Karya

Karya

Rabu, 7 Julai 2010

5. API YANG MENYALA , MUSIM YANG BERGELORA (England, 2001/2002)

(nota: catatan pada tahun 2002 ini merupakan pengamatan saya terhadap isu hubungan kaum di England. Rasa-rasanya ada yang boleh dijadikan teladan dan sempadan)

Sebelas hari, tahun Dua Ribu Dua.
Belum begitu lewat untuk mencatat memori setahun berlalu, dan rasanya tidak sukar memilih peristiwa yang boleh diletakkan di tangga teratas Carta Memori Dua Ribu Satu. Pendapat umum yang diungkapkan melalui media elektronik, alam siber, dan akhbar meletakkan kejadian itu di tangga nombor satu - peristiwa di Musim Luruh tahun lalu yang dikatakan mengubah tata kehidupan sosial, politik dan ekonomi global. Peristiwanya mudah kita ingat kerana imejnya yang terlalu kerap diulang dan tersuntik dalam ingatan.

Sebelas September: Dua buah kapal terbang sarat penumpang, menusuk menara kembar WTC, New York.

Maka peristiwa itu, dan mala petaka selepasnya, kita semua tahu. Asalnya daripada robohan WTC, membawa luruhnya segala jenis bom besar kecil canggih-manggih di Afghanistan, dan percikan api bencananya turut membakar kemanusiaan di bumi Palestin. Maka berlakulah perang di alaf baru. Perang Dunia Yang Ketiga, membawa parah di Negara Dunia Ketiga. Peperangan yang kononnya dicetuskan demi memerangi pengganas, terbukti menjadi perang yang maha ganas, tiada ampun, terus menyala dan membakar kemanusiaan dan ketamadunan - atas nama memerangi keganasan!

Peristiwa WTC ranap lebur, dan perang yang menyusulinya, menghangatkan sejuk-dingin Musim Luruh 2001. Kehangatan yang berterusan kerana apinya yang tidak akan kunjung padam, selagi dendam kesumat dan kebencian terusan menyala terpercik dek manipulasi perbezaan agama, budaya, warna kulit, negara bangsa, dan jurang darjat kaya miskin.

Memori tentang itu, tahun lalu, membuktikan betapa dunia yang aman damai, sejahtera dan adil, nampaknya suatu impian yang cuba dicapai dan dibentuk melalui keganasan dan peperangan!

Bagi kami sekeluarga, peristiwa yang akan terlekat dalam memori sepanjang berdagang di sini, terjadi lebih awal, ketika period percutian Musim Panas baru bermula.

Tanggal 14 Julai. Petang Sabtu. Musim Panas 2001.
Lebihkurang pukul lima. Mokmin yang bertandang ke Grove Street sejak Jumaat, sedang bersiap-siap mahu berlepas ke Preston. Ketika berbual-bual dengannya di luar rumah, saya perasan sekumpulan lebih kurang sepuluh pemuda Pakistan berkumpul di persimpangan jalan masuk ke Grove Street dari jalan besar Waterloo Road. Mereka disertai kemudiannya oleh beberapa orang yang lebih dewasa, termasuk jiran saya Mr Bashir dan Mr Ali. Ada yang mundar-mandir tak ketentuan, ada yang terjenguk-jenguk, ada yang lalu dan singgah menyertai kumpulan itu, dan ada yang tergesa-gesa meninggalkan mereka yang berjajaran di simpang. Sesuatu sedang berlaku.

“Ada yang tak kena ni”. Saya dan Mokmin memberikan tafsiran yang serupa.

Yang berkumpul di persimpangan makin ramai, disertai tiga empat orang berkulit hitam entah apa bangsanya. Mereka rancak berbicara. Angguk-mengangguk, geleng-menggeleng. Ada kalanya tangan mendepa, ada waktunya tangan terkepal, ada ketikanya tangan menetak angin. Nampaknya, yang diperbualkan bukan perkara sembarangan. Mr Bashir dan Mr Ali tergesa-gesa pulang ke rumah mereka, yang letaknya di sebelah kiri Grove Street, berdepan rumah saya. Mereka nampak begitu serius. Kekhuatiran terjelma di wajah dua adik-beradik yang sudah bermastautin di sini selama empat puluh tahun lebih.

Selepas Mokmin meninggalkan Grove Street, saya menyertai orang ramai yang berkumpul di persimpangan. Di sebelah kanan menuju ke Burslem, betul-betul berdepan Maqbool Supermarket, berdiri tegak dan tegap sebaris sepuluh orang polis rusuhan berpakaian serba lengkap dengan lagak siap sedia untuk bertindak. Di belakang mereka diam dua buah van putih dan kereta peronda sebelah-menyebelah. Saya cuba merisik khabar daripada seorang pemuda Inggeris yang bersandar di tembok rumah nombor dua, letaknya paling hampir dengan sebelah kiri simpang tidak jauh dari Malik News. Katanya BNP (British National Party) mahu berarak ke Cobridge melalui Waterloo Road.

Ketika beberapa pemuda Pakistan yang memegang kayu dan besi sepanjang lengan berlari-lari anak memasuki Grove Street, kedengaran hingar-bingar helikopter polis berlegar-legar di ruang udara Cobridge. Suasana nampak genting dan berbahaya.

Saya segera pulang dan menelefon Fiaz di Maqbool Supermarket. Nasihatnya ringkas. “Please, don’t go out!”

Tidak sampai sepuluh minit, kedengaran jeritan dan tempikan disulami bunyi debukan dan hentakan sepatu yang tak tentu halanya di Grove Street. Saya, anak-anak dan tersayang segera ke jendela di tingkat bawah. Polis rusuhan sudah berbaris di depan rumah kami! Mereka bergerak perlahan penuh waspada menghala ke Cobridge Park. Mengekori agak rapat dengan lampu amaran di atas atapnya menyala gila-gila - sebuah kereta peronda dan van polis.

Polis beroperasi terlalu hampir. Tiga empat kaki sahaja dari jendela tingkat bawah. Kalaulah ada perusuh yang melemparkan batu, kayu, besi atau apa sahaja ke arah polis yang begitu bersedia bertindak balas, bimbang sekali rumah kami turut menjadi sasarannya. Peristiwa Bradford terbakar seminggu lepas segera tertayang. Selepas mempastikan pintu terkunci dan semua langsir berlabuh, kami berlima dengan cemas ke tingkat atas. Oh Tuhanku, kepada-Mu jua hamba berserah!

Dalam keadaan tegang dan genting, kami masih berani mengintai melalui celah langsir yang diselak sikit. Sedang sebaris enam orang polis rusuhan berdiri tegak, bersedia respon kepada sebarang kemungkinan, tiba-tiba dari lorong sempit di belakang rumah Mr Bashir keluar seorang lelaki Pakistan pertengahan umur. Di tangan kanannya terbawa jug dipenuhi jus warna oren. Tangan kirinya memegang sebiji gelas. Dengan bersahaja dia berjalan terus ke arah barisan polis rusuhan yang lagaknya umpama penguatkuasa undang-undang dalam filem Judge Dredge. Setelah hampir dengan polis berkenaan - yang semuanya berkulit putih - dia menuangkan jus ke dalam gelas. Akhirnya kesemua polis rusuhan yang berbaris di depan rumah kami bergilir-gilir meneguk jus yang diberikan lelaki tadi! Ah, berdepan dengan para perusuh agaknya begitu mendahagakan, hinggakan soal hitam atau putih tangan yang menghulurkan jus tidak dipedulikan lagi!

Sepanjang petang kami berkurung. Mengintai diam-diam, duduk dan bangun serba tak kena. Kebimbangan yang amat, menyelimuti seluruh rumah. Ketika gelap menudung mentari, barulah keadaan agak sepi. Tiada tempikan. Tiada debukan di jalanan. Tidak kedengaran helikopter berlegar-legar. Sepi dalam tegang. Dua tiga kali siren menjerit-jerit panjang dari Waterloo Road. Malam itu, ketenangan hilang lesap sampai ke esok hari.

Ahad 15 Julai.
Dalam akhbar tempatan The Sentinel pecah berita tentang rusuhan melibatkan 300 orang Asia di Cobridge. Dilaporkan 20 pemuda Asia ditangkap kerana bertempur dengan pihak polis menggunakan kayu, besi, batu bata dan botol. Mujurlah tiada yang melontarkan bom api. Jika tidak, besar kemungkinan Cobridge akan terbakar umpama rusuhan di Bradford.

Pertempuran di Cobridge, dikatakan lanjutan daripada rusuhan kaum yang berlaku di Bradford, Oldham, Leeds dan Burnley - kawasan majoriti orang Asia (kebanyakannya Pakistan dan Bangladesh). Situasi di Bradford paling buruk kerana bukan sekadar pergaduhan tercetus antara pemuda Asia dan Kulit Putih, bahkan beberapa premis perniagaan dan kenderaan turut dibakar. Dalam kemelut itu, 200 polis rusuhan turut tercedera.

BNP dan NF (National Front), dua gerakan politik berfahaman fascist dikatakan menjadi batu api mencetuskan kejadian itu. Jari yang tertuding kepada kedua-dua pertubuhan yang hidupnya bertenggek atas isu perkauman, berbetulan terkena batang hidung BNP, yang mempunyai pegangan “British First!” dalam 'perjuangan' mereka. BNP begitu keras mengkritik parti Buruh, Liberal Demokrat dan Konservatif dalam soal pelarian politik dan imigran. Parti kecil ini menyalahkan parti-parti yang lainnya kerana ‘memberikan’ masyarakat majmuk kepada rakyat Britain, yang dianggap punca membawa pelbagai masalah perkauman. Manakala pergaduhan kaum di Bradford dan Oldham disabitkan dengan kumpulan radikal Islam di Britain. Kerana itulah agaknya, antara beberapa kempen yang tersiar melalui lidah BNP, termasuklah "Campaign Against Islam!"

BNP dan NF dikatakan menggunakan taktik yang sama: Mengisytiharkan perarakan ke kawasan-kasawan dominasi Asia, bertempur dengan pemuda-pemuda Asia yang keluar menyahut cabaran mereka, kemudian berundur dan membiarkan polis rusuhan bertungkus-lumus menyuraikan dan membersihkan kawasan pertempuran.

Di Cobridge agak lain. Khabar yang tersebar tentang perarakan BNP tidak menjadi realiti. Yang ‘berarak’ dan mengepung Cobridge ialah polis rusuhan dengan kelengkapan dan lagak yang provokatif, dilatari helikopter polis yang berlegar-legar membingit, umpama telah pecah perang kecil lakunya. Maka yang berlaku, adalah di sebaliknya. Bukan pertempuran antara BNP atau NF dengan pemuda Asia. Pertempuran terjadi antara anggota polis rusuhan dengan pemuda-pemuda Asia yang 'naik minyak'. Barangkali semangat mereka membara dek rusuhan di Bradford dan Oldham.

Minggu berikutnya, hari Sabtu juga.
Walaupun suasana tidak setegang sebelumnya, sesekali van dan kereta peronda polis menderum di Waterloo Road, dan sebuah daripadanya menyelinap juga ke Grove Street. Bezanya, kali ini lampu amaran di atas atapnya tidak menyala.

Semalam. 10 Januari.
Saya terbaca artikel “Ritchie Reads The Riot Act” dalam akhbar bulanan Asian News, yang memetik laporan penyiasatan rusuhan kaum yang tercetus di Oldham pada Mei 2001. Laporan yang disediakan oleh pasukan penyiasat diketuai David Ritchie, antara lain menyebut: Api perkauman boleh menyala bila-bila pun, dan pergaduhan etnik bisa tercetus tanpa terjangka kerana perbezaan dan pembahagian yang jelas antara kaum dalam semua aspek kehidupan, terutamanya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, perumahan, rekreasi dan hiburan. Jurang perbezaan ini membahagikan penduduk Oldham kepada dua - Kulit Putih dan Asia - yang berpegang erat kepada nilai dan gaya hidup eksklusif masing-masing.

Daripada pergaulan saya dengan masyarakat Pakistan di Cobridge, apa yang ditonjolkan dalam laporan itu, juga merupakan refleksi secara umumnya realiti yang dihadapi oleh masyarakat Asia di tempat saya. Keluhan yang mereka luahkan, lebih kurang sama dengan intipati permasalahan yang diungkitkan oleh laporan Ritchie.

Yang menariknya, cadangan-cadangan ke arah integrasi kaum yang dikemukakan dalam laporan itu turut menyentuh soal pendidikan sekolah rendah dan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan komuniti Asia. Laporan Ritchie mencadangkan pewujudan sekolah rendah campuran, menggantikan sekolah-sekolah rendah sedia ada yang dikenali sebagai Sekolah Kulit Putih dan Sekolah Asia. Rasionalnya, untuk memupuk rasa kekitaan dan semangat kejiranan sejak usia awal anak-anak tanpa mengira batasan agama, warna kulit dan bahasa. Selain itu, turut dicadangkan usaha yang serius dan mengkhusus untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak Asia. Ringkasnya, soal bahasa dan sistem persekolahan dilihat sebagai alat yang ampuh dalam menangani masalah perkauman di Britain. Dalam akhbar yang sama, Tariq Javed, pekerja sosial Pakistan Youth Association dipetik mengalukan-alukan cadangan itu, “You need environment where there are facilities for intergrating naturally...”

Suatu hasrat yang begitu murni. Semoga terpadamlah api yang membara, di Musim Panas 2001 yang bergelora.

TIGA PERISTIWA, SAYA DENGAR UCAPAN DATO' SERI NAJIB

Kemarin (6 Julai 2010) saya di Shah Alam, menghadiri upacara perasmian akhbar SINAR terbitan Kumpulan Karangkraf. Waktu bujangan, ketika masih panas-panas keluar sebagai graduan hasilan kampus di Lembah Pantai, saya pernah bekerja di Karya Bistari, syarikat di bawah bumbung Karangkraf. Waktu itu, pejabat induknya di Taman Tun Dr Ismail. Kali ini saya hadir sebagai tetamu (dijemput kerana kini saya berkarya di bawah panji-panji BUKU PRIMA – anak syarikat Krangkraf). Ketika berhabis masa menunggu ketibaan Perdana Menteri, saya sempat merayau di khemah khas tetamu dan media. Sempat juga ketemu penulis novel misteri yang prolifik dan tersohor Ramlee Awang Mursyid – 17 novelnya terbit di bawah Alaf21. Dia di situ kerana akan menerima penghargaan khas daripada Krangkraf, yang akan disampaikan oleh PM. Agak lama saya bersembang dengannya. Murah hatinya kerana memberikan beberapa petua kepada saya dalam berkarya. Tidak bolehlah disebarkan apa rahsianya, kerana saya peroleh secara peribadi, bukan dalam mana-mana bengkel. Lagipun, ditakdirkan-Nya, hanya saya berdua yang berdiri sambil berbual sambil mamah kacang dan maruku, di birai meja bulat kecil kakinya tinggi tiga kaki. Kami terpisah sewaktu duduk di khemah utama, kerana tetamu macam saya (penulis tidak ternama) duduknya di kerusi plastik kelabu, manakala Ramlee di kerusi lebih empuk di barisan paling hadapan khas untuk penerima anugerah. Pada petang kemarin, PM menyampaikan ucapan dengan penuh semangat. Pandai mengatur jalan pemikirannya, dan sesekali diungkap jenaka yang mencuit intelektual. Malahan wanita di sebelah saya yang merungut rimas dan panas, terkekeh-kekeh ketika PM berlucu. Ucapan PM berpulur kepada ‘keperluan menghasilkan karya yang membijaksanakan akal budi’. Ini merupakan peristiwa ketiga saya menghadiri majlis Dato’ Seri Najib menjadi tetamu kehormat.

Peristiwa pertama ialah ketika saya masih mengaji dalam tingkatan enam di Sekolah Alam Shah, Cheras. Itu, dua puluh tahun sebelum alaf baru! Waktu itu, kami menghadiri perhimpunan khas di dewan besar SAS, dan tetamu kehormat ialah Najib, pemuda anak bangsawan (belum punyai apa-apa gelaran) yang baru pulang ke tanahair selepas tamat pengajian di UK. Saya tidak ingat lagi apa intipati ucapan beliau. Yang saya ingat, ucapannya penuh bersemangat jua. Cuma pentas dewan besar SAS itu, saya injak juga dua kali (selepas setahun anak bangsawan itu berkunjung ke sekolah kami). Pertama ketika menerima hadiah tempat pertama pertandingan tulis sajak untuk majalah sekolah. Judulnya kekal dalam ingatan: “SEANDAINYA AKU BERKEPAK DAN BERIDIP”. Kali kedua ketika lepas minggu orientasi di kampus UM – dapat hadiah pencapain terbaik kertas Bahasa Melayu dan Sejarah peperiksaan STP. Inilah suatu ironi kehidupan. Waktu di tingkatan enam rendah, saya bosan amat dengan subjek Sejarah. Tidak pernah mendapat markah yang bagus. Malahan pernah sekali disergah Cikgu Yunus kerana saya tertidur sepanjang dia mengajar sejarah! Malu amat dibuatnya kerana berderai ketawa seluruh kelas kerana saya disindir pula oleh guru sejarah itu!

Peristiwa kedua, waktu masih bujangan menyewa ramai-ramai sebuah banglo dua tingkat di Jalan Enggang Selatan, Keramat (tidak jauh dari bengkel bas MARA). Waktu itu iklim politik tanahair menggelegak dengan ISU PERIBUMI. Ketika pertubuhan-pertubuhan Cina mengadakan perjumpaan di sebuah kuil, ada pihak yang menganjurkan Perhimpunan Pemuda Melayu di stadium TPCA, Kampung Baru. Seingat saya, semua penghuni lantai bawah (Johari, Lukman, Termizi, Tuan Rohim, dan Harleem) menaiki bas ke stadium (baru jadi graduan, tidak mampu beli kereta atau motosikal). Penghuni lantai atas (Yasin, Aziz dan Naseh) tidak menyertai. Saya tidak pula tahu kenapa. Dengan api yang menyala dalam diri dan membakar rasional di kepala, dengan iringan paluan gendang (pasukan dari ITM) kami bertakbir, menyanyi lagu-lagu patriotik, bertempik melaungkan kata-kata berani bersama puluhan ribu pemuda-pemudi Melayu (dari IPTA, pertubuhan politik dan NGO). Beberapa pemimpin muda ketika itu, berucap dengan penuh semangat. Tampilnya jantan sekali. Seolah-olah mahu berpencak silat di atas pentas, dan nampak tidak sabar-sabar mahu berlari ke luar stadium, terus mengamuk di dada kotaraya! Sorakan, tempikan, takbir dan nyanyian tidak berhenti walaupun hujan sudah turun dan guruh mula berdentum. Saya masih ingat, yang berucap berapi-api hingga serak suaranya, ialah Ketua Pemuda UMNO, Dato Seri Najib. Ketika tamat perhimpunan, kami tidak dapat menaiki bas. Penuh belaka. Manakala teksi pula enggan berhenti. Maka berjalan kakilah kami berlima dari Stadium TPCA hingga ke Jalan Enggang Selatan. Sepanjang jalan, kami lihat askar lengkap bersenjata begitu waspada berkawal di celah bangunan. Rupa-rupanya, esok harinya kami dapat tahu, sudah pecah cerita seluruh negara, ada darurat di Kampung Baru! Kerana Perhimpunan Pemuda Melayu di Stadium TPCA itu berkebetulan pula jadinya dengan amukan Prebet Adam di Jalan Chow Kit. Mudahnya khabar angin dipercayai seperti yang betul tanpa diketahui kejadian asal dan benar, padahal perhimpunan di Stadium TPCA dan amukan di Jalan Chow Kit tiada apa-apa kaitan jua.

Akhirul kalam: Johari, Lukman dan Termizi kini pegawai kanan LHDN. Tuan Rohim, udah jawat Pengarah Belia Negeri. Aziz dan Yasin pegawai kanan (PTD). Naseh baru naik pangkat jadi pengetua. Harleem? Sedang bicara dengan anda di alam siber!

Khamis, 20 Mei 2010

“Saya dan Dokumentari”

Selama lima hari (8 hingga 12 Mac lepas) saya menghadiri Bengkel Skrip Dokumentari di Finas. Ini merupakan kali yang pertama saya menghadiri kursus penulisan skrip secara formal dan diajar pula oleh seorang sarjana tulen dalam bidang perfileman. Azrain Ariffin - orang muda dalam dadanya sarat ilmu terkandung, lulusan dari sekolah filem di Kotaraya London. Sebelum ini, saya pernah menghadiri kursus penerbitan video selama seminggu di bawah kendalian Hamid Ghani, seorang pengarah dan penerbit drama tahun 90-an. Kerana kemudahan studio suntingan dan audio serta kelengkapan penggambaran yang mencukupi, maka kursus itu diadakan sepenuhnya di kampus UUM (Sintok). Namun dalam masa seminggu itu, aspek penulisan skrin atau skrip tidak ditekankan. Tumpuan lebih kepada aspek teknikal dan perkenalan dengan produksi dokumentari secara umum. Hinggakan dalam waktu yang singkat dan jadual yang ketat kami (kira-kira 14 orang) diajar banyak perkara termasuk mengenal kamera (waktu itu superVHS), penggambaran di lapangan, kerja ‘masuk suara’ dan aspek penyuntingan. Yang paling saya tidak lupa, ketika praktikal di sekitar Alor Setar. Sebaik kamera elok bertenggek di atas tripod, barulah perasan grup kami terlupa membawa view finder. Rasanya malu sungguh kepada Hamid Ghani (yang menempelak kami kerana tidak buat senarai semak sebelum berangkat ke lapangan). Oleh sebab akur dengan kesalahan sendiri, dan tidak mahu ketinggalan dengan grup lain, seorang daripada kami sukarela memandu ke Sintok selama sejam pergi balik semata-mata mengambil sebuah alat kecil tetapi sangat penting - view finder yang tertinggal itu.

Hasil daripada bengkel itu, saya dan beberapa rakan baik termasuk Ahmad Jelani Shaari (sekarang prof madya mengajar Bahasa Inggeris), dan Azmi Rahman (sarjana yang mengkaji pantun dan merupakan penyair yang punyai beberapa antologi, kini aktif berkarya dalam e-sastera) telah berpakat menubuhkan unit video di Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik (SBPS). Hasilnya, kami telah berjaya menerbitkan video dokumentari durasi 15 minit tentang SBPS. Skrip VO saya yang hasilkan. Caranya dengan berulang kali melihat visual yang terhasil, saya reka VO yang sesuai. Untuk suara latar, kami gunakan khidmat (tentu berbayar!) seorang juruhebah RTM Alor Setar. Itu merupakan produksi video dokumentari pertama dihasilkan oleh sebuah fakulti (sekolah) di UUM pada waktu itu! Kos pembikinan keseluruhannya RM10 ribu. Kerja editing on-line / off-line dan visual effect kami bikin di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kira-kira empat hari di Kotaraya, kami berlima (saya, Sharif Zulkifli, Marzuki, Ahmad Jelani dan seorang drebar universiti) tinggal di KL Internasional Hotel, Chow Kit. Walaupun saya dan Ahmad Jelani layak untuk mendapat sebilik seorang, kerana mahu jimat belanja, kami menyewa dua bilik untuk lima orang dan tidak mengira soal status jawatan (Sharif adalah juruteknik, dan Marzuki jurufoto). Apabila ditayangkan untuk previu ketika mesyuarat fakulti, grup pembikin video itu mendapat tepukan gemuruh! Itu kisah kira-kira 17 belas tahun dahulu. Pada waktu itu, grup kami dianggap paling tahu tentang pembikinan video dokumentari. Kami rasa bangga sungguh kerana kerja keras selama kira-kira tiga bulan mendapat penghargaan tinggi daripada rakan sejawat.

Apabila saya menghadiri bengkel di FINAS dua bulan lepas, barulah terfikir betapa grup kami yang ‘disangka pandai bikin video itu’ rupa-rupanya sekumpulan orang-orang yang tau ‘sedikit lebih’ di kalangan orang-orang yang tidak tahu. Ringkas, yang ‘sedikit cerdik di kalangan orang-orang jahil’! Barangkali itulah sebabnya pada waktu itu saya tidak berupaya pergi jauh dan tidak berminat tinggi dalam pembikinan dokumentari. Bekerja pula tidak bersandarkan asas ilmu yang kukuh. Saya tidak tahu pun apa itu story out-line, dan treatment. Jika ditanya tentang Act1, Act2, Act3 maka akan gigitlah kuku sampai sumbing! Amat malang lagi kerana jenis dokumentari apa yang terhasil pun saya tidak tahu kategorinya! Barangkali itu juga sebabnya video SBPS merupakan yang pertama dan terakhir penanda penglibatan saya dalam pembikinan dokumentari. Walaupun begitu, selepas bengkel di FINAS bulan Mac lepas, rasa gian mahu terlibat dalam bikin dokumentari datang kembali!

(Nota: kali ini, saya pos Salam dari Badakhsan, catatan pengalaman-pengamatan ketika di UK 2001/2002. Catatan ini mempunyai kaitan dengan sebuah cerpen yang pernah saya karang ketika studi di Universiti Malaya)

4. SALAM DARI BADAKHSAN (England 2001/2002)

“Salam dari Badakhsan” tiba-tiba menerjah membawa memori ke zaman ketika tengah mengaji di kampus Lembah Pantai. Terbuka satu demi satu laman daripada album nostalgia zaman anak muda trang tang tang yang mengimbaukan pahit-manis, suka-duka, jerit-payah, senang-susah selama tiga tahun bergelar mahasiswa. Ilmu tertimba, pengalaman terkaya dan tertambahlah erti dan faham tentang makna kehidupan hasil kuliah-tutorial sang professor, dicampur aduk gelumang hidup masyarakat menara gading kampus tertua di Tanah Pusaka. “Salam dari Badakhsan” timbul dari pengalaman dan pengetahuan yang tertimba semasa di menara gading itu, yang tercerna bersama pengamatan terhadap kehidupan persekitaran. Ia tercetus daripada pertemuan saya dengan seorang mahasiswa UIA pada awal tahun 1980-an. Pertemuan itu bukanlah disengajakan, ia terjadi atas kekerapan saya mengunjungi kampus UIA di Seksyen 16, Petaling Jaya. Kunjungan yang agak kerap ke situ kerana kebetulan pula adik saya, Aweng, mengaji undang-undang di UIA.

Dalam acap kali kunjungan itulah, saya bertemu dengan Sayeed, mahasiswa UIA yang kebetulan sekali rakan sebilik Aweng. Sayeed tanah asalnya Badakhsan, sebuah pekan di Afghanistan. Orangnya tinggi kacak, hidung mancung, berkumis nipis, jambang keperangan tumbuh jarang-jarang - nampak sekali imbas tiada cacat celanya. Tapi pada kedua-dua belah tangannya terbawa bukti perit dan kejamnya perang: sebahagian besar jari-jemarinya hilang diragut ledakan bom tangan. Sayeed, sebahagian daripada cerita luka akibat kerakusan sebuah regim yang dianggap Kuasa Besar waktu itu. Parut di tangannya itu adalah simbol penderitaan kehidupannya dan masyarakatnya, yang tidak terpadam dan tiada redanya, bahkan mungkin akan menjadi suatu kelumrahan hidup mereka, yang akhirnya menjadikan mereka seperti tidak berasa apa-apa lagi apabila “luka dan bisa kubawa berlari, hingga hilang pedih dan peri” (Chairil Anwar; ‘Binatang Jalang’).

“Salam dari Badakhsan” merupakan cerpen yang saya hasilkan sebagai dedikasi kepada mujahidin dari negara asal Sayeed, dan dialah yang menjadi wiranya. Tajuk yang sama jugalah diangkat menjadi judul antologi cerpen yang terkarang sebagai tugasan kursus tahun akhir saya di menara gading.

Saya pernah menghantarkan cerpen berkenaan kepada majalah Dewan Masyarakat, malangnya ditolak oleh editornya dengan alasan tidak boleh disiarkan kerana cerpen berkenaan ‘mewirakan orang luar’ dan tidak sesuai bertempat dalam majalah Kebangsaan. Saya akur dengan alasan editor berkenaan, yang memberikan syarat jika mahu cerpen itu tersiar jua, wiranya mestilah anak tempatan, bukannya Sayeed. Selepas pertemuan dengan sang editor, itulah kali terakhir saya menghantarkan apa-apa karya jua ke Dewan Masyarakat. Sampai sekarang, saya tidak mengubah pun cerpen tersebut seperti yang dicadangkan sang editor, dan tidak pula saya berusaha menghantarkannya ke mana-mana majalah lain, takut hasilnya tidak berbeza.

Ketika zaman tengah mengaji itulah juga saya menghasilkan sebuah sajak tentang durjana dan malapetaka di kem tahanan Sabra dan Shatilla. Dalam sajak itu terungkap tanggapan saya terhadap watak bajingan yang tiada belas ehsan, dan nasib sang wira yang merempat. Karya yang ini, tersiar dalam Berita Minggu, Malangnya keratan akhbar berkenaan sudah hilang dari simpanan, malah tajuknya saya sudah lupa. Yang saya ingat, apabila dapat bayaran sebanyak $30.00, saya ke Berita Minggu bersama Idris (sekarang bergelar cikgu, mengajar di Kemaman) kerana cek yang diberikan atas nama saya disalah eja, lantas tidak boleh ditunaikan. Dengan duit itulah, tengah hari itu saya dan Idris raya sakan pekena tomyam, sup ekor, sayur campur dan telur bungkus di Jalan Riong.

Apabila meledak kegemparan alaf baru yang berdentuman pada 11 September 2001, saya seperti kebanyakan orang lain, buat pertama kali menontonnya di BBC1, sama sekali tidak percaya akan betul benarnya peristiwa itu. Ia ternampak umpama kecelakaan dan kengerian yang tercetus dalam filem-filem aksi produk dagangan Hollywood. Ulang tayang berkali-kali tusukan bencana boing 767 dan 757 American Airlines ke menara WTC, dan siaran di dada akhbar tentang impak dan korbannya, kemudian tersiar berkali-kali pula nama dan foto orang yang diangkat sebagai musuh utama dan dituduh sebagai perancang kemusnahan WTC dan sebahagian Pentagon, maka datang tertayang dalam ingatan akan “Salam dari Badakhsan” dan sajak tentang celaka-durjana di Sabra dan Shatilla.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Sayeed lagi selepas bergelar graduan, dan saya tidak tahu sama ada dia tamat pengajiannya, dan tidak pula saya punyai apa-apa maklumat terkini kemungkinan dia di Badakhsan atau di mana-mana kawasan pergunungan di negara tanah tumpah darahnya atau dia bermastautin di negara lain. Yang pastinya, “Salam dari Badakhsan” masih tinggal diam dan bisu dalam khutub khanah Jabatan Pengajian Media, sebuah menara gading di Lembah Pantai. Mungkin juga sudah teralih dan terbuang di mana-mana. Kerana ia sebuah antologi yang tidak penting, hanyalah sebuah karya kerdil terhasil dari ketukan mesin taip murah seorang mahasiswa, buah tangan seorang penulis yang bernama tapi tidak ternama, yang secara kebetulan kenal dengan seorang insan mangsa kedurjanaan perang.

Dua hari selepas pecah berita kemusnahan di New York itu, saya berjalan-jalan ke pekan Burslem yang jauhnya 15 minit berjalan kaki dari rumah saya di Grove Street, Cobridge. Ketika di perjalanan saya bersua dengan Tawwab. Sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Dia nampak begitu ceria ketika berbual-bual sebentar tentang mala petaka di New York. Di akhir perbualan kami yang tidak begitu lama, Tawwab berpesan “please forget not the long suffering of the people of Bosnia, Iraq, Labenon, Palestine, and my own country…Afghanistan…!”

Selasa, 6 April 2010

KALAULAH ITU KERIS




Minggu lepas Yang Tersayang kembali ke Tanah Bonda selepas beberapa minggu bertugas di sebuah universiti swasta di Yaman. Banyak juga ole-ole dari Negara Teluk itu yang dibawa pulang - sehelai purdah (yang ini memang diminta oleh anak saya yang bongsu - Inah), tudung (macam digayakan Yuna), jubah, minyak wangi, kismis, kurma, dan pelbagai makanan original dari Kota San'aa (ibu negeri Yaman). Saya mendapat sehelai baju-t, dan sebilah senjata yang menjadi lambang lelaki Yaman, iaitu Jambia. Senjata pendek yang bentuknya macam kerambit (atau mungkin boleh dikatakan kerambit versi Yaman, cuma saiznya terlebih besar dan hulunya tiada lubang), bukan sekadar terlazim tersisip di pinggang lelaki berpakaian tradisional di jalanan, malahan pada hari Jumaat, di universiti swasta itu sebilangan mahasiswanya ke kuliah dengan jambia sekali! Realitinya, dalam kehidupan seharian, di mana-mana sahaja boleh kita jumpai lelaki Yemen (dalam apa jua perlakuan atau kerjanya) tersedia jambianya tersisip di pinggang, dan membawa senjata itu bukan pula suatu kesalahan! Dua foto terkepil menunjukkan realitinya:- seorang pemandu yang mesra, mempelawa penumpang ke teksinya - namun orang asing (pelancong)tentu akan meningkat seriau secara tiba-tiba apabila terpandang jambia sebesar lengan, daripada membalas senyuman sang pemandu atau bersetuju menaiki teksinya! Dalam foto satu lagi (enam lelaki berderetan), yang berbadan besar tegap berjubah siap dengan jambia itu, ialah dekan di sebuah fakulti di universiti swasta. Terfikir juga, bagaimana agaknya jika di Tanah Bonda ini, lelaki Melayunya, ke kuliah atau ke tempat kerja atau ketika santai di hari Ahad di Tasik Putrajaya, tersisip di pinggangnya sebilah keris luk tujuh. Ugh, sukar amat mahu dibayangkan! Apa tidaknya, jika mengucup keris sudah jadi kegamatan nasional, apatah lagi jika dibawa ke sana ke mari di merata-rata tempat senjata tradisional itu. Terfikir juga, mungkin kerana orang kita 'mudah mengamuk' maka itu sebabnya haram keris dibawa di khalayak ramai. Peristiwa 'amukan tersohor' dalam tamadun Melayu mungkin menjadi teladan dan sempadan betapa orang Melayu kontemporari tidak boleh menayang keris di pinggang jika bukan dalam majlis rasmi. Sewaktu Jebat yang luka parah (dek tikaman Tuah) terjun dari istana dan mengamuk di Kota Melaka - korbannya suatu mala petaka. Kalaulah keris masih menjadi pakaian harian, apakah tidak mungkin akan muncul Jebat kontemprorari? Lantas, jika keris yang menjadi simbol lelaki Melayu itu tidak boleh dijadikan pakaian harian, tentu sekali jambia juga 'haram' dijadikan pelengkap di pinggang. Lalu, ole-ole dari Kota San'aa itu kini tinggal sebagai hiasan, terpaku di dinding bersebelahan sebilah pedang pendek, hulunya kepala tedung kembang. Tinggal diam-diam berdua bergantungan begitu tiada apa-apa bisanya. Teringat saya pesanan seorang pendekar tua yang sudah lama meninggal dunia. Katanya: keris itu dua kali saja dicabut dari sarungnya. Pertama untuk berlimau, kedua untuk menikam! Mujurlah yang tergantung di dinding rumah saya ialah sebilah pedang pendek dan jambia (foto dikepilkan)semata-mata, yang tidak terikat dengan mana-mana petua dan pantang-larang sang pendekar. Kerana sejak digantung di situ, sudah berkali-kali jambia dan pedang pendek itu dicabut dari sarungnya, oleh waris-warah yang bertandang tanpa peduli apa-apa petua, dan tidak punyai niat untuk menikam sesiapa! permisi.

3. MURTABAK DARI DESA BUKIT CHEETHAM (England, 2001/2002)

Hujung minggu terakhir Ogos, saya menerima kunjungan dua tetamu bersama keluarga mereka dari Manchester. KM Yaacob sahabat lama yang banyak membantu ketika mula-mula saya dan keluarga sampai di sini. Beliaulah bersama rakannya Khairuddin (pensyarah dari Universiti Malaya) yang menyambut kedatangan kami dan bekerja keras mengangkut barang-barang saya - yang hampir lima belas kotak – dalam sejuk dan kabut sesudah subuh di Lapangan Terbang Manchester. KM Yaacob ni handal memasak orangnya. Bukan setakat masak kurma kambing atau masak tumis ikan bilis, malahan saya pernah rasa masakan dhal hasil tangannya, sebiji macam produk restoran mamak di Jalan Masjid India. Orangnya tidaklah sepetah Chef Wan atau selembut Chef Ismail. Malahan sekali imbas dan dua tiga kali tenung pun, dari penampilannya sukar mahu percaya kehandalannya memasak boleh memalukan calang-calang surirumah. KM Yaacob bertandang ke rumah saya membawa ole-ole istimewa, murtabak dari Bukit Cheetham. Alangkah nikmatnya kami kudapan di pagi itu, makan murtabak cecah bawang bercuka, pekena pula dengan kari ayam rempah Alagappa masakan isteri tersayang.
Selama saya berkelana di sini, dan berkunjung ke rumah kenalan baru dan lama di Cardiff, Swansea, Liverpool, London, Manchester, Preston, Lancaster, Bradford, Sheffield, Birmingham dan Nottingham, tak pernah saya dihidangkan dengan murtabak dan tidak pula saya menjamah yang sesedap hasil tangan KM Yaacob. Dan cikgu dari Perak ini pula bukannya saja-saja menguli tepung dan menebarnya jika tidak ditempah terdahulu. Kerana itulah, menjadi lazim jika lama tak pekena murtabak, saya akan membuat tempahan kepada sahabat saya itu tak kurang daripada 20 keping sekaligus, simpan beku dalam freezer, untuk bekalan selama dua bulan. Kerana sedap dan special itulah, saya berani recommend murtabak KM Yaacob kepada delegasi Malaysia yang akan bertandang ke Manchester pada Julai tahun depan, menyertai Sukan Commonwealth 2002! Turut menikmati kudapan istimewa pagi itu, ialah Sdr Amran, sarjana dari Universiti Malaya yang mengaji PhD dalam bidang Persejarahan Industri. Pernah berkhidmat di ISTAC, anak Johor ini mempunyai potensi besar menjadi sarjana yang berwibawa dalam bidangnya. Barangkali tidak berlebihan jika dikatakan inilah filasuf muda yang sedang terasah bakatnya. Akademikus muda yang layak digelar sarjana tulen – tajam pemikirannya, luas pengetahuan, berhemah, sabar, neutral tetapi kritis, dan komited. Barangkali kerana kualiti itulah dia aktif dalam NGO, dan diberikan kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai penghulu Malaysian Community of Cheetham Hill (MCCH) di Manchester. MCCH ditubuhkan pada awal 90-an sebagai badan kebajikan masyarakat Malaysia, yang menghuni di Cheetham Hill. Kini terdapat kira-kira 100 keluarga dalam MCCH (majoriti Melayu) yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar tajaan kerajaan peringkat pasca siswazah (sarjana dan PhD), yang mengaji di universiti-universiti sekitar Manchester seperti University of Manchester, Manchester Metropolitan University, University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) dan Salford University. Dalam komuniti intelek ini, terdapat juga sekumpulan doktor perubatan dan arkitek muda (antara 15 hingga 20 orang) yang tidak terus pulang ke tanahair selepas tamat pengajian. Mereka berkerja di sini (antara lima hingga sepuluh tahun) menimba pengalaman dan menambah pengetahuan, sebelum pulang berkhidmat kepada nusa dan bangsa. Yang menariknya, MCCH digerakkan oleh sekumpulan intelek muda yang prihatin dengan kebajikan anak-anak Malaysia di perantauan. Ahli jawatankuasa MCCH, bekerja dengan begitu komited walaupun ia terlaksana secara sukarela, dan kadangkala terpaksa terambil ‘masa mentelaah’ kerana pelbagai urusan dan karenah anggota masyarakatnya. Antara lainnya, tugas AJK komuniti intelek ini ialah mempastikan pelajar baru mendapat tempat penginapan yang sesuai dengan saiz keluarga mereka. Lazimnya tugas AJK bermula apabila mendapat kepastian berita tentang kedatangan pelajar baru. Maka penghulu dan AJK akan mulalah meninjau kawasan sekitar untuk mencari rumah bagi bakal anak buah mereka. Ini bukanlah kerja yang mudah kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai pula perilaku tuan-tuan rumah yang kadangkala ‘cakap bukan sahaja tak serupa bikin’ malahan ada kalanya ‘tak boleh dipegang sangat betul butirnya’. Tentulah tidak terjangka betapa pelbagainya masalah yang mendatang apabila misalnya, untuk sesi September ini, dianggarkan 30 keluarga baru akan sampai di Manchester. Namun dengan rasa prihatin yang tinggi dan atas dasar persaudaraan, penghulu dan orang-orang kuatnya akan bersidang mengatur jadual tugas antaranya termasuklah menunggu di lapangan terbang Manchester, menjadi tuan rumah sebagai penginapan transit, menguruskan soal persekolahan anak-anak, dan menyediakan kenderaan sementara. Dan apabila para pelajar ini tamat pengajian, MCCH jugalah yang menghulurkan bantuan memunggah barang-barang masuk kontena untuk dibawa pulang ke tanahair. Maknanya, penghulu dan AJK MCCH bertanggungjawab dalam banyak urusan komuniti Malaysia di Cheetham Hill, bermula ketika pelajar dan keluarga mereka menjejak di lapangan terbang Manchester, sampailah mereka terbang kembali ke tanahair empat tahun kemudian. Sebagai usaha merapatkan silaturrahim diusahakan majlis baca Yaasin dan usrah setiap hujung minggu (malam Sabtu), yang diadakan secara bergilir-gilir mengikut tawaran oleh mana-mana anggota masyarakat. Bagi orang luar dari Manchester, cara paling mudah bertemu dengan ahli khariah MCCH ialah dengan berjemaah di masjid al-Khizra, yang jaraknya tak sampai sepuluh minit berjalan kaki dari rumah Penghulu Amran di Cardinal Street. Setiap waktu solat, mesti ada sekurang-kurangnya sembilan sepuluh orang anak khariah yang turut berjemaah di masjid berkenaan bersama penduduk tempatan. Masjid ini juga menjadi medan yang lazim diadakan aktiviti kemasyarakatan termasuk kursus Haji & Umrah, dan terlangsung aktiviti menajam minda seperti forum dan dialog. Sesuai dengan ciri intelektual komunitinya, MCCH turut menganjurkan Forum Manchester, iaitu wacana intelektual berkala mengenai hasil penyelidikan, analisis polisi negara dan isu-isu semasa, bermula April 2001. Manakala pertubuhan yang lazim disertai pelajar seperti MISG-ABIM, Hizbi, Kelab UMNO, dan keAdilan tidak tinggal pasif malahan turut mewarnai kehidupan komuniti Malaysia di sini dengan pelbagai program mengikut pertukaran musim yang empat. Kerana kedudukannya dalam Manchester, yang jadual penerbangan langsung MAS dari Malaysia tiga kali seminggu, MCCH kerap menerima kunjungan orang-orang besar dan ternama dalam pertubuhan politik dan NGO tanahair, yang datang menyertai program anjuran pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Dan Cheetham Hill pernah menjadi gelanggang perdebatan antara Dato’ Annuar Musa dan YB Hj Mahfudz Omar yang ‘bersilat hebat’ dalam forum tentang amalan demokrasi di Malaysia. Anak-anak MCCH belajar di beberapa buah sekolah rendah yang terdapat di sekitar Cheetham Hill. Antaranya Cheetwood Primary School, Marlboro Primary School, Temple Primary (ramai anak-anak Melayu belajar di sini), dan Cheetham Community School (guru besarnya Inggeris Muslim bernama Salleh Hassan). Yang paling menarik berkenaan pendidikan anak-anak ini ialah usaha murni dan bersungguh-sungguh oleh MCCH mengendalikan Sekolah Malaysia Manchester. Jentera sekolah ini digerakkan oleh iltizam, prihatin dan komitmen sekumpulan isteri-isteri pelajar yang memberikan khidmat bakti mereka secara sukarela. Menumpang di Abraham Moss High School atas ehsan pengetuanya yang membenarkan operasi tanpa sebarang bayaran, tulang belakang Sekolah Malaysia Manchester ialah dua belas guru termasuk seorang pengetua, menghabiskan masa dari sepuluh pagi hingga dua petang setiap hari Sabtu menabur bakti mengajar subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Pendidikan Islam berdasarkan sukatan UPSR yang diubahsuai mengikut keperluan setempat. Di samping mendapat tempat percuma, pihak sekolah menerima sedikit pertuntukan kewangan daripada EMAS (Ethnic Minority Advancement Services) dan SSSS (Supplementary School Support Services) daripada pihak Majlis Tempatan. Di sekolah ini terdapat kira-kira 50 murid kecil besar dari umur enam hingga 12 tahun, yang dibahagikan kepada tiga kelas mengikut kategori umur 6-7, 8-9 dan 10-12. Walaupun dalam serba kekurangan (termasuk kemiskinan dana dan guru tidak terlatih), Sekolah Malaysia tetap beroperasi lancar semata-mata atas usaha tulus ikhlas pengetua dan guru-gurunya yang bertujuan mengekal dan memperkukuh jati diri anak-anak MCCH. Sesunguhnya, pada hemat saya, MCCH dengan segala warna-warninya adalah refleksi jati diri Melayu di perantauan – jati diri komuniti intelek Melayu di Desa Bukit Cheetam.

Rabu, 31 Mac 2010

GATAL MAHU JADI PELUKIS

saya gemar melukis. itu yang kadang-kadang tangan gatal-gatal mahu melakar dan menconteng. saya gemar melukis tapi tidak suka mewarna. sebab itulah lakaran saya lazimnya menggunakan pensil.

semasa di sekolah rendah, saya gemar melukis aksi pemain bola sepak. Terpengaruh amat dengan "Star Soccer" yang tertayang di tv dalam hitam putih. barangkali ini juga sebabnya lukisan saya guna pensil sahaja! Majalah bola yang begitu mengujakan saya pada waktu itu ialah Shoot. Kedua-duanya memperkenalkan saya kepada nama besar dalam bolasepak England seperti Bobby Charlton, Gordon Banks dan George Best.

Itu cerita lama sebenarnya. "Star Soccer" tiada bersiaran lagi. Majalah Shoot tidak pula saya pedulikan. Entah ada lagi dalam pasaran. Internet dan tv satelit mengubah bukan sahaja sudut pandangan, malahan cara kita mendapat sesuatu (atau lebih tepat dalam konteks ini cara kita menonton bola sepak). caranya berbeza, tapi minat terlekat kejap pada EPL juga. dari sekolah rendah hingga udah punyai anak tiga (isteri satu saja.

setia pada yang satu! jangan sekali-kali durhaka!ini pengakuan tulus untuk PakGuru Azrain).

Satu perkara lagi yang tidak berubah jua, ialah kegemaran melukis. Hatta ketika menghantar anak-anak ke tuisyen lukisan, saya teruja untuk sama-sama mendaftar. Jadi murid baru yang paling lanjut usia! Tapi gurunya bukan sembarangan - Apayee nama timangan. Nama betulnya Zafarudin. Seorang pelukis seangkatan dengan yang tersohor - Jaafar Taib.

saya tidaklah betul-betul belajar melukis secara langsung dengan Apayee. Pelukis veteran yang selalu muncul dengan rambut ekor kuda, ketika kelas lukisan hanya sesekali menegur. Tapi apabila dizahirkan sentuhannya, termalu kita dibuatnya. Hebat seghoti.

Kegemaran yang lain jika saya menghadiri 'kelas dewasa' itu, ialah membelek-belek album lama (yang terkandung dokumen-dokumen penglibatannya dalam dunia lukisan tanahair) sambil mengisahkan yang tersurat dan tersirat di sebalik himpunan nostalgianya itu.

Apayee pernah menjadi presiden pertama Persatuan Kartunis Malaysia. Itulah yang saya rugi banyak, tidak dapat berguru terus daripadanya setiap kali hadir kelas. Yang mengajar saya ialah isterinya - Cikgu Maimon. Karyanya boleh dilihat dan dibeli di sebuah galeri milik famili mereka, terletak dalam Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi.

Oleh sebab ada komitmen lain yang menghambat dan mengekang, saya selalu ponteng kelas. Apabila anak-anak sudah tidak lagi pergi tuisyen lukisan (sebab periksa sudah habis!), maka saya turut berenti. Jika dikumpulkan waktunya, tidak sampai tiga bulan pun saya masuk kelas. Namun begitu, sempat juga menghasilkan beberapa karya yang jadi 'nostalgia kelas dewasa'!

Saya kepilkan tiga keping untuk tatapan anda.

Jutaan terima kasih kepada Apayee dan Cikgu Maimon. Kurang-kurangnya saya dapat berkenalan dengan sepasang insan seni yang amat berbakat, tidak kedekut ilmu dan budiman belaka!

____________________
ilustrasi atas: anak musang
ilustrasi tengah: keris tanjong
ilustrasi bawah: keris macan singo

Selasa, 30 Mac 2010

2. NEGARA LIMA MUSIM (England, 2001/2002)

Panas, Luruh, Sejuk dan Bunga - fenomena alam England, negara empat musim. Ketika ini musim panas mengengsot ke garis akhirnya. Minggu ketiga Ogos merupakan penanda period percutian di England akan sampai noktahnya, dan musim luruh akan menjelma. Tidak lama lagi, pada minggu pertama September, anak-anak akan kembali ke sekolah. Manakala kolej dan universiti akan sibuk semula dengan kuliah dan tutorial. Sejuk sudah mula datang menggigit, dan cuaca panas sudah dihimpit oleh mendung dan hujan yang ada kalanya turun agak lebat. Makin lunturlah romantika dan sentimental yang ditimbulkan lukisan alam musim panas- yang ada ketikanya menghadirkan cerah-ceria langit biru dengan awan-gemawan yang berarak perlahan. Umpama fenomena biasa hari-hari yang lazim di tanahair.

Ah, di England ini, musim panasnya bukan begitu menentu. Tak boleh nak diharapkan sangat. Dalam jangka tiga bulan musim yang dikatakan panas ini, hendak dapat dua minggu berturut-turut panas membakar kulit sukar sekali. Ingatkan panas hingga tiga bulan rupanya-rupanya mendung dan hujan datang mengacau dan menghimpit silih berganti! Barangkali itulah sebabnya tersebar di kalangan orang tempatan kelakar yang agak popular: musim panas di England ni bukannya tiga bulan, tetapi hanya tiga hari sahaja. Kerana itulah, kerana cuaca di musim panas yang tak terjangka, maka apabila tibanya cuti panjang persekolahan, dan berakhirnya semester di kolej dan universiti pada hujung Julai, lebuhraya sesak dengan pelbagai jenis kenderaan yang mengangkut mat & mek saleh yang mahu menikmati cuti panjang ke negara-negara Eropah, Carribean dan Timur Jauh menikmati panas-perit panahan mentari, mandi laut dan bermain pantai.

Seronok juga memerhati gelagat, laku dan gaya orang tempatan menghargai musim panas ini walaupun hanya untuk tiga hari seperti yang dikelakarkan itu. Masa inilah padang-padang berumput pendek dan hijaunya bagaikan permaidani terbentang luas dikunjungi ramai untuk berladenan dan berpelesiran. Sudah menjadi lumrah mat dan mek saleh berjemuran di padang-padang hijau untuk mandi mentari - bukan sekadar bersantai di bangku-bangku, malahan ramai juga saja-saja duduk terlentang di tengah padang. Ketika ini jugalah, sang pemuda bersiar-siar dengan memakai jeans atau berseluar paras lulut tanpa baju mendedahkan tattoo di lengan, dada dan belakang. Manakala yang perempuannya gemar sekali berseluar sendat atau pakai skirt singkat, membiarkan pusat menjelir mengintai di bawah baju singkat yang ketat juga, tanpa lengan dan hanya tali halus memaut di kedua-dua bahu menampung rahsia di dada. Fenomena biasa, lumrah manusia di sini menikmati panas mentari dan mahu dibakar kulit yang pucat kekuningan itu agar keperangan jadinya.

Dalam waktu transisi antara musim panas dengan musim luruh ini, sesekali pada waktu malam pemanas sudah mula dipasang semula. Namun begitu, kuntuman bunga yang pelbagai warna masih galak kembang di taman-taman yang indah dan begitu menarik lanskapnya. Maghrib pula sudah semakin awal, lima belas minit sebelum pukul sembilan. Ketika pertengahan musim panas, mentari jatuh hampir pukul sepuluh malam, dan subuh masuk pukul dua!

Musim panas sudah mahu melambai pergi, dan musim Luruh makin mampir, dan dalam transisi itu, menjelma secara pasti musim yang kelima di England - Musim Bola! Jika musim panas di England dikatakan tidak terjangka, dan panasnya pendek sekali, inilah pula musim yang paling pasti kedatangannya dan musim yang paling panjang di England juga. Musim Bolasepak Liga Perdana Inggeris yang bermula ketika musim panas akan berlabuh dan berakhir ketika penghujung musim bunga, panjangnya sembilan bulan.

Antara yang paling menarik hati dan menggamit diri ini untuk bermusafir di bumi England, musim yang kelima itulah. Bermusafir di negara yang dikatakan rakyatnya melebihkan bola daripada gereja! Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya begitu minat dengan bola Liga Perdana Inggeris. Waktu itu tv di Malaysia belum pun tersiar programnya dalam warna-warni lagi, dan pernahlah pula saya menonton George Best melakukan double hattrick dalam satu perlawanan. Minat itu jadi begitu mendalam apabila abang saya, Pak Din (peminat setia Manchester United) melanggan majalah Shoot. Di sini saya tidak membeli majalah itu kerana liputan bola dalam akhbar utama seperti The Independent dan The Times sudah memadai dan kemaskini. Lagipun tak larat pulak rasanya nak baca semua laporan tentang bola dengan begitu banyak majalah bola seperti Goals on CD, Shoot, Four Four Two, Kick Off dan Total Football. Itu tidak dicampur lagi dengan majalah eksklusif setiap kelab bolasepak yang ternama.

Musim ini, Manchester United diramalkan akan terus merajai Liga Perdana Inggeris dengan saingan terdekatnya Liverpool, nampak semacam berpuas hati jika dapat tempat yang kedua! Pengurusnya Gerrard Houllier memberikan kenyataan yang nampak begitu menyerah dan merendah diri, dengan memberikan analogi betapa lain-lain kelab dalam Liga Perdana umpama sekumpulan pelompat bergalah yang bertanding dengan Sergei Bubka. Masing-masing yang lain tahu, mereka tidak akan terkejar dan terlawan dengan Bubka yang berada dalam kelas yang teristimewa. Dan setiap kali kakinya berdebuk berlari kencang dan gagah sambil membawa galahnya, rekod dunia acara itu turut bergoncang.

Tapi realitinya, Liverpool sudah menewaskan Manchester dalam dua perlawanan musim lalu (di Old Trafford dan Anfield juga), dan yang terbaru Manchester tumbang lagi kepada Liverpool di Cardiff ketika perlawanan Charity Shield - pembuka tirai musim ini - Manchester terkedu oleh bisa penyudah Michael Owen.. Walaupun begitu, dari pemerhatian saya terhadap analisis bolasepak dalam media di sini, Manchester United dianggap kelab yang teristimewa dan terhandal ketika ini, yang bukan sahaja mempunyai sejarah yang gemilang dan unik, tetapi dikatakan menjadi bench-mark bola sepak England. Misalnya, pengerusi dan pemilik kelab Fulham multi-jutawan Muhammad Al-Fayed, (yang memiliki The Harrods dan The Ritz) melahirkan impiannnya menjadikan Fulham handal dan ternama seperti Manchester United dan Barcelona. Ketika saya menulis bicara ini (petang Ahad 19 Ogos), Fulham - muka baru Liga Perdana - menerima penangan daripada sang juara dengan van Nistelrooy dan Beckham menjadi pembinasa.

Bagaimana pula dengan Stoke-on-Trent (tempat saya tinggal) dalam senario bolasepak England? Kelabnya bernama Stoke City. Stoke City bukan kelab Liga Perdana. Ia tersenarai dalam Bahagian Dua Nationwide League. Dua nama terkemuka dalam dunia bolasepak England dan antarabangsa berkait rapat dengan Stoke City, iaitu Gordon Banks dan Sir Stanley Matthews. Gordon Banks merupakan penjaga gol handalan England yang bermain dalam pasukan England yang memenangi Piala Dunia buat pertama kali, dan sangat diingati oleh peminat dan penganalisis bolasepak kerana kehebatannya dapat menyelamatkan tandukan pasti masuk dari Pele ketika Piala Dunia 1970. Manakala Stanley Matthews ialah pemain bolasepak Inggeris yang pertama menerima anugerah Sir, masih dianggap sebagai pemain sayap yang begitu handal menggelecek, tiada bandingannya hingga kini.

Bagaimana pula dengan saya ketika tibanya musim yang kelima ini? Saya sudah pun membeli sepasang jersi dan cap pasukan yang sangat saya minati ketika berkunjung dan membeli-belah di Mega store, Old Trafford. Malahan sudah meminta tolong seorang kenalan (yang kebetulan ahli kelab pasukan itu) menempah tiket untuk sekurang-kurangnya dapat menonton satu perlawanan musim ini di Theatre of Dreams. Sementara malam Sabtu dan Isnin pula akan terpakulah di depan kaca tv menonton The Premiership, di mana Terry Venables dan Ally McCoist mengulas dan menganalisis perlawanan mingguan Liga Perdana. Saya tidak akan melepaskan peluang menikmati musim yang paling panjang di England!

1. "SAYA ANAK MALAYSIA!" (England, 2001/2002)

Ketika memulakan bicara pertama dalam kolum ini, yang menjadi muzik latar mengiringi ketukan di keyboard ialah irama lagu "Saya Anak Malaysia", yang dipopularkan oleh dR Sam. Sudah hampir setahun saya merantau di England, imbauan yang begitu nostalgik sesekali datang dari tanahair. Itulah yang menerpakan lagu "Saya Anak Malaysia" dalam kolah ingatan kerana kadang-kadang diri ini menjadi perindu yang berbalada tentang teh tarik-roti canai, ketupat-rendang, cendul, ABC, keropok lekor, dan tentu sekali nasi lemak sambal tumis ikan bilis! Rasanya, sesiapa jua yang jauh di perantauan akan menjadi perindu macam saya, dan tentunya akan tergiurkan juadah yang sudah terbiasa dijamah ketika di tanahair. Walaupun ada kalanya ketemu jua dengan juadah itu di sini, tersedia kadang-kadang oleh rakan-rakan yang kebetulan sekali handal memasak, ia tidak sama, tidak terbanding dengan kenikmatan yang terbit daripada resipi yang tulen. Rasa mungkin sedap, bentuknya barangkali serupa, tapi ummphnya tiada!
Ah, terus-terusan bernostalgik begini tidak akan membawa kita ke mana-mana, kerana kembara rindu tiada batasannya. Bagusnya dinoktahkan dulu akan imbauan itu, kita mulakan bicara tentang realiti di sini.


Saya tinggal di Stoke-on-Trent dalam wilayah Staffordshire. Tidak ramai keluarga Melayu di sini. Setahu saya, hanya ada tiga. Pertama, keluarga doktor muda bernama Salleh, kedua yang diketuai Saadon (pensyarah UUM) yang sedang mengaji PhD dalam bidang Perhubungan Industri, dan ketiganya keluarga saya.

Stoke-on-Trent terkenal dengan pinggan mangkuk. Di sini terdiri kilang-kilang pengeluar pinggan mangkuk yang terbesar di UK dan tersohor sedunia seperti Royal Doulton, Moorcroft, Spode dan Wedgwood. Kerana itulah Stoke-on-Trent mendapat jolokan "The Potteries". Rasa-rasanya kerana itu juga kenalan saya kini makin ramai (dari Liverpool, Preston, Manchester, Cardiff, London, Swansea dan Birmingham), yang bertandang ke rumah saya bukan sekadar kerana ikatan persaudaraan seagama dan sebangsa, tetapi kerana daya tarikan untuk membeli pinggan-mangkuk bermutu tinggi berharga patut, di kedai-kedai kilang yang tidak kurang daripada 30 buah semuanya di Stoke-on-Trent.

Ketika mula sampai di bumi England, kemusykilan yang bermain-main di benak saya ialah setakat mana Malaysia dikenali di sini, dan apa pula perspektif masyarakat tempatan tentang negara kita. Teringatlah saya akan berita kontroversi sekitar tahun 80-an, tentang seorang Putera Raja The Great Britain yang mempunyai tanggapan betapa orang Malaysia masih tinggal di atas pokok! Sepanjang pergaulan saya dengan masyarakat tempatan, tanggapan tentang Tanah Pusaka kita begitu positif. Saya rasa, inilah hasilnya daripada segala bentuk usaha promosi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Misalnya, perlumbaan di sirkit F1 Sepang yang mendapat siaran langsung di sini. Manakala acara sambutan tahun baru 2001 - terjunan berpayung dari menara KLCC - tersiar sekurang-kurangnya tiga kali dalam berita utama BBC (Nota: Kuala Lumpur merupakan antara kotaraya terpilih yang ditonjolkan keunikan temasya sambutan tahun baru di samping Berlin, London, Paris dan New York). Dan pagi semalam (31 Julai), saya terdengar iklan MAS tersiar dalam radio BBC.

Ketika saya berkunjung ke rumah seorang kenalan baru, dan berbual-bual tentang pelbagai perkara dengannya, dia bertanyakan khabar tentang Perdana Menteri kita, yang dianggapnya sebagai jurutera kejayaan Malaysia. Kenalan saya itu bukan sahaja tahu banyak perkara tentang negara kita, malahan boleh pula menyebut nama Perdana Menteri dengan penuh dan betul (walaupun pelat). Dan ketika bersapaan dengan seorang eksekutif, sebut sahaja nama Malaysia, yang terpantul dari bibirnya ialah Proton!

BUKA BICARA DI ALAM SIBER

Sebagai pembuka bicara pertemuan pertama di alam siber dengan para perayau, saya akan mengutip kembali coretan yang pernah dinukilkan ketika bermastautin di England selama empat tahun empat bulan (Oktober 2000 hingga akhir 2004). Coretan itu asalnya tersiar dalam kolum saya berjudul "Emel dari Staffordshire" di portal pendidikan Sekolah.Com (telah lama mati tenggelam). Ketika itu, sebab mula saya menulis adalah atas permintaan sang editor portal berkenaan (menggelar dirinya Fakir Fikir). Seorang sahabat bersenang bersusah yang kini sedang mengaji PhD di Australia. Walaupun coretan-coretan itu sudah hampir sembilan tahun usianya, pada hemat saya, ada beberapa perkara yang terkandung di dalamnya, yang masih malar segar bertaut kait dengan kehidupan semasa. Harapan saya, ada sesuatu daripadanya yang boleh dijadikan sempadan dan teladan untuk siapa jua yang punyai lebihan waktu dan sudi menatapnya. Coretan-coretan itu akan mempunyai ceritanya tersendiri, dikekal mengikut gaya asalnya. Di samping itu, saya cuba untuk mencatat pengamatan peribadi terhadap isu-isu semasa atau harian yang difikirkan boleh diangkat untuk dikongsikan dan dimanfaatkan. permisi.