1998. Tanah
Bonda dilanda gawat mega yang berganda.
Kemelesetan
ekonomi memburukkan kesengetan akibat gempa politik.
Ancaman
berkembar itu turut memberikan kesan skala besar dan berpanjangan kepada aspek sosial
Tanah Semenanjung.
Tidak pernah
berlaku dalam tamadun Malaysia seorang TPM merangkap Timbalan Presiden parti
dominan pemerintah dipecat kerana tuduhan salahlaku seks. Perbicaraan yang
berlangsung selepas pemecatan itu, menyaksikan perubahan paradigma sebahagian
masyarakat (terutamanya orang Melayu) terhadap parti pemerintah. Mereka tegas
dan lantang melaungkan alternatif kepada parti yang mendokong kemerdekaan negara.
Waktu itu,
kepercayaan kepada mahkamah dan keyakinan kepada pihak polis turut tergugat. Nampak
benar kekacauan politik membawa pertikaian kepada sistem keadilan dan keselamatan
negara.
Dalam
kemelut itu, yang hidup segar dan berkembang luas ialah Teori Konspirasi yang
dibantu penyebarannya oleh media baru (internet). Sebahagian rakyat jelata percaya TPM itu dijatuhkan oleh suatu
konspirasi dari dalam partinya sendiri. Malahan inilah juga (konspirasi
peringkat tertinggi) yang kerap diulang oleh pemimpin berkenaan dalam
jelajahnya keliling negara. Ini adalah usaha mempertahankan diri, dan sekaligus
cuba menghakis kepercayaan rakyat jelata kepada pemerintah, terutamanya
terhadap PM waktu itu DS Mahathir yang
dicemuh dengan gelaran menggerunkan: Mahazalim dan Mahafiraun!
Walaupun
internet sudah begitu berpengaruh membentuk pendapat umum mengenai teori
konspirasi itu, Facebook dan Youtube belum lahir. Jadinya, alat pandang dengar
fesyen lama seperti kaset dan video masih jadi medium yang efektif. Ceramah
politik yang dirakam dalam kaset dan cd (termasuk ucapan-ucapan kembaraan bekas
TPM ke seluruh negara) agak mudah diperoleh jika rajin ke kawasan sekitar
Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam period
itu (ketika para peguam kedua-dua pihak masih hangat bertelagah dalam kes
liwat), saya bekerja di bahagian komunikasi korporat di sebuah syarikat swasta.
Lantas, lazim benar bersemuka dengan pelanggan.
Saya sudah
lupa tarikhnya, tapi tak akan lupa peristiwa itu. Seorang pelanggan yang sudah
dua tiga kali singgah bincang-bincang, suatu hari mengaku dia punyai bukti bahawa berlaku konspirasi
terhadap bekas TPM itu benar! Dalam
kaget dengar pengakuan itu, terpengaruh jugak dengan cakap-cakapnya kerana dia
bekas anggota tentera berpangkat kapten.
Selang
beberapa hari, dia datang lagi. Kali ini lebih mengejutkan dan mengujakan.
Dia
tunjukkan buktinya. “Encik tengoklah video ni! Ini bukti ada konspirasi nak
jatuhkan dia (bekas TPM)!”
Teragak-agak
mahu menerima. Tapi rugi amat jika menolak. Maka dalam khuatir dan waspada,
saya bawak video itu pulang.
Bukti yang
didakwa mengesahkan teori Konspirasi itu merupakan pengakuan seseorang (ah, lupa
sungguh siapa dia!) bahawa dia hadir dalam suatu ‘mesyuarat’ (tidak berkaitan
dengan mana-mana parti politik), yang bertujuan utama mengatur rencana untuk
menjatuhkan TPM yang digelar sebagai anak didik DS Mahathir.
Selepas
seminggu, kapten bersara itu datang lagi ke pejabat. Lambat sungguh rasanya dia
muncul mengutip bahan bukti itu. Tak berani saya simpan di rumah. Lantas siling
pejabat menjadi tempat selamat menyoroknya. Tiada siapa yang tahu. Rahsia tersimpan
kemah keming. Kalaulah pejabat saya diselongkor pihak berkuasa, tutuplah
gamaknya syarikat itu! Tuduhannya? Menyimpan bahan terlarang yang boleh menggugat
keselamatan negara tentunya!
Saya sudah
lupa siapa watak utama dan sampingan yang muncul dalam video berkenaan. Sudah
lama sangat. Lagipun, minda begitu selektif menyimpan memori. Sudah cuba
diingat-ingat, tidak muncul-muncul lintasannya dalam minda.
Malahan nama
kapten bersara itu, wajah dan bangun tubuhnya pun saya dah lupa. Tiada ingatan
apa-apa lagi kepadanya atau kandungan video berkenaan. Mungkin kerana kes itu
sudah berakhir. Manakala bekas TPM yang didakwa meliwat itu, sudah bebas
daripada pertuduhan.
Cuma rasa
rugi jugak kerana tidak menyalin video berkenaan. Tapi pada waktu itu, bayangan
ISA begitu menakutkan! Nak simpan lama-lama pun risau amat. Bahkan tak masuk
kepala langsung nak edar kepada waris-warah serta rakan-taulan. Jadilah ia rahsia
yang tersimpan kemah keming hingga terbuka jua hari ini! Itupun kerana teruja
dek tersebar video adegan ranjang seorang ahli politik minggu lepas.
Lima belas
tahun berlalu. Saya sudah terlupa terus ‘bukti konspirasi’ yang ada dalam video
itu!
Cuma datang teka-teki:
Apa
sebenarnya tujuan kapten bersara itu meminjamkan kepada saya bahan bukti yang
berkenaan?
Seingat
saya, tak ada pulak video berkenaan dijadikan bahan bukti di mahkamah ketika Perbicaraan
Liwat1.
Kapten bersara itu? Selepas mengutip kembali videonya, itulah kali terakhir saya ketemui dia. Lesap sudah dia tanpa bisa dihubungi lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan