Karya

Karya

Isnin, 8 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (2) SAYA TERIMA SURAT DARIPADA ANWAR!



14 November tahun lepas, kali pertama sejak guna telefon mobil (mula guna 1998) saya menerima sms daripada parti kibar panji-panji keris di Darul Ehsan. Mesej yang dihantar setiausaha parti itu (disertakan nama penuh) mengirimkan ucapan Maal Hijrah 1434. 

Bagaimana diperoleh nombor saya  itu bukan suatu misteri. Ini zaman canggih belaka. Usahkan nombor telefon, nombor yang lebih rahsia seperti kad kredit, pasport dan kad pengenalan bisa dicuri dengan mudah!
    
Sudah jadi lazim, sejak heboh tentang PRU ke-13 dari tahun lepas lagi, muncul nombor tidak dikenali dan sonder nama pengirim mesejnya. Yang lebih kerap tahun inilah.

22 Januari 2013.
Muncul mesej yang dikatakan asalnya dari puncak kuasa di PWTC. Dinyatakan dengan nada yakin tentang tarikh bubar dewan rakyat (22 Februari), penamaan calon (16 Mac), dan hari undi (30 Mac). Beberapa minggu lepas itu, kebetulan saya ziarahi waris di hospital. Ketemu seorang kenalan dari Kelate, yang beritau dapat sms yang serupa. Yakin seghoti dia betapa mesej itu benar dan masuk akal.

24 Mac 2013.
Masuk pulak sms papar tuduhan parti pemerintah di Kelate terhadap lawannya. Tertulis mesej yang tak habis ayatnya itu bermaksud “Melayu yang sokong parti keris bak sampah, dan munafik!”      

25 Mac 2013.
Tertera mesej tentang PRU ke-13 akan ditangguh walaupun parlimen bubar. Sebabnya? Pencerobohan di Lahad Datu sudah merebak! Dikatakan, parti kibar simbol roket akan diharamkan. Manakala supremo PKR akan dipenjarakan!

28 Mac 2013.
Muncul sms siap dengan judul ‘Dasar Transformasi Kerajaan’. Terkepil sekali video klip durasi 40saat, tampilkan foto Dato’ Bendahara dilatari lagu 1M4U!

4 April 2013.
Sehari lepas parlimen bubar. Maghi pulok sms begini:

‘Salam 1Malaysia. Parlimen Sudah dibubarkan. Pilillah Malaysia. Undilah Barisan Nasional!’

Kesemua sms dari Januari hingga awal April itu sonder pengirimnya, dan nombor asing belaka bagi saya.

Jumaat, 6 April 2013. Sehari sebelum Dato Bendahara umum Manifesto BN.
Hari ini dalam sejarah. 
Saya dapat surat daripada Anwar! Ya, tiada yang lain lagi, supremo PKR itulah!

Mana diambil nama penuh dan alamat terkini kediaman saya, bukan perkara pelik. 
Ini zaman, apa rahsia pun bisa dikorek dan dilondeh atas perkiraan politik!
Surat itu bermula dengan nada sopan:
“Warkah ini diutus sebagai pengganti diri untuk memohon pertimbangan saudara bagi menentukan halatuju negara tercinta ini.”

Maksudnya tersimpul dalam perenggan kedua terakhir:

“Dengan rendah hati saya mengajak saudara untuk memberikan peluang dan kepercayaan kepada kami dengan menyokong calon-calon Keadilan, PAS dan DAP. Insya-Allah, mandat dan amanah yang diberikan tidak akan sesekali kami khianati dan sia-siakan.”     

Sejak mula layak mengundi (pertengahan 80-an), inilah pertama kali saya menerima warkah pilihanraya daripada seorang pemimpin.

Barangkali ramai pengundi yang telah menerima surat yang serupa.  
Berkesankah kaedah memancing undi melalui warkah sebegitu atau ‘sms hantu’ yang kerap muncul itu lebih berbaloi?
  
Bersama surat itu dikepilkan dua risalah yang lain.

Satunya dengan judul “Pulang dan luangkan masa bersama mereka.” 
Bertujuan memujuk pengundi pulang ke kampung halaman, dan berusaha menerangkan situasi negara kita ‘yang sebenarnya’ (bukan seperti yang dipropagandakan pemerintah) kepada kaum keluarga (khususnya ibu bapa).

Yang kedua, mengungkitkan musykil begini:
“UMNO Pertahankan Martabat Melayu. Dulu, kini, Selamanya...?”
Disisinya tercetak foto PM berpakaian lengkap Melayu, dalam gaya bersemangat sedang pidato di suatu perhimpunan parti.  

Cuma musykil pula kita, apa wajarnya menonjolkan PM dalam keadaan segak dan mantap begitu?

Tentulah warkah yang diutuskan itu tujuannya satu, mahu raih undian untuk Pakatan, dan pastinya bukan nak promo PM!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan