1986. Peristiwa penting dalam kehidupan. Kali
pertama saya mengundi! Masih bujangan.
Waktu itu, Ustaz Abdul Hadi Awang adalah tokoh muda
yang sangat berpengaruh dalam parti yang kibar panji-panji bulan mengambang.
Pidatonya lantang mengkritik pemerintah, dan prinsipnya jelas tiada tolak ansur
dengan parti keris. Keberanian
melontarkan hujah tanpa bertapis menzahirkan fenomena baru sosio-budaya politik
Tanah Bonda.
Kuliahnya di Masjid Rusila lazimnya jadi suatu pesta-pestaan.
Manakala kehadirannya untuk program di kampus menyebabkan dewan sesak!
Selepas bertanding dalam dua PRU (1978 dan 1982), tahun
1986 dianggap sebagai kemuncak karier politik Ustaz Hadi. Dia nampak hebat
seghoti. Bahkan persekitaran politik pada waktu itu memberikan bunga-bunga betapa
kerajaan UMNO akan tumbang di Darul Iman.
Penyebaran Amanat Haji Hadi dari suatu aspek menimbulkan
keresahan di kalangan rakyat Ganu. Sebaliknya pula ia menjadi pembakar semangat
kepada penyokong dan pekerja parti PAS. Di ambang pilihanraya tahun itu,
sekumpulan anak-anak muda bermotosikal (tak pasti ini geng rempit atau
sebaliknya, tapi jumlahnya ratusan) sudah pusing Bandar Darul Iman mengibarkan panji-panji
bulan mengambang, tunjuk kuat, dan berikan bayangan parti mereka akan ganti
UMNO!
Hakikatnya tidak begitu. Ustaz Hadi pula hanya menang
di DUN Rhu Rendang, tewas di Parlimen Marang. Tapi dek besarnya pengaruh Tokguru pada waktu itu
hinggakan Abdul Rahman Bakar yang
berjaya di Parlimen Marang mendapat jolokan ‘the giant killer’.
Jika Ustaz Hadi adalah panglima PAS, UMNO pula
mempunyai tokoh muda yang sangat berwibawa, iaitu bekas Presiden ABIM.
Kelicikan Mahathir membawa masuk pemimpin NGO yang terkenal itu, antara
lainnya dilihat sebagai suatu usaha mengekang
pengaruh PAS di kalangan orang muda. Maka berlakulah pertembungan antara dua
jagoan muda, yang pernah sama-sama berjuang dalam pertubuhan Islam yang sama.
Ketika masih di kampus, saya pernah menghadiri
program berasingan yang melibatkan kedua-dua tokoh ini. Jelas, ada perbezaan
ketara antara pemimpin pembangkang yang bercakap tentang perjuangan Islam
dengan sahabatnya yang sudah mengambil pendekatan liberal selepas memasuki
UMNO.
Beza yang lain, sementara khalayak yang hadir dalam
program bekas presiden Abim itu nampak majmuk, hadirin yang memenuhi dewan
ketika forum melibatkan Ustaz Hadi rata-ratanya Melayu.
Pertama kali jadi pengundi tahun 1986 itu, saya mendaftar
di DUN Wakaf Mempelam. Calon PAS ialah Mustapha Ali. Lawannya pula seorang guru
bernama Abdul Latif Mohamad. Dari segi kewibawaan, renggang seghoti.
Jauh jaraknya. Mustapha Ali sudah menjadi pemimpin terkenal
di Tanah Semenanjung. Pernah pula menjadi Timbalan Menteri. Cikgu Abdul Latif
muka baru. Sekali tengok memang ada potongan orang politik. Tapi tak begitu dikenali
dan kurang pengaruh di kalangan masyarakat setempat.
Ketika kempen, dalam usaha membantu Cikgu Abdul
Latif, dibawakan jugak bekas pemimpin ABIM yang dah jadi pak menteri itu ke
kampung saya. Berceramah lepas Isyak dalam program memperkenalkan calon.
Tiada pentas didirikan. Ceramah yang seolah-olah
diadakan secara ad-hoc itu berlangsung di bawah pohonan rendang, tak jauh dari
rumah seorang peniaga kayu, letaknya di tepi jalan besar. Di belakangnya ialah
sawah padi!
Sewaktu berjalan pulang, seorang jiran menegur. “Tak
adil nih! Kena dengar jugak yang sebelah sana!”
Saya matikan langkah, dan bersalam dengannya. Yang dimaksudkannya ialah ceramah Ustaz Hadi, yang diadakan seminggu
sebelum itu, di rumah seorang penyokong tegar parti PAS. Orangnya disegani
penduduk kampung saya.
Lantas berbalas juga usikannya tadi. “Bukan tak nak
pergi. Yang sebelah sana buat, ramai sangat mari. Nak dengar ceramah payoh. Dok
sedap duduk. Ceramah sikit, main takbir yang lebih. Hok malam ning, orang
kurang. Baru sedap dengar ceramah! Doh tu, boleh bersalam dengan tok wakil!”
Kami pun sama-sama ketawa.
Keputusan PRU 1986, menunjukkan persaingan sengit di
Wakaf Mempelam, Mustapha Ali menang dengan majoriti kecil 105 undi.
Tapi selepas itu, selama 27 tahun,
tidak ada calon UMNO yang menang di Wakaf Mempelam. ADUN PAS (Abdul Wahid Endut)
yang menggantikan Mustapha Ali pada tahun 1990 kekal sebagai wakil rakyat hingga
PRU ke-12 (2008).
Selepas Cikgu Abdul Latif, empat
calon lain dari UMNO masuk gelanggang mencabar Abdul Wahid. Kecundang belaka dengan
majoriti undi jaraknya tak kurang seribu. Malahan pada tahun 1999, majoritinya
besar seghoti hampir enam ribu!
Beberapa hari lepas PRU 1986 itu,
saya bersembang dengan jiran yang sama di sebuah kedai kopi. Belum habis lagi
modalnya mahu menyindir saya.
“Doh rakyat tak boh. Letok wakil
orang dok berahi. Anwar mari tolong pun dok menang jugak!”
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
nama ali amat dekat dengan masyarakat melayu.. bermula dengan saidina ali, raja ali, azwan ali, hafilda ali, amalina ali, hassan ali, ibrahim ali, tongkat ali dan terkini spender ali (khabarnya stopa ali yang promote)..kui kui
BalasPadam-aku anonymous-