Sudah
seminggu lebih. Macam-macam dipos dalam fb. Satu pun tiada pujian. Nada yang
hadir ialah hampa, marah, dan dendam. Para rakan di alam siber nampaknya punyai
nostalgia masing-masing berkait ikon yang hebat itu. Pasar Kedai Payang (lebih dikenali sebagai Kedai Payang) yang akan dirobohkan!
Pasar tersohor seantero Nusantara itu (dikatakan
ranking popularitinya di tempat ketiga selepas pasar air di Bangkok), akan digantikan
dengan pangsapuri 32 tingkat, bersebelahan dengan sebuah hotel baru kira-kira separuh tingginya daripada itu.
Termasuk dalam pelan itu akan terdiri sebuah bangunan baru empat tingkat, yang dikatakan itulah nantinya Kedai Payang yang baru.
Marah, hampa
dan dendam kesumat yang dilontar dalam alam siber, kini sudah terzahir dalam
alam nyata. Tertubuh suatu badan digelar AMANAH (dikepalai seorang arkitek
termuka Darul Iman) untuk ‘memperjuangkan’ kesinambungan hidup Kedai Payang
seperti sediakala. Kekal serupa macam yang ada ‘lening’.
Beberapa NGO
(diberitakan termasuk Anak Terengganu di Perantauan) udah bergabung menguatkan AMANAH.
Ketika catatan
ini dinukil, saya tidak punyai maklumat apakah ‘suara rakyat Ganu’ yang kononnya
disalurkan melalui AMANAH itu sampai ke pangkuan Dato’ Bendahara PM. Kalau tengok
foto dalam media, PM senyum lebar saja ketika naik ‘teksi’ (beca rodatiga) depan
Pasar Kedai Payang.
Teksi Ganu! Ini
juga suatu ikon Bandar Darul Iman . Ini juga satu keunikan yang boleh sangat
dikaitkan dengan pasar yang terkenal itu. Biasanya, teksi inilah yang disewa suri
rumah untuk mengangkut barangan yang dibeli di pasar. Peniaga kecil-kecilan
(termasuk pemilik warung) juga menggunakan khidmat yang unik ini. Servisnya
bukan terhad di kawasan bandar Ganu saja. Fungsinya pulak bukan untuk bawak barang runcit
dari Pasar Payang saja.
Malahan pada zaman saya masih di kampus dulu (tahun
80-an), kalau balik dengan bas ekspres, sampai
di Bandar KT sebelum Subuh, biasa jugak naik ‘teksi ’ ni hingga ke Pulau
Musang. Hampir 20km dari Bandar Ganu tu! Tapi pengayuh teksi ni gagah orangnya.
Nampak macam dok lelah sikit pun duduk menggateh sambil bercerita!
Zaman itu, biasa
jugak saya ‘gohek’ atau gateh teksi. Bukan milik ayahanda. Saya pinjam untuk
suka-suka. Seronok gohek teksi (kalau untuk main-main!) Lebih seronok duduk
congok dalam, orang lain yang gohek. Pakai drebar!
Yang empunya
teksi itu ialah Pak Long. Selain gateh teksi, kerjanya ambil upah panjat nyiur. Kepandaiannya
yang lain ialah mengurut. Sudah lama dia kembali ke alam baqa. Al-Fatihah. Teksinya
entah ke mana. Anak-anak lelakinya tidak gohek teksi. Kerja lain. Ada yang jual
air tebu dan ada yang jad kepala tukang.
Seorang lagi
tukang gohek teksi di kampung saya ialah Pak Lah. Duduknya dekat saja dengan
rumah kami. Dia jugak sudah lama kembali menemui Yang Maha Pencipta. Teksinya jugak
sudah tiada. Anak-anaknya kerja macam-macam. Pemilik warung, pegawai kerajaan,
tukang perabot, tukang jahit, dan cikgu.
Sudah lama
seghoti tak naik teksi di Kedai Payang walaupun kerap jugak balik kampung, dan 'newor' jugak di pasar terbesar di bandar KT. Bab balik kampung ni, Aidifitri doh jatuh dalam bab 'wajib kena balik'!
Aidilfitri empat
tahun lalu saya bawak anak-anak saudara jalan-jalan di Bandar KT, dan singgah
di Pasar Payang.
Kami tak naik
teksi. Budak-budak tak mahu. Terliur mereka hanya nak rasa naik bot penambang dari
jeti Pasar Payang ke Seberang Takir. Saja suka-suka, naik bot bersama Syai, Hadi
dan Mashitah. Dua yang akhir itu anak-anak saudara (bujangan belaka) yang duduk
di Bangi.
Kami jalan-jalan
di sekitar jeti perkampungan nelayan Seberang Takir. Tempat buat keropok keping
dan keropok lekor. Lenguh berjalan, kami singgah minum di kedai kopi. Masih
fesyen lama. Bangunan zaman Jepun! Tapi makanannya Ganu Ori!
Kembali ke jeti
Pasar Payang, kami masuk ‘kompleks pasar rakyat’ itu untuk mencari ole-ole. Cari
keropok lekor. Hadi dan Mashitah mahu bawa balik ke Kajang.
Kemarin, Ahad 24 Februari.
Hadi
singgah di rumah bersama isterinya Aida, dan Aisyah (anak kecil yang pintar dan
comel). Belum sampai enam bulan mereka kembali ke tanahair. Tiga tahun mastautin
di Ireland kerana Aida mengaji PhD.
dari Kuala Brang ke Dublin. |
Dalam
sembang-sembang sambil kunyah pisang goreng, kentang dan nugget, timbul jugak
cerita Pasar Payang.
Hadi ini
dulunya pernah belajar di MRSM Kuala Berang. Sebahagian jiwanya terpahat roh ‘Ganu
Kite’! Apabila disebut tentang rancangan ‘perobohan’ pasar tersohor itu,
terkejut seghoti dia.
Spontan terpantul
daripada bibirnya, “Dia orang ingat, pembangunan tu...buat bangunan tinggi-tinggi
dan canggih saja ke?”
Dalam
cakap-cakap selanjutnya, intinya berkisar pada ‘kerugian-kerugian’ jika ikon
tersohor Darul Iman itu dirobohkan, dan bergantian yang baru.
Kerugian itu termasuklah ‘Keindahan Sosio-budaya
Yang Akan Hilang’ bersama lenyapnya Pasar Payang yang asal!
Barangkali
termasuklah hilangnya kerja si tukang gateh, yang teksinya pernah dinaiki seorang Perdana Menteri!
Permisi.
Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan