Jika nak tunaikan solat Jumaat, saya punyai beberapa
pilihan. Totalnya ada empat dalam lingkungan
2km dari kediaman saya. Magnet ke masjid-masjid itu kerana factor khutbah,
kemudahan parkir, keselesaan, dan sosial.
Masjid yang paling besar ialah Masjid Hijau. Digelar begitu
kerana warna kubahnya. Saya tak fikir ada kaitan dengan mana-mana fahaman
politik. Lazimnya khutbah di situ tak bergantung teks JAIS. Atas bijaksana
khatib belaka.
Pernah Dato’ Hassan Ali JATI datang memberikan khutbah dalam
period hangat isu serbuan di gereja, dan sudah terdengar ura-ura dia akan
tersingkir daripada jawatan EXCO.
Kuliah hujung minggu dan tazkirah harian disampaikan oleh
penceramah daripada pelbagai latar pendidikan dan fahaman. Ada sekali tu, kuliah
maghrib disampaikan oleh bekas pemimpin NGO (kini orang kuat PKR Perak). Saya
sampai dah dekat nak habis. Sempat dengar ketika hamper tamat itu, selamba (dan
sinis) dia sebut, “Pertubuhan Fatah (Palestin) itu perjuangannya serupa macam
UMNO. Nasionalistik dan materialistik!”
Ulamak asalnya dari Darul Iman, Ustaz Zulkifli Mohamad
al-Bakri pernah hadir untuk slot kuliah Subuh hujung minggu.
Manakala UAI (ustaz glamur dan popular, yang cakap Ganu
pekat dalam ceramahnya), pernah datang gemparkan khariah ini.
Masjid ini sangat aktif dengan pelbagai kegiatan dakwah
untuk pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan perkara biasa jika jemaah bersua dengan
majlis akad nikah, yang biasanya diadakan sebelum Zohor.
Masjid ini selesa. Ruang solat memang luas. Ubahsuai dan
tambahan ruang berbumbung bahagian luarnya, takat seribu jemaah boleh muat tak
gendala.
Kemudahan lain, di kawasan parkirnya hari Jumaat macam pasar
minggu. Macam-macam ada. Gerai makan-minum yang banyaknya. Ramai jemaah singgah
jamu selera sebelum naik ke masjid, ikut pilihan hati - sup tulang, mi rebus, beriani, cendul, abc,
sirap bandung, karipap rangup, keropok lekor. Yang lain menjual pakaian, barangan
utiliti, kitab, kaset, beg, keris, pisau, dan ubat-ubatan tradisional. Boleh
jadi ralit makan-makan, sambil pawang jual ubat! Kerana itu, biasa khatib beri
ingatan kepada penjual dan pembeli supaya segera masuk masjid apabila azan
kedua kumandang.
“Nak pergi Masjid Qiblaitani tak payah ke Madinah. Cukup ke
Sungai Ramal Luar saja!”
Itu jenaka Haji
Mahadi, jemaah tetap setiap Jumaat di masjid baru Sungai Ramal Luar. Yang
dimaksudkan, masjid asal yang tidak dirobohkan itu, hakikatnya dibina tidak
ikut arah kiblat. Tapi tidak dirobohkan selepas siap masjid baru kerana
bantahan waris yang memegang amanah wakaf tanah masjid berkenaan.
Jadinya, dalam kawasan yang sama terdapat dua masjid yang
berlainan arah kiblatnya. Di belakang masjid baru, kekal masjid jamek yang
silap arah kiblat itu. Hari Jumaat tetap penuh jemaah di dalamnya kerana ia
disambungkan dengan masjid baru, dan dinaiktaraf kemudahan tandas serta tempat
wuduk. Tiada musykil bersolat kerana permaidani yang punyai garisan saf
dipasang senget mengikut arah kiblat yang betul. Sesekali saya ke sini dapat jugak masuk masjid baru walaupun agak terlambat (azan pertama selesai) kerana
ramai jemaah memilih penuhkan ruang di masjid lama terlebih dulu. Yang kerap
beri tazkirah di sini (sebelum azan Jumaat) ialah seorang tokguru dari Tanah
Seberang. Pernah juga Setiausaha Majlis Syura PAS naik mimbar sebagai khatib
jemputan.
Di laman masjid baru
itu ada sebuah khemah kecil menjual beberapa jenis jubah, minyak wangi dan
kopiah. Koleksinya terhad. Kemudahan makan-minum tak ada di kawasan masjid.
Hanya ada sebuah gerai air soya di tepi simpang tiga masuk ke masjid. Laku
bukan main lepas solat.
Dalam jarak kira-kira 200 meter sebelah kanan luar kawasan masjid,
terdapat warung yang dikerumuni lepas Jumaat. Menu istimewa rojak, cendol dan
nasi ayam. Pernah Haji Mahadi belanja saya di warung ini, yang struktur asalnya
adalah kontena yang diubahsuai. Bekalan elektrik dan air disambung daripada
sebuah rumah berhampiran.
Masjid ketiga. Hakikatnya bukan masjid betul-betul. Asalnya
surau yang dibina hasil dana penduduk sekitar. Dinaik-taraf boleh didirikan
solat Jumaat selepas PR perintah Darul Ehsan. Selesa solat di sini. Ruang utama
di pasang hawa dingin. Tapi biasanya kalau dengar khutbah, yang dingin boleh
bertukar jadi hangat. Semangat juang naik
berkobar-kobar di atas mimbar! Abby Abadi pun pernah datang berceramah di
masjid ini.
Beberapa kali saya bersua (tapi tak bersalam dan tak
berteguran kerana saya segan) dengan seorang ahli akademik yang terkenal, juga
bekas presiden NGO yang markas dan kolejnya
terletak di Sungai Ramal Dalam. Tabiatnya yang saya perhatikan, selesai
solat sunat lepas Jumaat, dia akan duduk sorang-sorang mengaji. Banglo ahli
akademik yang disegani ini gah terdiri di seberang jalan, jaraknya hanya dua
ratus meter dari masjid ini.
Semasa pelancaran buku terbaru Yusuf al-Qaradhawi (Kebangkitan
Rakyat; 2012), Supremo PKR hadir sebagai tetamu kehormat. Majlisnya
berlangsung di surau yang dah jadi masjid inilah!
Yang keempat, sebuah masjid sederhana besar berdekatan
sekolah rendah agama. Ini masjid asal Kampung Sungai Ramal. Binaannya masih
kekal fesyen lama. Tapi dah banyak ubahsuai dan ruang yang ditambah. Letaknya
birai jalan menghala ke Bandar Baru Bangi. Aktivitinya berjadual. Ada kuliah
hujung minggu. Kadangkala ada forum. Pernah Ustaz Farid Ravi dan Dr Sidik
Fadhil bicara sekali dalam suatu forum.
Khutbahnya jika disampaikan imam masjid, yang akan dibacakan
ialah teks sediaan JAIS. Kelainannya apabila hadir imam jemputan. Seorang
profesor madya dari Fakulti Pengajian Islam IPTA di Bangi. Cuma bahasa dan
kupasannya agak tinggi. Sesekali ada pegawai dari JAIS naik mimbar.
Kerap juga saya solat Jumaat di sini. Takat ini belum pernah
ada khatib yang baca ‘khutbah berapi’ tanpa baca teks! Tok khatib ‘juruh’
belaka.
Dengar cerita, AJK masjid ini orang-orang dari parti keris.
Saya tak pasti. Maklumat itu diberitau seorang kenalan yang taat kepada parti
kibar panji-panji bulan mengambang. Kenalan saya ini, seminggu sebelum penamaan
calon, dah buka markas di laman rumahnya! Tapi hari Jumaat dia solat di masjid
ini jugak!
Jika ke sini, lepas solat biasanya saya minum dengan
rakan-rakan. Mereka ini golongan marhaen belaka. Jadi tukang lipat sejadah dan
gulung permaidani. Kami biasanya lepak
di sebuah warung yang popular di
sini. Letaknya kira-kira 300meter dari masjid. Biasanya yang menyertai saya
ialah Pak Kasim (tok siak) dan Rex (pemain gitar sebuah kumpulan rock
underground).
Biasalah, ketika makan minum itu beberapa pelanggan kerling.
Mungkin agak aneh melihat gandingan kami –
satu berjubah, yang kedua berbaju Melayu, ketiganya budak rock rambut
panjang.
Saya suka berbual dengan Pak Kasim. Kalau cerita bab
mengail, serah kepada dia. Tahu bangat dia.
Kerana dia orang asal kampung ini, dah dekat PRU ni, saya
usul jugak soal calon yang boleh menang. Mudah jawabnya, “Rasa-rasanya kekal
lagi wakil yang lama!”
Dia merujuk kepada seorang bekas ahli akademik yang kini
jadi YB. Pernah sekali beliau baca khutbah dan jadi imam di masjid ini. Asalnya
dari Darul Iman. Dah lama menetap di sini. Kenalannya ramai, dari pelbagai
lapisan. Penampilan sederhana. Reti bangat bercampur-gaul dengan masyarakat
setempat. Dengar khabar, YB ni memang rajin mengimarahkan surau dan masjid dalam
kawasannya.
Dia, tok wakil dari parti simbolnya bulan mengambang!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.