Karya

Karya

Selasa, 12 Julai 2011

“DEMONSTRASI JALANAN KERANA MUSANG!”

Sewaktu mastautin di UK kira-kira empat tahun setengah (pertengahan tahun 2000 hingga hujung 2004), seingat saya tercetus tiga peristiwa demontrasi jalanan. Yang pertama (saya fikir tentu turut dapat dibaca laporannya oleh rakyat di Tanah Bonda) ialah rusuhan di Bradford. Dimomokkan media tempatan sebagai rusuhan kaum minoriti, saya menonton di kaca tv imej Bradford yang terbakar. Terbakar bukan sekadar fizikal tetapi hati nurani kaum minoriti yang rata-rata adalah keturunan orang Asia (terutamanya Pakistan). Bukanlah Bandar itu habis musnah terbakar. Imej yang tersiar di kaca tv memaparkan kenderaan dan beberapa rumah kediaman serta rumah kedai hangus. Terbakar dalam peristiwa itu ambiguity sifatnya. Terbakar fizikal tidak seberapa tetapi kesan kepada hati nurani kaum minoriti orang Asia yang merebak dan parah. Ini disemerakkan lagi oleh sebuah parti picisan bersifat chauvinist iaitu BNP (British National Party) yang pendiriannya ‘Britain Hanya Untuk British’. Hasil kerja utama BNP yang cuba menampakkan dirinya sebagai sebuah parti keBANGSAsaan orang putih, mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan penduduk minoriti orang Asia.
Peristiwa Bradford terbakar itu merebak jua sentimennya ke Stoke-on-Trent, antara bandar yang mundur dan miskin di UK. Di Stoke-on-Trent, saya dan family tinggal di sebuah kawasan bernama Cobridge. Tinggal di sini amat selesa – boleh dikatakan ‘mesra penduduk Islam’. Kemudahan yang ada memenuhi keperluan kaum minority yang menjadi majoriti di kawasan ini! Sekolah, pengangkutan, jalanraya, pasaraya, kedai runcit, klinik, farmasi, pekerjaan dan taman rekreasi – semuanya tersedia dan bagus. Bahkan terdiri dua buah masjid dalam jarak kira-kira 400 metere sahaja.
Kerna majority penduduk di Cobridge adalah orang Asia (Islam), maka merekalah yang menikmati segala kemudahan itu. Bahkan, Sekolah Rendah St Peters (anak saya bersekolah di sini), majoritinya budak-budak Pakistan. Padahal sekolah itu asal pembinaan untuk dijadikan ‘feeder’ kepada sekolah menengah Kristian seperti St Magaret High School. Kerana enrolmen murid-murid tidak cukup, maka terpaksalah pihak sekolah menerima kemasukan anak-anak orang Islam yang menjadi kaum majoriti di Combridge. Situasi ini rupa-rupanya menyebabkan masyakarat kulit putih tidak puas hati. Mereka mendesak sekolah itu ditutup sahaja kerana fungsi asalnya sebagai ‘feeder’ untuk sekolah menengah Kristian tidak tercapai. Golongan yang memprotes kehadiran majoriti anak Muslim atau Asia di sekolah itu memberikan alasan: segala kemudahan bagus dan lengkap di Sekolah Rendah St Peters bukan asalnya diadakan untuk kerselesaan anak-anak orang Islam atau Asia! Ringkasnya, golongan mat salih yang kempen supaya Sekolah Rendah St Peters ditutup kerana tidak rela kemudahan yang baik-baik itu digunakan untuk pendidikan anak-anak orang Islam atau Asia.
Rusuhan di Bradford yang dihebohkan kerana angkara kaum minority Asia, maka tersebar khabar BNP akan mengadakan perarakan di jalan utama Stoke-on-Trent yang melalui kawasan Cobridge. Keran khabar-khabar itulah, pemuda-pemuda Pakistan berkumpul di jalan besar itu untuk menunggu kedatangan BNP. Akhirnya? Tiada pun penyokong atau pemimpin BNP yang datang berarak. Yang dikejar, dibalun dan ditangkap polis pencegah rusuhan ialah pemuda-pemuda Pakistan belaka!
Itu dua pertistiwa ‘rusuhan bandar’ yang membakar fizikal dan hati nurani, dan ‘demontrasi jalanan’ yang tidak menjadi tetapi terbalik kuang akhirnya. Jika berminat mahu baca bicara lanjutan tentang hal ini, anda bisa lihat tulisan saya (sewaktu masih mastautin di UK) berjudul “API YANG MENYALA, MUSIM YANG BERGELORA” (posting tahun 2010 dalam blog ini).

Peristiwa ketiga agak unik. Ia melibatkan individu tersohor bernama Camilla Parker (waktu itu masih belum menjadi isteri Putera Charles). Telah tersebar luas isu ‘memburu musang’ akan dibentang dan dibahaskan di parlimen. Tujuan hanya satu: meluluskan mengharaman memburu musang. Perburuan binatang kecil warna kemerahan dadanya ada tompokan putih ini, merupakan suatu tradisi di kalangan golongan bangsawan di Britain. Salah seorang yang gemar memburu musang apabila tiba musimnya ialah Camilla Parker. Tersiar jua berita Camilla Parker akan menyertai demontrasi yang akan diadakan di Kotaraya London. Perdebatan dalam media rancak. Yang menentang aktiviti aristocrat memberikan alasan: kekejaman dan kezaliman terhadap haiwan. Yang menyokong memberikan alasan antaranya: penduduk desa akan hilang pekerjaan tradisional – jadi budak pengiring, pengusaha warung arak, tukang pelihara anjing, tukang buat dan bersih pelana serta but, dan segala macam pekerjaan sampingan yang berkaitan dengan aktiviti memburu musang itu. Maksudnya, jika aktivit memburu musang (dengan uniform segak, menunggang kuda dan didahului sekumpulan anjing-anjing terlatih), makan ia akan memberikan impak besar kepada ekonomi desa!
Ketika perarakan diadakan di Kotaraya London, seingat saya Camilla Parker (Duchess of Cornwall) tidak hadir. Cuma yang uniknya, didirikan pintu gerbang yang dipasang sensor di palangnya. Secara automatik tertera pengira di palangnya juga total penyokong kempen untuk meneruskan tradisi memburu musang yang melalui di bawah pintu gerbang itu. Sasaran penganjur ialah setengah juta orang. Apa sudahnya? Ah, bisa rayau-rayau dan cari aja dalam internet. Saya tahu, anda memang rajin buat begitu.
Permisi, wassalam.
Nota: ketika mastautin di tanah bekas empayar itu, saya pernah lihat seekor musang melintas jalan dan berhenti lelah di tepi semak. Cantik dan comel amat haiwan ini. Lukisan 'anak musang' yang saya hasilkan kerana ingatan itulah. Sebab yang lebih besar: kerana 'tanah tumpah darah saya' di sebuah kampung bernama Pulau Musang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan