Karya

Karya

Khamis, 30 Oktober 2014

Kembara Pattani (4): YANG MOLEK, SEDAP & COMEL DI MALAM PERTAMA DI PATTANI!



Dalam detik akhir konvoi akan meninggalkan kampus UniSZA, ketika enjin bas lama menderam dan dingin terkepung di dalamnya, dan jagoan-jagoan mobekti sudah mula bercanda dengan jentera canggih serta anggun yang sudah dilembabi hujan renyai-renyai, masih sempat lagi seorang pegawai berpengaruh dan penting mampir dan sembang singkat dengan dua pegawai kanan yang lain.

“Ingat tu. Jangan nakal-nakal. Jangan nak curi-curi keluar malam!”

Ugh, macam ibunda.  Memberikan amaran dalam ngomelan kepada anak jejakanya yang akan kembara ke tampat yang jauh. Yang udah sohor pulak dengan pancaroba yang bisa bangat merobek tembok iman!

Kawe tak dengar sangat respon daripada pegawai lelaki yang disasarkan amaran dalam nada jenaka itu. Tapi terzahir akan termalu dia kerana usikan itu terpantul di depan seorang pegawai wanita yang nampaknya disegani pula oleh sang jejaka.

Udah terang lagi bersuluh. Maka rasanya tidak perlulah kawe tafsir lanjut maksud pegawai berkenaan.

Tapi menggetar jugak dalam hati, ‘Apakah gurauan itu penanda betapa teruknya persepsi seorang  wanita (secara umum) apabila seorang jejaka akan berpergian ke Negara Gajah Putih?’  

Teringat kawe akan kisah zaman remaja dulu-dulu. Waktu tu jaman 70-an. Sekumpulan pemuda dari kampung jiran rancang rombongan sebuah bas ke Tanah Siam. Berapa lama mereka pergi kawe tidak tahu. Kawe dapat cerita itu daripada orang lain, yang masih bujangan umur awal dua puluh. Jejaka itu yang bising bercerita apabila udah kembali. Kerana kawe suka ‘saing’ dengan sebahagian mereka, maka dapat jualah ceritanya.

Yang seronok-seronok. Yang comel. Yang molek. Dan yang sedap belaka! Tidak timbul rasa bersalah dan berdosa walaupun sebesar bijik sawi!

Kawe rasa kerana tanggapan tentang yang seronok, yang sedap, yang comel, dan yang molek itu semata-mata, maka terloncatlah pesanan bersifat amaran dalam nada jenaka sebelum kami akan bertolak meninggalkan Gong Badak.

Jenaka itu timbul lagi ketika konvoi  berhenti makan di Narathiwat. Penumpang dari sebuah bas dan van yang tengah lapar menyerbu sebuah warung kecil di tepi jalan. Makanlah kami dengan berkongsi meja tanpa mengira pangkat dan jantina. Jika berkira sangat tak mahu duduk semeja dengan orang atau jantina tertentu, maka pilihannya makan sambil berdiri, mencangkung  atau duduk di atas kerusi angin seperti dalam filem Seniman Bujang Lapuk!

Kawe makan nasi berlauk sesudu kacang panjang goreng hati ayam, dan ikan keli masak lemak. Huh, bukan sahaja sedap, menusuk rasanya menangkap ke telinga!

Kerana nampaknya itu lauk iringan yang paling tinggi permintaannya di warung Kampung Janggut ini, maka kenalan di sebelah kawe mintak jugak telur dadar macam penjamu selera di meja-meja yang lain. Dibawa pelayan penuh satu pinggan saiznya. Ugh, dengan aroma menjalar masuk hidung serta fizikalnya warna keperangan (sedikit garing) dan  nampak sedikit berminyak, memang membangkit selera. Molek benar nampaknya, duduk menanti dicarik-carik dan dimamah! 

Panas-panas diangkat dari kuali, digaul dengan nasi kosong pun kira sedap senghoti doh.

Ketika cuci tangan dan mulut di sinki, kawe perasan ada keistimewaan lain warung ini. Dari sinki merangkap tempat cuci pinggan mangkuk periuk belanga itu, kawe terpesona dengan kecomelan makhluk yang ramping, bergaya (terserlah warnaan), dan sesekali bersiul tanpa segan-silu. Comel sungguh. Kawe hitung, totalnya lima. Kawe rasa inilah pemanis dan daya penarik warung ini.

“Mermer  oghe ssining gemor lagu ning. Minok diyor. Caro oghe ssining. Minak peliharo burung. Daller kedar makhe pon gattung saghe burung limer ner butir!” Komen seorang kenalan - orang Ganu  yang lama hidup di Kelate, biasa ke Golok untuk tempah baju raya, seluar slek, dan kot lengkap. “Murah tapi bermutu”. Itu dia royak.

Ketika akan kembali ke perut bas dan van, nampak sangat masing-masing puas hati berjamu di warung itu. Ada jejaka yang berjenaka, “Di Thailand ni macam ni lah. Sedap belaka. Molek belaka. Comel belaka.” Dia berjalan sambil mengusap perutnya.
Seorang jejaka yang lain menyampuk, “Itu baru hal makan. Dok rasa hok lain lagi!”
Kedengaran ketawa kecil beberapa yang lain terloncat serentak menyambut kelakar yang punyai makna berlapis dan berlapik!

Bagi kawe pulok  yang paling sedap, molek dan comel itu ketika malam pertama di Pattani.

Hotelnya molek. Bagus servis dan selesa, walaupun murah. Lauk-pauk di Restoran Jutharos (kepunyaan hotel) terhidang berhias comel sekali. Sedap tomyam-nya pulak nombor wahid! Kalah habis restoran seafood yang pernah kawe kunjungi bersama Lateefa di Tanah Bonda!
Jagoan mobekti royak, "Dapat bantal dengan tikar pun dah kira okay!"

Hotel Park View. Murah tapi selesa dan servis bagus.


yang putih bentuk kiub itu ialah pau. mamah kapit dengan daging itik salai. tak tertahan. makan tanpa dipelawa!

kerabu pauh bercampur sotong, kerang dan udang. ugh, berair mulut!

Inilah sebenarnya yang sedap, molek dan comel yang kawe ketemu dan rasai di malam pertama di Pattani!   

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                 

Rabu, 29 Oktober 2014

kembara Pattani (3): DISAMBUT LELAKI MISTERI DI DAERAH SEMPADAN


Dalam seminggu sebelum Jumaat (17 Oktober 2014), hari dijangka bergerak konvoi Unisza ke Pattani, berlegar cakap-cakap dalam Grup WhatsApp tentang betapa tidak selamatnya kembara ramai-ramai di wilayah bergolak warisan Kesultanan Patani itu.

Walaupun kawe diberitau akan ada polis mengiringi konvoi ke hingga ke sempadan, dan disambut baton iringan itu kemudiannya oleh pihak berkuasa Negara Gajah Putih, rasa khuatir hadir jua dalam kepala. Sesiapa yang cakna akan perjuangan PULO dan ambil tahu pula tentang peristiwa di Masjid Takbai dan Masjid Kerisik, maka menjadi bergetar hati jua mengingati amaran sebegitu.

Khuatir itu bertambah nilainya kerana ada kawan-kawan yang utarakan bimbang besar, betapa konvoi sebegitu (sebuah bas, van dan 40 mobekti) mudah bangat menjadi sasaran puak-puak yang bertelagah di wilayah berkenaan. Udahlah menjadi magnet perhatian sekitar kerana rombongan diiringi peronda polis, malahan tambah tidak sedap hati ditakut-takutkn betapa kami ini akan menjadi sasaran mudah kerana tiada apa-apa senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri jika diceroboh!

Makin tinggi graf kebimbangan itu kerana dua hari sebelum bertolak, tersiar dalam media perihal kematian seorang lelaki Malaysia yang ditembak di Narathiwat!

Ini daerah pertama kami akan lalui di bumi Thailand!

Pada mula program perlepasan rasmi oleh Naib Cancelor UniSZA hingga ke Sungai Golok, sebenarnya tiada siapa pun (di sekitar kawe) yang berkecek tentang peristiwa pembunuhan itu. Mungkin mereka tak ambil tahu, tidak sedar atau benar-benar tidak punyai info tentang hal itu. Sepanjang perjalanan melalui Besut, Peringat dan pinggir Kota Bharu, tiada siapa-siapa yang berkecek mengenainya.

Seorang wartawan yang menjadi teman bercakap dengan kawe, rancaknya berkisah tentang pengalamannya membuat liputan di Lahad Datu - dalam period awal pencerobohan gerombolan soldadu Sultan dari Filipina.

Ralit dengar wartawan bercerita tentang Lahad Datu serta ditambahi rencahnya dengan kisah-kisah jenayah di Darul Iman, maka tidak tertimbul pula soal kekhuatiran diserang hendap ketika memasuki wilayah yang bergolak di Negara Gajah Putih. Sebenarnya, cara dia bercerita dalam loghat Kelate pulak jadikan kawe rasa minat dan seronok. Hinggakan rasa tak lama pula perjalanan dari Gong Badak ke Sungai Golok.

Melepasi pemeriksaan imigresen di sebelah Kelate mudah bangat dan ringkas. Ketika urusan di Imigresen Thailand, juga tiada masalah. Tiada pemeriksaan ketat.

Ambil masa agak lama kerana kami ini ramai. Sebuah bas, satu van dan 40 penunggang mobekti.

Dengar cakap-cakap kenalan yang lain, sepatutnya tidak begitu mudah. Sepatutnya ketat jugak. Yang sepatutnya dipagari karenah birokkrasi, tidak menjadi begitu.

Kerana diroyak kawan-kawan, urusan kami dipermudahkan oleh seorang lelaki Melayu yang dikatakan punyai talian erat dengan istana Darul Makmur.

Ketika santai beratur, tunggu giliran pasport dicop, muncul seorang penunggang mobekti yang menjadi magnet perhatian peserta konvoi dan orang awam yang berurusan di situ.

Motosikalnya yang menyerlah warna keemasan nampak ganas macam kuda liar, jadi makin garang dengan corak kulit ular sawa menghiasi tangki dan mudguard belakang. Tanpa topi, memakai baju-t yang tercetak lambang sayap helang besar yang kembang, dan tertulis megah kalimat tentang penunggang sejati, lelaki itu refleksi jiwanya yang bebas dan berani! Ini lagak seorang jantan tulen!

Dialah lelaki yang dikatakan 'pemudah' dan 'kabel optik' untuk melancarkan urusan peserta konvoi di Wilayah Selatan Thailand.

Lelaki misteri yang kawe tak berapa sohih info mengenainya, kini muncul gagah di depan mata. Misteri belum terungkai seluruhnya kerana kawe tak sempat nak berbual. Bertanya kabor dan bersalam.

Namanya pun hanyalah dapatan daripada kenalan yang lain.

Dia digelar Tengku Omar.

Kawe tak pasti apakah itu namanya yang sebenar atau hanya jolokan yang diberikan sesuai dengan lagak orangnya dan cocok dengan mobekti yang ditungganginya!

Apakah benar dia kerabat dari istana Darul Makmur?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.


  

  



  

Kembara Pattani (2): BARU MASUK GOLOK UDAH CAKAP SOAL TAMBAH ISTERI!



Kali pertama kawe jejak Sungai  Golok (Sungai Kolok) lama dulu. Pertengahan tahun 1994. 

Waktu kawe stesen di USM, Kubang Kerian. Jadi guru di Unit Bahasa. Antara kerja utama ialah kendali kelas Bahasa Melayu komunikasi. Spesil kelas ini kerana para pelajarnya spesil. Terdiri daripada staf warga asing yang rata-ratanya adalah pensyarah atau pegawai perubatan dari negara luar. 

Yang masuk kelas kawe ni datang asalnya dari Mesir, India, UK, dan Bangladesh. Yang sangat jarang hadir kelas ialah seorang pensyarah perubatan dari UK. Bagus sebenarnya dia tak hadir. Sebab acap kali kawe tak berapa faham apa yang dituturkannya. Slangnya dalam seghoti. Payah nak tangkap! Gelap gambar dan seriau kalau dia bertanya dengan cepat dalam slang British.

Yang ramai dalam kelas kira-kira lapan orang itu ialah pensyarah dari India. Mereka ini jarang amat ponteng kelas. Kawe pun seronok jugak ngajar puak-puak ni kerana minat yang mereka tunjuk nak belajar sungguh-sungguh Bahasa Melayu. Kadangkala untuk meriahkan suasana kawe nyanyi lagu Hindustan (dari filem Bobby dan Chal Chal Mere Sathi). Gelak sakan geng  pensyarah ni waktu kawe nyanyi beberapa rangkap lagu itu yang dihafal sejak zaman sekolah.

Apabila menyertai konvoi Amal UniSZa-Pattani kira-kira 20 tahun kemudian, bangat sungguh memori itu menerpa.

Waktu itu, kawe tinggal di Pasir Tumboh. Kalau berkereta, jaraknya tak sampai sepuluh minit ke Kampus USM di Kubang Kerian. Kerana Lateefa servis di Pusat Kesihatan Peringat, arah laluan stesen kerja kami bertentangan. Jadinya kawe guna motosikal. Bukan mobekti (motosikal besar kuasa tinggi), tapi hanya Honda Cub 80cc!

Sewaktu tinggal di sini, biasa jugak waris-warah dari Darul Iman menziarah, dengan agenda utama mahu beli-belah di Rantau Panjang. 

Kadang-kadang kawe ikut jugak. Sekali tu hingga ke Pekan Golok. Masuk koboi saja. Tak lalu ikut kompleks imigresen. Dari Rantau Panjang naik perahu. Sampai di seberang, naik pulak motosikal dengan bayaran seringgit seorang. Di Golok, waris yang naik satu perahu serius membeli kelengkapan dapur. Dia tauke restoran. 

Kawe jadi tukang ikut saja. Tak beli apa-apa. Hanya nak ambik pengalaman masuk Thailand melalui sungai, dan tanpa pasport!

Itu dua puluh tahun dulu. Tak tahu kawe masih okay ke tidak kalau masuk Thailand buat macam itu jugak. Tapi toksir kawe. Tak berani sebab waris yang jadi tauke restoran tu dah tak niaga lagi, dan tak masuk Thailand doh. 

Dulu dia berani pogor lagu tu kerana dia ada talian hayat dengan orang seberang. Isterinya yang muda orang sana! Lagi pulok, tak takut dicekup dia tu kerana tokki isterinya pulak Tok Nebher (ketua komuniti yang disegani kerana berani, bengkeng dan gagah).
“Jauh ngelamun tu! Angan-angan nak pasang lagi satu ke?”
Seorang ahli rombongan menegur. 
menapak di Kompleks Imigresen Rantau Panjang


Kawe membalas hanya dengan sengihan saja. Mana boleh komen lebih. Kerana yang berdiri depan kawe ialah Lateefa! Ugh, kawan ni tak tapis langsung.
Seorang yang lain menambah dengan bersemangat. “Sebenarnya, rahmat sungguh. Satu rahmat besar dapat kawin di Golok ni. Ini rahmat Allah. Tempat kita peraturan ketat. Nak kawin pun susah! Sini senang. Senang kalau nak kawin lagi. Maghi kawin di Golok lah. Bukan buat dosa. Maghi kawin. Bukan maghi berzina. Balik Malaysia, terus daftar. Lepas tu bayar denda. Tak sampai enam ratus riyal. Belanja kawin di sini pulak tak sampai seribu setengah. Kan murah tu. Tak payah keluar banyak belanja buat kenduri. Membazir!” 

swadikap! masuk ke Sungai Golok selepas 20 tahun
Kerana kawe tak sambut cakap-cakapnya itu, hanya kerinsing saja, maka tidak panjanglah kenalan itu berkecek. Toksir kawe lukakan hati Lateefa dengan gurauan miang macam itu. Lagipun, kawe tak ada semangat mahu kecek-kecek. Rasa nak cepat sampai ke hotel saja. Mahu mandi, makan dan berehat! Ketika menapak akan kembali ke van, kawe sempat kerling ke arah kenalan yang keceknya berkobar-kobar takdi. 

Senyum kambing tubik sebentar di bibir mengiringi komen tanpa suara, 'Ugh, baru masuk Golok, dah galak cakap nak tambah isteri!'

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Ahad, 19 Oktober 2014

Kembara Pattani (1): hero Wild Hogs dari Gong Badak!

Ini pertama kali kawe dan Lateefa jejaki bumi Pattani. Pintu kembara terbuka apabila Lateefa pelawa kawe menyertai Konvoi Amal Unisza-Patani 2014 dari Jumaat (17 Oktober) hingga Ahad (19 Oktober.

Gempak dan gegar senghoti perjalanan dari Gong Badak ke wilayah sempadan Thailand itu kerana yang mendepani rombongan kami ialah 40 buah motosikal besar berkuasa tinggi (mobekti), dikepalai orang besar dan berpengaruh di UniSZA, Profesor Dr Ekhwan Toriman.

TNC yang berkuasa atas hal-ehlwal penyelidikan dan pembangunan universiti di Darul Iman itu, tengok susuk tubuh, lagak dan peribadinya memang sesuai bangat (ppalut) digelar gembala penunggang motor besar! Menunggang Honda GoldWing warna biru, ketika menderum dan meluncur derah memintas bas di jalan lebar Narathiwat, nampak gah seghoti! 

Sekilas pandang, macam hero dalam filem Wild Hogs!


Tapi tentunya berbeza amat.

Ini hero seorang intelektual dan pembesar di sebuah IPTA.

Mengepalai konvoi ke Wilayah Selatan Thailand kerna hasrat lakukan kerja amal untuk masyarakat setempat. Ini hero punyai jatidiri yang tebal dan kukuh - Melayu dan Islam.

Jurang bezanya yang besar. Hero filem Wild Hogs tunggang mobekti bersama tiga sahabatnya mahu tubik daripada bosan rutin hidup di kawasan urban. Mereka ingin cari keseronokan baru, dan ingin lepas bebas daripada kehidupan famili.

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
___________________________________
Nota:
1    1.  Foto berkembar adalah sewaktu majlis pelepasan konvoi oleh Naib Canselor UniSZA Dato Profesor Dr Yahaya Ibrahim, 8.30 pagi Jumaat 17 Oktober 2014.
2        2.  Ini merupakan bahagian pertama catatan Kembara Pattani 2014.
3        3. Foto sang hero dan mobekti-nya akan muncul dalam catatan kedua.
 

Ahad, 12 Oktober 2014

CERITA TERENGGANU (5): JADI TEMAN GADIS ISTIMEWA!



Agak lama kawe tidak ke Kompleks Media Karangkraf, di Seksyen 15 Shah Alam. Udah nak masuk setahun setengah.


Lama tempohnya tu kalau diukur nilaian temu-diskusi dengan ketua editor dan kenalan-kenalan yang lain, yang bukan sahaja terbabit dalam penerbitan karya kawe, malahan mereka juga yang begitu komited terbabit dalam pemasaran dan jualan buku-buku terbitan syarikat penerbitan Melayu terbesar, yang kawe suka sekali gelarkan DBP Swasta.

Digelar begitu bukan kerana budaya kerja yang serupa, tapi saiz organisasinya yang kawe fikir jika tidak lebih besar, boleh dikatakan samalah dengan badan penerbitan di bawah kementerian yang ‘dilanda kebocoran mega’.

Tabik kepada Dato Hushamuddin Yaacob yang memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan merangkap Pengerusi syarikat keluarganya itu.

Tentu tidak silap hitung kawe menyamakan saiz Kumpulan Media Karangkraf (KMK) dengan DBP. Tengok total majalahnya saja yang cecah 30 judul itu pun sudah nampak hebatnya. Itu tidak dikira dengan pelbagai judul novel dan karya agama di bawah panji-panji Buku Prima, Alaf21, dan Karya Bestari yang bernaung di bawah KMK.

Ini kisah kejayaan cemerlang anak Melayu kelahiran Kelate dalam dunia penerbitan Tanahair. Malahan ada jolokan ‘media moghul’ diberikan kepadanya dalam dunia media tanahair. Tentunya munasabah gelaran itu dikalungkan kepada Dato Hushamuddin, kerana KMK turut menerbitkan akhbar Sinar Harian yang dikatakan suara nutral rakyat kebanyakan, tapi begitu berpengaruh, misalnya dengan penganjuran forum secara langsung yang menjadi gelanggang aduan intelektual dan wibawa pemimpin partai pemerintah dan pembangkang.

Tentulah masih segar dalam kepala peminat dan pembaca Sinar Harian dan rakyat Tanah Bonda seluruhnya, betapa selain daripada aura ‘skandal lembu’, yang melonjakkan populariti dan pengaruh Rafizi Ramli ke seluruh Semenanjung adalah debat dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin  yang diadakan di Kompleks Media Karangkraf.              

Kawe ke Karangkraf kali ini bukan kerana ada forum atau debat. Kawe terbang ke Shah Alam untuk ketemu ketua editornya dan berjumpa seorang novelis otai dari Muar yang merupakan sahabat kawe. Selain itu, kawe sudah daftar untuk hadiri bengkel kreatif anjuran Grup Buku Karangkraf.

Kerna KMK letaknya di Shah Alam, terbang melalui Malindo jadilah lebih mudah perjalanan ke sana.

‘Ugh, macam naik bas sahaja!’

Itu reaksi kawe ketika masuk ke dalam pesawat. Menapak di tangga yang agak sempit dan kecil, ruang di dalamnya tidak luas seperti pesawat MAS atau AirAsia.

Cuma perbezaan ketara dengan servis Bas Ekpsres ialah hiasan dalaman yang agak mewah, dan tentulah kerna ada pramugari yang lawa-lawa, selain diberikan air mineral secawan dan sebungkus kecil biskut kering.

Kawe duduk agak ke depan. Selang dua baris kerusi mendepani kerusi khas pramugari.

Sewaktu akan melabuh punggung, kawe perasan gadis yang terlebih mengambil tempat di tepi tingkap, menjeling. Kawe berpaling sebagai tanda hormat, dan cuba menguntumkan senyum. Tiada reaksi apa-apa daripadanya. Macam tak suka kawe duduk di sebelahnya.

Ketika pesawat udah mula bergerak di landasan, pramugari datang menjenguk dan menghulurkan kertas A4 panduan keselamatan kepada gadis itu yang ralit dengan telefon bimbitnya.

‘Ugh, tak sopan pramugari nih! Susah sangat ke nak bercakap. Susah sangat ke nak tegur baik-baik. Tak cukup latihan dia nih!’

Segeralah gadis itu mematikan telefonnya tanpa bicara.
Kawe buat sardin saja. Dalam hati berdetak jugak, ‘Padan muka. Sombong. Kita nak sedekah senyum takboh terima!’

Ketika isyarat talipinggang keledar sudah terpadam, kawe perasan lelaki Cina yang duduk sebaris dengan kawe sudah berpindah tempat. Lelaki Cina seorang lagi yang duduk di sebelahnya nampak dalam kesulitan. 

Tidak mudah nak ngejas badannya yang besar dan perut macam wanita mengandung 10 bulan. Sulit senghoti nak bangun dan memberikan jalan. Tambah sulitnya kerana lelaki badan besar dan perutnya yang hamper menyenyuh kusyen depan itu sudah lelap sejak mula-mula henyak kerusinya!

Baru kawe perasan, rupa-rupanya banyak tempat kosong. Kerna rasa tidak selesa duduk di sebelah gadis berkenaan, maka kawe memasang niat mahu pindah tempat juga.

Sebaik kawe memakai talipinggang keledar di tempat duduk yang lain dan membetulkan duduk beg galas di kerusi berkembar, muncul pramugari yang menegur gadis takdi.

Terkejut kawe. Mungkin dia nak tegur kawe sebab tukar tempat duduk tanpa kebenaran! Ini bukan naik bas dari KT ke Kuala Berang! Bukan boleh lompat-lompat tempat duduk!
Dia merendah bahunya. Dalam posisi senget, sambil membongkok dia kecek dengan kawe.

Betul sangkaan kawe.
“Maaf, encik tak boleh tukar tempat!”
Kawe tak sempat nak royak yang lelaki Cina takdi tukar tempat okay jer, dia terus kecek lagi dengan cepat. 
Tak sempat kawe nak potong.
“Tempat duduk encik tu istimewa. Tempat duduk khas! Encik tak boleh pindah!”
Mujurlah nadanya rendah macam berbisik, dan kecek pun sambil senyum temewek!
Kali ini kawe sengaja tunggu dia kecek lagi. Takboh respon. Sebab nampak gelagatnya ada benda lain dia nak kabor.
Betul lagi!
“Encik kena jaga gadis tu! Encik kena duduk sebelah dia. Tak boleh pindah!”
Kali ini dahi kawe berkerut. Kawe pun mula nak kecek rhetek!
Dok dang jugok. Cepat seghoti pramugari ni bertutur.
“Encik kena teman dia dalam flight ini. Dia gadis istimewa. Dia tak boleh cakap dan dengar. Dah polisi syarikat. Mesti ada orang lain temankan dia. Kita bimbang kalau ada kecemasan. Kita takut dia dapat masalah!”

Kali ini kawe sempat pulak mencelah. Tersasul kecek orang putih sebab nak cepat!

Kabor ke pramugari tu watper dok royak kepada kawe awal-awal. Kalau dok kawe tak akan pindah. Rasa kesian pulok. Takut gadis itu berasa hari. Mentang-mentang dia pekak dan bisu kawe doksir duduk sebelahnya!

Pramugari itu berikan pengesahan. “Tak payah susah hati encik. Dia tak apa-apa. Nanti kalau dah nak mendarat, saya akan beritau. Encik kena pindah jugak tu. Duduk sebelah dia. Itu sudah polisi syarikat. Takut ada kecemasan!”

Ugh, itulah maksudnya tempat duduk istimewa! Kawe kena pindah ke tempat asal semula. Kerana diberikan tanggungjawab menjadi peneman dan penjaga gadis yang istimewa!

Sepanjang penerbangan itu, kawe rasa tak seronok pulak. Teringatkan pesanan pramugari tentang khuatirnya jika berlaku kecemasan. Ugh, kecemasan apa lagi kalau bukan kemalangan di udara! Kilat yang mencerahkan ruang angkasa sekali-sekala, dan gegaran kecil pesawat, menyebabkan kawe tuturkan tahmid dan istighfar tak terhitung totalnya.

Ugh, tiada istimewa apa-apa menemani gadis yang istimewa. Pesanan pramugari menimbulkan khuatir lebih daripada keterujaan mahu ketemu novelis otai dari Muar!      

Selamat pulang kepada para tetamu Allah dari Tanah Suci.
Moga mendapat Haji Mabror.
Kepada yang menyertai ibadah korban, moga usaha anda diredhaiNya dan dalam baraqah Yang Maha Esa jua. 
Ameen.
Sama-samalah kita hayati maksud kalimah suci dalam surah al-Kautsar
“Kamu sudah dianugerahkan nikmat yang banyak. Dirikanlah solat dan lakukanlah korban. Sesungguhnya orang-orangh yang membenci kamu, mereka adalah orang-orang yang rugi!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                    

Selasa, 8 Julai 2014

Cerita Terengganu (4) Bandaraya Warisan Pesisir Air



Kawe ini anak orang sungai. Lahir di tebing Sungai Terengganu dalam sebuah rumah kayu, tiangnya terdiri tinggi. Itu kaedah orang lama menghadapi banjir. Selain itu senang nak bina ghok ayam dan pagar itik di bawah rumah. Kalau banjir, ketika anak tangga tinggal tiga atau empat saja lagi, maka jawabnya ayam pun naik sama di atas lambor /serambi. Itik berdayung selamba entah lesap entah ke mana.

Di kampung kawe ada sebuah jeti. Jika dijenguk dari jendela dapur akan nampak jelas bangunnya berhampiran pohon rengas yang rendang, yang batangnya macam balak hampir dua pemeluk lelaki dewasa. Akarnya yang berserabai ke dalam air, tempat budak-budak tangguk udang.

Jeti kayu yang tangganya simen dibina oleh ayah kawe. Jika air pasang, budak-budak akan main terjun dari atas pagar. Tangganya pula bukan sekadar jadi pemudah naik perahu, bot atau rakit, ia dijadikan tempat untuk membasuh pakaian. Tempat terbina jeti ini di panggil pengkalan.

Di kiri kanan jeti itu biasanya tertambat bot, perahu jalur dan perahu kotak. Kadang-kadang rakit  singgah bawak barangan orang Ulu – biasanya jagung dan pisang. Jika dah dipunggah semua barangan, rakit buluh itu akan jadi tempat budak-budak lelaki main panjat, bercokoh dan terjun ke sungai.

Bot Nambang yang ulang-alik dari Ulu ke Kuala Terengganu, akan singgah di jeti itu untuk mengambil penumpang atau barangan niaga.

Pasar Payang atau Kedai Payang yang tersohor - itu stesen yang utama dan terakhir.
Ikon Darul Iman yang sudah lama terkenal.

Ini warisan Ganu Kiter. Pasar Payang yang menjadi tempat persinggahan bot-bot barangan niaga  yang datang dari Ulu Sungai Terengganu.

Hakikatnya, urusan niaga di muara sungai yang terbina Pasar Payang itu adalah suatu warisan kegiatan ekonomi , yang turut menggambarkan sosio-budaya masyarakat tempatan.

Kalau rajin telaah kitab sejarah, akan terjumpa catatan tentang pedagang-pedagang dari China dan Peranchis berlabuh di Muara Sungai Terengganu untuk mendapatkan bekalan air bersih, ikan, ayam, dan buah-buahan. Bukan itu sahaja, kerbau dan kereta lembu pun dimuat naik ke atas kapal.
Barangan yang didambakan itu, datang dari kampung-kampung pinggir sungai Terengganu. Tentu  termasuk jugalah kampung kawe – Pulau Musang!

Minggu lepas, kawe berkesempatan kecek-kecek dengan seorang pegawai kanan yang luas pengalaman, jauh pandangan dan berpengaruh.

Dalam beberapa hal yang dibualkan, timbul tentang slogan yang sama lama umurnya dengan Taman Tamadun Islam.
“Bandaraya Warisan Pesisir Air”.

Maka rasa terlontarlah cabaran kepada kawe untuk memberikan tafsirannya.

Seminggu jugak kawe duk mikir lagu mana nak beri takrifan yang sudah lama menjadi slogan di papan-papan tanda kerajaan.

Rasa-rasa kawe, tafsiran itu boleh dibuat dari banyak sudut.
Dikumpulkan semuanya, digaul dan ‘biar kamil’ dengan molek, maka akan bolehlah diberikan suatu rumusan untuk mentakrif slogan “Bandaraya Warisan Pesisir Air” itu.

Kawe fikir, fungsi dan kedudukan Kedai Payang itu menjadi satu aspek yang boleh dijadikan modal menghuraikan slogan yang berkenaan.

Ia adalah warisan sebuah kota yang kini menjadi bandaraya. Duduknya di tebing muara sungai utama yang menjadi nadi kegiatan niaga dan perdagangan Darul Iman.

Tafsiran umum yang pertama boleh diaturkan begini:-
Warisan kegiatan ekonomi yang menggunakan jalan air sebagai pengangkutan  barangan bahan mentah. 
Kuala sungai utama menjadi tempat persinggahan, pertemuan, dan urusniaga.

Kerana itu, atas sebab lokasi dan sejarah, maka Pasar Payang kenalah dikembalikan kegemilangannya dengan imej yang sesuai. Warisan yang hidup pragmatik dalam dunia kontemporari.

Satu daripada caranya (yang mungkin nampak kecik), dihidupkan kembali servis bot penambang yang membawa barang dagangan. Mungkin buat permulaan tidak perlu dimulakan dengan servis dari Ulu. 


Mungkin dalam skel kecil dimulakan dari Kampung Pulau Manis atau Pulau Musang.
Kedua-dua tempat ini ada sejarah penting tersendiri. 
Kampung yang pertama itu merupakan tempat tinggal ulama terkenal Tok Ku Pulau Manis (Syeikh Abdul Malik).
Manakala kampung kawe itu pula, menjadi tempat berlindung waris-warah Tok Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang tersohor kerana disabitkan dengan Pemberontakan Tani tahun 1928.    

Barangan yang boleh diniagakan melalui penghidupan kembali servis bot penambang itu ialah duku dan ikan tilapia sangkar. Gred duku gebu dan tilapia segar yang datang dari Pulau Musang dan Pulau Manis memang nombor wahid.

Jadinya, kalaulah diberikan nafas baru aktiviti angkut duku dan ikan sungai dari kedua-dua kampung itu menggunakan bot yang akhirnya singgah di Pasar Payang, alangkah klasiknya!
Inilah sebahagian kecil warisan yang ada kena-mengena dengan Pasar Payang dan kegiatan ekonomi masyarakat tempatan dan pedagang antarbangsa di muara Sungai Terengganu.

Jika ada pelancong yang punyai hasrat makan buah duku di kebun atau nak cuba panjat pohonnya, jangan sekjali-kali dibawa debgan kereta atau van. Bawak naik bot penambang dari Jeti Kedai Payang singgah di Pulau Musang atau Pulau Manis! 

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.