Karya

Karya

Khamis, 28 Julai 2011

MEMORI HAJI 2010: “DI MANA-MANA PUN, PAHALANYA SERATUS RIBU!”

‘Surau Seksyen Tujuh’ (SS7) di tingkat tujuh Hotel Janadriyah punyai keunikan tersendiri.

Pertama: ia merupakan ‘surau permaidani’. Maksud saya, kawasan lapang lobi tingkat tujuh yang agak luas itu akan bertukar menjadi surau apabila dua bidang permaidani yang besar lebar dibentangkan oleh Bangladeshi pekerja am hotel. Permaidani ini digulung dan disandarkan di dinding bersebelahan lift apabila solat berjemaah selesai. Menjadi tempat lalu-lalang seperti biasa. Kadangkala ada beberapa pasangan jemaah yang menghampar tikar, makan tengahari dan berjamu malam di situ.

Kedua: Imam yang awal (yang utama dan ketua surau) merupakan bekas Tok Kadi. Katanya, tujuan ‘membuka surau’ berkenaan semata-mata untuk memenuhi permintaan sebahagian jemaah wanita, warga emas dan segelintir yang terganggu kesihatannya. Kerana jemaah tahu latar pekerjaannya, maka Tok Kadi yang sudah pencen ini menjadi tempat mengadu. Bukan sahaja solat jemaah didirikan di lobi tingkat tujuh itu, malahan imam yang pernah mengaji di Universiti Azhar ini juga membaca tafsir kitab tertentu, mengisi waktu senggang di antara Maghrib dan Isya’. Yang uniknya, walaupun mempunyai latar pendidikan agama yang bagus dan profesion yang murni, hanya setelah pencen (opsyen awal) barulah dia berpeluang menunaikan Haji untuk kali yang pertama. Pada musim haji inilah!

Ketiga: Muazzin yang melaungkan azan di situ setiap masuk waktu ialah Bangladeshi pekerja am itu jugalah. Ada kenalan yang komplen (kadang-kadang menjadi bahan lelucon pula) kerana suara bilal tidak sedap didengar dan alunan lagu yang dibawakannya sumbang sekali, pak!
Sewaktu ada kesempatan berbual-bual panjang dengan Tok Imam SS7, saya selitkan komplen itu kepada beliau.

Jawapannya menjadikan saya terdiam, dan beralih kepada isu yang lain. Kira-kira begini katanya:

“Waktu saya mula-mula ‘membuka surau’ ini, Bangladeshi itulah orangnya yang bersusah-payah memikul dua gulung permaidani (dipinjamkan oleh pengurusan hotel). Dia jugalah yang menjadi bilal pertama. Orang kita malu-malu, malahan ada yang memberikan pandangan jelek. Seolah-olah solat di paras tujuh ini tidak sah! Saya sebagai imam awal dan ketua jemaah surau ini, tidak akan benarkan orang lain jadi bilal. Saya mahu orang yang ikhlas. Bukan orang yang hanya pandai mengalunkan suara yang merdu!”
Bekas Tok Kadi ini orang lama dan tinggi pengetahunnya. Pertanyaan-pertanyaan saya (walaupun berlapik dan berkias) dapat ‘ditangkap hidu’ seolah-olah suatu ‘interview’ mahu mencungkil rahsia. Memang betul sangkaan beliau. Dah lama saya berteka-teki dengan soalan kenapa dia tidak berjemaah di Masjidilharam. Padahal pada pandangan saya, fizikalnya tiada masalah apa-apa. Sebenarnya, soalan ini menjadi sok-sek di kalangan rakan sebilik saya dan beberapa kenalan yang lain.

“Saya sudah dengar tentang itu. Cakap-cakap di belakang yang tidak manis didengar. Saya ‘buka’ surau ini dengan kebenaran daripada pengurusan Hotel Janadriyah. Malahan pihak TH pun tidak berkata apa-apa. Jika saya tidak betul, kenapa tiada tindakan diambil? Lagipun, surau ini untuk orang-orang yang tidak mampu berjalan jauh-jauh. Jemaah lelaki yang ada penyakit kronik, uzur, tua...dan sebilangan wanita yang tidak berupaya.”

Saya mengangguk kecil, menanti Tok Imam berhenti sekejap meneguk air mineral. Sabar mahu mendengar kupasan yang lebih lanjut.

“Tentang solat di Masjidilharam. Saya pergi juga awal-awal sampai di sini. Kelakuan sebilangan jemaah sangat mendukacitakan. Berebut-rebut tanpa ehsan nak kucup Hajarul Aswad. Ada yang bertengkar dan bertumbuk. Himpit-menghimpit perkara biasa. Langkah bahu, lutut tergesel kepala orang yang duduk tidak dihiraukan. Semata-mata mahu solat di saf depan Kaabah. Mana akhlak kita sebagai orang Islam? Saya rasa sangat malu. Saya tidak sanggup melihat itu semua!”

Saya tidak dapat menahan lagi, lantas terloncat juga teka-teki: “Tak mahu pergi dah ke MasjidilHaram?”

Tok Imam memandang saya dengan senyum sinis. “Kalau tawaf, memanglah kena pergi. Itu Rukun Haji! tapi solat Jumaat pun tak semestinya di situ.”

Ketawa kecil disusuli kata-katanya yang akhir. “Solat di mana-mana pun, di Tanah Haram ini, pahalanya sama saja. Seratus ribu, macam di Masjidilharam juga!”

Permisi. Wassalam.

foto 1 & 2: Masjidilharam sesak pada waktu-waktu tertentu. Hari Jumaat memang melimpah-ruah. Seminggu sebelum dan selepas wukuf pula, memang jem teruk. Jemaah boleh cecah dua juta pada satu-satu masa. Pada waktu lain (jika awal masuk ke Tanah Suci sewaktu musim haji), anda boleh bergaya pula ketika merakam kenangan berlatarkan Baitulllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan