Selepas lima hari di Kota Mekah, saya belum dapat solat di barisan depan betul-betul mendepani pintu Kaabah, atau di depan multazam atau di tempat Jibrail mengimami Muhammad Rasulullah SAW ketika kembali ke bumi selepas Mikraj.
Maka pagi Jumaat kali ini, saya bertekad mahu melakukannya – solat di saf paling depan. Kira-kira jam tiga setengah pagi saya menaiki bersama Yang Tersayang dan enam jemaah Malaysia yang saya tidak kenali.
Selepas diturunkan tidak jauh dari Perpustakaan (asalnya tapak rumah kelahiran Muhammad SAW), kami bergegas melalui jejantas. Melepasi pemeriksaan rutin (diperiksa beg kalau-kalau kami membawa kamera) oleh seorang pengawal beruniform dan rakannya yang berjubah, kami mem masuki pintu Bukit Marwah.
Dua sebab saya memilih laluan ini. Pertama kerana terdapat banyak tandas lelaki dan perempuan serta kemudahan mengambil wudhuk berdekatan pintu gerbang yang besar. Kedua, rasa sangat selesa melintasi masaie, berhenti sekejap minum air zam-zam, berdoa ke hadrat Ilahi, mohon kesihatan tubuh badan, murah rezeki dan kurinaan ilmu yang bermanfaat.
Nikmat sekali, selepas berjalan kira-kira dua ratus meter dari perhentian van, dapat minum air paling lazat dalam dunia. Air baraqah total, mata airnya dikatakan mengalir dari syurga. Teguk segelas sahaja dari bekas plastic, rasanya sejuk sungguh menyegarkan. Sebab itu ada cakap-cakap mengatakan air zam-zam di tanahair tidak sama dengan di mekah. Barangkali kerana kita meminumnya daripada tempat semula jadinya. Tambahan pula rasa syahdu sekali meneguk air suci itu ketika berhenti di antara Marwah dan Safa. Simbol syiar Islam, tanda pengorbanan insan kepada Yang Maha Pencinta. Tanda infiniti kasih seorang ibu kepada anaknya. Dan penanda kemukjizatan seorang rasulAllah.
Ketika di tingkat bawah, sebaik sahaja melihat Kaabah, saya berhenti sejenak menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi, pinta keredaanNya, pinta rahmat dan berkatNya agar dimudahkan laluan untuk melakukan tawaf sunat, solat dalam Hijir Ismail dan kemudian keluar dari gelungan tawaf, tahajud dan witir pula di kawasan solat di belakang Makam Ibrahim.
Sebaik selesai tawaf tanpa sebarang masalah dan begitu selesa pula, saya mendongak ke arah menara jam. Hampir amat dengan pukul empat pagi. Bila-bila masa sahaja azan pertama akan berkumandang – petanda fajar akan terzahir dalam masa sejam lagi.
Saya tidak jadi memasuki Hijir ismail terlalu ramai pula jemaah yang jem di dalamnya. Minat saya untuk berdoa di situ mengecut. Datang bisikan di minda menyuruh bersolat Subuh dalam saf yang pertama, kalau boleh di depan pintu kaabah.
Segera minda mengulang tayang strategi umrah tahun lepas (2009): sebaik saja selesai tawaf berhenti untuk membentuk lingkaran saf yang awal. Saya mengintai peluang itu, setelah bertawaf (berjalan keliling tanpa niat ibadah, hanya mahu intip ruang) satu pusingan lagi, saya ternampak seorang Bangladesh berbadan tegap sudah berhenti tawaf, dan memegang kawannya yang lebih rendah dan lebih tua - menjadikan mereka tunggul penghujung saf (masih dalam keadaan berdiri). Ketika azan menandakan sejam lagi Subuh menjelma, saya sudah berdiri di sebelah pemuda Bangla berbadan sasa tinggi kira-kira hampir enam kaki.
Malangnya, tidak sempat mahu bersyukur kerana ruang yang ternganga itu, saya dilanggar dan dihimpit oleh jemaah yang masih tawaf. Bertali-arus datangnya. Ada suara marah-marah entah dalam bahasa apa, Cuma dari memek muka dan gerak badan, marah amat mereka itu kepada saya kerana berhenti tiba-tiba menghalangi jemaah bertawaf. Hampir saja saya jatuh kecundang jika tidak dipegang oleh Bangla bertubuh sasa.
Oh, Tuhan! asakan yang diterima tidak mahu reda. Saya rasa tidak tahan lagi. Sudah berfikir mahu kembali kepada pelan asal, pergi segera solat sunat di Hijir Ismail, tahajjud dan witir di medan solat di belakang Makam Ibrahim. Mahu tetapi tidak mampu. Asakan jemaah yang tawaf tidak membenarkan saya ke mana-mana.
Asakan bertalu-talu menyedarkan saya untuk memanjatkan doa: “Ya, Allah. Engkau tolonglah aku. Bawakan kepadaku seorang lelaki sasa yang boleh menjadi benteng pelindung. Aku mahu solat subuh saf hadapan di depan rumah-Mu! Tiada upayaku, melainkan kepadaMu aku berserah!”
Seingat saya tidak sampai lima minit, dua orang Turki (mudah dicam kerana seragam baju biru cair yang dipakai jemaah tertekat di dada kirinya lambang negara bulan sabit dan perkataan Turkiye). Yang lebih tua (barangkali sudah enam puluh) badan dan tingginya serupa saya sahaja. Ugh, bukan ini pertolongan daripada Allah! Datang lelaki yang kedua. Saya anggar, tingginya kira-kira sama dengan pemuda Bangla - enam kaki. Tegap dan nampak kukuh macam pohon duku!
Terlintas di fikiran saya: Ya Allah, apakah ini tanda pertolongan daripadaMu?
Saya tidak menunggu lama, terusan saja menyauk lengan keras Bangladeshi di sebelah kanan, dan lengan pejal Turkiye di sebelah kiri. Ugh, rasa macam siamang yang bergayut dua tangan santai di dahan pula!
Syukur. Selesai masalah. Asakan daripada ombak tawaf tidak menimbulkan masalah lagi kepada saya. Benteng kiri dan kanan kukuh dan padu. Apabila azan Subuh hampir berkumandang, dan para jemaah sudah berhenti tawaf, barisan paling hadapan duduk semuanya. Segala perlakuan di depan pintu Kaabah boleh dilihat dengan jelas dari kedudukan saf ketiga,
Dua puluh minit sebelum Imam MasjidilHaram mengambil tempatnya, kawasan antara Hajaraswad hingga Rukun Iraqi melampaui hingga Hijir Ismail dijagai oleh kira-kira lima belas anggota polis. Sedozen akan berkawal di bahagian imam yang akan mengepalai solat, selebihnya di Hijir Ismail menyekat kedua-dua ruang masuk ke situ.
Dalam tempoh dua puluh minit itu, di depan multazam ‘akan dibersihkan’ daripada orang-orang asing. Tekaan saya begitu kerana yang ada di situ, semuanya nampak saling mengenali antara satu sama lain. Barisan kedua barulah jemaah terdiri daripada bakal-bakal haji. Di situlah saya berada.
Dalam tempoh dua puluh minit itu, saf dua dan tiga tidak dibenarkan berdiri. Hanya duduk menunggu kedatangan imam. Hajaraswad pula dikawal rapi kira-kira lima orang polis yang begitu serius wajah mereka.
Namun begitu, ada juga sepasang jemaah Turki yang terlepas. Dalam jarak satu meter lagi mereka akan sampai di HajarAswad, seorang polis segera menghadang, dan pasangan berkenaan dihalau dari kawasan itu, disuruhnya pergi lebih jauh, ke saf lebih belakang! Nampak air muka mereka kehampaan. Maklumkan, disangkakan ketika semua orang sudah duduk, tiada sesiapa berasak-asakan mahu mengucup hajaraswad, mudah mereka mengucupnya
Dalam masa menunggu itu, saya dapat melihat seorang pekerja memikul sejadah tebal umpama permaidaini empuk. Tentunya untuk kegunaan Imam. Kemudian muncul seorang lagi memikul mikrofon. Seorang yang lain mencuci bahagian bawah pintu Kaabah, kemudian disembur pula dengan wangi-wangian. Polis punyai empat calit di bahu, mundar-mandir mengarahkan jemaah tutup telefon dan mempastikan jemaah baris hadapan tidak berdiri sebelum Imam tiba.
Dalam keadaan semua orang menunggu itu, muncul tiga lelaki Arab segak bergaya, muka putih bersih, jubah pun serba putih, serban pula merah petak putih, memakai igal. Dengan mudahnya mereka bertiga mengucup Hajaraswad dalam pengawasan lima enam orang polis. Selepas itu, ketiga-tiganya melekapkan kedua-dua tangan di multazam. Alangkah nikmatnya! Arab bertiga itu duduk di saf paling depan - seolah-olah sudah ada ruang khas untuk mereka.
Selesai solat jenazah, saya berpusing untuk mengundurkan diri lebih jauh dari belakang Makam Ibrahim. Mahu bertafakur, baca al-maathurat, dan memanjatkan doa yang dipesani adik-beradik dan saudara-mara. Saya sudah berjanji akan bacakan doa-doa itu di depan BaitulLlah. Maka tertunailah niat itu. Soal diperkenan oleh Allah atau tidak, itu urusan Yang Maha Esa, Tuhan sekalian alam, yang menguasai langit dan bumi, tiada ia tidur, tiada ia bergantung kepada apa jua. Tiada apapun yang setara dengannya!
Turkiye yang badannya macam pohon duku menepuk bahu saya sambil menghulurkan salam dan sama-sama kami tersenyum dan melekapkan telapak tangan di dada masing-masing. Saya berpaling ke arah pemuda Bangladesh yang masih di sisi. Saya tepuk dia serupa Turkiye lakukan kepada saya. Bangladeshi itu tersenyum. Kami bersalaman dan berdakapan.
Tiada sepatah kata diucapkan sepanjang satu jam lima belas minit kami bersentuhan bahu dalam satu saf. Tapi akhirnya sebelum berpisah, ukhuwah tanpa bicara apa-apa terjalin jua. Turkiye dan Bangldasehi menjadi benteng, seorang lelaki Melayu tercapai hasratnya untuk solat sangat hampir dengan Kaabah!
Permisi. Wassalam.
foto 1: perpustakaan berhampiran MasjidilHaram, didirikan di atas tapak rumah kelahiran Muhammad SAW.
foto 2: yang duduk, dan yang tawaf
foto 3: kesesakan di sekitar Kaabah (pandangan dari atas bumbung MasjidilHaram).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan