Karya

Karya

Rabu, 29 Oktober 2014

kembara Pattani (3): DISAMBUT LELAKI MISTERI DI DAERAH SEMPADAN


Dalam seminggu sebelum Jumaat (17 Oktober 2014), hari dijangka bergerak konvoi Unisza ke Pattani, berlegar cakap-cakap dalam Grup WhatsApp tentang betapa tidak selamatnya kembara ramai-ramai di wilayah bergolak warisan Kesultanan Patani itu.

Walaupun kawe diberitau akan ada polis mengiringi konvoi ke hingga ke sempadan, dan disambut baton iringan itu kemudiannya oleh pihak berkuasa Negara Gajah Putih, rasa khuatir hadir jua dalam kepala. Sesiapa yang cakna akan perjuangan PULO dan ambil tahu pula tentang peristiwa di Masjid Takbai dan Masjid Kerisik, maka menjadi bergetar hati jua mengingati amaran sebegitu.

Khuatir itu bertambah nilainya kerana ada kawan-kawan yang utarakan bimbang besar, betapa konvoi sebegitu (sebuah bas, van dan 40 mobekti) mudah bangat menjadi sasaran puak-puak yang bertelagah di wilayah berkenaan. Udahlah menjadi magnet perhatian sekitar kerana rombongan diiringi peronda polis, malahan tambah tidak sedap hati ditakut-takutkn betapa kami ini akan menjadi sasaran mudah kerana tiada apa-apa senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri jika diceroboh!

Makin tinggi graf kebimbangan itu kerana dua hari sebelum bertolak, tersiar dalam media perihal kematian seorang lelaki Malaysia yang ditembak di Narathiwat!

Ini daerah pertama kami akan lalui di bumi Thailand!

Pada mula program perlepasan rasmi oleh Naib Cancelor UniSZA hingga ke Sungai Golok, sebenarnya tiada siapa pun (di sekitar kawe) yang berkecek tentang peristiwa pembunuhan itu. Mungkin mereka tak ambil tahu, tidak sedar atau benar-benar tidak punyai info tentang hal itu. Sepanjang perjalanan melalui Besut, Peringat dan pinggir Kota Bharu, tiada siapa-siapa yang berkecek mengenainya.

Seorang wartawan yang menjadi teman bercakap dengan kawe, rancaknya berkisah tentang pengalamannya membuat liputan di Lahad Datu - dalam period awal pencerobohan gerombolan soldadu Sultan dari Filipina.

Ralit dengar wartawan bercerita tentang Lahad Datu serta ditambahi rencahnya dengan kisah-kisah jenayah di Darul Iman, maka tidak tertimbul pula soal kekhuatiran diserang hendap ketika memasuki wilayah yang bergolak di Negara Gajah Putih. Sebenarnya, cara dia bercerita dalam loghat Kelate pulak jadikan kawe rasa minat dan seronok. Hinggakan rasa tak lama pula perjalanan dari Gong Badak ke Sungai Golok.

Melepasi pemeriksaan imigresen di sebelah Kelate mudah bangat dan ringkas. Ketika urusan di Imigresen Thailand, juga tiada masalah. Tiada pemeriksaan ketat.

Ambil masa agak lama kerana kami ini ramai. Sebuah bas, satu van dan 40 penunggang mobekti.

Dengar cakap-cakap kenalan yang lain, sepatutnya tidak begitu mudah. Sepatutnya ketat jugak. Yang sepatutnya dipagari karenah birokkrasi, tidak menjadi begitu.

Kerana diroyak kawan-kawan, urusan kami dipermudahkan oleh seorang lelaki Melayu yang dikatakan punyai talian erat dengan istana Darul Makmur.

Ketika santai beratur, tunggu giliran pasport dicop, muncul seorang penunggang mobekti yang menjadi magnet perhatian peserta konvoi dan orang awam yang berurusan di situ.

Motosikalnya yang menyerlah warna keemasan nampak ganas macam kuda liar, jadi makin garang dengan corak kulit ular sawa menghiasi tangki dan mudguard belakang. Tanpa topi, memakai baju-t yang tercetak lambang sayap helang besar yang kembang, dan tertulis megah kalimat tentang penunggang sejati, lelaki itu refleksi jiwanya yang bebas dan berani! Ini lagak seorang jantan tulen!

Dialah lelaki yang dikatakan 'pemudah' dan 'kabel optik' untuk melancarkan urusan peserta konvoi di Wilayah Selatan Thailand.

Lelaki misteri yang kawe tak berapa sohih info mengenainya, kini muncul gagah di depan mata. Misteri belum terungkai seluruhnya kerana kawe tak sempat nak berbual. Bertanya kabor dan bersalam.

Namanya pun hanyalah dapatan daripada kenalan yang lain.

Dia digelar Tengku Omar.

Kawe tak pasti apakah itu namanya yang sebenar atau hanya jolokan yang diberikan sesuai dengan lagak orangnya dan cocok dengan mobekti yang ditungganginya!

Apakah benar dia kerabat dari istana Darul Makmur?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.


  

  



  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan