Kali pertama kawe jejak Sungai Golok (Sungai Kolok) lama dulu. Pertengahan
tahun 1994.
Waktu kawe stesen di USM, Kubang Kerian. Jadi guru di Unit Bahasa.
Antara kerja utama ialah kendali kelas Bahasa Melayu komunikasi. Spesil kelas
ini kerana para pelajarnya spesil. Terdiri daripada staf warga asing yang
rata-ratanya adalah pensyarah atau pegawai perubatan dari negara luar.
Yang
masuk kelas kawe ni datang asalnya dari Mesir, India, UK, dan Bangladesh. Yang
sangat jarang hadir kelas ialah seorang pensyarah perubatan dari UK. Bagus
sebenarnya dia tak hadir. Sebab acap kali kawe tak berapa faham apa yang
dituturkannya. Slangnya dalam seghoti. Payah nak tangkap! Gelap gambar dan
seriau kalau dia bertanya dengan cepat dalam slang British.
Yang ramai dalam kelas kira-kira lapan orang itu ialah
pensyarah dari India. Mereka ini jarang amat ponteng kelas. Kawe pun seronok
jugak ngajar puak-puak ni kerana minat yang mereka tunjuk nak belajar sungguh-sungguh
Bahasa Melayu. Kadangkala untuk meriahkan suasana kawe nyanyi lagu Hindustan
(dari filem Bobby dan Chal Chal Mere Sathi). Gelak sakan geng pensyarah ni waktu kawe nyanyi beberapa
rangkap lagu itu yang dihafal sejak zaman sekolah.
Apabila menyertai konvoi Amal UniSZa-Pattani kira-kira 20
tahun kemudian, bangat sungguh memori itu menerpa.
Waktu itu, kawe tinggal di Pasir Tumboh. Kalau berkereta,
jaraknya tak sampai sepuluh minit ke Kampus USM di Kubang Kerian. Kerana
Lateefa servis di Pusat Kesihatan Peringat, arah laluan stesen kerja kami
bertentangan. Jadinya kawe guna motosikal. Bukan mobekti (motosikal besar
kuasa tinggi), tapi hanya Honda Cub 80cc!
Sewaktu tinggal di sini, biasa jugak waris-warah dari Darul
Iman menziarah, dengan agenda utama mahu beli-belah di Rantau Panjang.
Kadang-kadang kawe ikut jugak. Sekali tu hingga ke Pekan
Golok. Masuk koboi saja. Tak lalu ikut kompleks imigresen. Dari Rantau Panjang
naik perahu. Sampai di seberang, naik pulak motosikal dengan bayaran seringgit
seorang. Di Golok, waris yang naik satu perahu serius membeli kelengkapan
dapur. Dia tauke restoran.
Kawe jadi tukang ikut saja. Tak beli apa-apa. Hanya
nak ambik pengalaman masuk Thailand melalui sungai, dan tanpa pasport!
Itu dua puluh tahun dulu. Tak tahu kawe masih okay ke tidak
kalau masuk Thailand buat macam itu jugak. Tapi toksir kawe. Tak berani sebab
waris yang jadi tauke restoran tu dah tak niaga lagi, dan tak masuk Thailand
doh.
Dulu dia berani pogor lagu tu kerana dia ada talian hayat dengan orang
seberang. Isterinya yang muda orang sana! Lagi pulok, tak takut dicekup dia tu
kerana tokki isterinya pulak Tok Nebher (ketua komuniti yang disegani kerana berani,
bengkeng dan gagah).
“Jauh ngelamun tu! Angan-angan nak pasang lagi satu ke?”
Seorang ahli rombongan menegur.
menapak di Kompleks Imigresen Rantau Panjang |
Kawe membalas hanya dengan sengihan saja. Mana boleh komen
lebih. Kerana yang berdiri depan kawe ialah Lateefa! Ugh, kawan ni tak tapis
langsung.
Seorang yang lain menambah dengan bersemangat. “Sebenarnya, rahmat sungguh. Satu rahmat besar dapat kawin
di Golok ni. Ini rahmat Allah. Tempat kita peraturan ketat. Nak kawin pun susah! Sini senang. Senang kalau nak kawin lagi. Maghi kawin di Golok lah. Bukan buat dosa. Maghi kawin. Bukan maghi berzina. Balik
Malaysia, terus daftar. Lepas tu bayar denda. Tak sampai enam ratus riyal.
Belanja kawin di sini pulak tak sampai seribu setengah. Kan murah tu. Tak payah
keluar banyak belanja buat kenduri. Membazir!”
swadikap! masuk ke Sungai Golok selepas 20 tahun |
Kerana kawe tak sambut cakap-cakapnya itu, hanya kerinsing
saja, maka tidak panjanglah kenalan itu berkecek. Toksir kawe lukakan hati
Lateefa dengan gurauan miang macam itu. Lagipun, kawe tak ada semangat mahu
kecek-kecek. Rasa nak cepat sampai ke hotel saja. Mahu mandi, makan dan
berehat! Ketika menapak akan kembali ke van, kawe sempat kerling ke arah kenalan yang keceknya berkobar-kobar takdi.
Senyum kambing tubik sebentar di bibir mengiringi komen tanpa suara, 'Ugh, baru masuk Golok, dah galak cakap nak tambah isteri!'
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan