Karya

Karya

Khamis, 30 Jun 2011

MEMORI HAJI 2010: "Nikmatnya Tamar Bersalut Mayonis!"




Maghrib, Khamis 28 Oktober.

Saya tidak berpeluang solat di tepi pagar yang memisahkan kawasan solat dengan lorong tawaf di tingkat satu. Bahagian solat melepasi pintu tawaf ini berdekatan dengan pintu menara Raja Abdul Aziz. Di sini, jika dapat solat betul-betul dekat dengan pagar besi itu, akan jelas kelihatan rumah Allah yang kudus dikelilingi hambaNya yang tawaf seolah-olah tanpa henti dan tanpa jemu bersilih-ganti.
Dari sudut yang saya duduki di tingkat satu ini, jemaah yang solat akan menghadap bahagian belakang pintu Kaabah, mendepani dinding di antara Rukun Syami dengan Rukun Yemeni. Walaupun tiada dalam pandangan pancur emas, pintu Kaabah, multazam atau hajaraswad, aura kudus baitulAllah tetap terasa. Dan apabila berdiri takbirratulIhram atau kembali tegak daripada sujud, sekilas akan terpandang Kaabah, dan terasa sekali kudus dan syahdu walaupun sesekali-sekali ada melintas jemaah yang tawaf (sebahagiannya berkerusi roda) di lorong yang mendepani. Walaupun berada hingga lima enam saf ke belakang pun, sewaktu duduk dan berdoa, bumbung Kaabah masih dalam pandangan mata. Syahdu sekali.
Tapi amalan saya di Kota Suci sini, apabila ingin berdoa (untuk diri sendiri atau memenuhi pesanan sahabat-handai) memohon sesuatu yang khusus, dan kerana kesesakan di medan tawaf, saya akan berdoa sambil memegang pagar ruangan tawaf di tingkat satu ini. Rasa tersentuh kalbu ketika memanjatkan doa kehadrat Ilahi, rumahAllah betul-betul tersergam rumah Allah di depan mata.
Maghrib hari ini, tiada peluang dan upaya langsung untuk saya bersolat, berzikir dan berdoa berhampiran pagar tawaf di tingkat satu. Bunga-bunga ketidakupayaan itu sudah dirasai ketika melalui masaei lagi, Jemaah sudah ramai. Dua-dua bahagian yang menghala ke arah Safa dan Marwah sudah menjadi lorong sehala. Manakala ruangan untuk kerusi roda manual dan automatik sudah agak kacau lalu-lalangnya kerana jemaah yang mahu ke medan solat bercampur dan menyonsang arus dengan jemaah yang melakukan saie.
Melepasi tempat air zam-zam yang terbina di dinding, saya segera memasuki ruang yang marmarnya putih belaka, tiada berniat pun untuk mencari tempat berhampiran pagar tawaf. Di ruang marmar serba putih ini, letaknya agak jauh ke belakang, tidak terlihat langsung Kaabah atau orang berlalu-lalang melakukan tawaf. Tapi kawasan ini amat selesa sekali jika mahu solat, zikir, berdoa dan mengaji kerana berhawa dingin sepenuhnya. Setakat yang saya tahu, di sini satu-satunya kawasan yang berkedaan begitu dalam MasjidilHaram. Barangkali itulah sebab utama jadilah juga ia tempat jemaah lelaki dan perempuan bersantai dan tidur ketika sudah mahu rehatkan otot dan otak sementara menunggu masuk solat Isya’ (dalam kes malam itu).
Saya mengintai tempat yang sesuai, tidak terlalu ke depan dan terkebelakang. Saya duduk di suatu ruang berhampiran tiang yang terpasang corong menyembur hawa yang dingin. Nyaman sekali. Di antara saya dengan tiang besar itu terbentang sejadah warna kemerahan. Ada igal dan satu beg plastik entah apa isinya, tersandar di pangkal tiang.
Kerana masih ada setengah jam lagi sebelum masuk Maghrib, saya membaca al-mathuraat. Dalam ralit membaca zikir susunan as-sahid Hasan al-Banna itu, saya perasan ada seorang jemaah ralit juga memerhatikan saya. Selesai membaca doa rabitah, saya melihat sekilas, Nampak dari rupa paras umpama orang Tibet. Sedang saya santai menunggu azan Maghrib, datang seorang lelaki Arab membawa tiga gelas plastik berisi air zam-zam. Tanpa menyapa, di sebelah kirinya saya, di sebelah kanannya tiang besar marmar putih. Arab yang memakai jubah putih dan serban merah putih ala Yasir Arafat, rupa-rupanya empunya sejadah yang terbentang sejak tadi.
Ketika mengemaskan duduknya, Arab berbadan besar dan tingginya kira-kira lima kaki sembilan inci itu mula mengeluarkan isi kandungan beg plastik yang tersandar di pangkal tiang. Saya ralit pula memerhatikannya. Satu persatu dikeluarkan dari beg itu macam seorang ahli silap mata mengeluarkan arnab dan bunga ros dari topi hitam yang panjang.
Mula-mula segulung plastik lutsinar yang dijadikan seperah. Lepas itu empat botol susu segar setinggi tiga inci yang diletakkan di empat penjuru plastik lut sinar (saya fikir untuk menahannya daripada ditiup hembusan kipas yang terpasang juga). Tiga gelas zam-zam di susun dalam satu baris. Kemudian keluar satu bekas makanan mengandungi kurma, diikuti pula botol bulat kecil terisi mayonis. Akhir sekali satu termos bekas air panas didudukkan di tengah-tengah dengan gelas kecil plastic warna hitam mengiringinya.
Saya mulai faham, Tok Arab ini berpuasa dan sedang bersedia untuk berbuka. Dengan apa yang dihidangkan, sekurang-kurangnya boleh berjamu lima orang dewasa. Saya tidak nampak pula tok Arab yang lain di sampingnya. Yang duduk paling hampir ialah lelaki Malaysia (saya tu!), di sebelah kiri saya, yang baru datang minta ruang ialah seorang pemuda kulit hitam. Di sebelahnya pula masih di situ lagi lelaki macam orang Tibet. Mendepani saya ialah orang India dan Afghanistan. Tiada orang Turki yang biasanya berkumpul ramai-ramai sesama mereka – membentuk petak Turkiye yang tersendiri, dengan baju biru cair dan seluar panjang cair (Azmi kawan sebilik saya kata macam seragam orang hospital sakit jiwa!).
Ketika azan berkemundang lelaki Arab berbadan besar hidung paruh burung kenyalang itu mencecah kurma ke dalam mayonis. Sedap sekali nampaknya, pecah dan tertelan liur dibuatnya. Cuma hairan saya masih belum terungkai: mana orang lain teman Arab ini yang mahu berjamu berbuka puasa dengannya? Sekurang-kurangnya, kalau ikut kiraan botol susu segar itu ialah empat orang, Kalau ikut kiraan jumlah gelas plastik berisi air suci zam-zam, maka totalnya enam orang.
Saya perasan betapa pemuda Afrika itu sama-sama ralit macam saya memerhati lelaki Arab berbuka puasa. Kali ketiga dia mencecah kurma segar ke dalam botol mayonis yang masih banyak isinya, saya terkedu. Kerana kali ini kurma yang jadi putih separuh diselaputi mayonis itu dihulurkan kepada saya!
Entah apa yang dituturkan Tok Arab itu (yang berjambang dan berkumis, walaupun agak lebar wajahnya, masih ternampak kacak orangnya), saya tidak mengerti. Dia tersenyum, dan menuturkan sesuatu yang saya ambil tafsir dengan agakan: dia ikhlas untuk memberikannya kepada saya. Mula-mulanya teragak-agak juga mahu menerima kurma bersalut mayonis yang pecah liur dibuatnya, Pertama tak tahu sama ada itu ajak-ajak ayam atau real. Keduanya, saya tidak mahu membuka topeng penudung mulut yang bukan sahaja menjadi menghadang batuk dan bersin tersembur ke arah juadah penuh nikmat Tok Arab itu berjamu, tetapi topeng itu sudah jadi tisu yang menekup hingus daripada meleleh.
Saya berasa air hingusan sudah mula menebusinya dan mungkin Tok Arab itu juga menyedarinya. Kerana nampak kesungguhan dalam pelawaannya, daripada air mukanya yang manis dan matanya yang tampak begitu ikhlas, saya buka topeng, segera memamah tamar segar dicecah mayonis. Wah, lazat sungguh!
Pemuda Afrika yang duduk di sebelah saya terjenguk-jenguk, dan gerak badannya memberikan isyarat kepada Tok Arab itu supaya bermurah hati menghulurkan tamar bersalut mayonis kepadanya jua. Rupa-rupanya pemuda Afrika itu boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih. Kemudian teori domino pun terjadi. Lelaki tua bangsa India (berjanggut putih berbadan kurus) yang dari tadinya hanya menjeling dari saf depan saya makin kerap jelingannya kepada Tok Arab itu. Dan isyarat yang diberikan (jelingan dan gerak badan) difahami jua Tok Arab yang baik hati. Maka kurma bersalut mayonis, dan segelas air zam-zam berpindah pula kepada lelaki India yang agak kurus itu!
Selepas itu, lelaki Afghanistan (di sebelah orang India yang kurus) dengan serban sebesar bakul mengalih hadap ke saf kami. Tok Arab yang baik hati cepat sungguh fahamnya. Maka lelaki Afghanistan serban sebakul mendapat habuan yang sama!
Ketika sudah bersedia untuk solat Maghrib, lelaki Arab yang budiman itu menghulurkan dua tamar biji tamar. Kali ini tidak bersalut mayonis. Saya tetap mengambilnya, dan menarik dua helai tisu dari kotak yang terletak berhampiran gelas air suci zam-zam. Saya bungkus kemas dan masukkan ke dalam poket jubah.
bisa bersambung…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan