Dari dulu hingga kini, saya tidak pernah jadikan kucing sebagai haiwan kesayangan. Waktu kecil-kecil dulu, ketika masih duduk ramai-ramai di rumah pusaka bonda, hanya adik perempuan (MekNah) yang ‘beghahi’ bela kucing. Kucing warna keperangan, ada tanda putih di dahinya, digelar Geronimo. Kerana abang saya PokDeng beghahi seghoti baca novel-novel koboi, lantas watak pahlawan Apache yang terkenal itulah menjadi pilihannya. Maka tak diterimalah buah fikiran adik-adik lain yang berlumbaaan mahu berikan nama yang sedap-sedap untuk kucing kecil yang masih terhegeh-hegeh belajar menapak. Akhirnya, kerana patuh kepada senioriti, maka terlekatlah nama itu pada si comel warna keperangan.
MekNah memang beghagi kat kucing. Dia yang rajin menjaga kucing itu hingga akhir hayat Geronimo. Matinya, dipatuk ular. Tak pasti ular apa. Dua bekas tusukan taring di badannya yang sudah kaku tidak memecahkan misteri kematiannya dipatuk ular spesis yang mana. Selepas itu, Meknah dapat kucing yang lain. Mudah sebenarnya mendapat kucing. Kerana ada saja kucing sesat mengeow di rumah kami. Kali ini dinamakan ‘Putih’ ambil asbab bulunya yang putih hampir seluruh badannya, kecuali sedikit tompokan hitam di atas kepalanya.
Kucing kedua itu, seperti yang pertama, tiada orang lain yang beghahi akan ia, kecuali MekNah. Syampu. Bawak ke klinik. Makan minum. Gurau-senda. Dukung. Peluk. Belai. MekNah buat semuanya untuk Si Putih, yang dibela dalam serba kesenangan – tempat tidur selesa, makan-minum terjaga, dan kesihatan dicakna.
Tapi kucing ini masih punyai sifat kekucingan yang tulen. Barangkali kucing kampung memang begitu. Masih beghahi tangkap tikus. Tetap beghahi bergomol dengan kucing lain yang tersesat atau sengaja curi masuk ke rumah kami. Ada kalanya, kami akan jumpai tikus yang sudah terkulai, dengan darah dikepala dan leher, kaku di lantai. Sesekali terjumpa jua Si Putih bermain-main dengan tikus yang masih hidup. Dibulinya. Ditangkap, dilepas, dikejar, ditempeleng, dan dicekup!
Kalau bergomol dengan kucing liar yang tersesat atau sengaja intai peluang mahu mencuri makanan, pantang sekali ia berundur. Riuh-rendah laman rumah dengan suaranya sedang berkelahi. Jika tidak dileraikan, boleh sampai terberak mana-mana kucing yang sedang tunjuk jantan itu.
Tapi sayang MekNah kepada kucingnya itu tidak terpadam hingga pulang ia ke alam baqa kerana sakit tua. Si Putih disemadikan ‘di kubur tak bertanda’ di laman rumah. MekNah yang tanam ia di situ. Seingat saya, selepas kematian Si Putih, tiada lagi kucing lain MekNah bela. Saya tak tahu kenapa.
Sampai sekarang pun, MekNah yang lawa bergaya itu (anak enam, masih slim tak cecah lima puluh kilogram beratnya) sudah tak beghahi bela kucing lagi. Mungkin fokus jaga suami, dan anak-anak yang separuhnya masih di bangku sekolah. Mungkin kali ini, sepenuh beghahinya hanya untuk Mizi, suaminya!
Kemarin, kami singgah di rumah Pak Jamal. Berpakat mahu sama-sama pergi kenduri di Bangi. Lepas kenduri, dia dan isterinya (termasuk mentua saya dan Yang Tersayang) bergegas ke Putrajaya. Hasrat ziarahi waris jirannya yang keuzuran. Saya tidak serta. Mengantuk dan mahu santai saja.
Sambil nonton tv, berbual-bual dengan anak jantannya yang bongsu – Omar Widaad. Ghairah budak pintar ini bercerita tentang kucing kesayangannya bernama Puss. Kucing manja dan suka bangat bergurau-senda. Ditemui ketika Widaad dan famili bertandang ke sebuah klinik. Waktu itu hujan. Dengar khabarnya, budak celik IT inilah yang ternampak kucing kecil kurus yang menggigil kesejukan di luar klinik itu.
Kerana belas ehsan, hari itu bermulalah kehidupan seekor kucing belang-belang di sebuah banglo yang gah.
Makan-minum terjaga. Bebas keluar masuk mana-mana bilik yang disukainya. Jika mahu ‘membuang’ ia akan melepas di setompok pasir yang sengaja dicurah di tepi rumah. Kiranya, macam tandas khas untuk kucing belang-belang bergelar PUSS. Kesihatannya terjaga. Sakit demamnya segera dirujuk ke klinik. Jika famili Widaad bercutian, Puss akan dihantar ke sebuah klinik haiwan. Nginap ia di situ beberapa hari. Tinggal di ‘apartment kucing’ menunggu detik tuannya kembali.
Hari ini, genap setahun Puss hidup di banglo itu. Kerana jagaan yang bagus, nampak benar ia seekor kucing yang cergas dan comel. Gemar ia bergurauan dengan siapa jua yang rajin melayan. Malahan saya yang jarang main-main dengan kucing ini pun mahu diajak bergurau jugak!
Sambil dengar ceritanya, saya timbulkan musykil kepada Widaad, “Puss suka buat apa? Err...yang paling ia suka?”
Budak jantan yang sudah mulai terserlah akan jadi pemuda hensem itu menjawab sambil matanya masih fokus kepada console. Dia tengah asyik dengan PS3, game bola, Sepanyol lawan Brazil.
“Puss suka main-main. Kacau orang. Lepas tu, suka baring-baring. Dalam bakul. Dalam baldi! Puss ni...malas! Suka relaks! Suka tidur!” Widaad senyum berkali-kali berselang tuturnya. Nampak bangga dia dengan tabiat kucing kesayangannya itu.
Saya pun mari akal mahu mengusik. “Puss tangkap tikus tak?”
Kali ini Widaad nampaknya teragak-agak mahu menjawab. Mungkin dia tercari-cari jawapan yang terbaik. Senyuman mendahuluinya tuturnya. “Tak pernah. Rumah ni tak ada tikus!”
Saya diberitau kemudiannya, Puss juga tidak pernah berkelahi dengan kucing liar yang mahu mencuri masuk ke banglo itu. Pernah sekali, Puss tidak ‘melepas’ di tempat biasanya, di atas tompokan pasir, jamban khas untuknya. Sebabnya? Seekor kucing jantan lepak di atas kakilima bersebelahan tompokan pasir itu. Kerana kucing jalanan warna hitam buat tak endah dan tak mahu meminggir, maka Puss yang baik hati ‘melepas’ di atas rumput betul-betul di depan pintu utama banglo berkenaan!
Ah, kucing jantan yang hidup dalam serba kemewahan. Bukan saja tak pernah tangkap tikus, berkelahi dengan kucing lain pun ia tak mahu!
Entah-entah jika melintas tikus depan matanya, Puss tidak akan buat apa-apa. Kerana saya rasa ia tak pernah kenal pun tikus!
Mai terfikir jugak. Barangkali beghahi berkelahi dan reti tangkap tikus itu tidak penting. Yang lebih penting ialah jalinan kemesraan antara dua makhluk. Insan dan haiwan. Terbenih belas ehsan di hati Widaad, ketika pertama kali dia terjumpa PUSS di tepi sebuah klinik setahun lalu. Subur jiwanya dengan sifat kasih-sayang kepada sesama makhluk Tuhan. Barangkali segar cergas kucing itu, gambaran kembang mekarlah kasih-sayangnya kepada anggota keluarga dan insan lain sekelilingnya.
Hebat seekor kucing bukan kerana pandai tangkap tikus dan berani berkelahi. Hebat seekor kucing kerana sifat dan sikapnya dapat menambah bahagia kepada seorang budak lelaki!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
____________________
Nota:
i) ‘Beghahi’ dalam loghat Terengganu maksudnya ‘sangat suka’.
ii) foto: PUSS santai dalam baldi. Pandai bergaya untuk sesi fotografi!
perempuan bertuankan kucing mungkin dah boleh anggap perempuan tiga suku, tetapi bila kaum jantan pun sama.. isk isk
BalasPadam-aku anonymous-
dalam filem The Godfather (1972), antara adegan yang sangat memikat ialah sewaktu Vito Corleone (lakonan Marlon Brando) sedang mengusap seekor kucing. nampak benar jantan & ganasnya ketua mafia itu :-)
Padam