Dalam detik akhir konvoi akan meninggalkan kampus UniSZA, ketika
enjin bas lama menderam dan dingin terkepung di dalamnya, dan jagoan-jagoan mobekti
sudah mula bercanda dengan jentera canggih serta anggun yang sudah dilembabi
hujan renyai-renyai, masih sempat lagi seorang pegawai berpengaruh dan penting mampir
dan sembang singkat dengan dua pegawai kanan yang lain.
“Ingat tu. Jangan nakal-nakal. Jangan nak curi-curi keluar
malam!”
Ugh, macam ibunda. Memberikan
amaran dalam ngomelan kepada anak jejakanya yang akan kembara ke tampat yang
jauh. Yang udah sohor pulak dengan pancaroba yang bisa bangat merobek tembok
iman!
Kawe tak dengar sangat respon daripada pegawai lelaki yang
disasarkan amaran dalam nada jenaka itu. Tapi terzahir akan termalu dia kerana
usikan itu terpantul di depan seorang pegawai wanita yang nampaknya disegani pula
oleh sang jejaka.
Udah terang lagi bersuluh. Maka rasanya tidak perlulah kawe
tafsir lanjut maksud pegawai berkenaan.
Tapi menggetar jugak dalam hati, ‘Apakah gurauan itu penanda
betapa teruknya persepsi seorang wanita
(secara umum) apabila seorang jejaka akan berpergian ke Negara Gajah Putih?’
Teringat kawe akan kisah zaman remaja dulu-dulu. Waktu tu jaman
70-an. Sekumpulan pemuda dari kampung jiran rancang rombongan sebuah bas ke Tanah
Siam. Berapa lama mereka pergi kawe tidak tahu. Kawe dapat cerita itu daripada
orang lain, yang masih bujangan umur awal dua puluh. Jejaka itu yang bising
bercerita apabila udah kembali. Kerana kawe suka ‘saing’ dengan sebahagian mereka,
maka dapat jualah ceritanya.
Yang seronok-seronok. Yang comel. Yang molek. Dan yang sedap
belaka! Tidak timbul rasa bersalah dan berdosa walaupun sebesar bijik sawi!
Kawe rasa kerana tanggapan tentang yang seronok, yang sedap,
yang comel, dan yang molek itu semata-mata, maka terloncatlah pesanan bersifat
amaran dalam nada jenaka sebelum kami akan bertolak meninggalkan Gong Badak.
Jenaka itu timbul lagi ketika konvoi berhenti makan di Narathiwat. Penumpang dari sebuah
bas dan van yang tengah lapar menyerbu sebuah warung kecil di tepi jalan.
Makanlah kami dengan berkongsi meja tanpa mengira pangkat dan jantina. Jika
berkira sangat tak mahu duduk semeja dengan orang atau jantina tertentu, maka pilihannya
makan sambil berdiri, mencangkung atau
duduk di atas kerusi angin seperti dalam filem Seniman Bujang Lapuk!
Kawe makan nasi berlauk sesudu kacang panjang goreng hati
ayam, dan ikan keli masak lemak. Huh, bukan sahaja sedap, menusuk rasanya menangkap
ke telinga!
Kerana nampaknya itu lauk iringan yang paling tinggi
permintaannya di warung Kampung Janggut ini, maka kenalan di sebelah kawe
mintak jugak telur dadar macam penjamu selera di meja-meja yang lain. Dibawa
pelayan penuh satu pinggan saiznya. Ugh, dengan aroma menjalar masuk hidung
serta fizikalnya warna keperangan (sedikit garing) dan nampak sedikit berminyak, memang membangkit
selera. Molek benar nampaknya, duduk menanti dicarik-carik dan dimamah!
Panas-panas diangkat dari kuali, digaul dengan nasi kosong pun kira sedap
senghoti doh.
Ketika cuci tangan dan mulut di sinki, kawe perasan ada
keistimewaan lain warung ini. Dari sinki merangkap tempat cuci pinggan mangkuk periuk
belanga itu, kawe terpesona dengan kecomelan makhluk yang ramping, bergaya (terserlah
warnaan), dan sesekali bersiul tanpa segan-silu. Comel sungguh. Kawe hitung, totalnya
lima. Kawe rasa inilah pemanis dan daya penarik warung ini.
“Mermer oghe ssining
gemor lagu ning. Minok diyor. Caro oghe ssining. Minak peliharo burung. Daller kedar
makhe pon gattung saghe burung limer ner butir!” Komen seorang kenalan - orang
Ganu yang lama hidup di Kelate, biasa ke
Golok untuk tempah baju raya, seluar slek, dan kot lengkap. “Murah tapi bermutu”.
Itu dia royak.
Ketika akan kembali ke perut bas dan van, nampak sangat
masing-masing puas hati berjamu di warung itu. Ada jejaka yang berjenaka, “Di
Thailand ni macam ni lah. Sedap belaka. Molek belaka. Comel belaka.” Dia
berjalan sambil mengusap perutnya.
Seorang jejaka yang lain menyampuk, “Itu baru hal makan. Dok
rasa hok lain lagi!”
Kedengaran ketawa kecil beberapa yang lain terloncat
serentak menyambut kelakar yang punyai makna berlapis dan berlapik!
Bagi kawe pulok yang
paling sedap, molek dan comel itu ketika malam pertama di Pattani.
Hotelnya molek. Bagus servis dan selesa, walaupun murah. Lauk-pauk
di Restoran Jutharos (kepunyaan hotel) terhidang berhias comel sekali. Sedap
tomyam-nya pulak nombor wahid! Kalah habis restoran seafood yang pernah kawe
kunjungi bersama Lateefa di Tanah Bonda!
Jagoan mobekti royak, "Dapat bantal dengan tikar pun dah kira okay!" |
Hotel Park View. Murah tapi selesa dan servis bagus. |
yang putih bentuk kiub itu ialah pau. mamah kapit dengan daging itik salai. tak tertahan. makan tanpa dipelawa! |
kerabu pauh bercampur sotong, kerang dan udang. ugh, berair mulut! |
Inilah sebenarnya yang sedap, molek dan comel yang kawe ketemu dan rasai di malam pertama di
Pattani!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.