Ingin menjadi Muslim
yang terbaik?
Syaratnya yang utama, pastilah kita mesti menjalani hidup ini
penuh dengan ketaatan kepada perintah Allah, dan mematuhi sunnah rasul-Nya.
Zaman kotemporari ini,
biasa sekali timbul momokan sebilangan orang yang pesimistik. Mereka menjadikan
alasan perubahan zaman dan perbezaan ratusan ribu tahun (dengan zaman
Rasulullah) itu sebagai kemustahilan untuk menjadikan peribadi Nabi Muhammad
sebagai teladan akhlak yang unggul. Zaman kontemporari ini cabaran hidup lebih
besar dan pelbagai. Mana nak sama dengan zaman Rasulullah!
Mohon keampunan ya,
Allah! Berikan taufik dan hidayah-Mu kepada golongan ini. Tunjukkan mereka
jalan yang benar, ya, Allah!
Sebenarnya, alasan itu
dangkal dan rapuh. Islam yang terkadung di dalam al-Quran itu sesuai untuk
semua zaman hingga kiamat. Dalam jahiliyah, cabarannya sangat hebat. Orang
menjadi barang dagangan dan hamba. Bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana
dikatakan membawa kesialan. Berhala menjadi sembahan dan didewakan. Yang miskin
kedudukan sangat hina dalam masyarakat dan sentiasa ditindas. Itu merupakan
‘puncak bongkah ais’ nilai hidup budaya masyarakat zaman itu. Epitome zaman
jahiliyah.
Akan tetapi pada zaman
itu, hidup seorang pemuda yang disegani, terpinggir dia daripada amalan tidak
manusiawi itu, digelar kaumnya sebagai al-Amin
(yang sangat dipercayai). Pemuda itu ialah Muhammad! Bayangkan pada zaman
jahiliyah, masih ada seorang manusia yang sangat dihormati kerana
keperibadiannya di luar kebiasaan kaumnya yang sesat. Mereka mempunyai tamadun
yang tinggi, sayangnya mereka hidup dalam kesesatan. Dalam ‘zaman kesesatan’
itu Muhammad dilabelkan sebagai al-Amin! Dia menjadi model peribadi unggul di
zaman jahiliyah yang sangat mencabar. Dia terus menjadi peribadi unggul hingga
ke akhir zaman.
Cuma, masyarakat
jahiliyah itu membenci Muhammad SAW apabila belia mengiystiharkan dirinya
sebagai Rasulullah. Bahkan mereka
menganggap beliau sebagai orang gila! Jauh larinya daripada gelaran al-Amin
yang mempunyai makna yang sangat baik itu. Kperibadian unggul, jadi orang sakit
jiwa yang tidak boleh dipercayai. Walaupun mukjizat disaksikan orang ramai
ketika dtunjukinya maka bulan terbelah dua. Orang yang tidak waras mustahil
dianugerahkan Allah mukjizat boleh menyebabkan bulan terbelah dua hanya dengan
telunjuknya!
“Nun,
demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Rabb-mu kamu (Muhammad)
sekali-kali bukan orang gila. Dan sesungguhnya bagimu benar-benar pahala yang
besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi
pekerti yang agung. Maka kelak kamu akan melihat mereka (orang-orang kafir) pun
akan melihat, siapa di antara kamu yang gila.” (maksud ayat 1-6, surah al-Qalam)
Tingginya budi pekerti
Rasulullah itu turut terlihat dalam layanan yang diberikan olehnya kepada
pembantu rumah dan golongan wanita. Zaman kontemporari ini, sudah menjadi suatu
kebiasaan terlapor dalam media tentang layanan buruk yang diberikan oleh segelintir
majikan kepada amah atau pembantu domestik (rumahtangga).
Bukan rahsia lagi
betapa sudah diadili di mahkamah pun kes-kes penderaan yang teruk terhadap
amah. Layanan yang diberikan kepada amah
dalam kes-kes berkenaan seolah-olah majikannya sudah tidak punya nilai
kemanusiaan lagi. Segelintir majikan memperlakukan amah umpama hamba! Menyuruh
dilakukan sesuatu perkara dengan lagak yang angkuh, diiringi suara herdikan
serta makian. Tapi ingatlah akan amaran Allah:-
Nah, di zaman
kontemporari ini, kita menyaksikan ‘perhambaan’ berlaku terhadap insan yang
merantau jauh untuk mencari rezeki. Sebahagian daripada mereka (pembantu
domestic itu) terpaksa meninggalkan anak dan berjauhan lama daripada suami. Ini
semua akibat daripada kesempitan hidup. Tiada jalan keluar untuk mereka kecuali
merantau ke negara jiran yang lebih makmur untuk menyara kehidupan keluarga.
Kenapa ada segelintir daripada kita sanggup melayani mereka yang dhaif ini
seperti hamba?
Hakikatnya, inilah
contoh perhambaan zaman kontemporari. Kita fikir sukar sekali untuk membayangkan bagaimana layanan majikan di
zaman jahiliyah terhadap hamba-sahaya mereka. Sebenarnya, tidak perlu sakitkan
kepala untuk dibayangkannya. Realitinya, konsep ‘tuan dan hamba’ seperti zaman
jahiliyah dan Zaman Kolonial sudah berlaku dalam kehidupan kontemporari ini.
Barangkali tidak berleluasa. Tetapi ia tetap telah berlaku pada Alaf Baru ini.
Majikan yang tiada hati
perut ini, jika hadapkan ke muka pengadilan, ada kemungkinan terlepas daripada
sebarang perlakuan jenayah atau penderaan. Tapi manusia boleh terlepas daripada
undang-undang dunia, boleh mengubah-suai dan menyembunyikan bukti-bukti
jenayahnya. Akan tetapi ingatlah, kita tidak mampu terlepas daripada
penghakiman Allah Yang Maha Bijaksana.
Ini merupakan masalah
yang makin meruncing dalam masyarakat kita sebagai akibat timbulnya sindiket
memperdagangkan manusia. Manusia sudah menjadi bahan dagangan yang amat menguntungkan.
Kesempitan hidup di negara asal mereka, menyebabkan sebahagian warga asing dari
negara-negara miskin terperangkap dengan kelicikan sindiket memperdagangkan
manusia itu. Kita mesti berasa bimbang kerana gejala ini sedang berlaku di
negara kita. Amalan Zaman Jahiliyah dan Zaman Kolonial sedang hidup di kalangan
kita!
Inilah suatu keanehan
hidup. Dalam Zaman Jahiliyah, muncul seorang manusia agung yang mengajak
masyarakatnya memberikan hak manusiawi kepada golongan yang lemah (misalnya,
hamba) dan menghormati golongan wanita. Sebaliknya, pada zaman kontemporari
yang serba canggih dan bertamadun tinggi ini, berlaku pula deskriminasi dan
perlanggaran hak golongan yang lemah dan kaum wanita. Mungkin kesnya tidak
banyak. Barangkali kes itu ‘terasing’ sekali. Berlaku dalam skala kecil dan
tidak muncul lagi. Akan tetapi yang telah berlaku itu adalah refleksi nilai
yang terpegang di dalam masyarakat. Walaupun nilai itu tidak dominan, jika
dibiarkan tentulah ia akan membarah dan akhirnya sukar dirawati.
Kerana itu, kita
perlulah kembali kepada ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, yang
mengajarkan kepada kita supaya sentiasa menghormati hak wanita dan menjaga
maruahnya. Malahan dalam khutbahnya yang terakhir di Padang Arafah, Nabi
Muhammad SAW menyentuh tentang hal ini (kedudukan dan hak kaum wanita dalam
Islam).
Bagaimana berhemahnya
Rasulullah melayani golongan dhaif dan kaum wanita ini tergambar dalam hadis
yang dicatatkan oleh Imam Ahmad;
‘daripada
Aisyah, dia bercerita, “Rasulullah sama sekali tidak pernah memukul pembantunya
dengan tangannya dan tidak juga memukul seorang wanita serta tidak juga beliau
memukul sesuatu dengan tangannya kecuali jika beliau berjihad di jalan Allah.
Dan tidaklah beliau memilih di antara dua hal melainkan beliau akan memilih
yang lebih beliau sukai iaitu yang lebih mudah baginya, kecuali dosa. Beliau
adalah orang yang paling jauh dari perbuatan dosa. Dan beliau tidak pernah
membalas dendam demi diri sendiri kerana suatu hal yang ditimpakan kepada
beliau melainkan jika hal itu ditujukan untuk merosakkan kemuliaan-kemuliaan
Allah sehingga beliau akan membalas dendam kerana Allah.” (tafsir Ibnu Katsir:
juz 29, hlm 251)
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Solawat dan salam kepada junjungan besar kita Muhammad Rasulullah SAW.