Karya

Karya

Ahad, 10 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “Mahu cakap direct dengan Tuhan?”


Di Kota Suci Madinah, tiada tempat lain yang menjadi dombaan jemaah selain Masjid Nabawi. Di dalam masjid yang terkemuka ini, tiada kawasan lain yang menjadi perebutan nombor wahid kecuali Raudhah. Dan kita semua tahu tentang sebuah hadis yang masyhur, membawa maksud jika menziarah makam Rasul Allah di dalam masjid ini, seola-olah menziarah Baginda ketika hidupnya! Manakala di Kota Suci Mekah pula, tiada yang paling afdhal untuk bersolat, kecuali MasjidilHaram. Yang paling menjadi rebutan: tentulah mencium hajaraswad selepas menyelesaikan tawaf. Kota yang tersohor, terbina simbol kesucian dan keagungan Islam.
Cuma ketika 46 hari terpilih menjadi tetamu Yang Maha Esa, beribadat di kedua-dua Kota Suci tersebut, terjentik jua musykil dalam kepala saya: Apakah orang kita benar-benar menghormati binaan-binaan yang termasyhur itu?
Saya perhatikan, betapa kecanggihan teknologi menjadikan sebahagian daripada kita tidak punyai kesantunan lagi. Kesucian rumah ibadah yang terkemuka itu seolah-olah langsung tidak dihormati. Cuba kita fikir-fikir tentang ini:-
1. Ketika duduk-duduk berzikir di tingkat satu MasjidilHaram, saya dikejutkan seorang jemaah (nampak tanda tertulis di baju dan fizikalnya orang Afghan) yang bercakap kuat melalui telefon hingga sebahagian besar orang lain di situ berpaling kepadanya.
2. Sewaktu tawaf, saya berselisih dengan beberapa jemaah yang seronok sungguh berbual menggunakan telefon.
3. Ketika orang lain berlumbaan mahu ibadat di dalam raudhah, ada jemaah menyibuk dengan telefonnya jua.
4. Sewaktu orang lain dengan sopan
mahu masuk barisan menziarah Makam Rasul, ada jemaah sudah tidak boleh sabar-sabar lagi mahu berbual melalui telefonnya.
Tidak terhadang langsung, maka rasa dukacita dan hampa cepat meresap masuk ke dalam hati. Kerana pada fikiran saya, gelagat tidak sopan dalam rumah Allah ini hanya berlaku di Tanah Bonda saja.

Pengalaman sebelum menunaikan haji, saya pernah menyaksikan di ibu kota dan di Bangi, gelagat orang kita sewaktu di masjid:-

a. ketika rakaat kedua solat Asar, sewaktu rukuk, tiba-tiba muzik berbunyi entah daripada telefon siapa. Tiba-tiba lelaki selang seorang di sebelah kanan saya keluar daripada saf sewaktu iktidal. Kuat suaranya menjawab telefon, langsung berlalu keluar dari surau!
b. sewaktu duduk tahiyyat akhir Maghrib di sebuah masjid, nada dering beralun datang daripada seorang jemaah di saf paling depan. Sebaik selesai salam, pemuda di sebelah saya empunya telefon itu terus mengetik pad telefon. Serius sekali berbalas sms (perlakuannya itu menyebab saya menjenguk dua tiga kali ke telefon dia, sengaja mahu jadikan dia tidak selesa). Tok imam berwirid selang dua langkah daripadanya tidak dihiraukan. Apabila tamat doa, pemuda itu berpaling dan menghulurkan salam kepada saya. Tersinggung saya, kerana bersalaman berlapikkan telefonnya!
c. di waktu yang lain, ketika solat Jumaat. Dari mula khutbah hingga akhir doa khutbah kedua, seorang remaja asyik sungguh berbalas-balas sms entah dengan siapa.

Saya pernah menyertai bengkel Pembangunan Modal Insan. Pesertanya Muslim belaka. Penceramahnya seorang India bukan Islam. Sebelum memulakan bicaranya, sambil meletakkan speknya di atas meja, penceramah berkenaan berpesan: “Tolong matikan telefon bimbit. Saya tidak mahu kelas saya diganggu bunyi telefon dan apa-apa gegar. Ini kelas untuk tuntut ilmu. Serius. Kalau mahu main-main, jangan tunggu lagi. Jangan masuk kelas saya. Kelas ini bukan bengkel telefon!”
Reaksi peserta pelbagai. Ada yang buak dok, dan hanya menconteng di buku nota. Ada yang hanya duduk menyenggeng semacam menilai kredibiliti penceramah. Ada yang asyik menggaru hidung dan telinga. Ada yang diam-diam memasukkan tangan ke dalam beg dan mematikan telefon. Ada juga yang hanya tersenyum kambing. Seolah-olah teguran itu untuk orang lain. Ada yang saling berpalingan dan mengangkat kening sesama rakan.
Penceramah tersenyum entah kenapa. Dia menyambung: “Kawan saya, seorang pensyarah IPTA ada beritau: Sekarang, mahasiswa tidak peduli tempat guna telefon. Dia pernah halau seorang siswa kerana asyik bercakap telefon ketika kawan saya itu memberikan kuliah. Bahkan, katanya lagi, pensyarah pun ada yang jawab telefon ketika beri kuliah. Yang lebih teruk, ketika orang lain sedang tunggu masuk waktu sembahyang di masjid universiti, ada segelintir yang berbual-bual melalui telefon sambil baring-baring dalam masjid!”

Kali ini para peserta mulai soksek-soksek macam lalat dan tebuan.Keluhan dan ketawa kecil bercampur-campur.
Penceramah itu tersengih. Dia menambah lagi: “Hairan sungguh orang sekarang. Dalam masjid, tempat ibadat pun mahu guna telefon. Apa, dia ingat boleh cakap direct dengan Tuhan?”
Permisi. Wassalam.

foto 1&2: gelagat jemaah menggunakan telefon di Raudhah.
foto 3: peringatan dan larangan yang tertampal di dinding masjid di Tanah Bonda, semacam menjadi suruhan: tolong guna telefon ketika di dalam masjid!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan