Karya

Karya

Sabtu, 20 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (6) MASJID JADI PETANDA ARAH UNDI!



Jika nak tunaikan solat Jumaat, saya punyai beberapa pilihan. Totalnya ada empat dalam lingkungan  2km dari kediaman saya. Magnet ke masjid-masjid itu kerana factor khutbah, kemudahan parkir, keselesaan, dan sosial. 

Masjid yang paling besar ialah Masjid Hijau. Digelar begitu kerana warna kubahnya. Saya tak fikir ada kaitan dengan mana-mana fahaman politik. Lazimnya khutbah di situ tak bergantung teks JAIS. Atas bijaksana khatib belaka.

Pernah Dato’ Hassan Ali JATI datang memberikan khutbah dalam period hangat isu serbuan di gereja, dan sudah terdengar ura-ura dia akan tersingkir daripada jawatan EXCO.

Kuliah hujung minggu dan tazkirah harian disampaikan oleh penceramah daripada pelbagai latar pendidikan dan fahaman. Ada sekali tu, kuliah maghrib disampaikan oleh bekas pemimpin NGO (kini orang kuat PKR Perak). Saya sampai dah dekat nak habis. Sempat dengar ketika hamper tamat itu, selamba (dan sinis) dia sebut, “Pertubuhan Fatah (Palestin) itu perjuangannya serupa macam UMNO. Nasionalistik dan materialistik!”

Ulamak asalnya dari Darul Iman, Ustaz Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah hadir untuk slot kuliah Subuh hujung minggu.

Manakala UAI (ustaz glamur dan popular, yang cakap Ganu pekat dalam ceramahnya), pernah datang gemparkan khariah ini.

Masjid ini sangat aktif dengan pelbagai kegiatan dakwah untuk pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan perkara biasa jika jemaah bersua dengan majlis akad nikah, yang biasanya diadakan sebelum Zohor.
Masjid ini selesa. Ruang solat memang luas. Ubahsuai dan tambahan ruang berbumbung bahagian luarnya, takat seribu jemaah boleh muat tak gendala.

Kemudahan lain, di kawasan parkirnya hari Jumaat macam pasar minggu. Macam-macam ada. Gerai makan-minum yang banyaknya. Ramai jemaah singgah jamu selera sebelum naik ke masjid, ikut pilihan hati  - sup tulang, mi rebus, beriani, cendul, abc, sirap bandung, karipap rangup, keropok lekor. Yang lain menjual pakaian, barangan utiliti, kitab, kaset, beg, keris, pisau, dan ubat-ubatan tradisional. Boleh jadi ralit makan-makan, sambil pawang jual ubat! Kerana itu, biasa khatib beri ingatan kepada penjual dan pembeli supaya segera masuk masjid apabila azan kedua kumandang.

“Nak pergi Masjid Qiblaitani tak payah ke Madinah. Cukup ke Sungai Ramal Luar saja!”
Itu jenaka Haji Mahadi, jemaah tetap setiap Jumaat di masjid baru Sungai Ramal Luar. Yang dimaksudkan, masjid asal yang tidak dirobohkan itu, hakikatnya dibina tidak ikut arah kiblat. Tapi tidak dirobohkan selepas siap masjid baru kerana bantahan waris yang memegang amanah wakaf tanah masjid berkenaan. 

Jadinya, dalam kawasan yang sama terdapat dua masjid yang berlainan arah kiblatnya. Di belakang masjid baru, kekal masjid jamek yang silap arah kiblat itu. Hari Jumaat tetap penuh jemaah di dalamnya kerana ia disambungkan dengan masjid baru, dan dinaiktaraf kemudahan tandas serta tempat wuduk. Tiada musykil bersolat kerana permaidani yang punyai garisan saf dipasang senget mengikut arah kiblat yang betul. Sesekali saya ke sini dapat jugak masuk masjid baru walaupun agak terlambat (azan pertama selesai) kerana ramai jemaah memilih penuhkan ruang di masjid lama terlebih dulu. Yang kerap beri tazkirah di sini (sebelum azan Jumaat) ialah seorang tokguru dari Tanah Seberang. Pernah juga Setiausaha Majlis Syura PAS naik mimbar sebagai khatib jemputan.

Di laman masjid baru itu ada sebuah khemah kecil menjual beberapa jenis jubah, minyak wangi dan kopiah. Koleksinya terhad. Kemudahan makan-minum tak ada di kawasan masjid. Hanya ada sebuah gerai air soya di tepi simpang tiga masuk ke masjid. Laku bukan main lepas solat.

Dalam jarak kira-kira 200 meter sebelah kanan luar kawasan masjid, terdapat warung yang dikerumuni lepas Jumaat. Menu istimewa rojak, cendol dan nasi ayam. Pernah Haji Mahadi belanja saya di warung ini, yang struktur asalnya adalah kontena yang diubahsuai. Bekalan elektrik dan air disambung daripada sebuah rumah berhampiran.

Masjid ketiga. Hakikatnya bukan masjid betul-betul. Asalnya surau yang dibina hasil dana penduduk sekitar. Dinaik-taraf boleh didirikan solat Jumaat selepas PR perintah Darul Ehsan. Selesa solat di sini. Ruang utama di pasang hawa dingin. Tapi biasanya kalau dengar khutbah, yang dingin boleh bertukar jadi hangat.  Semangat juang naik berkobar-kobar di atas mimbar! Abby Abadi pun pernah datang berceramah di masjid ini.

Beberapa kali saya bersua (tapi tak bersalam dan tak berteguran kerana saya segan) dengan seorang ahli akademik yang terkenal, juga bekas presiden NGO yang markas dan kolejnya  terletak di Sungai Ramal Dalam. Tabiatnya yang saya perhatikan, selesai solat sunat lepas Jumaat, dia akan duduk sorang-sorang mengaji. Banglo ahli akademik yang disegani ini gah terdiri di seberang jalan, jaraknya hanya dua ratus meter dari masjid ini.

Semasa pelancaran buku terbaru Yusuf al-Qaradhawi (Kebangkitan Rakyat; 2012), Supremo PKR hadir sebagai tetamu kehormat. Majlisnya berlangsung di surau yang dah jadi masjid inilah!

Yang keempat, sebuah masjid sederhana besar berdekatan sekolah rendah agama. Ini masjid asal Kampung Sungai Ramal. Binaannya masih kekal fesyen lama. Tapi dah banyak ubahsuai dan ruang yang ditambah. Letaknya birai jalan menghala ke Bandar Baru Bangi. Aktivitinya berjadual. Ada kuliah hujung minggu. Kadangkala ada forum. Pernah Ustaz Farid Ravi dan Dr Sidik Fadhil bicara sekali dalam suatu forum.

Khutbahnya jika disampaikan imam masjid, yang akan dibacakan ialah teks sediaan JAIS. Kelainannya apabila hadir imam jemputan. Seorang profesor madya dari Fakulti Pengajian Islam IPTA di Bangi. Cuma bahasa dan kupasannya agak tinggi. Sesekali ada pegawai dari JAIS naik mimbar.

Kerap juga saya solat Jumaat di sini. Takat ini belum pernah ada khatib yang baca ‘khutbah berapi’ tanpa baca teks! Tok khatib ‘juruh’ belaka.

Dengar cerita, AJK masjid ini orang-orang dari parti keris. Saya tak pasti. Maklumat itu diberitau seorang kenalan yang taat kepada parti kibar panji-panji bulan mengambang. Kenalan saya ini, seminggu sebelum penamaan calon, dah buka markas di laman rumahnya! Tapi hari Jumaat dia solat di masjid ini jugak!  

Jika ke sini, lepas solat biasanya saya minum dengan rakan-rakan. Mereka ini golongan marhaen belaka. Jadi tukang lipat sejadah dan gulung permaidani. Kami biasanya lepak  di sebuah warung yang  popular di sini. Letaknya kira-kira 300meter dari masjid. Biasanya yang menyertai saya ialah Pak Kasim (tok siak) dan Rex (pemain gitar sebuah kumpulan rock underground). 

Biasalah, ketika makan minum itu beberapa pelanggan kerling. Mungkin agak aneh melihat gandingan kami –  satu berjubah, yang kedua berbaju Melayu, ketiganya budak rock rambut panjang.   

Saya suka berbual dengan Pak Kasim. Kalau cerita bab mengail, serah kepada dia. Tahu bangat dia.

Kerana dia orang asal kampung ini, dah dekat PRU ni, saya usul jugak soal calon yang boleh menang. Mudah jawabnya, “Rasa-rasanya kekal lagi wakil yang lama!”

Dia merujuk kepada seorang bekas ahli akademik yang kini jadi YB. Pernah sekali beliau baca khutbah dan jadi imam di masjid ini. Asalnya dari Darul Iman. Dah lama menetap di sini. Kenalannya ramai, dari pelbagai lapisan. Penampilan sederhana. Reti bangat bercampur-gaul dengan masyarakat setempat. Dengar khabar, YB ni memang rajin mengimarahkan surau dan masjid dalam kawasannya. 

Dia, tok wakil dari parti simbolnya bulan mengambang!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan