatu program untuk Timbalan Menteri yang baru di JPM bertemu mahasiswa. 

Waktu itu, jika ada apa-apa program dalam kampus, publik boleh hadir. Masuk dengan mudah tanpa sekatan. Tapi program di dewan terbesar Fakulti Sastera lain jadinya. Publik tidak dibenarkan masuk dewan. Mahasiswa pula diperiksa dengan teliti. Mesti tunjuk kad matrik. Jika tidak, sepak kertas kat luar saja.

Dewan Kuliah F sesak. Yang duduk berterak-terak, yang berdiri berhimpit-himpit. Datang ramai-ramai mahu lihat idola orang muda yang sudah terpesong daripada perjuangan. Kita datang dengan dendam kesumat. Kita hadir dengan kemarahan.
Selepas dia berceramah, tiba sesi soal-jawab.

Seorang aktivis pelajar bangun. Dia menyoal dengan nada sinis. 
Kira-kira begini sebahagian kata-katanya: 

“Dah masuk kerajaan, kenapa saudara Anwar hina ulamak? Jangan nak nafi. Saudara pernah label ulamak dalam parti pembangkang, ulamak di luar kerajaan itu...sebagai kucing kurap! Saudara patut mintak maaf. Ini dah jadi fitnah. Saudara patut tarik balik fitnah itu!”

Ramai yang tergamam dengan tutur sang siswa. Rata-rata fikir dia sudah tidak kira batas kesopanan lagi. Sambil bercakap telunjuknya menuding ke arah jejaka idola yang dah jadi YB. 

Habis bicara, siswa berkenaan terus bergegas keluar. Tapi masih sempat dia membebel ketika ada hadirin menyapa dan minta tunggu.

“Buat apa nak tunggu. Dia pandai bercakap. Pandai berdalih! Kita akan terpengaruh! Jangan terpengaruh! Saya tak nak terpengaruh!”

Timbalan Menteri itu menjawab kira-kira begini:

“Inilah masalah orang muda. Suka marah-marah. Orang nak explain tak nak dengar. Dengarlah dulu kita nak cakap. Betul tidaknya, kita sama-sama timbang. Saya minta maaf kalau itu yang saya katakan. Saya tarik balik kata-kata itu. Saya tak ada niat nak hina mana-mana ulamak!”

Di akhir program, betul seghoti kata-kata aktivis pelajar yang cabut sebelum timbalan menteri menuturkan jawapan. Semua mahasiswa yang hadir bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada wakil kerajaan itu. 

Karismanya berjaya menawan hati semua yang hadir. Aura kehebatannya memang terasa sungguh pada hari itu. Dia berjaya dalam misinya. Dia kembali ke kampus untuk menyakinkan orang-orang muda tentang percaturan politiknya. Dia mahu mahasiswa kembali berdiri menjadi soldadu, benteng dan kotanya. Tentang itu, hari itu, dia memang sangat berjaya.

Jika waktu itu alat-alat canggih-manggih sudah ada macam hari ini, maka pasti akan masuk youtube.

Jika canggih-manggih teknologi ICT waktu itu macam hari ini, maka saya fikir akan terdengar jua komen kira-kira begini:

“Dia pun macam itu jugak. Nak suruh orang dengar dulu apa dia nak cakap. Memang sama...tapi taklah serupa dengan peristiwa di UUM tu!”     

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan