Karya

Karya

Khamis, 30 Oktober 2014

Kembara Pattani (4): YANG MOLEK, SEDAP & COMEL DI MALAM PERTAMA DI PATTANI!



Dalam detik akhir konvoi akan meninggalkan kampus UniSZA, ketika enjin bas lama menderam dan dingin terkepung di dalamnya, dan jagoan-jagoan mobekti sudah mula bercanda dengan jentera canggih serta anggun yang sudah dilembabi hujan renyai-renyai, masih sempat lagi seorang pegawai berpengaruh dan penting mampir dan sembang singkat dengan dua pegawai kanan yang lain.

“Ingat tu. Jangan nakal-nakal. Jangan nak curi-curi keluar malam!”

Ugh, macam ibunda.  Memberikan amaran dalam ngomelan kepada anak jejakanya yang akan kembara ke tampat yang jauh. Yang udah sohor pulak dengan pancaroba yang bisa bangat merobek tembok iman!

Kawe tak dengar sangat respon daripada pegawai lelaki yang disasarkan amaran dalam nada jenaka itu. Tapi terzahir akan termalu dia kerana usikan itu terpantul di depan seorang pegawai wanita yang nampaknya disegani pula oleh sang jejaka.

Udah terang lagi bersuluh. Maka rasanya tidak perlulah kawe tafsir lanjut maksud pegawai berkenaan.

Tapi menggetar jugak dalam hati, ‘Apakah gurauan itu penanda betapa teruknya persepsi seorang  wanita (secara umum) apabila seorang jejaka akan berpergian ke Negara Gajah Putih?’  

Teringat kawe akan kisah zaman remaja dulu-dulu. Waktu tu jaman 70-an. Sekumpulan pemuda dari kampung jiran rancang rombongan sebuah bas ke Tanah Siam. Berapa lama mereka pergi kawe tidak tahu. Kawe dapat cerita itu daripada orang lain, yang masih bujangan umur awal dua puluh. Jejaka itu yang bising bercerita apabila udah kembali. Kerana kawe suka ‘saing’ dengan sebahagian mereka, maka dapat jualah ceritanya.

Yang seronok-seronok. Yang comel. Yang molek. Dan yang sedap belaka! Tidak timbul rasa bersalah dan berdosa walaupun sebesar bijik sawi!

Kawe rasa kerana tanggapan tentang yang seronok, yang sedap, yang comel, dan yang molek itu semata-mata, maka terloncatlah pesanan bersifat amaran dalam nada jenaka sebelum kami akan bertolak meninggalkan Gong Badak.

Jenaka itu timbul lagi ketika konvoi  berhenti makan di Narathiwat. Penumpang dari sebuah bas dan van yang tengah lapar menyerbu sebuah warung kecil di tepi jalan. Makanlah kami dengan berkongsi meja tanpa mengira pangkat dan jantina. Jika berkira sangat tak mahu duduk semeja dengan orang atau jantina tertentu, maka pilihannya makan sambil berdiri, mencangkung  atau duduk di atas kerusi angin seperti dalam filem Seniman Bujang Lapuk!

Kawe makan nasi berlauk sesudu kacang panjang goreng hati ayam, dan ikan keli masak lemak. Huh, bukan sahaja sedap, menusuk rasanya menangkap ke telinga!

Kerana nampaknya itu lauk iringan yang paling tinggi permintaannya di warung Kampung Janggut ini, maka kenalan di sebelah kawe mintak jugak telur dadar macam penjamu selera di meja-meja yang lain. Dibawa pelayan penuh satu pinggan saiznya. Ugh, dengan aroma menjalar masuk hidung serta fizikalnya warna keperangan (sedikit garing) dan  nampak sedikit berminyak, memang membangkit selera. Molek benar nampaknya, duduk menanti dicarik-carik dan dimamah! 

Panas-panas diangkat dari kuali, digaul dengan nasi kosong pun kira sedap senghoti doh.

Ketika cuci tangan dan mulut di sinki, kawe perasan ada keistimewaan lain warung ini. Dari sinki merangkap tempat cuci pinggan mangkuk periuk belanga itu, kawe terpesona dengan kecomelan makhluk yang ramping, bergaya (terserlah warnaan), dan sesekali bersiul tanpa segan-silu. Comel sungguh. Kawe hitung, totalnya lima. Kawe rasa inilah pemanis dan daya penarik warung ini.

“Mermer  oghe ssining gemor lagu ning. Minok diyor. Caro oghe ssining. Minak peliharo burung. Daller kedar makhe pon gattung saghe burung limer ner butir!” Komen seorang kenalan - orang Ganu  yang lama hidup di Kelate, biasa ke Golok untuk tempah baju raya, seluar slek, dan kot lengkap. “Murah tapi bermutu”. Itu dia royak.

Ketika akan kembali ke perut bas dan van, nampak sangat masing-masing puas hati berjamu di warung itu. Ada jejaka yang berjenaka, “Di Thailand ni macam ni lah. Sedap belaka. Molek belaka. Comel belaka.” Dia berjalan sambil mengusap perutnya.
Seorang jejaka yang lain menyampuk, “Itu baru hal makan. Dok rasa hok lain lagi!”
Kedengaran ketawa kecil beberapa yang lain terloncat serentak menyambut kelakar yang punyai makna berlapis dan berlapik!

Bagi kawe pulok  yang paling sedap, molek dan comel itu ketika malam pertama di Pattani.

Hotelnya molek. Bagus servis dan selesa, walaupun murah. Lauk-pauk di Restoran Jutharos (kepunyaan hotel) terhidang berhias comel sekali. Sedap tomyam-nya pulak nombor wahid! Kalah habis restoran seafood yang pernah kawe kunjungi bersama Lateefa di Tanah Bonda!
Jagoan mobekti royak, "Dapat bantal dengan tikar pun dah kira okay!"

Hotel Park View. Murah tapi selesa dan servis bagus.


yang putih bentuk kiub itu ialah pau. mamah kapit dengan daging itik salai. tak tertahan. makan tanpa dipelawa!

kerabu pauh bercampur sotong, kerang dan udang. ugh, berair mulut!

Inilah sebenarnya yang sedap, molek dan comel yang kawe ketemu dan rasai di malam pertama di Pattani!   

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan