Karya

Karya

Khamis, 7 Februari 2013

ANWAR DAH KURANG POPULAR DI KALANGAN MELAYU?

Ini tahun Piliharaya Umum ke-13 (PIRU 13).

Ugh, berbetulan pula dengan tahun ke-13 abad ke-21!  Nombor tigabelas itu lazimnya dikaitkan dengan kesialan. Filem seram penuh aksi kejam Friday The 13th menggunakan nombor itu sebagai paksi kecelakaan yang menimpa watak-wataknya.

Celaka Tigabelas. Itu kalimah yang digunakan seorang pensyarah (dari Tanah Seberang) yang mengajar subjek Gaya Bahasa waktu saya masih mengaji lama dulu.

Apakah PIRU 13 akan diwarnai kesialan dan kecelakaan?

Jika mahu percaya kepada 'kuasa nombor', maka akan jadilah kita macam sebahagian manusia yang betul-betul percaya 2012 adalah Tahun Datang Kiamat. Tapi yang betul dan pastinya, 2012 itu menjadi Tahun Kiamat Tak Jadi!

Kurafat mempercayai di sebalik tiap nombor ada 'kuasa penentu' berkaitan untung rugi nasib insan (misalnya tentang kekayaan, hidup, mati, kahwin, kesihatan, niaga, dan cinta).

Tapi dalam mana-mana PIRU, memang nombor atau angka akan menjadi penentu. Total undi (angka) akan menentukan kemenangan atau kecundangan seseorang calon yang bercita-cita mahu menjadi Wakil Untuk Rakyat.

Dekat-dekat tarikh PIRU 13 ini, ada pula trend baru penganalisis politik. Rupa-rupanya para sarjana itu suka bermain dengan nombor jugak!

Beberapa pakar (dalam kajian  berkumpulan) yang jadi 'nujum politik' ini telah menjalankan kajian populariti tokoh.

Ada dua kajian terbaru. Satunya (Disember 2012), dijalankan di IPTA (UM, UKM, UPM).
Siswa-siswi jadi responden. Total tiga ribu orang muda kampus yang terlibat. Dikatakan sejumlah 57% menyenangi kepimpinan PM.

Cuma musykil sikit: Apakah perkataan 'menyenangi' itu bermakna 'popular'?

Dalam laporan berkenaan, tidak dinyatakan baki undi popular itu pergi kepada tokoh parti mana. Tidak dinyatakan jugak peratusan mahasiswa yang 'menyenangi' Supremo PKR. 'Seteru politik' PM yang paling berpengaruh dan begitu menggugat kedudukan parti pemerintah sejak PIRU ke-12.

Satu lagi kajian (26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013) diketuai seorang profesor dari kampus tersohor di Lembah Pantai.  Total respondannya  1,409. Kajian yang dijalankan di Semenanjung itu tidak fokus kepada pemuda-pemudi di kampus seperti kajian yang pertama tadi. Ia nampaknya lebih menyeluruh tetapi total respondan jauh lebih kecil.  Barangkali total responden itu bukan isu. Sarjana yang mengkaji boleh berikan 'rasional yang benar dan betul' tentang alasan sejumlah itu saja jadi pilihannya.

Kita pun tak nak debat dan heboh tentang 'jumlah sampel' ni. Sarjana punyai kaedah dalam pilihan saiz dan demografik respondennya. Kita anggap saja kaedah itu 'sahih' dan 'boleh dipercayai' (valid and reliable). Begitu jugak dengan hasil kajiannya.

Dari segi populariti, ikut kajian itu, Supremo PKR dikatakan mendapat 52%. Meninggalkan agak jauh PM di tangga kedua, meraih 30%. Presiden PAS mendapat 24%. TPM pula, hanya memperolehi 15%.

Barangkali tokoh dari Johor itu boleh hilang 'wang cagaran' kalau hasil kajian ini benar-benar undi piliharaya!

Benar dan betulkah hasil kajian para nujum piliharaya itu? Lagi sekali, itu bukan persoalan pokoknya.

Yang perlu dilihat, media mana satu yang menyiarkan hasil kajian-kajian berkenaan.

Tentang populariti PM di kalangan orang muda itu, tertera di muka depan akhbar Berita Harian (31 Januari 2013). Manakala berita tentang populariti Supremo PKR mengatasi PM, tersiar dalam Suara Keadilan (29 Januari 2013). 

Tak perlu takwil dan tiada musykil, akhbar-akhbar berkenaan menyokong tokoh yang mana dan parti apa. Sudah terang lagi bersuluh!

Kita rasa molek jugak kalau dipetik sebahagian laporan lidah rasmi parti pembangkang itu (di halaman 7):

"Di kalangan Melayu, Najib memperoleh undi 46 peratus, diikuti Abdul Hadi 36 peratus, Anwar 34 peratus, dan Muhyiddin 26 peratus. Keputusannya berbeza di kalangan kaum Cina di mana Anwar muncul paling popular (61 peratus), diikuti Najib (35 peratus), Muhyiddin (15 peratus)."

Tidak dinyatakan undi untuk Presiden PAS daripada responden Cina. Barangkali tidak berbaloi untuk disebutkan. Barangkali total undinya pada tahap 'menghanguskan wang pertaruhan' saja!

Cuma rasa musykil sikit: Kenapa populariti Supremo PKR di kalangan Melayu hanya pada tangga ke-3? Dulunya, waktu Gerakan Reformasi tengah menggelegak, majoritinya Melayulah berdiri teguh di belakang tokoh itu. Sokongan Melayu kepada DSAI ini digambarkan kejatuhan Darul Iman kepada PAS pada  PIRU ke-10 (tahun 1999).

Waktu itu, tiada kajian oleh nujum politik yang tersebut. Kali ini, sarjana politik ini membuat kajian. Hasilnya, DSAI nampaknya tidak popular seperti undi yang diraih PM di kalangan pengundi Melayu!

Apakah ini tanda-tanda corak pengundian di negeri-negeri majoriti Melayu pada PIRU ke-13?

Kita pun rasa gatal nak jadi nujum jugak, jika laporan kajian itu boleh menyatakan alasan-alasan yang diberikan oleh para pengundi Melayu dan Cina, yang meletakkan tiap tokoh pada 'tahap kepopularan' yang berkenaan. 

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.          


 
    

    




    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan