(nota awal: Salam Ramadhan untuk kenalan di alam siber. Kali ini saya pos catatan sewaktu mastautin agak lama di England. Kerana kita di ambang bulan penuh kemuliaan itu, pos yang dipaparkan ini adalah pengalaman menyambut Ramadhan di Pulau Bekas Empayar itu. Moga kita beroleh manfaat daripadanya.)
PUKUL TIGA PETANG. HARI KEDUA RAMADHAN. Atas jemputan saudara Ahmad Daud, kami sekeluarga berkunjung ke rumahnya di Stafford. Satu daripada sembilan daerah yang terdapat dalam wilayah Staffordshire, Stafford terletak di antara Stoke-on-Trent dengan Birmingham. Jaraknya kira-kira 20km dari rumah kami di Cobridge. Di sini terdapat sebuah IPT, Staffordshire University (SU). Ahmad Daud asalnya dari Kota Singa, sedang mengaji PhD di universiti berkenaan dalam bidang ICT. Pemuda dari seberang Selat Tebrau ini mendapat ijazah sarjana daripada universiti yang sama. Atas kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam bidangnya, pengajian kedoktoran Ahmad ditaja SU. Isterinya bernama Fazidah. Pasangan sama molek ini punya dua anak lelaki - Ilias dan Irshad. Keluarga Ahmad menghuni di dalam kawasan kampus kerana di samping mengaji di SU, dia juga bertugas sebagai penyelia asrama.
Di kampus SU terdapat tujuh pelajar Melayu. Lima pemuda dari Malaysia dan sepasang teruna dara rakyat Brunei yang mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ICT. Enam daripadanya: Ali, Shamsul, Ariffin, Mohammad, Nizam dan Elfi (dua yang terakhir itu pemuda-pemudi Brunei) turut menghadiri majlis berbuka di rumah Ahmad Daud. Yang memenuhi undangan bersama keluarga masing-masing memakmurkan majlis ialah Dr Suhaimi dari Lancaster; Dr Azrif dari Manchester; Dr Salleh, Redzuan dan saya dari Stoke. Hadir sama ialah saudara Faizal, bio-chemist yang bekerja dengan syarikat British di Seoul; dan Zul Faisal anak bujangan, rambut gondrong, sudah punya tunang, yang kini bekerja di sebuah syarikat berasaskan ICT di sini.
Di ambang waktu berbuka, muncul Abdullah, mahasiswa dari Oman yang mengaji kejuruteraan. Campur semua itu (termasuk Ahmad Daud dan Fazidah), orang dewasa berjumlah dua puluh satu. Yang membawa ceria dan memeriahkan suasana ialah budak-budak kecil besar lelaki-perempuan seramai tiga belas (Ilias, Irshad, Syaimaa, Syakirah, Sakinah, Mustapha Akil, Muhaimin, Mustaqim, Izat, Azim, Sara, Aiman dan Imah).
Berbuka, berjemaah Maghrib, bertahlil dan bertarawih di common room yang boleh memuatkan seratus orang sekaligus, mewarnakan pertemuan itu persis suasana malam-malam Ramadhan yang lazim di Tanah Bonda. Segera meminggir rasa terpinggir di perantauan. Kemesraan yang terjalin dan kemeriahan yang hadir lantas merenjiskan kebahagiaan yang terasa ketika menyambut Ramadhan di surau, masjid dan rumah sanak-saudara, rakan-taulan di Kajang, Cheras, USJ, Bangi, Padang Paloh dan Pulau Musang.
Budak-budak dengan gelagatnya - berlari, berkejaran, menyepak bola, bergurauan, menangis, berkelahi, makan, bersolat, merengek, mengancum. Ceria dunia anak-anak yang mencampur-adukkan permainan dan kerja ibadat. Ah, kita sewaktu usia begitu, rasanya tidaklah begitu berbeza lakunya. Yang terasa sedikit kehilangan bagi anak-anak mungkin ketiadaan dentuman mercun yang menggamatkan persekitaran. Di sini bermain mercun - sebutlah jenis apa jua: bom, roket, papan, lidi - meriahnya ketika dua minggu sebelum malam Bonfire Night pada 5 November. Selepas tarikh itu, malam Musim Luruh di Cobridge sejuk-sepi.
Bagi anak-anak, berpuasa tidaklah menjadi masalah. Tidaklah letih lesu jadinya. Barangkali keadaan cuaca sekarang yang membuatkan mereka tidak begitu haus atau berasa terlalu lapar. Cuaca lazimnya mendung. Hujan turun tidak menentu masa dan harinya. Mentari yang memancar sesekali itu pula perit panasnya tidak terasa, terbungkus dek dingin dan sejuk Musim Luruh. Tambahan pula jangka waktu berpuasa tidak begitu panjang. Imsak bermula pukul enam setengah, Maghrib masuk pukul empat. Anak-anak pulang dari sekolah jam tiga lima belas petang, lantas mereka tidak menunggu lama untuk berbuka.
Empat hari sebelum mula Ramadhan, saya mendapat surat daripada Mr Orme, Head Teacher St Peter Primary School, Cobridge. Surat tersebut ditujukan secara umumnya kepada ibu bapa Muslim. Intipatinya meminta kepastian daripada ibu bapa sama ada memberikan kebenaran atau sebaliknya kepada anak-anak yang bersekolah di tahun empat, lima dan enam berpuasa sepanjang Ramadhan. Pihak sekolah menyatakan, murid-murid yang berpuasa akan ditempatkan dalam kelas berasingan sewaktu makan tengah hari, memberikan peluang mereka berehat dan bersembahyang. Surat itu disertai keratan untuk dijawab oleh ibu bapa.
Maksudnya, dengan memberikan ‘kebenaran berpuasa’ dan menurunkan tanda tangan di keratan berkenaan, maka ia akan mengesahkan ‘kepuasaan’ anak-anak semasa di sekolah. Jika tiada jawapan daripada ibu bapa, dan didapati anak-anak berpuasa dalam waktu persekolahan, maka menjadi suatu kesalahanlah ‘perlakuan’ itu. Puasanya ‘tidak sah’ kerana tidak mendapat kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Ah, kerja ibadah pun mahu ada hitam putihnya!
JAM EMPAT. MASUK MAGHRIB. Kami berbuka dengan juadah yang enak sekali. Fazidah menyediakan lontong dengan kuah kuning bersama nasi himpit diiringi sambal kacang, sambal tumis sotong kering, dan masak merah daging kambing. Sebagai pembuka selera, kami dijamu bubur lambuk Kota Singa. Noni (isteri Dr Salleh) bawa anggur hijau tanpa biji, yang segar bugar tak relai dari tangkai, penuh dua mangkuk besar. Norjan (isteri Redzuan) bawa lazania yang begitu sedap baunya, lazat pula rasanya. Manakala yang tersayang menyediakan ayam goreng ala KFC dan donut. Abdullah dari Oman tidak ketinggalan, turut menyumbang kek black forest bersaiz besar. Mahasiswa dari Oman ini nampaknya begitu selesa dalam majlis hari itu, dan terusan bersama kami berbuka, berjemaah Maghrib, bertarawih dan bertahlil - tidak jemu dia terlibat hingga ke hujungnya.
Atas permintaan sebahagian tetamu lelaki, termasuklah saya, yang dah lama kemaruk, sebaik selepas bertarawikh, Ahmad Daud dan Fazidah ‘terpaksalah’ pula menyediakan minuman istimewa yang ditunggu-tunggu sekian lama - teh tarik! Ummph sekali rasanya. Menjadi pemangkin perbualan yang tanpa tepi dan tanpa tajuk menyentuh pelbagai hal, sambil mengunyah punch buah-buahan bercampur-campur, dan sesekali mengulangi meja panjang yang terhidang di atasnya juadah yang masih berbaki.
JAM SEMBILAN. Kerancakan berbual mulai reda. Budak-budak ada yang terlena, ada yang merengek tiada punca dan tanpa mahu; sang isteri mula meminggir ke dapur; budak-budak yang besar sedikit, yang sudah boleh diharap, mengangkat pinggan mangkuk menyusul ibu-ibu; sang suami dan orang-orang muda bujangan mengemaskan common room, kembali mengatur kerusi meja ke tempat asal.
PUKUL SEPULUH. Perpisahan pun bermula. Masing-masing memberi janji akan ketemu kembali. Dr Suhaimi sudah menghebahkan jemputan berbuka puasa di rumahnya di Lancaster pada sembilan Ramadhan, dan kami pula sudah tempah minggu terakhir puasa untuk majlis di Cobridge. Yang tersayang dah berkira-kira mahu sediakan nasi dagang, acar timun campur lobak, masak merah ikan mackerel, dan balti kambing. Uh, siang-siang sudah pecah liur dibuatnya!
Pada Sabtu itu, kami ke Stafford menaiki keretapi. Inilah pengalaman pertama kami menggunakan servisnya di sini. Keretapi yang punya sembilan gerabak itu bentuknya saling tak tumpah macam Komuter, bergerak guna kuasa elektrik voltan tinggi. Warna kepalanya kuning, di gerabaknya yang dicat berselang hitam dan merah tertulis besar dalam warna putih perkataan Virgin - keretapi Anak Dara!
Perjalanannya lancar dan selesa, melalui kawasan hijau pinggir ladang ternakan biri-biri dan lembu. Servisnya pula ditandai kemesraan dan keramahan yang berterusan, bermula dari kaunter tiket sampai ke masa pemeriksaan ketika dalam gerabak. Tiada kerenah, tiada kesulitan apa-apa. Tiba dan sampainya pula tepat sebagaimana terjadual. Anak-anak begitu riang sepanjang perjalanan, dapat menaiki Virgin Train yang mereka selalu nonton iklannya di kaca TV.
Ketika pulang dari Stafford kami tersilap naik keretapi ke Manchester yang melalui Crewe. Terlajak kira-kira lima belas minit dari stesen Stoke. Setelah mencongak kos dan masa, kami mengambil keputusan menunggu keretapi dari Manchester ke Birmingham. Anak-anak seronok bukan main kerana dapat makan dan minum di kafeteria stesen Crewe. Sedang kami bersambil lewa di kafetaria, ternampaklah dua tiga orang penumpang yang bersama kami dalam keretapi dari Stafford, rupa-rupa mereka juga tersilap macam kami juga. Seorang gadis Pakistan masuk ke kafetaria, menegur dan berbual sebentar dengan yang tersayang. Dia nampak marah-marah. Katanya, jika dikenakan caj tambahan dia tidak akan membayar apa-apa kerana bukan kesilapannya. Dia menyalahkan steward stesen yang memberikan maklumat yang tidak betul.
Dari meja kami yang hampir dengan dinding kafeteria yang separuhnya cermin, tertonton bermacam laku manusia di stesen. Ada yang begitu tergesa-gesa, ada yang mundar-mandir, ada yang menyanyi dan ketawa dengan kuat tanpa menghiraukan orang lain. Terlihat juga beberapa anak muda berjersi pasukan Syaitan Merah yang bergurau senda sesama mereka. Ah, hari ini Sabtu, hari bola! Baru saya teringat di Old Trafford 'Syaitan Merah' menyambut kedatangan Sang Musang dari Leicester.
Dalam duduk menunggu, hirup jus, kunyah biskut sambil memerhati gelagat manusia di stesen, saya terpandang dua gadis -saya tak pasti jersi pasukan yang dipakainya - menyanyi dengan nada tinggi, melengguk-lengguk menari tanpa rentak tentu, bergurauan tolak-menolak, kemudiannnya berhenti di anak tangga. Dengan tiba-tiba tanpa menghiraukan sekitarnya, yang tinggi lampai berambut perang merungkai tali pinggangnya, ditarik zipnya, lantas terlondeh seluarnya sampai paras separuh paha. Macam kemabukan, sambil ketawa, si rambut perang menari-nari cacamarba dan menyanyi tidak tentu butir. Beberapa minit kemudian, barangkali otak sudah kembali waras, dikenakan semula zip seluar dan tali pinggangnya, kemudian berlumba-lumba melompati anak tangga bersama temannya dalam hilai ketawa yang kuat dan panjang.
Saya dan anak-anak terkebil-kebil, berpandangan sesama sendiri. Tiada reti mahu bicara apa-apa!
Yang kita reti, lazimnya di bulan Ramadhan al-Mubarak, syaitan-syaitan dibelenggu. Yang lagaknya tak senonoh di stesen Crewe ini, barangkali yang masih belum dirantai lagi.
“Evil has no holy months!” Begitulah reaksi George Bush kepada usul diberhentikan pengeboman di Afghanistan atas alasan menghormati kesucian Ramadhan.
Benar sungguh kenyataannya. Betul sekali kata-kata Sang Presiden, jika gelagat tanpa malu gadis di stesen itulah yang dijadikan ukuran!
PUKUL SEBELAS. Dalam perjalanan pulang, ketika tiket diperiksa, kami cuba menjelaskan perihal tersalah naik keretapi. Bukan sahaja kami tidak perlu membayar caj tambahan, pemeriksa tiket sambil menguntumkan senyum, dengan ramah menyebut ringkas, “No Problem!” Ah, bagus sekali servis Anak Dara ini!
SUDAH SEBELAS SETENGAH. Kami sampai di rumah. Anak-anak bergegas ke tingkat atas, mahu segera merebahkan keletihan di katil. Yang tersayang melayani si kecil yang mahu didodoi. Saya santai di ruang tamu, sempat menonton baki The Premiership di ITV1. Manchester membolosi gol Leicester dua kali. Yang ditonjolkan dan diulang tayang - gelagat Barthez bercanda di tiang gol ketika sepakan penalti diambil oleh pemain Leicester.
DETIK DUA BELAS MALAM. Mula mengetik di keyboard. Menderaf paragraf pertama yang jadi penyudah akhirnya: "Pertemuan waris-warah di Stafford, walaupun begitu singkat tetapi terbenih kemesraan yang menjalin ukhuwah. Teringat akan buku A Passion For Success karya Inamori, yang menyentuh tentang pertemuan yang singkat tetapi amat bermakna, membenih kasih sayang yang terkembang mekar kelopaknya. Pertemuan di Stafford, mengikat simpulan kasih waris-warah, atas keikhlasan hati dan keluhuran budi, di bulan suci penuh keberkatan - Ramadhan al-Mubarak".
Permisi. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan