Karya

Karya

Selasa, 26 Februari 2013

Pasar Kedai Payang (2) "KEINDAHAN YANG HILANG"



Keindahan Yang Hilang.

Ayat yang cantik itu, sebenarnya saya kutip daripada tajuk sajak yang terkumpul dalam antologi yang dijadikan teks wajib Sastera Melayu. Penyairnya ialah Shamsudin Jaafar.

Ketika itu, tahun 1981. Saya tengah ngaji di tingkatan enam Sekolah Alam Shah, Bandar Tun Razak.

Temanya tentang pembangunan yang rakus, hingga memusnahkan alam sekitar. Masih segar akan baitnya yang mengungkapkan kesan hebat penerokaan hutan rimba kepada hidupan unggas.
“sayup-sayup undan tua berlagu hiba.”

Undan adalah lambang kehidupan lestari, bebas dan liar alam rimbaraya. Tidak mudah untuk menemui spesis burung ini, kecuali rajin melawat Zoo Negara.    

Sewaktu berkhidmat di Kampus Sintok (awal tahun 90-an), suatu hari pernah terjadi kecoh kecil di pejabat am  Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik (SBPS). Ditakdirkan saya terserempak dengan seekor undan yang sedang rehat di luar tingkap. Berebut jugalah beberapa orang staf mahu melihat hidupan unik alam rimba.

Lembah Sintok yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thai itu, sebelum terbinanya kampus universiti, adalah belantara yang hijau segar didiami pelbagai haiwan, flora dan fauna. Malahan alam rimba itu juga menjadi sumber rezeki pencari rotan dan pengumpul herba. 

Apabila diterokai untuk dijadikan kampus, timbul kekecohan agak besar. Bukan penentangan atau protes keras daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, meletus berita tentang kegiatan menebang dan mencuri balak!
Itu tanda betapa tingginya kerugian yang perlu ditanggung akibat pembangunan. Entah berapa banyak balak yang dibawa lari, dan entah berapa banyak flora dan fauna yang musnah.

Kerana itu, apabila terserempak dengan seekor undan yang tumpang rehat di atas simen belah luar tingkap pejabat, maka kecoh kecil jadinya. Ada rakan yang beranikan diri, cuba mendekat dengan hasrat mahu menangkap makhluk yang hebat itu. Tidak semudah itu. Undan yang tumpang berhenti lelah itu tangkas mengelak, dan terbang lesap diiringi bunyi yang unik (seperti memekik). 

Dukacita seghoti. Hanya sekali itulah seekor undan ‘datang ziarah’ masyarakat bertamadun yang sudah ambil-alih habitatnya. Selepas itu, selama lima tahun saya khidmat di Kampus Sintok, tidak pernah lagi ketemu haiwan yang cantik itu. 

Barangkali ketika undan itu terbang, pekikan yang dibunyikannya itu adalah lagu hiba tentang ‘Keindahan Alam Asalnya Yang Telah Hilang’!  

secebis hati nurani Pasar Kedai Payang. 
suatu keindahan yang bakal hilang?
Apabila terbaca bermacam-macam posting yang ‘bising bangor’ dalam Fb tentang rancangan perobohan Pasar Kedai Payang yang asal, segera datang bait daripada sebuah sajak yang saya studi (kerana nak masuk periksa!) kira-kira 30 tahun dulu.

Walaupun latarnya berbeza. Belantara yang memberikan kehidupan kepada pelbagai makhluk. Dengan sebuah pasar yang menjadi nadi rezeki pelbagai lapis rakyat jelata. 

Antara kedua-duanya punyai jalinan. Tentang keindahan-keindahan yang kekal lupus, dan yang bakal hilang. 

Terlintas bayangan kabur melakarkan suatu musykil:

Apakah suatu hari nanti akan singgah “Undan Tua Yang Berlagu Hiba” di birai tingkap Pasar Kedai Payang yang baru dan canggih? 


Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.     

___________________________________________________
foto: ehsan daripada Zakaria Aura Batik (www.alzikr.blogspot.com)

2 ulasan: