Cuti sekolah
hujung Mac yang lalu.
Amalan
lazim, inilah musim kenduri kahwin. Jadi penting seghoti cuti sekolah kali ini
kerana Puteri Diyana, anak gadis Pok Deng yang sulung menikah. Maka kami pun
pulang menghadiri majlis di Pulau Musang – sebuah kampung di tebing Sungai
Terengganu, yang hakikatnya bukan sebuah pulau!
Balik kali
ini tak sempat santai dengan sahabat-handai.
Bahkan rencana mahu ketemu penyair
Zizie Ali (yang bijak menyulam falsafah dalam karyanya) http://myzizieali2.blogspot.com/ belum kesampaian.
Masa sendat terisi dengan jadual temu mesra dengan
waris-warah saja.
Bukan saja bertamu di sekitar Pulau Musang, jalan-jalan jugak
ke Kampung Padang Paloh (kediaman mentua), singgah di Kampung Manir, dan lepas
jauh hingga ke Kampung Tok Jembal (berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud).
Bangga jugak
beritau anak-anak ketika melewati Sesma di Wakaf Tembusu yang kini sudah
meningkat kelasnya jadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). “Sekolah ayah tu!”
Kerana
desakan Ney-ney dan Syai, sempat jugak pusing-pusing sekejap dalam kawasan SBP
yang membawa berkolah-kolah memori selama lima tahun mengaji di situ.
Teragak-agak
jugak mulanya nak masuk tanpa alasan munasabah. Apabila turunkan cermin, belum
sempat nak mohon permisi, Mak Guard yang bertugas bangat seghoti beri permit
masuk tanpa periksa tanpa soal, “Begheh boh!” Itu saja tuturnya dalam senyum
simpul.
Ugh, baik
benar orang Ganu Kiter!
Sepanjang
perjalanan ke Tok Jembal, kami melintasi Sungai Terengganu, dan Sungai Nerus.
Menarik benar situasi di situ. Penuh dengan hiasan bendera hijau dan biru,
bawak lambang bulan dan dacing!
Orang Ganu
dah sedia benar nak sambut Raya Mega alaf baru! Panji-panji udah terpasang.
Gendang perang sudah lama dipalu. Tunggu detik bergerak ke medan tempur!
Hari ketiga,
kami bertolak ke Kuantan. Punya rencana mahu singgah bermalam di rumah Cikgu
Mawarni dan suaminya Kaunselor Zahani. Waris dekat belaka tu.
Mahu
mengelakkan sesak di Dungun dan Kemaman, Lebuhraya Jabor yang baru sekerat
siapnya jadi pilihan.
Habis
lebuhraya tanpa tol itu (plazanya tengah naik), masuk ke kanan menuju Bukit
Besi.
Di sebelah
kiri, selepas kira-kira tiga ratus meter dari R&R, terdapat sebuah tasik.
Istimewa
sekali tasik ini. Sudah lama (saya kira tak kurang lapan tahun), sepanjang
gunakan laluan ini pulang kampung dan patah balik ke Bangi, pemandangan yang
unik itu tidak berubah.
Ini tasik
sudah jadi fenomena pulak. Tidaklah pernah saya ketemu pemandangan sebegini
dalam kembara ke Melaka, Langkawi, Perlis, Perak, Kedah, Kelantan, Johor hingga
ke Pulau Singa.
Tak terkira
banyaknya, batang-batang buluh (sebenarnya tak dapat nak dipasti buluh atau
batang bakau) dicucuk ke dasar tasik. Hujungnya terikat panji-panji yang
mengibarkan lambang kekuasaan. Keris belaka!
Apabila ditiup angin, nampak
berlegar-legar keris-keris itu memenuhi muka tasik.
Saya tidak
tahu nama tasik ini. Barangkali molek digelar Tasik Keris saja!
Cuma sayangnya
belum sempat lagi mahu kita susul ‘hikayat’ keris yang berlegar-legar di tasik itu.
Kalau ikut
mitos dan legenda orang putih, pedang sakti
King Arthur disemadikan di sebuah tasik http://orgs.bsc.edu/arthur/excalibur.html selepas raja tersohor itu terkorban
dalam perang di Camlann.
Manakala
Keris Taming Sari (rujuk Hikayat Hang Tuah) pula lesap disambar buaya putih
ketika Sang Laksamana menyelam ke dasar laut mahu mengambil mahkota Sultan.
Tapi keris yang banyak itu, tidak dibuang di tasik pinggir jalan Bukit Besi. Ia berlegar-legar megah, macam kirai bunga
silat dalam gelanggang. Tapi tiada lawannya di situ. Tiada bulan mengambang, roket,
dan mata yang ‘cerelong’!
Selepas perang
besar di medan PRU ke-13 nanti, mungkinkah masih ada keris yang berlegar-legar
di situ atau patah tiangnya, dan tenggelam ia di dasar tasik?
Permisi.
Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan