Karya

Karya

Khamis, 28 Februari 2013

Pasar Kedai Payang (4): JANGAN DITUNGGU PENYU MERAJUK!




Sewaktu mastautin di England (2000 hingga hujung 2004), saya balik jugak sekejap ke Tanah Bonda kira-kira seminggu pada awal Musim Panas 2004. Sempat jugak ‘lekuk’ ke Bandar KT. Cari ole-ole. Beli beberapa helai t-shirt tertayang imej Ganu. Tercetak lakaran tempat-tempat menarik Darul Iman. Termasuk Tasik Kenyir, Pulau Redang, dan pelbagai hidupan di taman laut.

Suka bukan main Ibrahim, Shafiq dan Shafie (anak-anak Puzi – lelaki dari Ipoh yang jadi jiran dan sahabat ketika kami masih di UK) menerima buah tangan yang ori dari Terengganu. Semua itu saya beli, tiada ke lain lagi, di Pasar Kedai Payang jua. Padahal boleh saja dibeli t-shirt itu di Lapangan Terbang Telaga Batin. Banyak seghoti koleksi ‘baju Ganu’ di kedai cenderamata di situ. Tapi beli ole-ole ikon Terengganu di tempat lain rasa macam tak tulen. Tak serupa dengan beli di Pasar Kedai Payang.

Selain beli ole-ole untuk dibawa terbang ke UK, hasrat di hati yang utama ialah nak cari kuih Terengganu yang ori. Yang paling saya ‘berahi’ ialah Gopa. Nak tergelak apabila orang luar Terengganu sebut ’Gopal’! Bentuknya macam martabak mini. Saiznya sepertiga martabak biasa. Isinya kentang dan daging kisar. Kulitnya tak macam martabak. Kulit gopa ni lebih tebal. Tapi lembut, lemak dan empuk. Jauh lebih sedap daripada martabak!

Lening ada dijual ‘gopa segera’ dalam pakej sejuk-beku. Tapi tak sama dengan yang ori, yang tentunya dibeli di Pasar Kedai Payang. 

Kerana dah lama tak rasa, waktu ziarah sekejap tu, saya beli enam keping. Tak sempat sampai di rumah, dan tak hulur kepada orang lain. Padan habis dikunyah sorang-sorang dalam kereta!
Kuih gopa ni memang ori Ganu punya. 

Ketika mastautin di Kedah dan Kelate pada hujung tahun 1980an hingga awal 1990-an, seingat saya tiada kuih-muihnya yang boleh tandingi keenakan gopa. ‘Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu’ ini (dari Zaman Kolonial hingga kini), memang terkenal dengan ‘kemewahan dan kepelbagaian’ kuih-muih tradisional. Walaupun banyak pilihan, ole-ole dari Kelate yang akan saya bawak pulang ke Ganu ialah dodol dan sambal daging (serunding). Manakala dari Kedah pula ialah ‘kuih karas’ dan jeruk buah salak. Tapi tak ada pulak kuih-muihnya yang betul-betul saya gemari, dan tiada yang seenak gopa!

Takat ni, takdok gopa yang paling sedap selain yang terjual di Pasar Kedai Payang! 

Kerana itu, setiap kali balik kampung ‘waktu cuti wajib’ Aidilfitri, saya bajet jugak masa untuk pergi beli gopa di pasar yang tersohor itu. Tapi bukan itu sebabnya semata-mata.

Dalam usia sudah setengah abad ini, terasa benar seronoknya kembali merayau di tempat yang memberikan banyak pengalaman dalam memaknakan kehidupan. Terasa timbul rasa ‘suka sungguh’ apabila jalan-jalan di sekitar Pasar Kedai Payang.

Dalam usia begini, sudah berkali-kali datang membisik kesedaran. Betapa pasar ini bukan sekadar ikon untuk jadi magnet tarik pelancong ramai-ramai.

Ini pasar punyai makna dan manfaat lebih besar dari itu.
Ini pasar, tempat tumbuh dan hidup jatidiri sebahagian rakyat Darul Iman.

Nak tengok tulen anak Terengganu, boleh saja diketemui di pasar ini.
Dengar gaya cakapnya, dan perhati budi pekertinya.

Seorang PM sudah datang berkempen di sini. Berarak naik teksi, tunjuk semangat tinggi. Mahu kasi lihat dia sangat memahami kehendak rakyat Darul Iman, dan cakne benar masa depan mereka.

Singgah ziarah tak sampai sesuku hari, tentunya dia tidak mengerti akan hati nurani orang Ganu. Dalam sanubari yang kerumuni dia ramai-ramai itu, siapalah yang tahu!

Sebab orang Ganu ni ada jugak sikit-sebanyak duduk tiru tabiat sang penyu.
Memang boleh orang duduk main atas belakang ia. Memang boleh orang curi dan makan telurnya. Memang nampak diam. Tak Nampak marah kat siapa-siapa.

Tapi sekali ia merajuk, jauh sayup ia menyelam.

Susah nak teka. Mahu bertukar ke mana haluannya.
Sedar-sedar, timbulnya di laut yang lain, dan bertelur di pantai yang baru!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan