MAMA, BOLEH SAYA KAHWIN DI ENGLAND?
Pagi hujung minggu yang baru berlalu,
saya dijemput hadir ke rumah seorang waris kerana urusan besar. Ada jejaka
menyatakan hasrat mahu hantar ‘agen perisik’ ke rumahnya! Lantas saya dipelawa
menyertai pertemuan dengan ‘perisik’ berkenaan.
Ketika perbincangan berlangsung (bertukar-tukar
maklumat, bukan dokumen!), diungkit tentang majlis susulan. Maka timbul pula soal
kaedah melaksanakannya. Mahu ikut ‘adat atau biasa-biasa’ saja.
Hakikatnya, inilah citra hidup bermasyarakat
dalam kemakmuran dan keharmonian. Bisa bangat dua famili merangka jadual menyempurnakan
‘pembinaan sebuah masjid’ tanpa kegawatan ekoran hambatan-hambatan ekonomi, sosial
dan politik.
Makmur dan harmoni sekali. Apabila
sang jejaka menyuarakan hasrat kepada ibu bapa, dan isyarat di pihak sang gadis
betapa ‘jalannya tenteram’, maka ‘agen perisik’ pun dibebankan mandat untuk mempastikan
‘jadinya’ saja!
Sempurna. Segalanya lancar dengan
kehendak-Nya.
Malamnya, memori menjalar jauh.
Membawa nostalgia ketika di perantauan. Menimbulkan peristiwa lama bermacam
perkara. Termasuk yang istimewa tentang ‘usaha bina masjid’. Di negara Orang
Putih!
Apa reaksi ibu bapa di Tanah
Bonda, jika suatu hari (dalam makmur dan damai) menerima permintaan daripada
anak gadisnya: Ibu, boleh saya kawin di sini saja? Di England ni?
Hasrat yang boleh dinyatakan
melalui pelbagai cara - sms, fb, telefon, emel, skype – mungkin sangat
mengejutkan ibu bapa.
Sebenarnya, tidak mudah untuk mengawal,
dan mengawasi anak-anak jika sudah tinggal berjauhan begitu. Hendak terbang
dengan segera mungkin tidak termampu kerana hambatan kewangan, masa, kerja dan
jarak. Tidak terdaya emak ayah mahu meluahkan rasa marah-marah tak tentu fasal,
mahu menghalangi perkahwinan itu kerana gadis itu boleh berkahwin di sana, dan
terus merajuk tidak pulang-pulang lagi ke Malaysia kerana kecil hati. Ibu bapa pun
akan dirundung malang, dan menghadapi tekanan berat jika anak gadis itu yang
sulung pula!
Mari kita ambil iktibar daripada
satu kisah yang berlaku di kalangan pemuda-pemudi Melayu yang studi dan bekerja
di England.
(nota: kerana tidak mahu melukai
sesiapa dan mahu dielakkan hal sensitif, maka nama-nama watak ditukar dan
lokasi tidak dinyatakannya.)
Peristiwa ini berlaku di Musim Panas, tahun 2002.
Samad yang
berbaju tebal dan memakai tutup kepala hingga menudungi telinganya mengetuk pintu.
Walapun sekarang Musim Panas, dinginnya tetap terasa. Panas yang dingin sekali!
Tidak tahan ‘kulit Melayu’ digigit sejuk
persekitaran. Beberapa minit kemudian, seorang lelaki tinggi sederhana, badannya masih steady (usia hampir empat puluh, tidah terbeban dengan tayar spare di pinggang), membuka
pintu. Selepas bersalaman mereka beredar ke bilik tamu.
“Pak Jalil, saya
datang bawak hajat besar. Minggu depan, Amy dan Junaidy pelan nak pindah rumah,
duduk sekali...”
Tak jadi meneguk
kopi panas, ternganga Pak Jalil. Terus dia mencelah, “Budak-budak ni dah sesat
ke? Belum kahwin dah nak duduk sekali?”
Akhirnya,
setelah menerima penjelasan daripada Samad, barulah Pak Jalil mengurut janggut,
menyimpulkan senyum. Samad - yang dianggap sebagai ketua tidak rasmi di
kalangan pemuda-pemudi Melayu di kawasan majoriti dihuni Pakistani.
Rupa-rupanya, Amy dan Junaidy sudah pelan untuk berkahwin dalam tempoh
seminggu. Mengikut keterangan Samad, si gadis itu sudah memaklumkan kepada ibu
bapanya, yang kononnya sudah pun memberikan lampu hijau.
Pak Jalil yang menghuni di hujung blok rumah teres dua tingkat itu masih
ragu-ragu. Dia meminta Samad menjemput pasangan yang mahu berumahtangga itu
singgah di rumahnya dalam kadar segera.
Esoknya, apabila berbual dengan Amy dan Junaidy, barulah terbuka rahsia.
Ayah dan ibu si gadis sebenarnya tidak merestui perkahwinan itu. Mereka mahu anak
gadisnya pulang ke tanahair jika benar-benar mahu berkahwin dengan pemuda
pilihan hatinya – Junaidy, yang mengaji dalam bidang yang serupa, masuk
universiti yang sama dengannya. Dikatakan, mereka sudah ‘berkawan’ sejak di
sekolah menengah lagi. Ibu bapa kedua-dua belah pihak saling mengetahui
hubungan anak-anak mereka.
Sebagai jalan keluar, Pak Jalil menelefon ayah Amy yang tinggal di Lembah
Kelang. Setelah berbual panjang dan memahami kedudukan anak-anak mereka,
akhirnya, ayah Amy bersetuju mewakilkan wali kepada Pak Jalil untuk menikahkan
Amy dengan Junaidy.
Pak Jalil yang sedang mengaji PhD, sudah empat tahun (semester akhir)
bersama keluarganya, tinggal di kawasan perumahan berkenaan. Dia bukan sahaja
disegani oleh pemuda-pemudi Malaysia yang studi atau bekerja di bandar
berhampiran, lima keluarga Melayu lain yang tinggal di situ mengangkat dia
sebagai ‘penghulu’ mereka. Penghulu kepada ‘masyarakat kecil’ Melayu ini juga mempunyai kenalan di kalangan komuniti Pakistan. Malahan
hubungannya sangat baik dengan imam masjid di kawasan itu.
Atas keperibadian itu, tidak sukar Pak Jalil mengaturkan majlis
pernikahan di sebuah masjid yang sederhana besar. Malang sedikit, pak imam yang
jadi jurunikah tidak membenar sebarang gambar diambil ketika majlis berkenaan
diadakan di dalam ‘masjidnya’. Aapbila diungkit soalan. Jawab Tok Imam singkat,
“Haram!”
Selesai majlis itu, dua hari kemudian kenduri sederhana diadakan di rumah
Pak Jalil. Meriah sekali. Bahkan sempat pula komuniti kecil Melayu di situ
‘mendirikan’ sebuah pelamin untuk persandingan pengantin!
Atas usaha Pak Jalil juga, urusan pendaftaran pernikahan itu dengan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di
Kotaraya London tidak berdepan dengan sebarang masalah. Walaupun ikut peraturan yang sepatutnya
dokumen (termasuk mohon permisi) dihantar ke MSD sebelum pernikahan dilangsungkan.
Enam bulan selepas pernikahan itu, ibu Amy mengunjungi pasangan penganti
baru itu. Datang dia bersama birasnya, ibu Junaidy! Tiada masalah langsung. Gembira
sungguh kedua-duanya bertemu menantu.
Enam bulan kemudian Pak Jalil kembali ke Malaysia. Berjaya dia dalam
Phd-nya.
Dua bulan selepas itu, Amy dan Junaidy pula kembali ke Tanah Bonda. Dia mendapat
pekerjaan di sebuah syarikat multi-media. Manakala Junaidy menjadi tutor di
sebuah kolej swasta. Kenduri diadakan seminggu selepas mereka jejak kaki di
tanahair.
Ramai sahabat-handai dan waris-warah yang datang berkunjung.
Sewaktu bersalaman dengan Junaidy yang segak dalam pakaian songket hasil
tenunan Terengganu, dan tersisip keris di pinggang, Pak Jalil sempat mengusik.
Sambil ketawa kecil lelaki berjanggut sejemput itu, yang kini sudah miliki
gelaran ‘doktor’ itu muncungkan mulutnya
kea rah Amy. “Wah, sudah bertambah saiz badan ni! Bunting kelamin ke? Bila
dijangka tarikhnya?”
Sambil mengusap perlahan perutnya yang memboyot itu, tersipu-sipu Amy
menjawab, “Err...empat bulan lagi!”
Begitu kisahnya. Asal ‘sebuah masjid’ terbina jauh di perantauan. Tanpa
kehadiran ibu bapa kedua-dua pihak. Tiada pula waris-warah terdekat. Tidak ada sebarang
‘risikan’ menjadi pemula. Malahan majlis nikahnya pula tidak ada sebarang rakaman!
Suatu suasana yang ‘sukar’ terjadi di Tanah Bonda yang makmur dan aman
damai ini. Kecuali ‘masjid terbina’ secara senyap-senyap dengan menaiki perahu
menyeberangi Sungai Golok!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan