Tiga hari lepas, sempat berbual dengan Aweng. Perunding
undang-undang yang punyai minat besar terhadap politik. Tapi tak pernah tunjuk
minat mahu masuk mana-mana parti atau pun galak promosi diri mahu jadi calon.
Selain bab politik, kalau ada keliru hal undang-undang, saya
akan hubungi dia. Termasuklah soal nak bayar tidaknya saman AES.
Sudah lima surat saman sampai ke rumah. Banyak kalau nak
bayar tu. Apabila saya timbulkan musykil, jawabnya mudah, “Tunggu dulu. Tengok iklim
lepas PRU13! Simpan duit untuk balik kampung. Jadi dana mengundi tu!”
Waktu duduk sembang, terselit jua tentang surat pancing undi
yang saya terima daripada Supremo PKR. Terkejut nampaknya dia. “Kenapa saya tak
dapat pun!”
Nadanya macam hampa pulak. Gamaknya begitulah. Tentulah tak
mudah terima surat daripada orang tersohor macam DSAI.
Tapi ketawa besar dia apabila saya katakan,
“Surat tu main
borong saja. Entah berapa ratus ribu pengundi terima surat macam tu. Isi pun ringan dan
mudah faham. Tujuan mahu kita balik kampung dan undi calon Pakatan. Surat tak
tebal pun. Tak ler sampai lapan belas mukasurat! Sehelai saja. Ada dua kertas
lain. Bubuh alasan ajak kita pakat ‘rehatkan’ UMNO”.
Saya pun bacakan petikan sisipan yang ada gambar Dato’ Bendahara
tengah pidato di suatu perhimpunan parti.
‘REHATKAN UMNO BUAT SEMENTARA. BERI PELUANG MEREKA
BERMUHASABAH DAN INSAF’.
Kemarin, sepucuk surat kempen sampai lagi.
Kali ini daripada
Presiden PKR. Ditujukan kepada Yang Tersayang. Strategi yang mudah dibaca
jugak. Cuba pujuk wanita untuk undi parti yang presidennya wanita!
Cuma nampak ada kelainan isi utamanya. Berbeza dengan surat
untuk bakal pengundi lelaki yang diutuskan oleh Ketua Umum parti yang kibar
simbol mata itu.
Saya turunkan petikan bahagian itu:-
"Di sebalik kemakmuran (Negara) ini, terdapat beberapa
perkara yang tidak kena dengan cara negara diurustadbir. Baik di desa mahupun
di Bandar, perasaan tidak selamat semakin mengcengkam. Pendapatan keluarga
semakin tidak mencukupi untuk menampung belanja bulanan. Sistem pendidikan juga
sering dirombak menurut citarasa menteri, sekaligus membebankan pendidik,
pelajar dan ibu bapa.”
“Saya yakin kaum wanitalah yang paling faham tentang masalah
ini. Wanita Malaysia terkenal dengan
sifat kerajinan, ketabahan dan dedikasi. Sifat-sifat mulia inilah yang
menyumbang kepada kekuatan negara dan institusi keluarga kita. Sayangnya,
kegigihan dan kekuatan Wanita Malaysia tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk
memenuhi potensi sebenar negara kita. Inilah simptom kepincangan sistem pentadbiran
sedia ada.”
Cuba kita tarik keluar inti dua perenggan tersebut, yang menonjolkan
bebanan atau tekanan yang dihadapi rakyat:-
i.
Rasa tak selamat.
ii.
Pendapatan keluarga tak mencukupi.
iii.
Sistem pendidikan tak stabil.
Kaum wanita dikatakan ‘paling
faham’ berkaitan tiga ‘masalah sosial negara’ disebabkan ketidak- cekapan tabdir
urus kerajaan sekarang.
Wanita Malaysia punyai ciri-ciri unggul
untuk menghadapi masalah itu.
Malangnya, kerajaan sekarang
tidak memanfaatkan ‘keistimewaan’ yang dimiliki kaum hawa di negara ini.
Saya tidak pasti setakat mana kenyataan dalam surat itu
benar dan sahih kerana tidak disertakan fakta (statistik). Cuma apabila
menyentuh soal pendidikan dan ciri-ciri wanita, terasa galak pulak nak bawakan
contoh daripada realiti. Ungkap hakikat yang berlaku dalam keluarga sendiri.
Dalam keluarga kami ada sepuluh orang yang terlibat dalam
bidang pendidikan.
Ada yang jadi pengetua, penolong kanan, dan kaunselor. Semua yang berkhidmat di sekolah menengah itu ialah
wanita belaka. Yang paling tinggi, bergelar profesor di IPTA. Manakala yang
jadi kaunselor itu pula pernah dilantik sebagai pengerusi guru kaunselor seluruh SBP.
Manakala yang lelaki pula, paling tinggi jawatannya ialah
guru besar di sekolah rendah.
Apakah ini boleh dijadikan suatu petunjuk kecil tentang “simptom
kepincangan sistem pentadbiran yang sedia ada” seperti terkandung dalam surat Presiden
itu?
Ugh, seronok jugak sekali-sekala bersilat minda di alam
siber!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan