Karya

Karya

Jumaat, 24 Jun 2011

MEMORI HAJI 2010: "REBAH DI HIJIR ISMAIL"



Salam Jumaat. Hari ini ingatan terasa sangat kuat menggambarkan semula beberapa peristiwa ketika menunaikan Haji tahun lepas (1431H). Peristiwa yang diperturunkan di sini, memang sangat memberi makna kepada saya. Sangat bermakna.
Ahad, 31 Oktober 2010. Jam dua pagi. Yang Tersayang telefon dari lobi, katanya sudah sepuluh minit dia menunggu. Dia seorang sahaja, tambahnya lagi. MasyaAllah. Saya sudah berjanji akan bangun jam satu setengah. Apabila Azmi (teman sebilik, seorang perunding IT) kejutkan, rasa sedap sungguh kalau boleh terus bergolek di bawah selimut. Kepala terasa amat berat penangan pil selsema dan ubat batuk yang diteguk ketika terjaga jam dua belas.
Kerana janji, selesa di atas katil perlu ditinggalkan segera. Hampir setengah jam barulah saya sampai ke lif. Tidak mandi kerana awal pagi sangat. Begitulah keadaan saya di sini, kadang-kadang tidak mandi sampai tiga hari. Sebenarnya, sudah tidak hirau soal mandi lagi. Yang penting berus gigi dan tukar baju atau jubah baru kering yang dilipat sahaja tidak diseterika. Jimat. Kalau upah seterika tiga rial.
Awal pagi ini saya mengenakan jaket yang banyak poket. Di dalamnya kurma ajwa tiga butir, kuih kurma campur buah tin tiga bungkus plastik kecil, ubat-ubatan untuk diambil semasa sarapan, telefon mobil, dompet, kad pengenalan haji, spekmata, dua buah buku kecil besar (koleksi surah-surah pilihan, buku zikir dan Yaasin) serta topeng spare tiga pasang. Semuanya boleh dimasukkan dalam jaket ini yang mempunyai enam poket kecil besar.
Ketika sampai di lobi ingat mahu naik van sahaja, tetapi pemuda arab pemandu van menyebut dengan cepat “haram, jalen ka!” (maksudnya: ke masjidil haram jalan kaki!) Bagus sungguh bahasa Melayunya. Rupa-rupanya tiga empat buah van warna putih yang parkir di depan lobi hotel hanya mahu menerima jemaah yang mahu ke Tanaim untuk melakukan niat umrah. Tanaim merupakan miqat terdekat dengan Hotel Janadriyah, kira-kira dalam 5km sahaja, tetapi menaiki van jadinya sepuluh kilometer. Bayaran sepuluh rial satu kepala untuk tambang dari Hotel Janadriyah ke Masjid Tanaim kemudian patah balik ke Masjidilharam.
Van biasanya akan berhenti tidak jauh dari perpustakaan awam yang didirikan atas tapak rumah maulid junjungan besar Muhammad SAW. Jemaah akan berjalan kaki kira-kira dua ratus meter melalui jejantas memasuki MasjidilHaram melalui pintu masaie bukit Marwah atau memilih untuk masuk mengikut jalan bawah, turun menggunakan eskalator melepasi pintu gerbang tandas lelaki dan perempuan, kemudian memasuki gerbang Babussalam.
Pagi itu, menapak di jalanraya yang hampir-hampir tiada kenderaan itu santai sekali. Tiada riuh peniaga kedai di bangunan lama dan baru yang selaluinya riuh menyapa: “haji, hajjah murah!murah!” Ketika melalui kedai menjual beg, Yang Tersayang menyapa, “dibiarkan tergantung begitu sahaja. Tak ada orang nak curi ke?”
Saya tidak menyahut. Namun begitu, dalam hati menjawab jua, “Curi? Siapa berani? Potong tangan baru tau!”
Lagipun tak mungkin jemaah terfikir mahu mencuri apa-apa di mana-mana kedai pun. Wukuf sudah hampir. Tinggal 15 hari lagi. Jika ditahan kerana mencuri, alamatnya tak buat hajilah, meringkuk dalam penjara atau dihantar pulang. Kes aniaya diri sendiri ini!
Saya lepaskan soalan Yang Tersayang mati begitu saja dalam bening pagi kerana konsentrasi hanya mahu berjalan cepat untuk lekas-lekas sampai di Masjidilharam. Mahu melakukan tawaf sunat. Sudah hampir seminggu tidak melakukannya kerana selsema, demam dan batuk.
Seperti biasa, kami melalui pintu Bukit Marwah. Bubuh kasut dalam plastik, dan ikat di gril jendela sambil berdoa “bismilllah hitawakkal tu alaLLah walahawlawalakuwataillah biLLah hil alimil azim.” Selepas separuh berjalan di masaie, saya berhenti mengambil dua gelas air zam-zam. Satu untuk saya dan satu lagi untuk Yang Tersayang. Mohon doa minta dikekalkan wuduk hingga selesai beribadat di masjid agung ini, dan kembali semula ke hotel.
Kami menuruni tangga pintu nombor 43, laluan jalan kaki bahagian tengah masih terlalu lega, tetapi kelihatan jemaah yang tawaf sudah melewati garis bulatan tempat biasanya untuk solat. Sebahagian kecil sahaja tinggal untuk solat. Kira-kira hanya untuk lima enam saf sahaja. Yang sedang tawaf - ribuan manusia pelbagai bangsa dan warna kulit, lelaki perempuan dengan pakaian ihram, jubah, bahkan ada yang berpakaian baju batik celananya warna cerah (boleh diteka mereka kumpulan jemaah dari tanah seberang, pak!).
Ketika Yang Tersayang sedang berdoa di sudut mula tawaf, saya memerhati pergerakan jemaah yang tawaf untuk menyusup ke dalam ribuan insan yang mahu mencapai keredhaan Yang Esa. Memang sudah dipersetujui dari awal, sejak di Madinah lagi, apabila melangkah ke pintu masjid, kami akan berpisah, dengan janji akan bertemu jam tujuh setengah pagi selepas solat Subuh, yang biasanya bermula jam lima pagi. Lima setengah selesai solat Subuh dan solat jenazah. Maka akan ada dua jam untuk berbuat apa sahaja - solat sunat, tawaf lagi atau mengaji sahaja. Di Madinah lebih mudah kerana ada pintu khusus untuk jemaah wanita. Tetapi di Mekah sukar mahu dilakukan sebegitu kerana selesai tawaf jemaah boleh memilih untuk ke Hijir Ismail, mengucup hajar aswad atau solat sunat di belakang Makam Ibrahim atau terus keluar dari medan tawaf masuk ke ruang solat masjid agung ini.
Tawaf kali ini rasanya lebih menyelesakan daripada sewaktu umrah semalam kerana badan dalam kondisi lebih baik. Hingus sudah kering dan batuk tidak galak, kejang urat dan tegang otot tiada lagi. Rehat cukup, tidur pukul sembilan malam. Zohor, Asar, Maghrib dan Isya bersolat di Masjid Syeikh Khalil Tholaqi. Lantas kali ini tidak diletihkan oleh terik mentari yang mengeringkan kulit kepala.
Setengah jam saya selesai tawaf, dan keseluruhan pusingan terakhir saya membaca ayat seribu dinar sebagaimana yang dipesan oleh Kak Ara (guru saya ini sudah dua belas musim menjadi pembimbing haji dengan LUTH). Ketika akan melepasi sudut batu hitam dari syurga yang menjadi dambaan seluruh umat Islam global, saya memasang niat dan berdoa minta Allah melapangkan jalan kepada saya untuk berdoa di Hijir Ismail.
Selepas dapat mengucup hajaraswad pada hari ketiga di Kota Suci Mekah, saya tidak menghampiri Hijir Ismail lagi kerana kondisi badan tidak mengizinkan dan khuatir melihat kesesakan yang berlaku di kawasan yang menjadi rebutan selain hajaraswad.
Dengan agak mudah saya masuk mengiring, bering makin disempitkan untuk sampai ke tembok Hijir Ismail. Tiada sebarang masalah ketika saya menyusuri tembok diselaputi marmar putih setinggi lima kaki itu. Cuma apabila sampai ke hujung tembok, merupakan ruang masuk ke situ, himpitan dan tolakan keras mula terasa. Seorang lelaki kulit hitam bercakap kasar sekali memarahi seorang Arab yang berasakan di belakangnya. Lelaki kulit putih berpakain ihram itu memberikan isyarat dengan tangannya digoyangkan ke belakang, petanda dia dihindik oleh jemaah lain bukan tujuannya mahu menghimpit atau menolak dengan kasar. Saya nampak polis yang berjaga di situ tidak berbuat apa-apa. Situasi sudah di luar kawalan kerana jemaah berebut-rebut habis tenaga dan ikhtiar untuk bersolat di dalam binaan melengkung huruf ‘U’ yang merupakan sebahagian rumah Allah itu. Satu daripada tempat yang dipercayai dan diyakini mustajab untuk berdoa.
Saya menggagahi diri dan mengikut asakan dan himpitan dari belakang. Seorang jemaah entah bangsa apa sedang cuba rukuk dalam kesesakan teruk itu, dan berpusinglah rukuknya ke kiri dan kanan mengikut asakan kuat dari pelbagai arah. Malahan dia dimarahi jemaah lain kerana solat pada ketika orang lain cuba masuk untuk berdoa. Ralit melihat orang yang terpesong rukuknya dan orang yang sedang berang kerana dihalangi, saya terleka dan tidak menyedari rupa-rupanya di depan saya seorang jemaah wanita sudahpun sujud! Akibat tolakan dan himpitan makin kuat, lulut saya tersadung bahu wanita berkenaan, saya terus hilang imbangan dann rebah di atas belakangnya! MasyaAllah, lapan puluh kilogram beratnya seorang lelaki Melayu menghempap belakang wanita berkenaan. Saya terasa ada tangan segera menarik saya bangun. Tidak tahu saya apa rasanya wanita itu dihenyak begitu. Saya tidak sempat meminta maaf pun kerana amat bersyukur ada orang lain yang tidak saya nampak rupa dan tubuhnya menyelamatkan saya. Ketika cuba mengimbangi badan untuk mencari posisi lebih baik (keselesaan bukan lagi tujuan, hanya mahu berdiri dan menadah doa kepada Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Pengasih), baru sahaja mengucapkan kepala doa, rempuhan lebih kuat melanggar bahu kanan saya. Kali ini pada kali saya tewas lagi. Tersungkur ke depan pula.
Dalam kepala sudah terlintas: apakah akan mati aku kali ini dipijak kaki yang tidak kenal belas ehsan kerana hanya mahu berdoa kepada Allah? Segera teringat khabar angin mengatakan betapa kemarin seorang jemaah haji Malaysia telah pergi ke alam baqa selepas dikatakan rebah di depan Kaabah! Ya Tuhanku, ampunlah aku! Aku belum mahu mati! Aku belum cukup persediaan untuk meninggalkan alam yang fana!
Kali ini tiada tangan yang membantu. Tiada Turkiye dan tiada Bangladeshi (seperti ketika saya bergelut untuk mendapat saf solat paling hampir dengan Kaabah. Tapi itu kita cerita lain kali!)
Saya bangun sendiri, dan mendapati tersedia ruang lapang mendepani cukup untuk tiga empat orang lagi berdiri di situ. dan dinding Kaabah hanya sedepa sahaja! Datang bisikan desak melencongkan nawaitu supaya saya solat sahaja kerana ruang yang terbuka dan selesa itu. Bisikan itu saya tidak endahkan. Pengalaman di Madinah cukup memberikan ingatan dan amaran. Jangan ubah niat dan hasrat yang telah didoakan kepada Yang Maha Esa! Kalau mahu berdoa, itulah yang dibuat. Jangan nak melencong mahu bersolat pula.
Saya sempat berdoa agak lama. Tidak panjang, tetapi ungkapan serupa yang diulang-ulangi. Entah kenapa, air jernih segera terkumpul di bibir mata, dan turun deras melepasi dagu.

Permisi. Kita ketemu lagi. Bisa disambung di lain pertemuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan