Dua puluh dua tahun. Tidak disangkal, lama seghoti. Tentu juga pengaruhnya tidak sedikit dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik rakyat jelata di Tanah Bonda. Kalau seorang bayi dilahirkan pada tahun 1982, sampai dia jadi belia dan hampir nak habis ngaji, dah nak tubik universiti, Bendahara Tanah Melayu tiada orang lain, Tun dari Utara itulah. Besar sekali akan terjadi, bayi tahun 1982 itu, yang jadi belia dan sudah hampir akan bergelar graduan pada tahun akhir Tun pegang tampuk pemerintahan, dalam mindanya tiada PM yang lebih baik. Hanya Tun sajalah!
Mungkin jugak berlaku sebaliknya. Bayi yang lahir pada tahun 1982 itu, siswa di universiti pada tahun akhir Tun jadi PM, kerana 'gelombang kebangkitan rakyat' pada tahun 1998, maka bayi yang dah jadi belia itu punyai perspektif yang bertukar. Terbalik kuang 360 darjah. Dia mungkin bukan lagi 'pemuja' dan terpegun dengan Tun. Dia mungkin akan menjadi pengikut ceramah dan pengekor bermacam-macam laman web yang bercambah-cambah. Banyaknya yang mengutuk kerajaan, dan mengeji Tun yang amat banyak jasanya itu! Ini akibat Perang Besar Melayu 1998. Hinggakan Tun jadi hampa, dan melabelkan kita "Melayu mudah lupa!" Dituduhnya kita begitu, seolah-olah semua Melayu sudah lupa segala jasa-jasanya.
Sebenarnya Tun mungkin terlupa, hakikatnya waktu 'gerakan reformasi' melanda Tanah Bonda, yang begitu ramai jadi pengikut, yang rajin demonstrasi di jalan TAR dan sekitar Masjid Jamek serta di pinggir Bangunan Sultan Abdul Samad itu, rata-ratanya orang-orang muda. Umur dalam lingkungan awal dua puluh hingga cecah empat puluh. Mungkin ramailah jugalah bayi yang lahir pada tahun 1982 itu, jadi pemarah, pembenci dan pendendam yang memekik di jalan-jalan utama di tengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur. Mereka bukan lupa jasa-jasa Tun, tapi terkejut seghoti dengan sepak terajang politik yang begitu brutal. Golongan muda yang sepanjang remajanya menerima limpahan nikmat daripada kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan politik, ekonomik dan sosial bangkit memberikan reaksi kepada krisis kepimpinan negara tahun 1998. Mereka bangkit dan menuntut 'keadilan' mengikut kacamata mereka. Jadilah mereka sebahagian daripada ombak reformasi yang menghempas kedamaian negara.
Apakah Negarawan itu tewas dan tunduk kepada desakan kumpulan reformasi? Apakah Tun menggigil dan ketar lutut tengok seolah-olah seluruh rakyat jelata bangkit menentangnya kerana hukuman yang telah dijatuhkan kepada seorang supremo politik yang mendokong cita-cita generasi muda? Apakah hangus dan terkorban Dato' Bendahara dek semburan api kemarahan rakyat jelata? Hakikatnya, ini soalan retorika saja. Semua rakyat Malaysia tahu bahawa itu tidak berlaku!
Tun yang jadi Bendahara di waktu itu pengaruhnya amat kuat dalam aspek kehidupan ekonomi, politik dan sosial seluruh Tanah Bonda. Bukan itu saja. Dalam bab politik, Tun licik dan punya berpeti-peti muslihat. Tun tidak punggah barang dan cabut lari dari istananya. Tidak macam Sultan dan Bendahara Melaka sewaktu Jebat mengamuk dan merampas mahligai kekuasaan.
Seorang pengalisis politik (bekas pensyarah sejarah di sebuah IPTA ternama, pernah jadi orang kuat di sebuah pertubuhan media), menggelari Tun itu sebagai seorang 'Grand Master' dalam dunia politik Tanah Bonda. Dalam maksud yang lain, Tun adalah seorang Mahaguru dalam dunia politik tanahair. Tidak bisa dikalah hanya kerana rakyat jelata ramai yang dah jadi pembenci, pemarah dan pendendam.
Waktu itu, dengan pelbagai ceramah politik yang menghentamnya, dikuatkan lagi dengan bermacam-macam laman web yang mengutuknya, terlihat seolah-olah Tun akan terguling dan jatuh tersembam dari menara kekuasaan. Seolah-olah akan tamatlah riwayat politik Tun. Akan berkuburlah karier politiknya.
Akan tetapi Tun itu betul sungguh seorang Mahaguru. Bukan dia yang tergolek. Bukan dia yang terbunuh. Yang menjadi mangsa dan mengaku telah cuba dimusnahkan dengan pelbagai kaedah dan teknik 'character assassination' ialah tokoh yang seorang lagi. Tidak terbunuh serta-merta. Tapi lebam matanya. Tidak terbunuh secara fizikal. Tetapi tercalar jua peribadinya. Serangan moral yang dilancar bertubi-tubi dari tahun 1998 hingga melewati alaf baru hingga kini, ada kesan dan mendatangkan cacat jua kepada supremo politik Malaya itu!
Baru-baru ini Tun masuk gelanggang lagi. Dalam sibuk kabilah-kabilah Melayu pukul gendang perang, Tun turut berpencak silat. Banyak perkara yang dibicarakan berkait politik semasa dan kelangsungan hidup kepimpinan Melayu. Ada disebutnya, betapa perang antara Melayu dalam politik itu tidaklah sampai mengorbankan jiwaraga. Tidaklah sampai 'tembak bunuh'.
Apabila disebut begitu, maka teringatlah kita kepada peristiwa di Memali dan Lubuk Merbau. Yang terhasil daripada Perang Besar Melayu dalam politik!
Jika 'Perang Besar Melayu 1998' itu dikatakan sebagai medan tempur untuk 'membunuh keperibadian seseorang', tidak kita boleh lari daripada fakta sejarah, yang berlaku di Memali dan Lubuk Merbau itu telah menyebabkan korban nyawa, walaupun mungkin itu bukan matlamatnya!
Ah, apabila jagoan politik bersuara, begitulah selalunya. Yang salahnya orang lain belaka, dan segala yang silap itu terbeban di bahu lawannya semata-mata. Dirasakan langkahnya tidak pernah terkehel. Difikirkan bicaranya tiada yang sumbang!
Maka memang betullah, dia seorang MAHAGURU!
Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.
(artikel ini ada sambungan dalam bahagian kedua. Insya-Allah)
___________________________________
petikan yang relevan daripada Malaysiakini
judul: "Dr M: '...Marah tak sampai tahap nak tembak, bunuh'
masa/tarikh: 8.32AM/ Dis 4 2012
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun terdapat perbezaan politik di Malaysia, ia tidak menjejas kestabilan dan pembangunan negara.
Malah keadaan ini membenarkan kerajaan yang dipilih membangunkan negara ini dalam tempoh 55 tahun sehingga lebih baik dan mencapai kemajuan ekonomi menakjubkan berbanding negara yang mencapai kemerdekaan sama dengan Malaysia, katanya.
"Walaupun kita (kerajaan) marah kepada parti lawan (pembangkang) dan parti lawan marah kepada kita, tapi ia tidak sampai tahap nak tembak bunuh. Itu bukan budaya kita.
"Oleh itu, kita harus kekalkan. Kalau ada masalah, kita berbincang dan berdebat dalam Parlimen," katanya pada majlis makan malam merai tiga anggota Dewan Negara yang tamat tempoh lantikan di Bangunan Parlimen malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan