Karya
Khamis, 30 Jun 2011
MEMORI HAJI 2010: "Nikmatnya Tamar Bersalut Mayonis!"
Maghrib, Khamis 28 Oktober.
Saya tidak berpeluang solat di tepi pagar yang memisahkan kawasan solat dengan lorong tawaf di tingkat satu. Bahagian solat melepasi pintu tawaf ini berdekatan dengan pintu menara Raja Abdul Aziz. Di sini, jika dapat solat betul-betul dekat dengan pagar besi itu, akan jelas kelihatan rumah Allah yang kudus dikelilingi hambaNya yang tawaf seolah-olah tanpa henti dan tanpa jemu bersilih-ganti.
Dari sudut yang saya duduki di tingkat satu ini, jemaah yang solat akan menghadap bahagian belakang pintu Kaabah, mendepani dinding di antara Rukun Syami dengan Rukun Yemeni. Walaupun tiada dalam pandangan pancur emas, pintu Kaabah, multazam atau hajaraswad, aura kudus baitulAllah tetap terasa. Dan apabila berdiri takbirratulIhram atau kembali tegak daripada sujud, sekilas akan terpandang Kaabah, dan terasa sekali kudus dan syahdu walaupun sesekali-sekali ada melintas jemaah yang tawaf (sebahagiannya berkerusi roda) di lorong yang mendepani. Walaupun berada hingga lima enam saf ke belakang pun, sewaktu duduk dan berdoa, bumbung Kaabah masih dalam pandangan mata. Syahdu sekali.
Tapi amalan saya di Kota Suci sini, apabila ingin berdoa (untuk diri sendiri atau memenuhi pesanan sahabat-handai) memohon sesuatu yang khusus, dan kerana kesesakan di medan tawaf, saya akan berdoa sambil memegang pagar ruangan tawaf di tingkat satu ini. Rasa tersentuh kalbu ketika memanjatkan doa kehadrat Ilahi, rumahAllah betul-betul tersergam rumah Allah di depan mata.
Maghrib hari ini, tiada peluang dan upaya langsung untuk saya bersolat, berzikir dan berdoa berhampiran pagar tawaf di tingkat satu. Bunga-bunga ketidakupayaan itu sudah dirasai ketika melalui masaei lagi, Jemaah sudah ramai. Dua-dua bahagian yang menghala ke arah Safa dan Marwah sudah menjadi lorong sehala. Manakala ruangan untuk kerusi roda manual dan automatik sudah agak kacau lalu-lalangnya kerana jemaah yang mahu ke medan solat bercampur dan menyonsang arus dengan jemaah yang melakukan saie.
Melepasi tempat air zam-zam yang terbina di dinding, saya segera memasuki ruang yang marmarnya putih belaka, tiada berniat pun untuk mencari tempat berhampiran pagar tawaf. Di ruang marmar serba putih ini, letaknya agak jauh ke belakang, tidak terlihat langsung Kaabah atau orang berlalu-lalang melakukan tawaf. Tapi kawasan ini amat selesa sekali jika mahu solat, zikir, berdoa dan mengaji kerana berhawa dingin sepenuhnya. Setakat yang saya tahu, di sini satu-satunya kawasan yang berkedaan begitu dalam MasjidilHaram. Barangkali itulah sebab utama jadilah juga ia tempat jemaah lelaki dan perempuan bersantai dan tidur ketika sudah mahu rehatkan otot dan otak sementara menunggu masuk solat Isya’ (dalam kes malam itu).
Saya mengintai tempat yang sesuai, tidak terlalu ke depan dan terkebelakang. Saya duduk di suatu ruang berhampiran tiang yang terpasang corong menyembur hawa yang dingin. Nyaman sekali. Di antara saya dengan tiang besar itu terbentang sejadah warna kemerahan. Ada igal dan satu beg plastik entah apa isinya, tersandar di pangkal tiang.
Kerana masih ada setengah jam lagi sebelum masuk Maghrib, saya membaca al-mathuraat. Dalam ralit membaca zikir susunan as-sahid Hasan al-Banna itu, saya perasan ada seorang jemaah ralit juga memerhatikan saya. Selesai membaca doa rabitah, saya melihat sekilas, Nampak dari rupa paras umpama orang Tibet. Sedang saya santai menunggu azan Maghrib, datang seorang lelaki Arab membawa tiga gelas plastik berisi air zam-zam. Tanpa menyapa, di sebelah kirinya saya, di sebelah kanannya tiang besar marmar putih. Arab yang memakai jubah putih dan serban merah putih ala Yasir Arafat, rupa-rupanya empunya sejadah yang terbentang sejak tadi.
Ketika mengemaskan duduknya, Arab berbadan besar dan tingginya kira-kira lima kaki sembilan inci itu mula mengeluarkan isi kandungan beg plastik yang tersandar di pangkal tiang. Saya ralit pula memerhatikannya. Satu persatu dikeluarkan dari beg itu macam seorang ahli silap mata mengeluarkan arnab dan bunga ros dari topi hitam yang panjang.
Mula-mula segulung plastik lutsinar yang dijadikan seperah. Lepas itu empat botol susu segar setinggi tiga inci yang diletakkan di empat penjuru plastik lut sinar (saya fikir untuk menahannya daripada ditiup hembusan kipas yang terpasang juga). Tiga gelas zam-zam di susun dalam satu baris. Kemudian keluar satu bekas makanan mengandungi kurma, diikuti pula botol bulat kecil terisi mayonis. Akhir sekali satu termos bekas air panas didudukkan di tengah-tengah dengan gelas kecil plastic warna hitam mengiringinya.
Saya mulai faham, Tok Arab ini berpuasa dan sedang bersedia untuk berbuka. Dengan apa yang dihidangkan, sekurang-kurangnya boleh berjamu lima orang dewasa. Saya tidak nampak pula tok Arab yang lain di sampingnya. Yang duduk paling hampir ialah lelaki Malaysia (saya tu!), di sebelah kiri saya, yang baru datang minta ruang ialah seorang pemuda kulit hitam. Di sebelahnya pula masih di situ lagi lelaki macam orang Tibet. Mendepani saya ialah orang India dan Afghanistan. Tiada orang Turki yang biasanya berkumpul ramai-ramai sesama mereka – membentuk petak Turkiye yang tersendiri, dengan baju biru cair dan seluar panjang cair (Azmi kawan sebilik saya kata macam seragam orang hospital sakit jiwa!).
Ketika azan berkemundang lelaki Arab berbadan besar hidung paruh burung kenyalang itu mencecah kurma ke dalam mayonis. Sedap sekali nampaknya, pecah dan tertelan liur dibuatnya. Cuma hairan saya masih belum terungkai: mana orang lain teman Arab ini yang mahu berjamu berbuka puasa dengannya? Sekurang-kurangnya, kalau ikut kiraan botol susu segar itu ialah empat orang, Kalau ikut kiraan jumlah gelas plastik berisi air suci zam-zam, maka totalnya enam orang.
Saya perasan betapa pemuda Afrika itu sama-sama ralit macam saya memerhati lelaki Arab berbuka puasa. Kali ketiga dia mencecah kurma segar ke dalam botol mayonis yang masih banyak isinya, saya terkedu. Kerana kali ini kurma yang jadi putih separuh diselaputi mayonis itu dihulurkan kepada saya!
Entah apa yang dituturkan Tok Arab itu (yang berjambang dan berkumis, walaupun agak lebar wajahnya, masih ternampak kacak orangnya), saya tidak mengerti. Dia tersenyum, dan menuturkan sesuatu yang saya ambil tafsir dengan agakan: dia ikhlas untuk memberikannya kepada saya. Mula-mulanya teragak-agak juga mahu menerima kurma bersalut mayonis yang pecah liur dibuatnya, Pertama tak tahu sama ada itu ajak-ajak ayam atau real. Keduanya, saya tidak mahu membuka topeng penudung mulut yang bukan sahaja menjadi menghadang batuk dan bersin tersembur ke arah juadah penuh nikmat Tok Arab itu berjamu, tetapi topeng itu sudah jadi tisu yang menekup hingus daripada meleleh.
Saya berasa air hingusan sudah mula menebusinya dan mungkin Tok Arab itu juga menyedarinya. Kerana nampak kesungguhan dalam pelawaannya, daripada air mukanya yang manis dan matanya yang tampak begitu ikhlas, saya buka topeng, segera memamah tamar segar dicecah mayonis. Wah, lazat sungguh!
Pemuda Afrika yang duduk di sebelah saya terjenguk-jenguk, dan gerak badannya memberikan isyarat kepada Tok Arab itu supaya bermurah hati menghulurkan tamar bersalut mayonis kepadanya jua. Rupa-rupanya pemuda Afrika itu boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih. Kemudian teori domino pun terjadi. Lelaki tua bangsa India (berjanggut putih berbadan kurus) yang dari tadinya hanya menjeling dari saf depan saya makin kerap jelingannya kepada Tok Arab itu. Dan isyarat yang diberikan (jelingan dan gerak badan) difahami jua Tok Arab yang baik hati. Maka kurma bersalut mayonis, dan segelas air zam-zam berpindah pula kepada lelaki India yang agak kurus itu!
Selepas itu, lelaki Afghanistan (di sebelah orang India yang kurus) dengan serban sebesar bakul mengalih hadap ke saf kami. Tok Arab yang baik hati cepat sungguh fahamnya. Maka lelaki Afghanistan serban sebakul mendapat habuan yang sama!
Ketika sudah bersedia untuk solat Maghrib, lelaki Arab yang budiman itu menghulurkan dua tamar biji tamar. Kali ini tidak bersalut mayonis. Saya tetap mengambilnya, dan menarik dua helai tisu dari kotak yang terletak berhampiran gelas air suci zam-zam. Saya bungkus kemas dan masukkan ke dalam poket jubah.
bisa bersambung…
Isnin, 27 Jun 2011
Memori Haji 2010: “Tuhan Turun di Langit Bumi…”
Sewaktu bersiap-siap mahu terlentang di katil, sempat saya bercerita dengan Kassim pengalaman rebah tersungkur di Hijir Ismail, dan hampir sahaja kemalangan dipijak dan ditindih itu.
Kassim memberikan ayat kesimpulan: “Biarlah dahulu. Saya tak dapat pun tak apa (masuk Hijir Ismail dan kucup Hajaraswad). Di Padang Arafah boleh berdoa di mana-mana pun. Tak perlu berhimpit dan bersesak-sesakan!”
Sengaja mahu menyedapkan hatinya yang belum dapat mengucup batu hitam dari syurga itu, segera saya menyokong pendapatnya. “Betul Kassim, di Arafah kita boleh berdoa hatta duduk dalam khemah sahaja. Di mana-mana pun bumi Arafah, adalah tempat mustajab doa! Tak perlu berhimpit. Tak mungkin jatuh dilanggar. Tentu juga tidak dipijak orang!”
Rasa bersalah hinggap jua di kepala, takut-takut peristiwa tersungkur di Hijir Ismail itu membantut semangat Kassim. Khuatir kalau-kalau dia tidak terdorong untuk berusaha bersungguh-sungguh mengucup HajarAswad atau masuk ke Hijir Ismail untuk bersolat sunat atau berdoa.
Berkenaan hal ini, saya teringat perbualan dengan Alimin - pemuda Kelantan yang sering satu van bersama kami ketika bermunajat di masjid Quba sewaktu di Madinah. Suatu hari ketika saya duduk-duduk dengan Yang Tersayang di ruang rehat hotel, dia datang duduk di sebelah saya. Dia membuka cerita:
“Pagi tadi waktu solat Subuh, seorang ahli jemaah tabligh Malaysia menghampiri saya. Dia bertanya kenapa saya nampak murung sekali. Saya katakan padanya, sedih sungguh kerana sudah dua kali mencuba tidak dapat-dapat juga mengucup Hajaraswad, dan tidak berupaya berdoa di depan multazam. Ahli jemaah tabligh itu mengatakan, usahlah dibimbangi akan soal itu. Bukan itu sahaja tempatnya mustajab doa. Tidak perlu risau. Kita akan pergi ke tempat yang lebih baik dan mustajab untuk berdoa. Di Padang Arafah! tak payah berebut-rebut! Kawasannya cukup luas untuk semua jemaah!”
Saya diam tidak mencelah ketika dia bercerita. Hanya tunduk dan angguk-angguk kecil. Selepas habis luahannya, Alimin merenung saya beberapa detik. Dalam pekat Kelate dia usul musykil: “Betul mace tu ko, abe?”
Saya pun segera menggali pengetahuan yang tidak seberapa. Cuba menerangkan kepadanya, sambil memberikan dorongan juga. “Memang benar sungguh! Malahan waktu wukuf di Arafah, Allah Yang Maha Agung turun ke langit bumi, kemudian berkata dengan bangga kepada malaikat: Lihatlah hamba-hambaKu datang memohon doa kepadaKu!”
Alimin mendengar dengan penuh minat. Saya memperkemaskan sila di atas sofa, dan menambah.
“Bahkan Nabi Muhammad berdoa hanya dari atas untanya Qaswa ketika wukuf di Arafah. Tidak dipanjat pun Jabal Rahmah! Orang-orang kita yang silap faham! susah payah mahu daki Jabal Rahmah, hanya mahu berdoa!”
Alimin memandang kepada saya penuh teka-teki. Dalam dahi berkerut dikhabarkan ceritanya pula.
“Masa ziarah kemarin, saya panjat Jabal Rahmah hingga ke puncak!”
Saya tersenyum sambil menerangkan, “Anggap itu acara biasa dalam ziarah. Yang sebenarnya, tunggu dan berdoalah di mana-mana pun ketika hari wukuf.”
Alimin nampak tidak puas hati, dan wajahnya musykil sekali. Saya dah jadi macam tokguru pula mahu menjelaskan yang kelabu dan mahu menenangkan hati seorang insan yang gundah-gulana.
“Baca buku karangan Ustaz Abdul Basit tentang Mekah. Baca juga Buku Panduan Haji, warna kuning, yang dibekalkan Tabung Haji kepada kita.”
Dalam fikiran saya ayat Iqra tertayang. Besarnya hikmah dalam surah pemula kerasulan itu. ‘Bacalah dengan nama Tuhammu!’
Mahu saja saya katakan kepada pemuda itu: “Bacalah, maka kamu akan lebih memahami daripada hanya mendengar kata-kata atau tafsiran orang lain!”
Tapi tak jadi mahu menuturkannya. Tidak sampai hati saya mahu katakan begitu kepada Alimin, nanti disalahtafsir pula takut-takut difikirkannya saya mahu mengajar dia!
Permisi. Bisa ketemu lagi. Wassalam.
Nota 1:
Dalam soal ibadat haji ini, sebelum berangkat ke Mekah, saya dan Yang Tersayang sempat berguru selama seminggu dengan Hajjah Azizeh (panggilan mesra: Kak Ara). Ustazah yang aktif dalam NGO ini, kerja utamanya berdakwah (hatta masuk ke perkampungan orang asli juga). Bukan bab haji saja Kak Ara ini arif (12 musim menjadi guru pembimbing haji, dan selama itu juga menyertai Muzakarah Haji Nasional), dia biasa sangat dirujuk dalam soal-soal permasalahan remaja. Malahan Kak Ara pernah mengendalikan rumah kebajikan khusus untuk gadis-gadis yang bermasalah. Selain itu, saya punyai talian terus untuk mendapat nasihat daripada seorang ulama muda Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri. Bahkan ketika di Madinah dan Mekah pun, jika ada musykil saya sms terus kepada beliau. Seorang lagi ‘tok guru’ yang saya biasa rujuk ialah Ustaz Suhaimi (Imam Besar Majid Unisza).
Nota 2: semua foto yang termuat dalam Memori Haji 2010 adalah ehsan daripada Haji Rosli, seorang pegawai kanan di TOYOTA. Beliau teman sebilik saya di Madinah dan Mekah. Satu khemah pula di Arafah dan Mina. Perkenalan singkat di Tanah Suci terjalin erat menjadi sahabat, atas rahmat dan hidayah Yang Esa jua.
Jumaat, 24 Jun 2011
MEMORI HAJI 2010: "REBAH DI HIJIR ISMAIL"
Salam Jumaat. Hari ini ingatan terasa sangat kuat menggambarkan semula beberapa peristiwa ketika menunaikan Haji tahun lepas (1431H). Peristiwa yang diperturunkan di sini, memang sangat memberi makna kepada saya. Sangat bermakna.
Ahad, 31 Oktober 2010. Jam dua pagi. Yang Tersayang telefon dari lobi, katanya sudah sepuluh minit dia menunggu. Dia seorang sahaja, tambahnya lagi. MasyaAllah. Saya sudah berjanji akan bangun jam satu setengah. Apabila Azmi (teman sebilik, seorang perunding IT) kejutkan, rasa sedap sungguh kalau boleh terus bergolek di bawah selimut. Kepala terasa amat berat penangan pil selsema dan ubat batuk yang diteguk ketika terjaga jam dua belas.
Kerana janji, selesa di atas katil perlu ditinggalkan segera. Hampir setengah jam barulah saya sampai ke lif. Tidak mandi kerana awal pagi sangat. Begitulah keadaan saya di sini, kadang-kadang tidak mandi sampai tiga hari. Sebenarnya, sudah tidak hirau soal mandi lagi. Yang penting berus gigi dan tukar baju atau jubah baru kering yang dilipat sahaja tidak diseterika. Jimat. Kalau upah seterika tiga rial.
Awal pagi ini saya mengenakan jaket yang banyak poket. Di dalamnya kurma ajwa tiga butir, kuih kurma campur buah tin tiga bungkus plastik kecil, ubat-ubatan untuk diambil semasa sarapan, telefon mobil, dompet, kad pengenalan haji, spekmata, dua buah buku kecil besar (koleksi surah-surah pilihan, buku zikir dan Yaasin) serta topeng spare tiga pasang. Semuanya boleh dimasukkan dalam jaket ini yang mempunyai enam poket kecil besar.
Ketika sampai di lobi ingat mahu naik van sahaja, tetapi pemuda arab pemandu van menyebut dengan cepat “haram, jalen ka!” (maksudnya: ke masjidil haram jalan kaki!) Bagus sungguh bahasa Melayunya. Rupa-rupanya tiga empat buah van warna putih yang parkir di depan lobi hotel hanya mahu menerima jemaah yang mahu ke Tanaim untuk melakukan niat umrah. Tanaim merupakan miqat terdekat dengan Hotel Janadriyah, kira-kira dalam 5km sahaja, tetapi menaiki van jadinya sepuluh kilometer. Bayaran sepuluh rial satu kepala untuk tambang dari Hotel Janadriyah ke Masjid Tanaim kemudian patah balik ke Masjidilharam.
Van biasanya akan berhenti tidak jauh dari perpustakaan awam yang didirikan atas tapak rumah maulid junjungan besar Muhammad SAW. Jemaah akan berjalan kaki kira-kira dua ratus meter melalui jejantas memasuki MasjidilHaram melalui pintu masaie bukit Marwah atau memilih untuk masuk mengikut jalan bawah, turun menggunakan eskalator melepasi pintu gerbang tandas lelaki dan perempuan, kemudian memasuki gerbang Babussalam.
Pagi itu, menapak di jalanraya yang hampir-hampir tiada kenderaan itu santai sekali. Tiada riuh peniaga kedai di bangunan lama dan baru yang selaluinya riuh menyapa: “haji, hajjah murah!murah!” Ketika melalui kedai menjual beg, Yang Tersayang menyapa, “dibiarkan tergantung begitu sahaja. Tak ada orang nak curi ke?”
Saya tidak menyahut. Namun begitu, dalam hati menjawab jua, “Curi? Siapa berani? Potong tangan baru tau!”
Lagipun tak mungkin jemaah terfikir mahu mencuri apa-apa di mana-mana kedai pun. Wukuf sudah hampir. Tinggal 15 hari lagi. Jika ditahan kerana mencuri, alamatnya tak buat hajilah, meringkuk dalam penjara atau dihantar pulang. Kes aniaya diri sendiri ini!
Saya lepaskan soalan Yang Tersayang mati begitu saja dalam bening pagi kerana konsentrasi hanya mahu berjalan cepat untuk lekas-lekas sampai di Masjidilharam. Mahu melakukan tawaf sunat. Sudah hampir seminggu tidak melakukannya kerana selsema, demam dan batuk.
Seperti biasa, kami melalui pintu Bukit Marwah. Bubuh kasut dalam plastik, dan ikat di gril jendela sambil berdoa “bismilllah hitawakkal tu alaLLah walahawlawalakuwataillah biLLah hil alimil azim.” Selepas separuh berjalan di masaie, saya berhenti mengambil dua gelas air zam-zam. Satu untuk saya dan satu lagi untuk Yang Tersayang. Mohon doa minta dikekalkan wuduk hingga selesai beribadat di masjid agung ini, dan kembali semula ke hotel.
Kami menuruni tangga pintu nombor 43, laluan jalan kaki bahagian tengah masih terlalu lega, tetapi kelihatan jemaah yang tawaf sudah melewati garis bulatan tempat biasanya untuk solat. Sebahagian kecil sahaja tinggal untuk solat. Kira-kira hanya untuk lima enam saf sahaja. Yang sedang tawaf - ribuan manusia pelbagai bangsa dan warna kulit, lelaki perempuan dengan pakaian ihram, jubah, bahkan ada yang berpakaian baju batik celananya warna cerah (boleh diteka mereka kumpulan jemaah dari tanah seberang, pak!).
Ketika Yang Tersayang sedang berdoa di sudut mula tawaf, saya memerhati pergerakan jemaah yang tawaf untuk menyusup ke dalam ribuan insan yang mahu mencapai keredhaan Yang Esa. Memang sudah dipersetujui dari awal, sejak di Madinah lagi, apabila melangkah ke pintu masjid, kami akan berpisah, dengan janji akan bertemu jam tujuh setengah pagi selepas solat Subuh, yang biasanya bermula jam lima pagi. Lima setengah selesai solat Subuh dan solat jenazah. Maka akan ada dua jam untuk berbuat apa sahaja - solat sunat, tawaf lagi atau mengaji sahaja. Di Madinah lebih mudah kerana ada pintu khusus untuk jemaah wanita. Tetapi di Mekah sukar mahu dilakukan sebegitu kerana selesai tawaf jemaah boleh memilih untuk ke Hijir Ismail, mengucup hajar aswad atau solat sunat di belakang Makam Ibrahim atau terus keluar dari medan tawaf masuk ke ruang solat masjid agung ini.
Tawaf kali ini rasanya lebih menyelesakan daripada sewaktu umrah semalam kerana badan dalam kondisi lebih baik. Hingus sudah kering dan batuk tidak galak, kejang urat dan tegang otot tiada lagi. Rehat cukup, tidur pukul sembilan malam. Zohor, Asar, Maghrib dan Isya bersolat di Masjid Syeikh Khalil Tholaqi. Lantas kali ini tidak diletihkan oleh terik mentari yang mengeringkan kulit kepala.
Setengah jam saya selesai tawaf, dan keseluruhan pusingan terakhir saya membaca ayat seribu dinar sebagaimana yang dipesan oleh Kak Ara (guru saya ini sudah dua belas musim menjadi pembimbing haji dengan LUTH). Ketika akan melepasi sudut batu hitam dari syurga yang menjadi dambaan seluruh umat Islam global, saya memasang niat dan berdoa minta Allah melapangkan jalan kepada saya untuk berdoa di Hijir Ismail.
Selepas dapat mengucup hajaraswad pada hari ketiga di Kota Suci Mekah, saya tidak menghampiri Hijir Ismail lagi kerana kondisi badan tidak mengizinkan dan khuatir melihat kesesakan yang berlaku di kawasan yang menjadi rebutan selain hajaraswad.
Dengan agak mudah saya masuk mengiring, bering makin disempitkan untuk sampai ke tembok Hijir Ismail. Tiada sebarang masalah ketika saya menyusuri tembok diselaputi marmar putih setinggi lima kaki itu. Cuma apabila sampai ke hujung tembok, merupakan ruang masuk ke situ, himpitan dan tolakan keras mula terasa. Seorang lelaki kulit hitam bercakap kasar sekali memarahi seorang Arab yang berasakan di belakangnya. Lelaki kulit putih berpakain ihram itu memberikan isyarat dengan tangannya digoyangkan ke belakang, petanda dia dihindik oleh jemaah lain bukan tujuannya mahu menghimpit atau menolak dengan kasar. Saya nampak polis yang berjaga di situ tidak berbuat apa-apa. Situasi sudah di luar kawalan kerana jemaah berebut-rebut habis tenaga dan ikhtiar untuk bersolat di dalam binaan melengkung huruf ‘U’ yang merupakan sebahagian rumah Allah itu. Satu daripada tempat yang dipercayai dan diyakini mustajab untuk berdoa.
Saya menggagahi diri dan mengikut asakan dan himpitan dari belakang. Seorang jemaah entah bangsa apa sedang cuba rukuk dalam kesesakan teruk itu, dan berpusinglah rukuknya ke kiri dan kanan mengikut asakan kuat dari pelbagai arah. Malahan dia dimarahi jemaah lain kerana solat pada ketika orang lain cuba masuk untuk berdoa. Ralit melihat orang yang terpesong rukuknya dan orang yang sedang berang kerana dihalangi, saya terleka dan tidak menyedari rupa-rupanya di depan saya seorang jemaah wanita sudahpun sujud! Akibat tolakan dan himpitan makin kuat, lulut saya tersadung bahu wanita berkenaan, saya terus hilang imbangan dann rebah di atas belakangnya! MasyaAllah, lapan puluh kilogram beratnya seorang lelaki Melayu menghempap belakang wanita berkenaan. Saya terasa ada tangan segera menarik saya bangun. Tidak tahu saya apa rasanya wanita itu dihenyak begitu. Saya tidak sempat meminta maaf pun kerana amat bersyukur ada orang lain yang tidak saya nampak rupa dan tubuhnya menyelamatkan saya. Ketika cuba mengimbangi badan untuk mencari posisi lebih baik (keselesaan bukan lagi tujuan, hanya mahu berdiri dan menadah doa kepada Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Pengasih), baru sahaja mengucapkan kepala doa, rempuhan lebih kuat melanggar bahu kanan saya. Kali ini pada kali saya tewas lagi. Tersungkur ke depan pula.
Dalam kepala sudah terlintas: apakah akan mati aku kali ini dipijak kaki yang tidak kenal belas ehsan kerana hanya mahu berdoa kepada Allah? Segera teringat khabar angin mengatakan betapa kemarin seorang jemaah haji Malaysia telah pergi ke alam baqa selepas dikatakan rebah di depan Kaabah! Ya Tuhanku, ampunlah aku! Aku belum mahu mati! Aku belum cukup persediaan untuk meninggalkan alam yang fana!
Kali ini tiada tangan yang membantu. Tiada Turkiye dan tiada Bangladeshi (seperti ketika saya bergelut untuk mendapat saf solat paling hampir dengan Kaabah. Tapi itu kita cerita lain kali!)
Saya bangun sendiri, dan mendapati tersedia ruang lapang mendepani cukup untuk tiga empat orang lagi berdiri di situ. dan dinding Kaabah hanya sedepa sahaja! Datang bisikan desak melencongkan nawaitu supaya saya solat sahaja kerana ruang yang terbuka dan selesa itu. Bisikan itu saya tidak endahkan. Pengalaman di Madinah cukup memberikan ingatan dan amaran. Jangan ubah niat dan hasrat yang telah didoakan kepada Yang Maha Esa! Kalau mahu berdoa, itulah yang dibuat. Jangan nak melencong mahu bersolat pula.
Saya sempat berdoa agak lama. Tidak panjang, tetapi ungkapan serupa yang diulang-ulangi. Entah kenapa, air jernih segera terkumpul di bibir mata, dan turun deras melepasi dagu.
Permisi. Kita ketemu lagi. Bisa disambung di lain pertemuan.
Isnin, 20 Jun 2011
"SOLAT DEPAN PINTU KAABAH"
Pada hujung minggu, tetamu datang berkunjung - Makcik Menah serta anaknya Nahar dan menantunya Azizah. Selesai makan (kami jamu kari kepala ikan merah), saudara sebelah Yang Tersayang yang datangnya dari Banting, memberitau akan ke Tanah Suci menunaikan umrah. Segera terbenih dalam hati: Alangkah murninya kembara itu dan alangkah nikmatnya dapat berkunjung ke Madinah dan Mekah.
Saya sudah dua kali ke Tanah Suci. Pertama kali menunaikan umrah tahun 2009. Tahun lepas (bersama Yang Tersayang)dapat pula menjadi tetamu-Nya mengerjakan Rukun Islam yang kelima.
Lantas pertemuan di alam siber kali ini, terasa benar mahu berkongsi pengalaman itu. Kurang-kurang boleh juga dimanfaat oleh para perayau alam siber sekalian. Catatan ini saya fokus kepada pengalaman solat berhampiran Baitul Allah.
Ketika di Masjidilharam, impian jemaah haji atau sesiapa yang menunaikan umrah, dari mana jua mereka berada tentulah mahu bersolat di saf paling depan, di hadapan baitul Allah. Saya yakin tidak kira lelaki atau perempuan, dari pelosok mana jua datangnya, mesti mempunyai cita-cita itu. Cuma yang pasti jua, tidak mungkin untuk orang perempuan berada di saf paling depan selepas imam dan sebaris orang-orang ternama, bersolat di depan multazam dan pintu kaabah (dari rukun hajaraswad hingga rukun Iraqi). Inilah kawasan menjadi rebutan jemaah untuk solat.
Saya pernah terbaca nota ringkas (stensilan diedar kepada jemaah) tempat-tempat mustajab doa berserta dengan lakaran kaabah (ringkas sahaja). Di atas kertas fotostat yang sudah begitu pudar, dinyatakan di antara pintu kaabah dengan rukun Iraqi, adalah tempat Jibrail menjadi Imam kepada Muhammad Rasullah setelah Baginda turun ke bumi dalam kembara kudus-suci Israk Mikraj.
Sewaktu menunaikan umrah bersama Yang Tersayang dan anak-anak (Syai, Dek-dek dan Ney-ney) pada cuti sekolah bulan Jun 2009, di Kota Suci Mekah kami menempuhi dua kali Jumaat.
Ketika jumaat yang pertama, kerana pergi dengan Jenol agak lewat, tiada peluang bersolat di dataran Kaabah. Masuk Jumaat jam 12. Empat puluh lima minit sebelum itu sudah tiada ruang di medan tawaf dan tingkat bawah jua. Malahan jemaah yang mengambil jalan mudah dan senang sudah pun membentang tikar dan sejadah di laman luar bangunan Masjidilharam.
Pada Jumaat yang kelewatan itu, saya dapat jugalah ruang sembayang di tingkat satu selepas berpusing dan terjenguk-jenguk agak lama dengan Jenol (saya gelar dia 'pemuda pencinta masjid' - kisah lanjut tentang dia, kita sembang lain kali) dengan mengepit selipar dalam beg plastik. Jenol ini nama sebenarnya Zainol Ariffin, lekat gelaran itu ikut slang Indon bibik yang menjaganya sejak bayi hingga masuk sekolah menengah. Kini sedang mengaji kejuruteraan di UTP, Tronoh.
Jumaat kali kedua saya pergi sendirian, kerana Jenol sudah pergi lebih awal, pukul sepuluh lagi, walaupun malamnya dia qiamulail di Masjidilharam. Sebelum ini, saya tidak pernah dapat duduk di barisan impian, hanya sujud rukuk di dalam masjid, tingkat bawah, tapi masih boleh melihat Kaabah dengan jelas. Hati memujuk diri:Tak apalah, sekurang-kurangnya melihat simbol keagungan Ilahi itu pun sudah mendapat banyak ganjaran pahala!
Lantas Jumaat kali ini (Jumaat terakhir), ketika melangkah melalui pintu Raja Abdul Aziz, tekad sudah terpasang dan berdoa ke hadrat Ilahi untuk duduk dalam saf sedekat boleh dengan imam. Sewaktu nampak bangunan suci Kaabah, ternampak jua kepadatan jemaah di dataran tawaf dan bahagian solat. Tapi saya sudah tekad. Maka saya terus berjalan di atas hamparan getah ruang jalan kaki antara para jemaah, melepasi sederetan tong air zam-zam, dan terus menyertai jemaah yang sedang bertawaf. Pada waktu itu,khutbah sudah dibacakan. Lantas saya berniat tawaf sunat.
Sebaik-baik khatib selesai khutbahnya, orang-orang yang sedang tawaf secara semulajadi membentuk saf tersendiri, dan automatik saya duduk tidak jauh daripada mimbar! Di depan pintu kaabah, saf nombor tiga!
Riang betul saya hari itu, panas terik yang membara kepala tidak terasa apa-apa. Keceriaan itu, kemudiannya saya kongsikan dengan Yang Tersayang dan anak-anak. Tentunya yang berlebihan diceritakan ialah tentang 'strategi tak sengaja yang menjadi' dan impian pun sudah tercapai! Nikmatnya, hanya kita yang rasa.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
Jumaat, 17 Jun 2011
"KEMPEN KEKAL DARA & PERSATUAN ANTI KAHWIN"
Pada awal Alaf Baru, ketika mastautin di 'Negara Bekas Empayar Sama-sama Makmur' (kononnya diberikan gelaran manis Commonwealth), tersiar dalam sebuah akhbar perdana di England tentang penganjuran Kempen Mengekalkan Dara di kalangan gadis di pulau itu. Reaksi pertama mendadak timbul rasa nak tergelak dalam 'perasa jengkel & sinis'! Bobrok amat situasi remaja di sana. Seorang sahabat (Doktor Salleh, pakar kanak-kanak di Ipswich) pernah bercerita tentang tiga generasi dalam sebuah famili orang putih, gambaran tentang kegawatan moral dan institusi keluarga di England. Nenek, ibu dan cucu semuanya melahirkan anak sebagai gadis belum lepas lima belas tahun! Semuanya 'ikut tradisi famili' jadi ibu tunggal belaka, dapat anak pertama belum lepas sekolah.
Setiap hari persekolahan menghantar Ney-Ney dan Dek-Dek (waktu itu yang bongsu masih di tadika dan yang tengah si Dek-Dek darjah lima), bisa saja saya ketemu gadis-gadis rambut perang dengan penuh bergaya, sebelah tangan menolak trem, sebelah lagi erat memimpin anak yang sudah masuk tadika (yang sama dengan Ney-Ney). Inilah satu contoh kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat di England. Famili tanpa lelaki sebagai ketua keluarga.
Perkahwinan pula sudah menjadi suatu amalan tradisional yang makin ditinggalkan jauh-jauh, dan menjadi semacam suatu fantasi pula. Semacam suatu peristiwa ekslusif hanya untuk golongan tertentu yang elitis.
Apabila David Beckham mengikat perkahwinan dengan Posh, gegar habis seantero Pulau Bekas Empayar ini. Fantasi menjadi realiti untuk menjadi tontonan dan dambaan orang kebanyakan. Menjadi dambaan, tapi bukan untuk menjadi ikutan! Betapa hebatnya perkahwinan itu mendapat sanjungan, sehinggakan David Beckham pernah diabadikan dalam sebuah lukisan sebagai seorang dewa! Perkahwinan hanya berlaku di kalangan dewa-dewa(?)
Saya tidak pasti sama ada David Beckham dan Posh terlibat langsung dan menyokong Kempen Kekal Dara yang dianjurkan itu. Saya tidak pasti juga apakah kempen itu mendapat sambutan masyarakatnya. Tapi sepanjang hampir lima tahun di pulau itu, tiadalah ternampak pula ada sang menteri atau kerabat di raja atau selebriti seperti Beckham atau Posh muncul dalam media menjadi 'duta'nya!
Seingat saya, dalam tahun yang sama juga, muncul pula seorang lelaki (tidak ternama dan bukan selebriti) mempromosikan Persatuan Anti Kahwin. Syarat utama untuk menjadi ahlinya? Mesti pernah berkahwin! Nampak mudah bagi kita, tentu sukar amat bagi mereka. Kerana perkahwinan adalah suatu fantasi yang hanya boleh menjadi nyata di kalangan selebriti seperti Beckham dan golongan bangsawan dari Istana Buckingham sahaja!
Sepuluh tahun dulu, segera terbentuk tanggapan di kepala saya betapa bobroknya masyarakat di pulau itu, hinggakan pihak pemerintah perlu menganjurkan kempen sedemikian rupa!
Kini, dukacita sungguh rasanya kerana ingatan tentang kempen itu datang semula sewaktu di Tanah Bonda ini kes-kes pembuangan bayi kerap berlaku dan begitu menggerunkan. Kita tidak nampak ada pihak yang mahu usahakan kempen seperti di England itu. Barangkali kita tidak bobrok seperti mereka. Lagipun belum ada gerakan anti kahwin di Tanah Bonda ini. Yang ada Kelab Taat Suami. Yang ada, sekolah harapan untuk gadis yang terlanjur dan hamil. Kita tidak bobrok seperti mereka.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
Setiap hari persekolahan menghantar Ney-Ney dan Dek-Dek (waktu itu yang bongsu masih di tadika dan yang tengah si Dek-Dek darjah lima), bisa saja saya ketemu gadis-gadis rambut perang dengan penuh bergaya, sebelah tangan menolak trem, sebelah lagi erat memimpin anak yang sudah masuk tadika (yang sama dengan Ney-Ney). Inilah satu contoh kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat di England. Famili tanpa lelaki sebagai ketua keluarga.
Perkahwinan pula sudah menjadi suatu amalan tradisional yang makin ditinggalkan jauh-jauh, dan menjadi semacam suatu fantasi pula. Semacam suatu peristiwa ekslusif hanya untuk golongan tertentu yang elitis.
Apabila David Beckham mengikat perkahwinan dengan Posh, gegar habis seantero Pulau Bekas Empayar ini. Fantasi menjadi realiti untuk menjadi tontonan dan dambaan orang kebanyakan. Menjadi dambaan, tapi bukan untuk menjadi ikutan! Betapa hebatnya perkahwinan itu mendapat sanjungan, sehinggakan David Beckham pernah diabadikan dalam sebuah lukisan sebagai seorang dewa! Perkahwinan hanya berlaku di kalangan dewa-dewa(?)
Saya tidak pasti sama ada David Beckham dan Posh terlibat langsung dan menyokong Kempen Kekal Dara yang dianjurkan itu. Saya tidak pasti juga apakah kempen itu mendapat sambutan masyarakatnya. Tapi sepanjang hampir lima tahun di pulau itu, tiadalah ternampak pula ada sang menteri atau kerabat di raja atau selebriti seperti Beckham atau Posh muncul dalam media menjadi 'duta'nya!
Seingat saya, dalam tahun yang sama juga, muncul pula seorang lelaki (tidak ternama dan bukan selebriti) mempromosikan Persatuan Anti Kahwin. Syarat utama untuk menjadi ahlinya? Mesti pernah berkahwin! Nampak mudah bagi kita, tentu sukar amat bagi mereka. Kerana perkahwinan adalah suatu fantasi yang hanya boleh menjadi nyata di kalangan selebriti seperti Beckham dan golongan bangsawan dari Istana Buckingham sahaja!
Sepuluh tahun dulu, segera terbentuk tanggapan di kepala saya betapa bobroknya masyarakat di pulau itu, hinggakan pihak pemerintah perlu menganjurkan kempen sedemikian rupa!
Kini, dukacita sungguh rasanya kerana ingatan tentang kempen itu datang semula sewaktu di Tanah Bonda ini kes-kes pembuangan bayi kerap berlaku dan begitu menggerunkan. Kita tidak nampak ada pihak yang mahu usahakan kempen seperti di England itu. Barangkali kita tidak bobrok seperti mereka. Lagipun belum ada gerakan anti kahwin di Tanah Bonda ini. Yang ada Kelab Taat Suami. Yang ada, sekolah harapan untuk gadis yang terlanjur dan hamil. Kita tidak bobrok seperti mereka.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
Isnin, 13 Jun 2011
"BERTEMU ANAK-ANAK NAGA"
Petang Khamis 9 Jun. Kira-kira jam empat setengah petang. Saya dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan di Tok Jembal - sebuah kampung tepian pantai, letaknya hanya lima minit perjalanan dari UMT (Universiti Malaysia Terengganu). Tok Jembal adalah antara jiran terhampir dengan Lapangan Terbang (Labang) Sultan Mahmud.Menemani saya duduk di depan ialah Aweng (adik saya, seorang perunding undang-undang) manakala Ney-Ney (anak gadis yang bongsu) bersandar santai di belakang. Dari Pulau Musang ke Tok Jembal jika memandu kelajuan takat 80, boleh sampai dalam masa lima belas minit. Memandu dengan tenang kerana tiada traffic jam. Pukul empat setengah petang, mana ada traffic jam di Ganu ni!
Ketika menghampiri Jambatan Manir (yang merentangi Sungai Terengganu), tiba-tiba hinggap di kepala rasa teruja sangat mahu tangkap gambar Pulau Wau. Sebaik Aweng menuturkan 'orait' saya pantas memutarkan stereng ke kiri. Terus masuk perlahan-lahan di atas jalan kecil tiada tar langsung, menuju ke bawah Jambatan Manir.
Kereta 4WD, pletnya pula Kotaraya KL. Jadi budak-budak lelaki besar-kecil yang berdiri dan duduk-duduk di birai air, terjenguk-jenguk berteka-teki sesama mereka. Dengan kamera digital SLR tersangkut di bahu, saya menghampiri mereka. Saya memberikan salam, memperkenalkan diri, dan menyatakan tujuan (tentunya dalam loghat Ganu yang pekat-likat!). Maka seorang daripadanya (kecil, agak gelap, tapi nampak berani) menyapa dalam loghat Ganu pekat-likat juga, "Pok, watpe nok gi Pulau Wau?"
Setelah menjelaskan tujuan untuk tangkap gambar, dan menjanjikan saguhati lima ringgit seorang, lima enam orang budak-budak lelaki yang santai di bawah jambatan bertolak-tolakan mahu segera mencari sampan.
Tidak lama menunggu. Lima minit kemudian muncul sampan dikayuh dua budak lelaki. Setelah berkira itu dan ini sesama mereka, empat orang jadi tukang kayuh. Hanya saya seorang penumpangnya! Saya usul juga siapa empunya sampan. Budak-budak itu ringkas menjawab sambil gelak-gelak: "Kami pinjam!" Ugh, tak perlu diusul lebih lanjut!
Seingat saya, sudah hampir tiga puluh tahun saya tidak menjejakkan kaki di pantai Pulau Wau. Tapi malang jua petang ini. kerana air tengah pasang. Pantai pulau penuh nostalgia zaman hingusan tenggelam habis. Hanya tersampai hajat untuk tangkap gambar sahaja. Budak-budak lelaki empat orang itu pula, memang handal mendayung. Walaupun air agak deras, rasa sekejap saja sudah menghampiri Pulau Wau. Walaupun terasa mahu sangat mendarat di pulau itu, saya batalkan saja. Pertamanya waktu kenduri sudah menghampiri penghujung. Keduanya, budak-budak berempat dari Kampung Pulau Rusa itu mengaku tidak pernah pergi ke Pulau Wau sebelum ini. Saya perlu segera berpatah balik. Sekiranya ibu bapa mereka tahu hal ini (bersampan sejauh itu), saya pasti mereka kena godam. Itu resamnya anak sungai, jika terlebih berani bersampan jauh-jauh dari kampung tanpa kebenaran orang dewasa.
Walaupun masih tidak puas hati, sekurang-kurangnya saya sudah datang sangat hampir ke Pulau Wau yang tidak dijengah dan dijejak pantainya hampir tiga puluh tahun!
Inilah pulaunya yang menjadi lokasi utama novel sulung saya - WARIS KALUNG NAGA. Novel aksi ini (sesuai untuk remaja tingkatan empat dan lima), suspen dan klimaksnya di pulau itulah.
Ketika melihat budak-budak berani yang mendayung sampan jauh ke sempadan yang belum pernah mereka terokai, dalam kepala saya terbayang nostalgia zaman dulu-dulu. Ah, anak-anak sungai yang tidak takut apa-apa ketika pendayung sudah erat tergenggam di tangan! Anak-anak yang berani ini adalah refleksi watak-watak utama novel WARIS KALUNG NAGA.
Saya berpuas hati sangat kerana kepulangan ke tanah tumpah darah kali ini, ketemu dengan 'anak-anak naga' yang tiada takut apa jua cabaran alam sungai!
nota 1: foto empat budak-budak sungai yang berani - Amin, Shahrul, Sharif dan Shahril.
Nota 2: saya kutip sebahagian adegan daripada novel WARIS KALUNG NAGA, yang berlatarkan Pulau Wau.
_______________________________________________
“Basheer yang masih asyik menfokus sekali-sekala dan menelengkan camcoder ke kiri dan kanan tidak sedar langsung ketika daun senduduk bergegar dan rantingnya terselak dengan kasar di belakangnya berhampiran pondok tempat dia berteduh. Emilda dan Talha yang sedang melambai-lambai ke arah Basheer sambil melakukan pelbagai aksi keriangan bermain pasir di Pulau Wau, tiba-tiba mati langkah dan tergamam sekali, dan terus kedua-dua beradik itu deras berlari ke dalam air sambil menjerit cemas.
“Lari! Acher, lari! cepat!”
Selepas jeritan cemas Talha dan Emilda, tertangkap di telinga jeritan lebih kuat di belakangnya memberikan amaran.
“Cepat lari! rimau akar! rimau akar!”
Tanpa menoleh untuk melihat apa yang ada atau berlaku di belakangnya, Basheer terus mengangkat kaki kerana dia terdengar sesuatu berbunyi pelik sekali, malahan ekor matanya menangkap kelibat dua lembaga hitam terloncat-loncat sudah begitu hampir dengannya! Segera dia berlari sekencang-kencangnya ke arah Talha dan Emilda yang sudah berada di dalam air, menguak dada menuju ke bot! Petang itu, nasib tidak berpihak kepadanya, dalam kelam-kabut berlari lintang-pukang mahu menyelamatkan dirinya entah daripada apa, kira-kira satu meter lagi ke gigi air, Basheer tersadung kakinya sendiri. Berjerebat mencium pasir yang kebasahan. Di sebelahnya, makhluk yang berloncatan mengekorinya dari pokok senduduk di tepi bangsal, sudah pun celebu ke dalam air.”
Sabtu, 11 Jun 2011
"GOMOL GANU GOMOL, PETEH DOK SOH BIAR!"
Saya baru balik dari 'Tanah Tumpah Darah' malam kemarin. Sengaja mengambil laluan menerusi Dungun dan Kemaman sebelum memasuki Lebuhraya LPT ke KL. Walaupun banyak lampu trafik sepanjang kembara di dua daerah itu, tidaklah pula menjadi beban kerana tujuan utama untuk singgah di Kampung Paya Berenjut (sempadan Darul Iman dengan Pahang). Mahu beli keropok lekor dan keping. Seingat saya, sudah hampir sepuluh tahun saya tidak membeli keropok lekor di Losong. Alasannya? Ugh, sudah tidak seperti dulu lagi. Keropok Losong bukan lagi macam semasa saya remaja. Waktu itu, beli yang panas-panas baru direbus, boleh makan begitu-begitu sahaja. Belum sampai ke rumah (dari Losong ke Pulau Musang kira-kira lima belas minit memandu)habis dimamah dalam kereta sahaja. Tapi kita yang kata begitu, waktu cuti sekolah begini tak cukup tempat parkir dan tak betah lah tauke-tauke melayan pengunjung dari luar membeli keropok lekor Losong yang tersohor itu. Produk dari Losong ini sebenarnya sudah menjadi jenama tersohor nasional. Bahkan dengan mudah pula boleh didapati di gerai harian dan pasar-pasar malam di Kajang dan Bangi. Di Pasar Kajang, setiap pagi akan sampai lori kecil menghantar keropok lekor yang dikatakan datang terus dari Losong! Yang agak menghairankan, di Kelate yang terkenal dengan budu dan nasi kerabu itu pun sudah ada terjual Keropok Losong juga. Bulan lepas, sewaktu saya melalui Bachok (dalam perjalanan ke Darul Iman dari Labang Pengkalan Chepa), ada beberapa pengusaha keropok menggantungkan kain rentang mengakui produk mereka ialah Keropok Losong jua! Saya tak tahu bagaimana orang lain merasa sedap tidak keropok Losong buatan Bachok. Saya pernah tinggal di Kelate (Pasir Tumbuh) selama setahun. Yang paling sedap dimakan ialah nasi kerabu, nasi air, budu dan serunding. Tidak sekali-kali keropok - tak kira yang lekor atau keping. Itu jenama original dari Darul Iman, asalnya Losong itulah!
Bagi saya yang dari zaman kanak-kanak makan keropok keping dan lekor Losong macam makanan asas, sudah mengalih selera membeli, kini keropok Paya Berenjut jadi pilihan. Bukan sekadar rasanya, tetapi lebih mudah kerana letaknya di pinggir jalan besar tidak jauh dari simpang masuk lebuhraya ke KL.
Cuma ralat sedikit ketika membeli keropok petang kemarin, yang menggetel dan merebusnya tak reti kecek Ganu! Apabila diusul, rupa-rupanya orang JB! Ugh, mana mungkin tukang buat otak-otak mahu bikin keropok kelor! Barangkali cuti panjang akan datang saya akan kembali ke Losong semula untuk merasa keropok lekor dari tempatnya yang asal.
Ketika melepasi Cherating, sebuah kereta agak rapat mengekori kenderaan kami. Saya rimas juga pada mulanya. Tapi rimas automatik jadi teruja dan ceria kerana kereta yang mengekori agak rapat itu mengibarkan bendera putih hitam lambang bulan bintang - penyokong Ganu yang mungkin mahu ke Bukit Jalil. Ganu bergomol dengan Kelate akhir Piala FA!
Ketika di lebuhraya pula, kami memintas sebuah van sarat penumpang. Di cermin belakangnya, diselit kemas-kemas bendera Ganu. Sewaktu berhenti di R&R Temerloh, saya berkecek dengan seorang lelaki yang menjual jersi Ganu dan Kelate dari sebuah van yang terbuka butnya. Maklumat yang saya perolehi: jersi Ganu dibekalkan kilang dari KL. Jersi Kelate bekalannya dari Padang Besar. Lelaki yang menjualnya pula orang Pahang.
Mulanya naik semangat mahu membeli jersi hitam putih Ganu. Apabila teringatkan peristiwa di Padang Besar bulan lepas, tak jadilah saya membelinya. Waktu itu, Saya galak benar membeli jersi Iblis Merah dari Manchester. Memandang jelek kepada Ahnaf (penyanyi utama kumpulan nasyid Al-Jeebra) yang membeli jersi Barcelona dan track-suit Sepanyol. Dah jadi sejarah: Bercelona ratah Iblis Merah. Jersi pun kita dah tak nak pakai! Jadinya, tak terbeli jersi Ganu, khuatir pisang berbuah dua kali. Sebab minggu lepas, di Stadium Sultan Ismail, Ganu dah kena godam tiga gol.
Cuma dukacita juga, malam ini saya tak ke Bukit Jalil dan tidak menonton di Stadium Astro juga. Dengan Yang Tersayang akan hadiri kenduri di Serdang. Tuan rumahnya, Redzuan Affandi - pemuda budiman, asalnya dari Kelate!
Tak menonton siaran langsung tak apa kerana memenuhi undangan suatu kewajipan. Cuma sudah berkira-kira mahu sms Redzuan ayat begini: GOMOL GANU GOMOL, PETEH DOK SOH BIAR! Mahu tengok, dia akan memberikan reaksi atau tidak ketika majlis sedang berlangsung!
Permisi. Wassalam.
Bagi saya yang dari zaman kanak-kanak makan keropok keping dan lekor Losong macam makanan asas, sudah mengalih selera membeli, kini keropok Paya Berenjut jadi pilihan. Bukan sekadar rasanya, tetapi lebih mudah kerana letaknya di pinggir jalan besar tidak jauh dari simpang masuk lebuhraya ke KL.
Cuma ralat sedikit ketika membeli keropok petang kemarin, yang menggetel dan merebusnya tak reti kecek Ganu! Apabila diusul, rupa-rupanya orang JB! Ugh, mana mungkin tukang buat otak-otak mahu bikin keropok kelor! Barangkali cuti panjang akan datang saya akan kembali ke Losong semula untuk merasa keropok lekor dari tempatnya yang asal.
Ketika melepasi Cherating, sebuah kereta agak rapat mengekori kenderaan kami. Saya rimas juga pada mulanya. Tapi rimas automatik jadi teruja dan ceria kerana kereta yang mengekori agak rapat itu mengibarkan bendera putih hitam lambang bulan bintang - penyokong Ganu yang mungkin mahu ke Bukit Jalil. Ganu bergomol dengan Kelate akhir Piala FA!
Ketika di lebuhraya pula, kami memintas sebuah van sarat penumpang. Di cermin belakangnya, diselit kemas-kemas bendera Ganu. Sewaktu berhenti di R&R Temerloh, saya berkecek dengan seorang lelaki yang menjual jersi Ganu dan Kelate dari sebuah van yang terbuka butnya. Maklumat yang saya perolehi: jersi Ganu dibekalkan kilang dari KL. Jersi Kelate bekalannya dari Padang Besar. Lelaki yang menjualnya pula orang Pahang.
Mulanya naik semangat mahu membeli jersi hitam putih Ganu. Apabila teringatkan peristiwa di Padang Besar bulan lepas, tak jadilah saya membelinya. Waktu itu, Saya galak benar membeli jersi Iblis Merah dari Manchester. Memandang jelek kepada Ahnaf (penyanyi utama kumpulan nasyid Al-Jeebra) yang membeli jersi Barcelona dan track-suit Sepanyol. Dah jadi sejarah: Bercelona ratah Iblis Merah. Jersi pun kita dah tak nak pakai! Jadinya, tak terbeli jersi Ganu, khuatir pisang berbuah dua kali. Sebab minggu lepas, di Stadium Sultan Ismail, Ganu dah kena godam tiga gol.
Cuma dukacita juga, malam ini saya tak ke Bukit Jalil dan tidak menonton di Stadium Astro juga. Dengan Yang Tersayang akan hadiri kenduri di Serdang. Tuan rumahnya, Redzuan Affandi - pemuda budiman, asalnya dari Kelate!
Tak menonton siaran langsung tak apa kerana memenuhi undangan suatu kewajipan. Cuma sudah berkira-kira mahu sms Redzuan ayat begini: GOMOL GANU GOMOL, PETEH DOK SOH BIAR! Mahu tengok, dia akan memberikan reaksi atau tidak ketika majlis sedang berlangsung!
Permisi. Wassalam.
Rabu, 8 Jun 2011
POK HENG SI TUKANG BORENG
Hampir lima petang barulah lori SYABAS sampai di taman kami. Rumah yang pertama mendapat nikmat air bersih, rumah Yamin (yang paling hujung di jalan mati). Malang sungguh, datangnya lori tangki air tidak tepat waktu. Ramai jiran masih belum pulang dari kerja. Jiran-jiran yang sudah pencen atau yang bekerja sebagai guru atau punyai anak remaja yang bercuti semester atau yang ada amah di rumah - maka merekalah yang termasuk di dalam golongan orang yang bernasib baik. Di depan rumah merekalah yang diatur baldi dan tong besar-kecil, menunggu giliran sampainya lori SYABAS. Saya termasuk di dalam golongan yang bernasib baik itu kerana punyai tiga anak remaja yang cuti dari kolej dan sekolah juga. Tenaga tambahan tentunya datang daripada bibik yang serba-serbi mahu dibuatnya. Bukan sekadar kerja domestik, mencabut lalang dan menangani ular sesat, bibik itulah yang menyanggupinya! Bisa saja, dia!
Cuma ruginya, kedatangan lori SYABAS selepas saya sudah berbelanja kira-kira lima puluh ringgit untuk membeli sepuluh botol air mineral 5.5 liter, dan satu dozen botol sederhana besar. Mahal amat jika dibandingkan dengan bil air bulanan puratanya tak cecah dua ringgit, tapi banyak perkara boleh beres - kerja membersih dan mencuci longkang, pakaian, pinggan-mangkuk, mandi-mandian (dan yang bersangkutan dengannya di dalam bilik kecil). Itu belum dicampur lagi dengan masakan dan minuman. Tidak dikira dengan (kalau datang angin rajin) cuci kereta dan siram pokok bunga. Bayangkan, kadang-kadang tercatat di bil hanya RM1.80 sahaja! Nikmatnya subsidi air terasa ketika not lima puluh sudah terbang dan bahu sengal angkat sepuluh botol air mineral seberat 5.5 liter!
Dalam keadaan payah begini, mudah kita terbayang zaman mudah-senang tinggal di kampung. Tidak pernah punyai masalah air. Kampung saya di tebing Sungai Terengganu! Sudahlah begitu, ada pula perigi yang punyai pam elektrik di masjid yang berjarak kira-kira dua puluh meter sahaja dari rumah famili saya!
Itu zaman 60-an. Tidak bisa kembali ke terowong masa itu lagi. Bukan sahaja sungai sudah kotor dan nak mandi-manda pun naik rasa takut. Sungai kampung saya bukan mengalir segar dan menyegarkan penghuni tebingnya seperti zaman ingusan. Lagipun, saya pulang ke kampung bukan ke tempat asalnya tumpah darah saya lagi. Tahun 70-an famili kami sudah berpindah menjadi 'orang darat'.
Tanah baru rumah famili kami terdiri di sebuah kebun yang sangat subur. Seolah-olah segala-galanya simbol segar dan hijau desa tumbuh di sini - rambutan, manggis, kelapa, ciku, tebu jambu, duku. Tentunya ayam, itik dan kepuk menjadi pelengkap jua. Lantas, limpahan rezeki daripada Allah, bukan manusia saja yang menikmatinya. Ular, biawak, tupai, tikus dan musang berkunjung mahu berkongsi jua.
Walaupun kami sudah jadi 'orang darat', bekala air segar dan bersih tidak pernah terputus. Maksudnya, pada waktu itu tidak ada keperluan untuk 'membeli air'! Dua sumber bekalan air kami. Satunya yang lazim - perigi (atau sedap lagi disebut telaga). Air dipam dari telaga ke tangki untuk kegunaan serba-serbi. Cuma selalunya saya lebih gemar mandi di telaga, dan tentu dengan timba yang dibuat bisa saja dibuat sendiri! Satu lagi, bekalan sampingan (simpanan), ialah kaedah air disedut dari tanah menggunakan kaedah 'Boreng'. Pam elektrik digunakan untuk menyedut air melalui sebatang paip yang dicucuk kira-kira 20 kaki ke dalam tanah. Seorang ipar saya - Pok Heng (seorang guru kemahiran hidup) - memang handal betul memasang peralatan untuk menyedut air dengan kaedah yang dipanggil BORENG ini. Kalaulah Pok Heng Si Tukang Boreng ada di kawasan kediaman saya waktu ini, tentu saya cadangkan kaedah boreng digunakan untuk bekalan air kami. Cuma tidak tahu pula saya kalau si tukang boreng boleh mencari air di kawasan perumahan yang 'tanahnya' terdiri daripada timbunan segala macam sisa - konkrit, sampah-sarap, kayu dan entah apa-apa lagi. Mungkin Pok Heng Si Tukang Boreng tidak sanggup mencucuk tanah di sini untuk mencari air. Takut-takut peralatannya rosak dan lelah saja yang diperoleh. Lantas, untuk kami orang sungai yang jadi orang darat, kemudian jadi pula orang 'bandar', cukup sekadar bergantung kepada berbotol-botol air mineral dan lori tangki SYABAS apabila kekeringan air! permisi dulu. wassalam.
Jumaat, 3 Jun 2011
MAAF BANYAK-BANYAK, JANGAN MARI RUMAH SAYA!
Suatu malam, minggu ini. Dikhabarkan dalam Berita TV takungan air SYABAS sedang dibersihkan. Maka terganggulah bekalan di beberapa kawasan di Selangor. Seperti biasa, menonton bencana atau kesusahan orang lain di kaca tv, rasa kesian memang ada, tapi berapa tohor dan dalamnya belum tentu. Kita selalu ingat yang ditonton itu adalah suatu episod daripada 'drama kehidupan'. Barangkali kerana terlalu banyak menonton drama, maka batas fantasi dengan realiti sudah jadi rojak, bercampur-gaul, tetapi tetap terasa duka dan sukanya, sedap dan masamnya! Begitulah, apabila menonton siaran tentang ketiadaan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor, tidak terduga sama sekali, itu termasuklah Bangi dan Kajang. Waduh, sudah masuk kawasan saya itu! Pagi esoknya, balik dari pasar, Neney (anak yang bongsu) teruja amat memberitau: "Ayah, air tak ada. Bibik tak boleh masak. Nak gosok gigi pun tak boleh!" Ugh, tanpa ribut taufan, bencana sudah datang! Segera saya dan Syai (anak sulung) ke kedai runcit berhampiran Masjid Sungai Ramal Dalam. Beli air mineral satu dozen, total harga tiga belas ringgit lima puluh sen. Itu guna nantinya untuk basuh tangan, membersihkan itu dan ini ketika di dalam tandas. Tentunya untuk air minum juga. Banyak tu. Besar harganya. Banyak sekali jika dibandingkan dengan bil air bulanan rumah saya purata RM1.80 (kalau tak percaya saya ejakan: satu ringgit dan lapan puluh sen mata wang Malaysia!). Bil air sikit kerana dapat subsidi!
Ketika rehat-rehat di ruang tamu sambil membelek akhbar, dapat panggilan telefon. Ilya(adik bongsu saya, kerja di sebuah resort di Kijal), memberitau dia dalam perjalanan. Sudah masuk Gombak. Alamak, bibik belum masak! Memang tak boleh nak masak. Air tak ada. Saya bersama Syai bergegas ke Restoran Ghazali, jual beryani gam paling sedap di Bangi! Dalam perjalanan balik, terima lagi satu panggilan. Mizi (adik ipar, penyokong setia Liverpool) bersama keluarganya sudah berada di puncak Tanah Tinggi Genting. Mahu bersukaria di taman tema, kemudian esoknya mahu segera berkunjung dan bermalam di rumah saya. MasyaAllah, situasi sudah jadi runcing kalau begini. Bantuan air dari SYABAS belum tiba. Mizi dan famili totalnya lapan orang. Wah, ribut sudah mula melanda ni! Saya dail semula dan memberitau dengan penuh dukacita: "Minta maaf banyak-banyak, jangan datang dulu ke rumah saya. Air tak ada. Bersukaria dululah di puncak Tanah Tinggi Genting!" ok. cut. kita permisi. bisa ketemu di episod kedua. macam drama dalam televisyen! boleh tatap dulu dua foto mangsa kekeringan air. anggap sebagai iklan!Wassalam
Langgan:
Catatan (Atom)