Karya

Karya

Khamis, 27 September 2012

UMMI HAFILDA KATA, "PILIHANRAYA TAK JADI TAHUN INI!"

Banyak andaian dan ramalan dah dibuat. Bayangan tarikh Pilihanraya Umum (PIRAUM) KE-13 cuba diteka pelbagai pihak berdasarkan macam-macam perkara, termasuk gelagat dan bicara pemimpin nombor wahid negara - Dato' Bendahara.

Barangkali bosan atau lali (?) dengan pertanyaan serupa yang acap kali daripada para wartawan yang mahukan bayangan terbaru untuk para spekulator, maka terlapor reaksi kelakar PM tentang PIRAUM itu. Inti kata Dato' Bendahara kira-kira begini: "Biarlah mereka buat spekulasi. Saya suka mereka buat spekulasi."

Dalam banyak-banyak andaian itu, ada terlapor dalam The Star mengenai ramalan seorang 'nujum' dari India. Telekan dikatakan berdasarkan pergerakan bulan dan bintang itu dengan spesifik menyatakan 5, 14 dan 23 November tahun ini adalah tarikh paling sesuai untuk PIRAUM.

Haribulan itu dikatakan harmoni pula dengan tarikh kelahiran Presiden UMNO kini, dan serasi dengan tarikh penubuhan Barisan Nasional 1 Julai 1974. Masing-masing 'bernaung' di bawah zodiak yang sama, iaitu Scorpia. Malahan pada bulan November jugalah planet Jupiter dipercayai punyai pengaruh positif yang sangat kuat terhadap zodiak Dato' Bendahara.


Ahli nujum bernama Yuvaraj Sowma itu meramalkan 'persekitaran yang bagus' ini akan terus memayungi PM hingga bulan Mei 2013!

Saya bawakan kutipan daripada The Star ini kerana mendapat perkhabaran daripada seorang sahabat, yang nampaknya ada pulak kaitan dengan ramalan itu. Cuma sudutnya berbeza.

Dikatakannya, seseorang yang agak ternama dalam parti pembangkang ada memberitau, PIRAUM akan diadakan pada bulan November. Sebabnya mudah. Ada orang yang punyai pengaruh dalam kerajaan begitu percaya dengan telekan seorang ahli nujum dari India, yang menyatakan November bulan terbaik untuk pilihanraya!

Nampak ketara jugak persamaannya dengan laporan akhbar The Star. Entah-entah sumber itu temberang sahaja. Entah-entah dia pun ambil cerita daripada akhbar The Star jugak!

Dalam ghairah ramai duduk berteka-teki itu, terlapor juga mengenai 'ramalan' bekas PM, betapa BN tetap akan menang PIRAUM 13 dengan majoriti dua pertiga. Ugh, nampaknya masih releven tokoh ini. Buah bicaranya masih didahagai media. Tapi 'kuasa nombor wahid' dalam negara bukan dia yang empunya. Lagipun, dia sendiri tak akan bertanding. Berkempen pun belum tentu. Ramalannya, hanya menambah lebih banyak jumlah teka-teki saja!

Kelmarin saya berbual-bual dengan seorang kawan lama. Minggu lepas dia hadiri suatu taklimat sebuah syarikat yang berdagang pelaburan jongkong emas. Pembicara utamanya, watak terkenal dalam kes mahkamah Supremo PKR - Ummi Hafilda. Di samping penerangan tentang pelaburan berkaitan emas itu, wanita berkenaan dikatakan menyebut jugak fasal pilihanraya. Katanya, Pilihanraya Umum ke-13 tak jadi dibuat tahun ini. Ada dua dalil kuat yang disebutnya:-

Satu: Ikut tinjauan sentimen di kalangan pengundi, BN akan tewas. Setakat ini pembangkang berkemampuan menang 120 kerusi Parlimen. Maknanya, jika total kerusi masih 221, maka BN dijangka dapat hanya 101 kerusi. Hilang majoriti. BN pun tumbang di Parlimen!

Dua: Wanita terkenal itu dikatakan punyai tugas besar. Berkempen serata negara, meliputi banyak kawasan. Malangnya, masih banyak lagi yang tidak dapat dikunjunginya. Dia mengaku ada kira-kira 70 kawasan lagi belum diziarahnya!

Barangkali kerana sibuk dengan perniagaan jongkong emas yang diusahakan sekarang, maka wanita kontroversi itu tidak sempat memenuhi jadual berceramah di banyak kawasan. Jika tidak, agaknya mungkin dia boleh menterbalikkan 'culaan kemenangan' 120 kerusi kononnya akan dikuasai pembangkang itu menjadi milik BN pulak! Kerana sibuk berniaga, maka tak sempatlah dia nak turun padang 'memberikan pelbagai penerangan dan pencerahan' kepada rakyat jelata supaya terus menyokong kerajaan yang ada!

Cuma timbul musykil dalam fakulti kepala: mana pergi panglima-panglima Dato' Bendahara? Hingga digantungkan harapan menang banyak kerusi Parlimen di atas bahu seorang wanita yang sibuk berniaga?

Lagipun, betulkah ramalan wanita terkenal itu tentang akan tertunda PIRAUM 13 ke tahun depan? Kuat benarkah dalilnya yang dua itu?

Lama dulu, ketika pecah kes yang dikaitkan dengan Supremo PKR, wanita berkenaan membawakan 50 Dalil untuk meyakinkan rakyat jelata dan Dato' Bendahara pada waktu itu.

Ugh, jauh sangat tu kalau nak dibandingkan dengan hanya dua dalil yang disebutnya ketika taklimat berkenaan.

MasyaAllah. Ya, Ummi, ente kena bawak 50 dalil jugaklah kali ini! 50 Dalil BN Akan Tumbang!

Bukan senang BN mahu ditumbangkan. Gelora dan badai yang hebat dan menggerunkan ekoran kes mahkamah Supremo PKR pada tahun 1998 itu pun hanya bisa menghilangkan Darul Iman daripada penguasaan BN. Naik Tun Abdullah, Darul Iman dirampas balik.

Sejak Supremo PKR itu aktif balik dalam politik dan kemudiannya jadi MP semula, PR dapat tawan empat negeri - Pulau Pinang, Kedah, Selangor, dan Perak. Total jadi lima jika dicampur dengan Kelate yang dah lama di bawah PAS. Tapi Perak itu pun menang sekejap saja, kemudian diambil balik dengan kelicikan mainan politik BN.

Masih kuatkah gelombang reformasi 1998 itu untuk menjatuhkan pemerintah Persekutuan Tanah Melayu sekarang?

Apakah majoriti pengundi baru yang terkini total kira-kira dua juta orang itu bisa menjadi puting beliung untuk pembangkang atau menjadi tembok besar yang kukuh untuk pemerintah sekarang?

Ugh, sudah melalut kita! Sudah tersasar kepada hal lain, bukan soal jadi tak jadi PIRAUM pada tahun ini.

Seperti tidak reti kita nak nujum bila tarikh PIRAUM, begitu jugalah daifnya kita, tak mampu ramal siapa akan jadi penguasa Persekutuan Tanah Melayu selepas pilihanraya ke-13 nanti.

Hakikatnya, sama ada nujum dari India itu atau Ummi Hafilda atau siapa jua, tak ada yang lebih hebat ilmu meramal ini daripada Nabi Khidir!

Cuma kita naik sangat hairan, kenapalah digantungkan harapan yang sangat besar kepada seorang wanita untuk menjelajah ke seluruh negara dengan mengisahkan cerita-cerita yang sudah lama diketahui umum, seperti yang tercatat dalam buku 50 Dalil akhir tahun 90-an itu.

Masih relevan lagikah dalil-dalil itu dengan persekitaran politik kontemporari? Lagipun, masih relevan lagikah wanita yang jadi tukang cerita itu dengan citra generasi baru pengundi-pengundi muda?


Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.


petikan akhbar 1: The Star
petikan akhbar 2: Berita Harian

Selasa, 25 September 2012

GRADUAN PENGAJIAN ISLAM IBARAT BOM JANGKA?


Ahad, 23 September 2012.

Seorang waris terdekat datang menziarah. Kami sembang ringan-ringan. Sentuh banyak perkara. Banyak tapi tidak mendalam. Cubit di sana-sini. Melompat ke pelbagai isu. Tetapi sebaik saya sebutkan berita itu, terus terloncat daripada mulutnya rasa yang sangat tidak senang, dalam nada sarat kemarahan.

“Cis, kurang ajar!”

Dia belum pun membacanya. Reaksinya hanya bersandar kepada cakap-cakap saya. Tapi tahap marahnya sudah naik mendadak. Mungkin kerana dia benar-benar percaya (meruk) kata-kata saya itu ‘betul dan benar’, lantas dirasakan tidak perlu diberikan apa-apa bukti. Mudahnya mahu mainkan emosi orang lain jika sudah sebenarnya dia percayakan kita!

Orangnya budiman sekali. Tergolong dalam ahli korporat Melayu yang berjaya. Dia seorang jurutera yang punyai kemahiran bahasa Arab, selain mendalam juga pengetahuan agamanya. Calang-calang ustaz boleh goyah jika berbahas bab-bab agama dengannya.

Pergaulannya luas. Perjalanannya pula jauh, hingga ke beberapa negara di Barat dan Timur. Atas tujuan perdagangan, pelancongan, dan pendidikan. Yang terakhir itu, merupakan bidang amat dekat di hatinya. Menjadi teras dalam profesionnya sekarang. Sebab itu, apabila saya sebutkan tentang berita itu, dia menjadi begitu berang.

Ketika rata-rata umat Islam di Tanah Bonda bertempik-sorak dalam beberapa himpunan di ibukota KL dan pusat bandar di negeri-negeri tertentu, membantah filem durjana “Innocence of Muslims” tanpa disedari kebanyakan rakyat jelata dan pemimpin jua, tersiar berita yang amat mendukacitakan. Berita yang langsung tidak menggambarkan keharmonian yang dicita-citakan dalam Gagasan 1Malaysia. Malahan kandungan berita itu secara tidak langsung benar-benar memperlekeh dan menghina umat Islam di negara ini.

Diturunkan petikan sebahagian berita itu, yang turut menimbulkan kemarahan waris saya, seorang ahli korporat yang budiman itu.

_________________________

‘Lim (Pengarah Pusat Inisiatif Polisi - CPI) seterusnya mempersoalkan pelan itu (Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025) yang menurutnya, tidak menumpukan kepada penghasilan graduan pengajian Islam universiti tempatan yang didakwanya tidak mempunyai tempat sesuai dalam sebuah masyarakat sekular Malaysia.

"Biar saya kongsikan perbualan saya bersama (seorang) pemimpin Umno," katanya tanpa menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu.

"Menurutnya hampir setiap hari beliau menerima delegasi graduan pengajian Islam dari universiti tempatan yang tiada pekerjaan, tidak dapat diambil bekerja, tidak tahu apa yang perlu dibuat atau harus ke mana.

"Mereka ini ibarat bom jangka yang kita perlu bincangkan secara terbuka," katanya sambil menambah, jika tidak dipedulikan, mereka ini menjadi perubah halatuju kurang baik dalam masyarakat.’
___________________________


Lantas, apa lagi yang boleh kita katakan selain membuat rumusan begini:

Cakap-cakap dalam forum itu (sila rujuk berita penuh di akhir catatan ini), jelas mencabar maruah umat Islam di negara ini. Secara terang-terangan seorang ahli forum itu mempertikaikan pendidikan dalam domain ilmu-ilmu Islam di kolej dan universiti tempatan. Kualiti graduannya bukan sahaja dipersoalkan, malahan dilihat sebagai membebankan masyarakat. Bahkan boleh merosakkan negara (ibarat bom jangka!).

Kita pun jadi musykil akan maksud tersirat dan tersurat hasil perlekehannya itu.

Kenapalah agaknya secara tiba-tiba orang yang nampak cerdik macam Encik Lim ini menyerang ‘graduan pengajian Islam’?
Apakah ini suatu perancangan lama yang baru diledakkan?
Apakah akan ada siri kecaman dan serangan lain yang lebih hebat jika umat Islam di negara ini lalai dan tidak ambil peduli?
Apakah ini suatu cara untuk menguji reaksi orang Melayu?
Apakah dia mahu ukur tahap sensitiviti umat Melayu terhadap kritikan keras yang dilemparkan ‘orang lain’ kepada usaha mendalami ilmu agama?

Tunggu dulu. Sebelum anda membuat rumusan, sila beli dan baca baik-baik buku ini, yang disalin kulitnya di sini.

Lantas, siapakah sebenarnya yang menjadi bom jangka dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini?

Permisi. Dengan Izin-Nya kita ketemu lagi.



nota: diturunkan berita penuh seperti tersiar dalam Malaysiakini

CPI: 'Pelan pembangunan bukti krisis pendidikan M'sia'
oleh Ahmad Fadli KC
7:45AM Sep 20/ 2012

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 menunjukkan Malaysia berhadapan krisis sistem pendidikan walaupun ia tidak dinyatakan dengan jelas dalam laporan itu, dakwa Pengarah Pusat Inisiatif Polisi (CPI), Dr Lim Teck Ghee.

"Kita ada bukti dan ia dinyatakan di dalam pelan pembangunan ini," dakwanya di forum Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan Masa Hadapan Anak Anda di Kuala Lumpur, malam tadi.
"Saya terkejut mereka memberikannya begitu banyak perhatian tetapi tidak melabelkannya sebagai 'krisis'," kata Lim (kiri).
Memetik laporan itu, Lim berkata, Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menunjukkan kualiti pendidikan Malaysia merosot sejak tahun 1999 sehinga 2007.

Namun, menurutnya, golongan terpinggir seperti Orang Asal, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, golongan miskin bandar, kanak-kanak pelarian dan pelajar sekolah vernakular adalah mereka yang paling teruk terkesan dengan krisis itu.
Beliau mendakwa bahawa krisis itu berpunca daripada pengagihan sumber pendidikan yang tidak telus dan adil serta tidak dibincangkan secara kritikal.
Elit Melayu
Pembentangannya mencuri tumpuan hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur apabila menjadikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai contoh bagi menyokong dakwaannya.
Dakwa Lim, MRSM mewujudkan kelompok kecil elit Melayu yang mempergunakan sistem pendidikan dan meminggirkan Melayu arus perdana lain yang belajar dalam aliran utama persekolahan.
"Kerisauan saya adalah ini merupakan satu bentuk pendidikan elit yang disubsidi negara demi kepentingan orang Melayu.
"Orang Melayu perlu mempersoalkannya, bukan kami (kaum-kaum lain).
"Orang Melayu perlu buat kajian sama ada pelajar MRSM ini datangnya dari negeri-negeri Melayu yang miskin atau golongan pertengahan dan pertengahan atas Melayu dan keluarga
profesional yang menggunakan sistem ini demi kesinambungan manfaat dan keistimewaan untuk golongan Melayu ini," katanya.
Kenyataan beliau mengundang pelbagai reaksi daripada pendengar forum.
Reaksi hadirin

Hussaini Abdul Karim mendakwa peruntukan MRSM yang dipetik Lim untuk dibandingkan dengan sekolah jenis lain tidak tepat kerana MRSM terletak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Lim bagaimanapun menegaskan bahawa angka tersebut tetap boleh dibuat perbandingan dengan peruntukan yang diberikan Kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah lain.
Lim seterusnya mempersoalkan pelan itu yang menurutnya, tidak menumpukan kepada penghasilan graduan pengajian Islam universiti tempatan yang didakwanya tidak mempunyai tempat sesuai dalam sebuah masyarakat sekular Malaysia.

"Biar saya kongsikan perbualan saya bersama (seorang) pemimpin Umno," katanya tanpa menamakan pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu.
"Menurutnya hampir setiap hari beliau menerima delegasi graduan pengajian Islam dari universiti tempatan yang tiada pekerjaan, tidak dapat diambil bekerja, tidak tahu apa yang perlu dibuat atau harus ke mana.
"Mereka ini ibarat bom jangka yang kita perlu bincangkan secara terbuka," katanya sambil menambah, jika tidak dipedulikan, mereka ini menjadi perubah halatuju kurang baik dalam masyarakat.
Matapelajaran sejarah
Beliau turut mengkritik pelan itu yang menjadikan matapelajaran Sejarah yang diolah bersifat politik sebagai subjek teras wajib lulus mulai 2014.

"Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan perubahan itu kena pada masanya hanya kerana beberapa kenyataan perkauman yang tidak sensitif dibuat tanpa memahami sejarah sebenar kita.
"Boleh anda bayangkan Sejarah dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM hanya kerana masalah ini?," katanya.
Beliau menggesa agar penafsiran sejarah dalam pelan itu diluaskan meliputi pihak-pihak selain daripada Umno.
"Ia adalah ujian litmus buat kerajaan yang mengambil kira sumbangan semua pihak dalam sejarah dan tidak memesongkan sejarah masyarakat itu sendiri," katanya.
Bekas exco kerajaan Pulau Pinang dan pensyarah London School of Economics, Datuk Dr Toh Kin Woon pula berpendapat pelan itu masih belum mampu memanfaatkan sepenuhnya pendidikan sebagai alat memajukan diri dari segi sosial.
"Oleh itu bagi orang miskin, pendidikan bukanlah alat untuk memajukan diri dari segi sosial tetapi alat mengekalkan status sosial mereka demi manfaat golongan kaya dan berkuasa.
Golongan miskin
"Kerajaan perlu mengenalpasti golongan miskin dan masuk campur membantu berdasarkan kelas dan bukannya perkauman," katanya.
Beliau turut sependapat dengan Lim berkenaan matapelajaran Sejarah yang dijadikan subjek wajib lulus bermula tahun 2014.
"Pelan pendidikan tidak perlu dipolitikkan dengan menjadikannya menyebelahi elit pemerintah.
"Contohnya, mereka sukatan Sejarah dengan memadamkan sumbangan banyak kumpulan lain yang penting dalam perkembangan sejarah negara ini," katanya.
Kumpulan pro-PPSMI, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE),menerusi pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahman menegaskan akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan untuk memastikan agenda mereka turut diberikan perhatian dalam pelan itu.
"Kami akan tuntut perkara yang kami mahukan. Kami mungkin akan hantar memorandum kepada perdana menteri sebelum akhir tahun, " katanya yang juga panelis forum tersebut.

Rabu, 19 September 2012

KENAPA GADUH NAK BUANG KERIS & TUKAR BENDERA?


Sepanjang ‘bulan Kemerdekaan’ dan ‘Bulan Malaysia’ tahun ini, tak habis tempik-sorak, raungan, pekikan dan jeritan yang tertumpu kepada bendera Sang Saka Merah Putih dan Jalur Gemilang. Maka yang turut bercampur-aduk jadi rojak masam manis dalam keghairahan rakyat jelata dan pemimpin pelbagai parti bertikam lidah menegakkan kebenaran masing-masing, maka tidak dapatlah dielak menyusup maki-hamun (terutamanya, di laman fb).

Media-media utama nampak menggila serangannya kepada pihak-pihak yang mengibarkan bendera yang kononnya akan menjadi bendera Tanah Semenanjung yang baru.
Itu dikatakan hanya boleh berlaku dengan syarat berlaku dua peristiwa mega. Puncak kepimpinan negara yang kini menjadi cair dek letusan gunung berapi dan lemas ditelan gelora samudera ketika PEMILU KE-13. Gunung berapi itu kita boleh analogikan sebagai kekuatan pihak pembangkang yang tidak terbendung lagi, manakala gelora samudera itu boleh diibaratkan sebagai gelombang kebangkitan rakyat yang menenggelamkan pantai, daratan danm banteng yang menyekat kebebasan berfikir dan bersuara.

Namun soal pokoknya, bolehkah letupan gunung berapi itu berlaku? Apakah barisan alternatif itu cukup kuat hingga boleh mengeluarkan lahar yang mampu merobohkan segala kekuatan barisan yang sedia ada? Apakah sedang terjadi suatu gerakan di lantai laut, dalan diam-diam mengumpulkan kekuatan untuk mewujudkan suatu gelora mega yang bisa menyapu bersih apa-apaan yang ada di pantai, tanah datar, dan lembah? Jika benar pada PEMILU Ke-13 nanti ditakdirkan kedua-duanya berlaku, maka impian sesetengah pihak untuk mengibarkan Sang Saka Merah Putih itu akan tercapai. Maka kita akan menyaksikan upacara serupa macam ketika Union Jack diturunkan di Dataran Merdeka 55 tahun dulu terjadi semula!

Sebelum riuh, kalut dan bercampuran dengan karut-marut tentang bendera yang mahu ditukar-ganti itu, sebelum sampai tarikh 31 Ogos baru-baru ini, dalam laman fb saya terpapar klip video tentang hal itu jugak. Paparan tak sampai sepuluh minit itu menunjukkan seorang ‘ahli politik veteran’ yang dikatakan punyai hubungan dengan PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya). Saya tidak tahu siapa orangnya.

Tak pernah tengok pun fotonya dalam buku sejarah. Seingat saya teks sejarah tingkatan satu hingga enam, tak terbit gambar orang yang dikatakan punyai kaitan dengan PKMM itu. Tapi siapa orangnya tidak penting. Yang lebih penting, bicaranya jua. Kata-katanya yang berupa suatu ‘pengakuan yang sebenar ’ dan ‘fakta yang betul’ tentang sejarah Tanah Bonda itu sangat menarik.

Kira-kira beginilah intipati kata-kata beliau (nota: mohon maaf banyak-banyak. klip video tu dah tak boleh akses lagi. Jika jumpa semula, akan dimasukkan di sini. Pembaca budiman boleh akses terus, dan baca sendiri, tafsir ikut ilmu sejarah masing-masing.) :-

‘Sewaktu kongres umat Melayu diadakan bertujuan menuntut kemerdekaan, timbul cadangan menggunakan hanya satu bendera sebagai simbol kesatuan. Yang disyorkan ialah bendera yang dominan warna merah putih. Sebilangan peserta kongres mempertikai bendera itu, kerana ada terlakar sebilah keris di tengah-tengahnya. Kenapa perlu ada keris itu? Kita bukan nak berperang. Kita nak menuntut kemerdekaan. Lagipun, kenapa mahu mengagungkan keris? Itu bukan al-Quran. Itu bukan lambang Islam. Kenapa kita nak sembah dan sujud kepada keris yang tiada kaitan dengan agama kita? Lalu, sebahagian peserta memprotes. Kerana penganjur berdegil dan tidak mahu buang imej keris di bendera itu, maka kami bertindak tarik diri. Kami keluar daripada kongres.’

Reaksi rakan-rakan fb pelbagai. Ada yang berikan komen begini:

“Dengan kecanggihan teknologi, kita dapat tahu banyak perkara yang tersembunyi atau sengaja disembunyikan oleh pihak berkuasa. Kini, dapatlah kita tahu hal sebenarnya tentang sejarah kita!”

Saya tidak memberikan komen apa-apa dalam laman sosial itu. Lama juga saya mengambil masa untuk memberikan sedikit reaksi melalui blog ini. Mahu telaah dulu bahan-bahan yang relevan dan punyai autoriti dalam hal ini. Mahu semak balik nota-nota lama mengenai keris. Mahu selak semula kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Terjumpa pula lakaran Keris Tanjung yang saya hasilkan tiga tahun dulu.

Kerana sudah diajar oleh tok guru sejarah ketika mengaji di Universiti Malaya lama dulu: apa jua ‘bahan baru’ yang boleh dijadikan bukti, kenalah diperiksa, diselidiki dan ditimbang-tara. Kena sukat takat mana nilai ‘benar dan betul’ yang ada padanya. ‘Bahan yang baru ditemui’ tidak semestinya ‘betul dan benar’. Kecuali ada bukti-bukti lain, yang boleh dijadikan sokongan yang kukuh.

Dalam konteks ini, mungkin temuramah dengan beberapa pemimpin veteran Melayu dan sarjana yang lama-lama, yang turut hadir di kongres berkenaan. Barulah kita boleh menilai dengan lebih adil dan dapat memberikan reaksi yang rasional dan jujur. Kerana timbul juga musykil: benarkah sebahagian peserta yang memprotes di Kongres Melayu suatu waktu dulu sebelum Merdeka itu benar-benar bertindak keluar hanya kerana sebilah keris yang terlakar di dada bendera merah putih?

Setakat ilmu sejarah yang saya ada, tidaklah pernah bertemu dengan kenyataan yang sebegitu. Di kampus dulu, saya pernah mengikuti kuliah Mahaguru Sejarah Malaysia – Profesor Emeritus Khoo Kay Kim. Tidak disebut peristiwa itu dalam kuliahnya. Tidak juga dibincangkan dalam tutorialnya. (Saya bernasib baik, kelas tutorial dikendalikan oleh beliau juga – banyak ilmu yang diperoleh, walaupun kecut perut taku disoal!)

Setahu saya, Sang Mahaguru itu bidang kajiannya ialah mengenai Gerakan Nasionalisme di Tanah Melayu. Beliau memang mahir dalam bidang ini. Jika benarlah peristiwa ‘protes keris’ ketika Kongres Melayu itu benar-benar berlaku, tentu ada disebut Sang Profesor dalam mana-mana makalah, buku, kuliah dan tutorialnya. Tapi mungkin jugak Sang Profesor terlupa nak sebut kerana sebab-sebab teknikal yang tidak boleh dielakkan!

Cuma kepada rakan fb yang begitu bangga kerana berjaya muatkan klip video itu, dan begitu percaya kepada ‘bukti yang baru’ itu, mahu juga kita berpesan: tengok jugak kepada bendera sebuah negara di Timur Tengah yang hijau warnanya. Terang-benderang, sebilah pedang terlakar di dadanya. Maksudnya, mahu disembah dan dipuja pedang itu jugakah oleh pemimpin dan rakyat jelatanya? Apakah pedang itu hanya membawa pengertian mahu berperang semata-mata?

Cuba fikirkan tentang ini dua soalan akhir.

satu: Semasa kita jadi pengantin muda-muda dulu, megah tersisip keris di pinggang itu, apakah terlintas mahu berperang atau mengamuk juga?
dua: Apakah keris itu simbol yang durjana atau murni?

Akhir kata: Kenapalah kita nak protes, marah-marah dan berbalah habis-habisan kerana sebilah keris. Akhirnya jadi berpecah-belah dan lemah hingga dah tak larat lagi nak tukar dan kibar bendera! Cabut simbol keris itu pun, dan bikin bendera baru pun, kita akan masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial jika terus berbalah-balahan berpanjangan dalam hal-hal yang remeh-temeh!

Buang keris dan tukar bendera mudah amat. Tapi bukan itu yang menjadikan kita bangsa yang bermaruah dan disegani kerana punyai tamadun tinggi.

Lagipun, sebahagian orang kita, marah-marah, mempersenda dan protes tentang keris, tahu betulkah kita tentang senjata tersohor itu? Bukan apa, takut kita ini jadi 'macam orang buta dengan gajah' dan 'menang sorak, kampung tergadai'.

Kita kurang pengetahuan tentang keris, tapi berbalah-balahan mahu membuangnya. Padahal orang kita sebenarnya tidak sempat menuntut ilmu yang mendalam tentang senjata pusaka ini. Hinggakan tiada sarjana kita yang betul-betul boleh dikatakan pakar dalam soal keris. Bahkan, buku yang betul-betul punyai autoriti dan jadi bahan rujukan utama mengenai keris ini, ditulis oleh sarjana Barat.

Jika tuan-tuan mahu tahu lanjut tentang senjata mistik Melayu ini, mahu tahu asal-usulnya mengikut kajian sarjana, silalah rujuk:-

1. "The Kris: Mystic Weapon of the Malay World" (karya Edward Frey, terbitan Oxford University Press, 2003).
2. "The Keris and other Malay Weapons," (karya A.H. Hill, G.C. Woolley dll, dalam The Malaysian Branch of The Royal Asiatic Societ, 1998, report no 16.)

Jadinya, usahlah duduk gaduh nak buang keris itu, jika kita sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya! Jika tiada ilmu, sabarlah dan dengarlah kata-kata orang yang berilmu.

Begitu juga halnya apabila ada 'orang lain' yang berani mengatakan Laksamana Hang Tuah itu tidak wujud dalam sejarah Tanah Semenanjung, terkebil-kebil kita dibuat. Terkial-kial mahu memberikan jawapan. Kita jadi begitu kerana tiada satu pun sarjana Melayu di Tanah Bonda ini yang boleh mendabik dada mengatakan dia adalah pakar tentang hal-ehwal yang bersabit dengan panglima tersohor itu!

Permisi. Dengan izin-Nya kita ketemu lagi.

nota kaki: Keris Tanjung itu saya lakarkan berdasarkan gambar di dalam buku "Spirit of Wood: The Art of Malay Woodcarving" karya Farish A Noor & Eddin Khou, Periphs Editions (HK) Ltd, Singapura: 2003.

Khamis, 13 September 2012

nota syawal (8) MUDAHNYA NAK HALAU JIN & SYAITAN!

Zaman kecil-kecil dulu, kalau terjaga tengah-tengah malam atau ketika suasana begitu bening (Subuh masih jauh), memang sahih akan menggigil dalam pukat ketakutan. Nak meraung malam-malam buta dan awal pagi yang gelita itu, mahu kejut orang lain, tak punyai keberanian langsung. Takut dimarahi adik-beradik yang senior, yang sedang lena. Terlebih takut jika bising kita mengundang pula segala makhluk yang halus dan pelik, yang kononnya berkeliaran dalam gelap malam. Di luar dan di dalam rumah! Terasa macam hantu dan syaitan sedang berkeliaran mahu menekup mangsanya.

Maklum saja, zaman pertengahan tahun 60-an hingga awal 70-an, kehidupan malam dilabuhkan sebelum sampai pukul sepuluh. Tiada rumah yang punyai televisyen, dan yang miliki radio seingat saya hanya sebuah sahaja. Tuan empunya ialah seorang peniaga kayu, yang juga punyai bot tangkap ikan, kebun getah dan sawah bendang.

Lantas anak kampung waktu itu, tidurnya awal sekali.

Siang-siang di kampung pinggir sungai, memang pemandangannya mengasyikkan. Ghairah tak padam mahu bermain macam-macam dan berlama-lama di sungai dengan kawan-kawan. Apabila melepasi waktu Isyak saja, balik rumah dari masjid, sebelum jam sepuluh mata sudah terpejam rapat. Kerana tidur awal itu, maka mudah pula terbangun tengah-tengah malam buta kerana mimpi atau terdengar bunyi yang pelik-pelik. Maklum saja, rumah kami yang terdiri kira-kira dua puluh meter dari tebing sungai, kedua-dua belah kiri dan kanannya kubur belaka! Jika tersilap buka tingkap dan memandang ke arah tanah perkuburan, boleh histeria jadinya!

Lantas, jika terjaga malam-malam buta dan mata sudah tidak boleh ditutup kerana bunyi yang pelik-pelik (suara alam), tiada pilihan lain, maka terpaksalah merangkak perlahan-lahan masuk ke bilik ayahanda bonda. Biasanya memang bonda akan terjaga walaupun bisikan di birai katil sangat halus dan tersekat-sekat. Biasanya bonda akan turun katil. Dikepit bantalnya sambil menyanggul rambut.

Dia sudah tahu apa masalahnya. Dia akan berlunjur di atas tikar mengkuang, dan saya akan berbaring di sisinya. Ketika itulah dia akan menuturkan ayat-ayat dari surah al-Fatihah sambil diusap-usap kepala saya. Bila masanya saya terlelap, tidaklah pasti. Sedar-sedar, dikejutkan semula kerana ayahanda bonda sudah balik dari jemaah Subuh di masjid. Tidur saya nyenyak sekali. Tiada hantu syaitan datang mengganggu.

Hakikatnya, itu sudah tinggal kenangan. Kekal dalam ingatan sebagai suatu tanda kasih sayang bonda, yang telah lama pergi mengiringi ayahanda mengadap Yang Maha Esa.

Kekal ingatan itu, abadi dalam diri sudah hampir lima puluh tahun. Petua pusaka daripada bonda. Jika anak terjaga malam-malam dan takut akan hantu dan syaitan, bacakan perlahan-lahan surah al-Fatihah dan hembus ke kepalanya. Ketika itu dan sampai sekarang, saya berasa yakin dengan kaedah ajaran bonda. Kerana dia bukan saja wanita yang amat setia kepada suami, sopan-santunnya tinggi, tetapi juga rajin mengerjakan amal ibadat, beberapa kali menunaikan Haji, dan dia jugalah guru al-Quran kepada anak-anak dalam kejiranan kami.

Mudah amat petuanya. Hanya membaca surah al-Fatihah, sudah tenteram jiwa saya. Tiada takut apa-apa kepada hantu dan syaitan. Kerana yakin, dengan bacan ayat-ayat suci itu, lintang-pukang lari jauh-jauh segala jin dan jembalang!

Tiga hari lepas (pagi Selasa), sempat menonton Tanyalah Ustaz. Kali ini pendakwah terkenal jadi hos - Dato' Hassan Din al-Hafiz. Saya menonton hingga habis. Sangat tertarik kerana ada disentuhnya juga tentang jin dan syaitan. Yang katanya tidak jemu dan tidak lelah mengganggu dan menghasut insan ke jalan kesesatan.

Kira-kira begini boleh dirumuskan, sebahagian inti bicara pendakwah tersohor itu:

'Sebenarnya, jin dan syaitan itu ada dalam badan kita. Menyelinap masuk sejak kita dilahirkan. Atas usaha kitalah untuk menyisihkannya dengan amal ibadat, amal soleh dan zikirullah. Inilah makanan rohani dan pengukuh jiwa, yang akan menjadi benteng dan senjata untuk menyingkirkan jin dan syaitan daripada menguasai badan dan jiwa kita.

Apakah kita sudah tunaikan semua ibadat yang wajib? Periksalah diri tentang pelaksanaan solat, puasa, zakat, dan haji. Jika tidak, maka tunaikan dengan ikhlas yang wajib-wajib itu.

Tanyalah juga, apakah kita sudah meninggalkan perkara haram di sisi agama atau perbuatan yang terlarang oleh syariat Islam? Jika tidak, maka buanglah tabiat yang buruk itu, dan tinggalkan perbuatan yang sia-sia yang dilaknat Allah.

Bertaubatlah. Taubatan nasuha.

Itulah caranya, kalau nak halau jin dan syaitan daripada hidup kita!'

Maha Suci Allah. Mudah sungguh nak halau jin dan syaitan!

Tak perlu susah-susah pinjam duit nak bayar hingga RM12,000 (dua belas ribu ringgit) kepada tok bomoh kerana nak halau jin atau syaitan, dan nak hapuskan dosa!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

petikan akhbar: perihal sebuah keluarga terjerat dek tipu-daya seorang bomoh yang mengaku boleh beritau tarikh kematian, tebus dosa serta halau jin & syaitan. Bukan saja wang lesap, anak gadis mereka turut 'diserahkan' kepada bomoh putar alam itu. begitu jijik & durjana. inilah khurafat zaman kontemporari!

Selasa, 11 September 2012

nota syawal (7) GAY, LESBIAN & SEKS BEBAS DI SEKOLAH ASRAMA PENUH?


Dalam orang heboh bendera kebangsaan mahu ditukar, dan hiruk-pikuk kerana gambar orang nombor satu dipijak dan seluar terlondeh di depannya, sebahagian cerdik-pandai Melayu bersidang di sebuah institut yang terbina untuk mencari buah fikiran supaya rakyat Tanah Bonda lebih memahami hal-hal kehidupan berlandaskan keIslaman. Pokok bicaranya boleh ditafsir sebagai ‘serangan belas’ kepada Gerakan Seksualiti Merdeka yang dianjurkan segelintir rakyat Malaysia yang celaru jiwa.

Bukan terloncat monyet, terkejut beruk atau tersentak kucing lagi jadinya. Kerana bukan fizikal didebuk dan tercedera, tapi jiwa sudah terdera dan terluka. Nampak begitu mudah dilontarkan tohmahan, yang terkena juga kepada kita yang lama duduk di Sekolah Asrama Penuh (SBP).

Laporan akhbar dimulakan dengan ayat yang sangat prejudis:

“Kementerian Pelajaran diminta memantau sekolah-sekolah berasrama penuh yang dilihat berpotensi melahirkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Manakala dalam laporan yang sama (teks penuh diturunkan di bawah), seorang sarjana yang jadi moderator sidang itu dilaporkan berkata,

“...remaja yang bersekolah asrama lebih-lebih lagi yang berasingan jantina lebih terdedah kepada perasaan tersebut kerana secara rutin mereka berhadapan dengan rakan-rakan daripada jantina yang sama. Memang terdapat banyak kes homoseksual di sekolah asrama, pelajar senior tertarik dengan pelajar junior yang jambu. Malah perkara ini juga berlaku di sekolah-sekolah berteraskan agama seperti maahad tahfiz.”

MasyaAllah. Berani senghoti dia. Entah data daripada sumber mana diambilnya. Kaedahnya kualitatif atau kuantitif tidak jelas juga.Berapa lama kajian itu dijalankan. Besar mana saiz sampelnya. Berapa banyak sekolah asrama penuh sudah dipantau dan diselidiki.

Jadi teka-teki dan naik serabut kepala kita dibuatnya. Ini kenyataan, sudah macam suatu serkap jarang.

Mungkin tergesa-gesa mahu melompat kepada konklusi bahawa kelakuan dan tabiat ‘LGBT’ itu mudah terjadi di sekolah yang ada asrama (termasuk SBP). Ini nampak seolah-olah mahu mengaitkan dengan kes tersohor yang masih tak habis di mahkamah, yang tertuduhnya dulu-dulu budak asrama penuh jugak!

Saya jadi sangat terasa. Pedih hati. Nanar jiwa dek rasa marah dan dukacita. Kerana saya ini pernah bersekolah di asrama penuh. Lima tahun di sekolah yang bercampur jantina, dan dua tahun di SBP yang tunggal seks pelajarnya.

Dalam famili, tiada yang lain, sayalah yang paling lama tinggal di SBP. PokDeng yang sampai sekarang sangat bangga dengan MCOBA, pernah jalani hidup di kolej serba jantan di Kuala Kangsar itu selama empat tahun. Aweng yang kini rajin turun Penang (kerana hal pembangunan tanah di kawasan setinggan), merupakan generasi pertama sebuah kolej ternama di Darul Iman, yang kini dah naik martabat jadi universiti. Perunding hal-hal legal itu sama dengan PokDeng – empat tahun jadi budak asrama, dari tingkatan empat hingga enam.

Kebetulan pula, dua kakak saya, yang satunya mengaji di Sekolah Perempuan Kolam Air (dah pindah ke Cyberjaya, lama dulu letaknya berdekatan dengan KLCC) , seorang lagi di Kolej Islam Kelang – juga jadi budak asrama penuh selama empat tahun juga.
Saya pegang rekod tak boleh dipecah di kalangan adik-beradik. Jadi budak kampung yang duduk di asrama penuh total tahunnya tujuh. Lima tahun di sebuah sekolah sains (yang pertama di Darul Iman). Dua tahun lagi di Sekolah Alam Shah, Cheras.

Bayangkan akan kejakunan kerana kejutan, apabila budang kampungan, yang sebahagian hidupnya bersosial di persekitaran sungai, bendang, parit, kebun, dan hutan, lepas darjah enam hidup di asrama penuh. Kejutan tidak terelak tetapi dapat diadaptasi. Peraturan sekolah sains jadi sangat asing. Tapi selama lima tahun di situ, tidaklah pula terjadi kecelaruan jiwa dan timbul pemberontakan diri mahu tembor, bersekolah di tempat lain. Lari ke sekolah-sekolah harian biasa yang terkenal waktu itu – Sultan Sulaiman, Padang Midin, Tengku Bariah, dan Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin.

Seperti rakan-rakan yang lain, yang sebahagiannya juga asalnya dari kampung, adaptasi berlaku dengan harmoni. Anak kampungan yang hidup bebas berinteraksi dengan persekitarannya, boleh pula bersosial dalam iklim yang acap berubah kerana sekolah ini masih mentah usianya.

Barangkali saya dan sebahagian kawan-kawan yang terdidik dengan nilai-nilai social kampungan yang tebal, menjadikan jiwa kami kental, tidak takut menghadapi alam baru di SBP. Tidak mudah tewas dengan pelbagai elemen baru diperkenalkan dan disuntik selama lima tahun hidup di sekolah sains.

Guru-guru memang sangat berdedikasi (motto sekolah kami: DISIPLIN, KUALITI, DEDIKASI).Mahu mendidik anak bangsa, supaya akhirnya muncul sebagai golongan profesional, pedagang dan teknokrat yang sukses. Selama di sekolah, nilai-nilai hidup diterapkan melalui pelbagai kegiatan luar darjah. Sebutlah apa jua. Tidak terkira banyaknya. Dari etika di dewan makan, berarak ketika Maulid Nabi, perkhemahan pasukan uniform, hingga hal remeh-temeh cara nak kemaskan katil dan lipat kain baju dalam loker pun ada peraturannya. Itu hanya cebisan kecil. Senarainya panjang amat.

Di sekolah sains itu (dan saya fikir serupa juga di SBP yang lain), kegiatan dalam kelas dan luar darjah itu, semua terarah mahu menjadikan remaja menjadi insan yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelek (JERI).

Adik-beradik saya yang belajar di SBP, tidak seorang pun terlibat dengan apa-apa kelakuan sumbang LGBT itu. Begitu juga dengan rakan-rakan saya di Sekolah Sains dan di Sekolah Alam Shah lama dulu. Tiada terdengar sesiapa terbabit atau sabit dengan kegiatan nanar itu.

Kerana itu, terguris amat rasanya ditohmahkan sedemikian rupa.

Saya nak catat sikit butiran yang boleh dijadikan bahan perbincangan, jika cerdik-pandai Melayu bersidang lagi di institut itu, dan mahu bincang lagi tentang Seksualiti Merdeka.

Butiran yang dimaksudkan, merupakan jawapan-jawapan kepada soalan ini:

BERAPA RAMAIKAH BUDAK-BUDAK ASRAMA PENUH YANG TERLIBAT DALAM:-

1. kes durjana pembunuhan bayi baru lahir.
2. kes liwat yang dah masuk mahkamah (jangan rujuk kepada satu-satunya kes yang tersohor itu saja!).
3. pasangan khalwat yang ditangkap sesama jenis.
4. golongan khunsa yang jadi siswa.
5. kes-kes yang dirujuk ke Sekolah Harapan di Melaka.
6. kes-kes lesbian dan penkid.

Sila jawab soalan ini dengan melakukan suatu kajian yang komprehensif di SBP. Moleknya guna kaedah kualitatif dan kuantitatif. Saiz sampel seboleh-bolehkan setaraf (kualitinya) dengan Bancian Kebangsaan yang lazim dilakukan. Sarjana yang terlibat mestilah daripada latar multi-disiplin. Sebelum para cerdik-pandai bersidang lagi tentang Seksualiti Merdeka ini, kajian ini mesti diselesaikan.

Tohmahan betapa SBP punyai ‘potensi’ jadi tapak semaian golongan LGBT itu sangat berat. Memalukan. Mual dan meloyakan. SBP tempat disemai barisan kepimpinan negara, agama dan bangsa dalam pelbagai bidang usah dicemarkan maruahnya dengan tohmahan yang tidak berasas.

Permisi. Dengan izin-Nya, kita bisa ketemu lagi.

foto: pelajar SBP – terdidik agar bisa muncul sebagai golongan profesional yang akan menerajui negara dalam pelbagai bidang kehidupan (sosial, ekonomi dan politik).

____________________________________________________________
(nota: berikut ialah berita asal yang dipetik daripada utusan malaysia-online)


Sekolah asrama lahirkan golongan LGBT?
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kementerian Pelajaran diminta memantau sekolah-sekolah berasrama penuh yang dilihat berpotensi melahirkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ini kerana, menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Dr. Azizan Baharuddin, homoseksualiti sementara (transient homosexuality) yang wujud dalam kalangan remaja tidak kira lelaki atau perempuan merupakan fenomena biasa.
Ujarnya, remaja yang bersekolah asrama lebih-lebih lagi yang berasingan jantina lebih terdedah kepada perasaan tersebut kerana secara rutin mereka berhadapan dengan rakan-rakan daripada jantina yang sama.
Memang terdapat banyak kes homoseksual di sekolah asrama, pelajar senior tertarik dengan pelajar junior yang jambu. Malah perkara ini juga berlaku di sekolah-sekolah berteraskan agama seperti maahad tahfiz.
Walaupun ia normal, namun perkara itu jika tidak dipantau boleh menyebabkan orientasi seksual bersifat sementara itu menjadi kekal lebih-lebih lagi kepada remaja yang pernah terlibat secara langsung dengan sentuhan fizikal ," katanya.
Azizan merupakan moderator muzakarah pakar bertemakan LGBT: Cabaran dan Penyelesaiannya anjuran (IKIM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sambil merujuk pembentangan kertas kerja Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj bertajuk Memahami Isu Gender-LGBT: Perspektif Perubatan dan Biologi.
Dalam kertas kerja itu, Harlina Halizah berkata, tarikan sesama jantina dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa, namun ia tidak boleh dipandang ringan khususnya oleh ibu bapa dan pihak sekolah kerana dikhuatiri akan meninggalkan kesan emosi yang mendalam selain mengubah orientasi seksual kepada homoseksual kekal.
Menurut Azizan, kes-kes sedemikian kebiasaannya sukar dikesan oleh ibu bapa kerana remaja yang menjadi mangsa lebih-lebih lagi pelajar lelaki yang pernah diliwat, malu untuk memberitahu perkara sebenar.

Jumaat, 7 September 2012

nota syawal (6) PERIHAL ANAI-ANAI YANG LAYAK JADI PENGUNDI


Seboleh-bolehnya tidak mahu kita bicara tentang politik. Banyak yang jadi teka-tekaan. Banyak kali jadi cakap-cakap kosong saja. Timbul urat leher tak berbaloi. Kerana orang politik yang berbalah, kita yang berkelahi. Macam kata seorang bekas PM, “Dalam politik, berkawan tak selamanya. Dan musuh pun tak selamanya.” Saya ingat sangat kata-kata itu. Bukan duduk bercongok depan tv. Tidak baca dalam akhbar. Bukan dengar cakap-cakap orang. Tapi saya hadir di perhimpunan itu ketika ungkapan itu dituturkan. Hadir bukan sebab jadi anggota parti, tapi atas arahan, kena bertugas jadi pemerhati.

Banyak benar bukti tentang betul dan benar bicaranya. Semasa dia masih pegang Ultimate Power, hingga sekarang. Senario politik negara punyai watak-watak utama dan sampingan yang begitu manipulatif dan oportunis sungguh.

Ugh, tidak dapat dielakkan. Kali ini tidak bisa mengelit atau menepis. Mahu segera melompat badan sudah berat amat. Mahu lari, lutut sudah kiut-kiet. Lantas terpaksa juga menadah telinga, dan mencelikkan mata.

Kali ini, menghadiri kenduri raya waris-warah, hujungnya jadi sesi bicara politik. Seorang waris yang senior angkat dirinya jadi pengerusi, mengajukan musykil: “Jika diberikan pilihan, semua di sini, orang-orang muda dan dewasa...mahu pilih siapa? yakin dengan siapa? nak undi siapa kali ini?”

Daripada kira-kira sedozen yang duduk mengelilingi dua meja yang ditangkup, majoriti condong mahu ‘buat perubahan’. Mereka mahu ‘berikan peluang’ kepada pihak yang satu lagi. Kerana sudah lama sangat Tanah Bonda dipimpin ketua-ketua dari sekutu yang sama. Mereka mahu pakatan yang lain pula diberikan peluang. Mereka mahu tengok hasilnya. Betul jadinya seperti yang dijanjikan. Jika tidak, boleh saja ditukar balik ke asal dalam PEMILU yang akan datang. Hasrat mereka yang majoriti itu, mahu beri peluang kepada perubahan!

Ada jugak waris yang tidak mahu memberikan peluang langsung. Diambil peristiwa di Mesir dan Libya sebagai teladan. Katanya, tiada untung apa-apa pun dengan perubahan seperti itu. Terlalu banyak mudarat daripada manfaat.

Berbunyi juga suara minoriti yang keras mengatakan, jika diberikan peluang kepada pihak yang mahu ‘menggantikan’ itu, sebenarnya hasil tidak berbeza. Orang politik hanya bijak menuturkan janji. Sudah dapat kuasa, akan punyai terlalu banyak dalih untuk jadi ‘pakar mungkir’. Katanya, kita jangan terburu-buru. Ini soal survival bangsa dan agama. Kita masih terlalu jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi, dan terlalu banyak masalah dalam aspek sosial. Jika tersilap memilih, bukan sahaja kudis ekonomi dan penyakit sosial yang lain itu sukar diubati, malahan tiada kepastian masa depan anak bangsa kita akan makmur dan sejahtera seperti kontemporari ini.

Seghoti. Ini bukan main karang-karangan. Ini ditulis berdasarkan situasi dan adegan di suatu kenduri raya yang betul dan benar. Ini suara majoriti Melayu yang hadir ketika itu. Mereka yang majoriti itu professional belaka – muda, dewasa dan senior. Mereka layak mengundi. Mereka juga punyai pengaruh dan kuasa tertentu, walaupun semuanya itu bukan orang politik! Mereka ini tidak menonton Berita Perdana. Mereka ini tidak membaca akhbar Utusan dan Berita Harian. Tapi bukti dalam hujahan mereka nampak benar dan betul jugak!

Betul, mereka ini tidak turun menjerit-jerit atau bergomolan di Dataran Merdeka. Kerana mereka ini golongan yang beradat dan begitu budiman. Tapi jangan ingat mereka tidak mampu menjadi anai-anai. Dalam diam boleh meruntuhkan sebuah mahligai.
Memang suara mereka dalam kelompok kecil saja. Terdengar keras bicaranya keras di kalangan waris-warah sahaja. Tapi harus diingat, api yang mulanya kecil itulah akhirnya marak membakar hutan belantara.

Walaupun kecil kumpulannya, tapi itu tetap memberikan alamat dan amaran. Jika begitu ‘hasrat mengundi’ kaum kerabat sebuah famili Melayu, bagaimana yang lainnya?

Ugh, jangan dipandang remeh! Anai-anai yang nampak lemah dan hanya hidup diam-diam dalam famili sendiri itu, jika layak mengundi, besar amat pengaruhnya! Kerana anai-anai secara tabiinya rajin, disiplin tinggi, kukuh muhibah, tolong-menolong, pegang amanah sampai mati, tak berebut kuasa, tahu hormat hak asasi sesama kaum, dan tidak termakan rasuah. Susah mahu dihindari, kecuali diracun saja!

Permisi. Dengan izin-Nya, kita bisa ketemu lagi.

Selasa, 4 September 2012

nota syawal (5) SEBUAH BANGLO DI PINGGIR KANDANG KERBAU

Seronok. Puas hati. Letih. Itu gambaran emosi dan fizikal tiga hari pertama beraya di kampung tanah tumpah darah. Keluar pagi (paling lewat jam sembilan), kembali ke penginapan (rumah pusaka ayahanda bonda) hampir jam sepuluh.

Aidilfitri menyambut kemenangan. Tentunya kemenangan itu kita rayakan dengan penuh kegembiraan. Itulah yang berlaku. Gembira melakukan kembara raya satu famili (Yang Tersayang, Ney-ney, Dek-dek dan Syai) ke rumah saudara-mara yang tua-tua, sepupu, dan ipar-duai. Dan ternampak gembiraan jua di wajah tuan-tuan rumah yang menyambut tetamu yang hanya bisa bersua wajah dan bersalaman setahun sekali!

Lagi meriah jadinya kerana anak-anak gadis saya sudah ‘pandai beraya dan bergaya’ sesuai dengan usia mereka. Syai dan Dek-dek sedang harungi dunia kolej. Yang bongsu (Ney-ney) pula akan menduduki PMR tidak lama lagi.

Paling seronok nampaknya Syai. Dia diberikan permit untuk jadi supir. Bukan saja sewaktu kembara raya ke rumah waris-warah, malahan sepanjang perjalanan pulang dari Kotaraya ke Darul Iman, gadis yang sedang menuntut di sebuah kolej perguruan itulah yang sudah mampu menggantikan ayahnya menjadi pemandu. Kerana puas hati akan tuturbicara, tingkahlaku dan cara memandunya pula makin matang, maka itulah sebabnya Syai diberikan permit menguasai stereng dalam kembara raya kali ini. Dari riak di wajahnya, terasa dia bangga diberikan tugas besar itu yang bercampur sekali kebebasan, kekuasaan dan rasa kedewasaan.

Dek-dek pula bertambah-tambah seronoknya. Penampilannya menyerlah, dan terpancar ceria di wajahnya. Sejarah baru hidupnya terlakar. Pertama kali dia beraya tanpa pakai kacamata. Sehari sebelum balik kampung, dia menjalani ‘bedah mata’ di Hospital Princecourt. Yang melakukan prosedur itu, pakar mata dan motivator terkenal – Profesor Dr Muhaya. Ceria yang berganda tentulah jugak kerana dia sudah susut 16kg! Gembira sangat gadis yang aktif jugak jadi blogger ini.

Nikmatnya dilimpahi rahmat Allah. Di Aidilfitri, dapat mata baru dan susuk fizikal pun yang baru jugak!

Pengalaman di Hospital Princecourt itu, dirakamnya dalam doubledek.blogspot.com

Hanya Ney-ney mungkin tidak gembira seratus-peratus. Kerana lepas raya, PMR bakal menjelma. Barangkali tension mengacau keseronokan beraya. Gembira dalam depression dia gamaknya. Ah, itu soal hati. Sukar mahu diteka. Yang ketara, lagi banyak rumah dikunjungi, makin lebar senyumannya. Kerana dompetnya makin kembung dengan duit raya. Ugh, dilawan hitung pula dengan kakak-kakaknya. Ceria sangat kerana kutipannya sedang mendahului!

Selama tiga hari ketat dengan jadual beraya itu, sebuah saja rumah kawan lama yang saya kunjungi. Tidak upaya mengunjungi rakan-rakan lain yang. Bukan sahaja kampung mereka di lokasi yang berbeza, perjalanan raya amat memenatkan. Jalan utama sekitar Parlimen Kuala Terengganu jem teruk. Kini, cuti Adilfitri, sendat di jalanan dah jadi macam Lebuhraya Persekutuan.

Tapi saya tetap mengunjungi sahabat yang seorang ini kerana awal pagi raya ketiga sudah menelefon pelawa ke rumahnya. Hampir jam tiga, selepas mengunjungi waris yang keuzuran di Manir, kami bergerak ke Bukit Payung. Sesak di jalanraya,naik rimas di dalam kereta. Syai pula tidak menyertai. Dia pulang awal ke rumah mentua saya. Katanya, ada rakan sekampus yang sudah janji mahu menemuinya di situ. Ugh, barulah rasa lelah bawak kereta sendiri. Jika tidak, dalam jem gila macam ini, bagusnya melelapkan mata saja.

Rumah yang dituju letaknya di Kampung Rawai. Bukan betul-betul di Pekan Bukit Payung. Sudahlah bergerak macam kura-kura, terlajak pulak hampir 10km kerana tersilap congak peta perjalanan diberikan sahabat saya itu.

Cipta sejarah raya kali ini. Pertama kali dalam hidup, saya jejak Kampung Rawai. Tidak jauh dari Pulau Musang. Kira-kira 30km saja. Tapi jalan besar ke Bukit Payung sudah sesak, perjalanan dua puluh minit jadi sejam setengah!

Sepanjang jalan ke Rawai, terlihat limpahan pembangunan sudah masuk jauh ke dalam kampung yang tidak pernah saya lawati ini. Malahan saya tak tahu pun ada sebuah kampung bernama Rawai di Bukit Payung! Jalannya nampak masih baru. Tiada langsung rekahan dan lopak.

Kami melintasi sebuah masjid tersergam di kawasan yang luas di pinggir jalanraya. Empat kali ganda lebih besar saiznya dari masjid kampung saya. Sekali imbas, bukan masjid lagi, tapi nampak macam sebuah Kompleks Pusat Islam! Lagi ke depan, tidak jauh dari situ, kelihatan tiang-tiang saiz mega kukuh berdiri di kedua-dua belah jalanraya, menongkat lebuhraya dari Batu Enam (Kuala Terengganu) menuju ke Bukit Besi (Dungun).

Membelok ke kiri selepas sebuah tabika dan padang bola, saya jadi tidak pasti. Jalannya kecil sekali. Semuat sebuah kereta saja. Di kiri kanan imej kampungan kembali seperti sedia kala. Pohonan rendang, belukar dan rumah-rumah kayu memagari jalan yang sempit. Maka sahabat saya itu pun menjadi suara garau ‘GPS on Air’.

Sambil memegang stereng sambil melilau mengenal pasti panduan yang diberikan.

Berselisih dengan sebuah Proton Saga di simpang tiga. Mujur sekali. Baik hati sang pemandunya. Lekas dia mengundur dan menghimpit keretanya ke dalam belukar! Ah, orang kampung yang budiman. Sopan benar di jalanan. Barangkali dia tahu saya orang asing di situ.

Melepasi jalan yang sempit serta pohonan dan belukar yang menyempadaninya, sampailah kami ke matlamat. Dari jauh sudah nampak sahabat saya itu berdiri di laman rumah. Tidak mungkin terlepas pandang - susuk badan yang tinggi, dan kopiah (dah agak lama jadi pakaian rasminya). Lega. Sampai juga kami ke rumah Tom, selepas kerimasan di jalan besar.

Lama jugak kami santai di rumahnya. Termasuk waktu ‘tumpang solat’ dan tunggu giliran ke meja makan dek ramainya tetamu. Nampak gelagat mereka macam waris-warahnya belaka.

Sambil-sambil menikmati biryani ayam yang enak itu, Tom menunjukkan sebuah buku kulit tebal yang eksklusif. Buku tentang Kesultanan Terengganu itu, dialah yang jadi tukang reka dan juruhiasnya.

Tidaklah mengejutkan. Kerana seingat saya dari dulu lagi, sejak zaman sekolah, dia memang punyai bakat seni. Sudah menyerlah dari zaman remaja. Mural di dinding dewan besar sekolah kami, dia yang jadi kepala menyiapkannya. Dia juga yang jadi presiden kelab seni lukis dan fotografi.

Kini, dia seorang jurufoto profesional. Kerana itu, di rumahnya itu pun terbina sebuah studio. Katanya masih belum diperlengkapi sepenuhnya. Sahabat saya ini juga punyai blog untuk ‘orang-orang baru’ bertatih dan banyak musykil tentang hal-hal kesenian foto. Malangnya sudah ditutup kerana terlalu banyak ‘spasm’ buat sampah. Jika mahu lihat koleksinya mengenai panaroma Darul Iman, boleh jenguk exploreterengganu.blogspot.com (99% rakaman terkumpul di situ adalah senifoto karya Tom).

Sewaktu akan berpulangan, kami bergambar ramai-ramai. Dua famili bersatu dalam sekeping foto untuk kenangan abadi.

Baru lima puluh meter meninggalkan rumah sahabat saya itu, Ney-ney dan Dek-dek menjerit. Saya membrek tiba-tiba. Lantas mata menurut tudingan mereka.

Sekawan kerbau diselaputi selut yang kering menapak angkuh di tepian pagar rumah Tom. Yang besar gagah mendepani. Yang kecil sedikit dan anak-anaknya terhingguk-hingguk di belakang. Kawanan total kira-kira sepuluh ekor itu ‘pulang petang’ menuju ke kandang. Letaknya kira-kira seratus meter dari rumah Tom.

Dari tingkap kereta, pemandangan itu amat menarik dan unik. Sekawan kerbau yang sudah puas berkubang dan berkeliaran, akhirnya pulang ke kandang. Tiada pula siapa-siapa yang mengembalai kawanan binatang hebat bertanduk kukuh itu.

Ah, pemandangan yang sangat hebat untuk sang pengkarya seperti Tom. Saya fikir, banyaklah nanti koleksinya mengenai kerbau di Kampung Rawai. Yang ‘rehat dan tidur’ di dalam kandang tidak jauh dari rumahnya.

Malam itu, sewaktu santai dan melihat koleksi gambar raya di skrin Galaxy Tab, lama saya renungi foto kenangan beraya di rumah Tom. Beberapa kali melintas bayangan kawanan kerbau dan banglo yang terbina di tengah-tengah bendang yang sudah kering-kontang. Tertayang juga kenang-kenangan waktu remaja, zaman persekolahan dulu-dulu.

Mendesak sekali rasa mahu mulakan novel baru. Tentang zaman kehidupan kampungan, pelbagai perubahan sosio-budaya, dan nilai hidup kontemporari orang Melayu.

Tertera kilasan judul awalnya: ‘SEBUAH BANGLO DI PINGGIR KANDANG KERBAU’. Rohnya timbul daripada ziarah raya ke rumah seorang sahabat. Refleksi kehidupan Melayu zaman kontemporari. Profesional, mewah dan hebat, tapi masih tradisional dan punyai jatidiri.

Tapi terdahulu mahu juga berpesan kepada Tom begini:

"Rajin-rajinlah berjaga awal pagi. Kedamaian di waktu yang bening itu amat indah. Sudah tahajjud dan witir, bercongoklah sorang-sorang di beranda banglo itu. Mesti akhirnya, akan muncul binatang malam yang handal menyelit dalam diam – sang musang.

Tanda hadirnya ‘wakil’ dari kampung saya (Pulau Musang) menziarahi banglo di pinggir kandang kerbau, di Kampung Rawai. Itu tanda persahabatan lama yang bisa berkekalan, seperti jugak simbolik sepasang panda yang kini musafir di Tanah Semenanjung!"

Permisi. Dengan izin-Nya bisa kita ketemu lagi.



foto 1: sentuhan seni TOM terpapar pada rekabentuk dan
rekaletak ‘buku istana’ yang eksklusif ini.
foto 2: sebuah banglo di pinggir kandang kerbau.
foto 3: Kawanan kerbau dengan sahabat alamnya - burung gembala kerbau.

(nota: foto 1&3 hasil ketikan kamera Tom.
foto ke-2 itu dirakam guna galaxy tab saja)

Sabtu, 1 September 2012

nota syawal (4) KAMI NAK RASA JUGAK AIR PERCUMA!

Teruk benarkah masalahnya?

Itu soalan cepumas ketika pulang beraya di kampung kali ini. Rata-rata waris-warah beranggapan kami ‘kehausan dan gersang’ dalam krisis air yang teruk di Darul Ehsan.

Soalan popular yang lain ialah: “Acap benar ke bekalan terputus?”

Musykil yang datang dengan dahi berkerut itu boleh sangat difahami. Meloncat daripada bibir penduduk kampung yang tidak pernah mengalami krisis air. Seingat saya, kampung kami tidak pernah ‘tandus dan gersang’ kerana terputusan bekalan air. Ah, namanya pun Pulau Musang. Mana bisa kering airnya!

Sungai Terengganu yang melingkar dari Ulunya di Kenyir itu, sudah jadi macam lebuhraya. Lama sebelum saya dilahirkan, sungai ini juga adalah jalan pengangkutan ke Kuala Terengganu. Jeti (tempat singgah bot penambang yang menyisir ke Pasar Kedai Payang) yang didirikan atas usaha arwah ayahanda saya masih teguh di tebing sungai. Di situ tempatnya saya dan kawan-kawan yang jantan berenang, main di atas rakit, melempar pancing dan mandi-manda.

Di kampung kami terdiri sebuah rumah pam. Dari sungai itu disedut airnya untuk kegunaan sawah bendang. Jernih air memenuhi parit besar yang melingkar macam sang naga yang galak berenang. Jika tidak bermandian di sungai, di parit itulah, menjadi tempat kegemaran saya dan rakan-rakan bermain air. Tidak selalu. Ketika air sedang dipam ke dalam parit, paling seronok berenang. Air yang deras membuak dari mulut rumah pam yang lebar, menjadi dombaan budak-budak lelaki yang gemarkan cabaran extreme!

Dari sungai itu juga tersalir air melalui batang-batang paip macam batang balak besarnya, ke pusat tapisan di sebuah bukit di Losong. Mewahnya air di kampung kami. Sungai yang ‘begitu hidup’ mendepaninya menjadi sumber untuk pertanian dan pelbagai kegunaan harian yang lain. Sungai ini juga menjadi ‘medan sosial’ penduduk kampung. Tempat pertemuan anak-anak kecil, remaja, belia dan dewasa sekaligus. Terdidik tentang nilai kehidupan tanpa sedar.

Sayangnya, sungai itu bukan tempat bermandian lagi. Sudah pupus fungsinya sebagai ‘medan sosial’ penduduk sekitar. Sesekali balik kampung dan cuba mengutip nostalgia zaman anak-anak, yang ketemu hanyalah kedukaan dan kehampaan. Sungai itu sudah tercemar. Banyak sangat sangkar ikan yang dibina di kiri kanan tebingnya. Malahan ada juga kegiatan melombong pasir. Bukan saja sungai besar itu tidak menjadi gelanggang remaja bermandian dan bersosial. Malahan parit yang besar dan panjang melingkar melepasi sempadan beberapa kampung itu pun sudah mati juga. Gerun melihat keadaannya.

Langsung tidak terliur untuk membuka baju dan melurutkan seluar, lantas terjun tanpa teragak-agak ke dalam airnya yang jernih seperti dulu-dulu. Naga yang galak bermain air sudah lama mati. Barangkali inilah ‘pengorbanan’ demi pembangunan!

Usia makin meningkat, kenangan silam pun sudah makin kelabu. Rakan-rakan lama yang sama-sama bermain dan bersosial di parit dan sungai, lesap entah ke mana. Ketika Aidilfitri baru-baru ini, hanya seorang yang diketemui. Daud. Yang lain-lain ramai sudah mastautin di daerah lain atau menetap di luar Darul Iman.

Sudah banyak uban di kepala Daud. Anak entah berapa. Tidak sempat berbual panjang kerana dia punyai kegawatan yang lain.

Ah, sungai dan parit di kampung saya sudah terlalu banyak berubah. Macam manusianya juga. Dan air tidak lagi percuma macam zaman dulu-dulu. Yang kekalnya, bekalan sahaja tidak putus-putus.

Kerana itu, jadi kehairanan besar kepada waris-warah dapat cerita daripada media, tentang air di Darul Ehsan yang hampir kering.

“Tahun ni, berapa kali putus bekalan?”
Soalan itu menerjah lagi.
“Dalam empat tahun ni, hanya sekali.” Saya menjawab sambil mata memantau juadah di atas meja.

“Sungai kering? empangan kosong?” Ada yang mencelah dengan ghairah.

Saya tersengih. “Bukan. Air ada. Cukup banyak. Hujan. Ribut. Selalu sangat. Masa tak ada air tu... terputus bekalan tu...bukan sebab empangan kering. Sebab syarikat air tukar paip besar yang baru!”

Ketika waris-warah mengangguk kecil sambil mengunyah ketupat dan satay, saya tambah sikit lagi info.
“Kami di sana nasib baik. Bil air murah sangat. Ada yang kena lima puluh sen saja sebulan! Rumah saya, paling banyak pun tiga ringgit lebih sikit. Itu pun sebab tertunggak dua bulan tak bayar! Ada kawan saya, di taman yang lain, tak kena bayar apa-apa. Gaji besar. Rumah dua tingkat. Anak dua tiga orang. Dapat air percuma!”

Nampak terlopong beberapa orang.

“Tak masuk akal! Rumah aku ni, tak besar mana. Campur isteri, anak...ada tiga orang. Kena bil empat puluh ringgit sebulan!” Zaki yang tadinya bersila di atas kerusi empuk, bangun membetulkan sampingnya.

Sambil mengetatkan kilasan, Zaki merungut. “Nama saja Pulau Musang. Sungai tak pernah kering. Air kita disedut untuk orang lain. Patutnya dapat rasa macam kamu jugak. Tak payah bayar apa-apa. Kampung kita kaya dengan air! Kita nak rasa jugak air percuma nih!”

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto: bil tertunggak dua bulan. total caj = RM3.10