Karya

Karya

Khamis, 14 Februari 2013

RUPA-RUPANYA SAHABATKU KEPALA GANGSTER!




Dah terlalu lama tak jumpa. Jadi tak relevan lagi mahu dihitung total tahunnya. 

Lepas habis SPM ada ketemu dua tiga kali di Bandar Darul Iman. Waktu sambung belajar di tingkatan enam di Bandar Tun Razak, tiada berhubungan lagi. Dengar cerita dia masuk UTM. Tiada kepastian sebenarnya. 

Begitu jugak selama saya ngaji di Kampus Lembah Pantai. Terputus terus. Tiada berita apa-apa. Tahun 80-an, mana ada fb, sms atau apa-apaan alat komunikasi yang canggih-manggih macam hari ini.

Ada jugak bertanya khabar kepada teman-teman yang lain. Ingat jugak kepada dia. Kolah memori tidak kering, dan tidak tiris.  Tidak  terhapus ingatan kepadanya.

Tidak mungkin. Kerana dia seorang daripada ‘sahabat mi maggi’ pada zaman remaja di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Berkocak kolah memori. Riaknya  membawakan lintasan kenangan yang segar amat.

Waktu itu, pertengahan tahun tujuh puluhan. Kami baru tingkatan satu. Budak-budak kampung yang masih sangat baru dengan persekitaran hidup di SBP.

Waktu itu juga, mi segera (yang terkenal ialah cap maggi) jadi makanan amat popular di asrama. 

Sudah jadi tabiat, kalau kami (Aleng, Usin & Udin) teringin nak makan ‘maggi’ tempat ‘memasak’ ialah di tingkat paling atas asrama lelaki. Kalau tak silap saya tingkat tiga. Sudah terlupa berapa tingginya blok itu. 

Di tingkat paling atas itu, ada beberapa dormitari yang tiada penghuni. Tapi digunakan sebagai stor katil dan tilam yang berlebihan atau rosak.

Masak (sebenarnya rebus!) mi maggi mudah saja. Didih air dalam baldi, guna heater yang boleh disangkut di birainya. Lepas tu, tuang air mendidih ke dalam tiga mangkuk berasingan. Tiga minit tunggu sudah tersedia untuk dimakan mi segera yang direndam perisa kari. Slurrp! Ugh, sedap bukan main makan mi maggi panas-panas!

Masih kuat dalam kolah memori. Baldi kecil warna merah kepunyaan Udin, yang digunakan untuk rebus mi maggi itu, pecah akhirnya. Kerana gurau-senda sesama rakan-rakan, baldi itu terjatuh dari tingkat satu, letaknya domitari kami. 

Pecah dan tidak berganti. Lepas itu, kami pun tak naik lagi ke tingkat paling atas asrama lelaki. Tidak punya bajet untuk beli baldi baru. Tak tergamak pulak nak guna baldi besar yang sedia ada. Itu digunakan untuk rendam macam-macam pakaian, yang akan dicuci  di hujung minggu.  Termasuklah stokin, tuala, uniform, seluar dalam, kasut, baju, cadar, sampul bantal, dan pelikat. Jadi tak tergamak nak rebus mi maggi dalam baldi serba guna itu!

Pertengahan Januari lepas saya balik kampung. Hadir dua kenduri anak saudara. Pertama pernikahan, keduanya pertunangan. Anak-anak kakak yang tengah, dan abang yang sulung.

yang hensem, yang gedebe & yang selamba!
Selesai kenduri, petangnya terasa nak telefon Usin. Kemudian telefon Tom pula. Tengah hari itu, kami jumpa di Pantai Batu Buruk.  Zali dan Zuki mari sekali. Usin yang ajak. Tengah makan, kami terkejut. Dia muncul dengan seorang rakannya. Tanpa diundang. Ditakdirkan dia melintas di situ ketika kami sudah di penghujung makan dan minum. 

Ini sudah takdir-Nya. ‘Sahabat Mi Maggi’ bertemu di Pantai Batu Buruk setelah begitu lama tidak bersalaman dan bergurau-senda.

Dalam gurau-senda rakan-rakan lain yang hadir, terbit cerita, dia kini ‘turun naik’ mahkamah. Jadi ‘Orang Kena Tuduh’ dalam suatu cubaan membunuh. Dialah yang dituduh sebagai dalangnya. Dituduh sebagai ketua kepada gengnya yang kena tangkap jugak!

Ketika ditanya betul tidaknya, dia membalas pendek.
“Ambik, kamu baca sendiri!” Diunjukkan telefon canggih yang memaparkan berita sensasi. Laporan tentang suatu ‘jenayah peras-ugut’ yang dikaitkan dengan dirinya!

Ditambahnya sikit info lagi.
Katanya, “Hidup di penjara aku tak heran doh! Hari tu, sebelum masuk court, sembilan hari aku kena tahan. Kalau kena sumbat kat situ lagi, tak rasa apa-apa doh!”

Ugh, sudah lama benar tak jumpa. Betul-betul sudah sangat berubah sahabat saya ini. Tak sangka, udah jadi kepala gangster dia!

Kerana tergesa-gesa mahu segera pulang ke Lembah Kelang (dengan kereta petang itu jugak), maka terlupa pulak mahu bertanya kepada dia: "masa kena tahan, kamu makan maggi jugak ke?" 

Tak terkilan apa-apa sebenarnya. Jika balik kampung lagi, saya sudah tahu di mana dan bagaimana mahu mencari dia! Teringin benar nak tahu kisah-kisahnya selama puluhan tahun tak ketemu itu.Mungkin ada banyak yang sensasi dan mengejutkan. 

Mahu benar-benar tahu, bagaimana 'sahabat mi maggi' boleh bertukar jadi seorang yang 'gedebe seghoti' ketika usia sudah cecah separuh abad. 

Perbicaraan masih berjalan. Hukuman jatuh entah bila.

Yang betul tidak semestinya benar; yang baik tidak semestinya penawar; yang salah tidak semestinya jahat!     

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan